Search This Blog

Poltergeist [Review]

Poltergeist merupakan pembikinan semula filem dengan tajuk sama yang dibikin pada tahun 1982 yang diarahkan Tobe Hooper dan ditulis oleh Steven Spielberg. Filem baharu ini diarahkan oleh Gil Kenan. Walaupun kurang ingat jalan ceritanya, penulis masih ingat pertama kali menonton filem Poltergeist (1982) sekitar tahun 90an dan merasakan di samping menakutkan, ia juga merupakan sebuah filem seram yang unik ketika itu. Jadi bagaimanakah filem baharu ini dibandingkan dengan yang asal? Mari kita selami bersama.

poltergeist_2015-2560x1600

Poltergeist [Review]

Poltergeist mengisahkan sebuah keluarga yang berpindah ke kawasan pinggir bandar dalam usaha memulakan hidup baharu. Namun sejurus selepas memasuki rumah baharu itu, kejadian-kejadian aneh mula berlaku sehingga akhirnya anak bongsu keluarga itu, Madison diculik oleh makhluk ghaib yang menghuni almari pakaian. Dapatkah keluarga itu mengembalikan anak mereka yang diculik? Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam.

Jalan Cerita

Secara keseluruhannya, jalan ceritanya lebih ringkas dari sangkaan kami. Jalan ceritanya tiada selok belok yang memerlukan penonton berfikir, sebaliknya jalan ceritanya linear dan boleh dijangkakan. Dari segi keseraman, filem ini mengikuti formula yang biasa kita lihat dalam kebanyakan filem seram moden. Ia lebih bergantung kepada elemen kejutan berbanding ketakutan yang sebenar.

Poltergeist-2015-trailer-image-1

Mungkin juga segala idea mengenai filem seram telahpun habis digunakan dalam filem Holywood dan kita sudah mula menampakkan pengulangan semula formula tersebut dalam filem baharu. Filem seram terakhir kami tonton yang mempunyai idea yang asli adalah filem “Cabin in the Woods” yang sememangnya mempunyai pengakhiran yang tidak dijangkakan.

Bercakap mengenai pengakhiran filem, dapat dirasakan semakin filem ini sampai ke penghujung semakin ia kelihatan kurang seram. Mungkin kerana pada pendapat kami, menjelang penghujung filem ini, ia telah bertukar dari filem seram kepada filem fantasi pula.

poltergeist-remake-cast

Lakonan

Lakonan pelakon dalam filem ini sememangnya tidak meyakinkan. Mungkin ini disebabkan penulisan skrip yang tidak begitu mantap. Sebagai contoh, apabila Madison diculik makhluk ghaib, ibu bapanya masih mampu kekal tenang dan tidak mahu melaporkan kepada polis kerana khuatir polis tidak akan mempercayai mereka. Agak pelik kerana biasanya seorang ibu akan panik dalam keadaan begitu, namun dalam filem ini ibunya tenang dan mampu menunggu ke hari berikutnya untuk berjumpa pakar paranormal.

Banyak lagi keganjilan dalam lakonan barisan pelakon filem ini. Bukan mahu mengatakan lakonan mereka tidak bagus, sebaliknya kami lebih merasakan lakonan mereka seperti berlakon, dan bukan menggambarkan reaksi manusia dalam keadaan sebenar.

PoltergeistLight

Positif vs Negetif

Positif

  • Berjaya dalam mengetengahkan latarbelakang rumah berhantu yang seram pada permulaan filem.
  • Memaparkan filem Poltergeist dalam konteks moden.

Negetif

  • Jalan cerita yang ringkas.
  • Lakonan kurang mantap.
  • Tidak berjaya membawa perasaan seram yang sama dialami ketika menonton filem asal.

Kesimpulan

Walaupun filem baharu Poltergeist ini berjaya memaparkan filem asal dalam konteks moden, ia tidak berjaya membawa perasan seram yang dialami semasa menonton filem asal. Disarankan mencari alternatif lain untuk menonton filem ini berbanding menonton di panggung wayang kerana mungkin filem ini kurang berbaloi. Namun, jika anda seorang penonton yang suka dikejutkan oleh adegan terkejut filem seram, panggung wayang tempat terbaik untuk menonton.

IMDB

The post Poltergeist [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/1CuSoXa