Search This Blog

The Legend of Tarzan [Review]

Hanya dengan melihat tajuk filem ini, The Legend of Tarzan, kami telah membuat banyak sangkaan klise mengenai filem berkenaan dan menjangkakan sebuah filem bertemakan remaja atau kanak-kanak. Namun setelah kami sempat menontonnya, kami menerima kejutan di mana sangkaan kami mengenaainya agak meleset.

tarzan_780x430_2

The Legend of Tarzan [Review]

Tidak seperti kartunnya, filem The Legend of Tarzan mengisahkan Tarzan yang telah kembali ke London dan mengambil semula tempatnya dalam dunia aristokrat England sebagai Lord Graystoke dan nama sebenarnya John Clayton. Beliau tinggal bersama isterinya, Jane. Suatu hari, beliau dijemput untuk ke Congo, Afrika (tempat lahirnya Lagenda Tarzan) oleh raja Belgium. Ketika itu Congo di bawah jajahan Belgium dan raja Belgium membelanjakan semua wang negaranya untuk mengeksplotasi hasil bumi negara tersebut. Oleh itu beliau dalam tekanan untuk mendapatkan hasil bumi yang berharga untuk membayar hutang-hutang negara. Tetapi, walaupun didesak pembesar di London kerana ia merupakan peluang untuk memantau setakat mana raja Belgium boleh membayar hutangnya kepada England, John Clayton enggan menerima jemputan tersebut.

The-Legend-Of-Tarzan-2016-HD-Wallpaper

Pada masa yang sama, seorang wakil dari kerajaan Amerika bernama George Washington Williams (Samuel L. Jackson) dihantar untuk menyiasat kegiatan perlombongan yang mencurigakan di negara tersebut. Memandangkan beliau perlu mempunyai jemputan untuk memasuki negara tersebut, beliau terpaksa memujuk John Clayton aka Tarzan untuk menerima jemputan raja Belgium itu.

Apakah sebenarnya yang berlaku di Congo dan dapatkan Tarzan dan George menyiasat apa sebenarnya yang dilakukan kerajaan Belgium di negara itu yang diketuai Leon Rom? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

NENVH08Hql5jQT_1_b

Jalan Cerita dan Lakonan

Perkara pertama yang perlu diketahui adalah, filem ini bukanlah filem bertemakan kanak-kanak mahupun remaja. Tanpa sebarang tidak syak lagi ia merupakan filem dewasa. Ia menggabungkan unsur politik, sedikit percintaan dan juga aksi. Jalan ceritanya langsung di luar jangkaan kami, tetapi kami maksukannya dari segi yang baik. Kami tidak menyangka sebuah filem Tarzan akan mempunyai tema politik, dipenuhi aksi tembak-menembak machine gun dan babak serangan haiwan yang ganas yang kurang sesuai untuk kanak-kanak.

maxresdefault2

Perlu dipuji juga bagaimana jalan ceritanya diolah dengan begitu baik untuk memberikan satu filem yang mempunyai kelasnya tersendiri. Walaupun, filem ini mengisahkan Tarzan selepas beliau kembali ke England, filem ini memaparkan flashback dari masa ke semasa bagi menceritakan kepada penonton sejarah dan latarbelakang Tarzan dan bagaiman konflik antaranya dengan puak Chief Mbonga terjadi. Babak-babak flashback dibuat dengan begitu baik dan pada kadar yang secukupnya supaya penonton tidak keliru dengan apa yang ingin disampaikan dalam filem ini.

Secara ringkasnya, jalan ceritanya sememangnya difokuskan kepada golongan dewasa. Malah kami rasakan para remaja dan kanak-kanak akan berasa bosan menonton filem ini kerana ia memerlukan penghayatan jalan cerita dan dialog-dialog antara watak-wataknya bagi memahami jalan ceritanya.

Lakonan watak utama Tarzan yang dilakonkan Alexander SkarsgĂ„rd walaubagaimanapun sedikit kurang meyakinkan. Walaupun lakonan dari segi gerakan fizikalnya sangat berkesan, lakonan dalam babak yang memerlukan perasaan, kurang menyerlah. Watak yang paling menonjol dan menghiburkan merupakan watak George lakonan Samuel L Jackson yang lucu dan pandai berkata-kata.

LEGEND OF TARZAN

Kesan Khas

Anehnya filem ini kesan khas CGInya kadang-kala sangat bagus dan antara yang terbaik di dunia, tetapi dalam sesetengah babak, CGInya agak melucukan. Contohnya, semua CGI berkaitan haiwan adalah antara CGI terbaik kami pernah lihat di mana haiwannya mempunyai tahap perinician yang tinggi, tetapi dalam babak yang melibatkan gerakan Tarzan yang bergayut dari pokok ke pokok kebanyakannya kelihatan tidak kena, kemungkinan hukum fizik kurang diambil kira semasa membikin CGI tersebut.

Apa pun, kesan khas terbaik filem ini bukan lah kesan khas, sebaliknya sinematografi dan komposisi yang memperlihatkan landskap Afrika yang sangat indah.

The-Legend-of-Tarzan-Official-Trailer-2-8

Positif Vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang diolah dengan baik, matang dan ada kelas
  • CGI haiwan yang antara terbaik di dunia
  • Babak aksi yang lebih mendebarkan dari sangkaan

Negatif

  • Sesetengah babak mempunyai CGI kurang memuaskan
  • Bahagian pengakhiran yang kurang memuaskan dan tidak masuk akal

the-legend-of-tarzan

Kesimpulan

Filem The Legend of Tarzan sememangnya sebuah filem yang di luar jangkaan dari segi jalan ceritanya, namun ia sebuah kejutan yang dialu-alukan. Ia nyata bukan sebuah filem untuk kanak-kanak dan mungkin akan membuatkan kebanyakan golongan remaja merasa bosan, kecuali mereka yang gemarkan sebuah filem yang mempunyai jalan cerita kuat, bukan filem yang banyak bergantung kepada aksi dan kesan khas. Kami rekomen filem ini untuk mereka lebih gemarkan filem genre drama, berbanding aksi, walaupun filem ini mempunyai babak aksi yang menarik.

Pada keseluruhannya filem ini ingin memberi mesej mengenai kesalahan negara-negara imperialis satu ketika dahulu yang menjadi kaya akibat penjajahan dan penghambaan rakyat Afrika.

Penilaian: 7.5/10

IMDB

The post The Legend of Tarzan [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/299FmZp