Search This Blog

Rogue One A Star Wars Story [Review]

Hari ini dunia dikejutkan dengan kematian Carrie Fisher, pelakon yang memainkan watak Princess Leia dalam filem-filem Star Wars asal. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga dan sahabat rapat yang pernah bekerja bersamanya. Olehkerana admin menjalani umrah baru-baru ini, admin hanya berpeluang menonton filem Rogue One A Star Wars Story semalam, iaitu sehari sebelum kematian Carrie Fisher. Nampaknya dalam filem inilah kali terakhir kami melihat Carrie Fisher sebelum kematiannya (beliau juga dilihat dalam satu babak filem ini). Apa pun, kami akan review filem ini dengan hati terbuka.

Rogue One A Star Wars Story [Review]

Filem Rogue One A Star Wars Story mengisahkan sekumpulan pemberontak yang ditugaskan untuk mendapatkan pelan kepada sebuah senjata rahsia empayar yang dinamakan Death Star. Kumpulan ini diketuai Cassian Andor dan disertai Jyn Erso, iaitu anak kepada jurutera utama senjata berkenaan Galen Erso yang dipaksa membina senjata tersebut untuk empayar.

Banyak rajau dan duri dilalui kumpulan tersebut dan dalam menjalankan misi mereka, mereka disertai oleh beberapa lagi watak bagi membantu mencapai objektif misi mereka. Adakah mereka akan berjaya mendapatkan pelan senjata berkenaan? Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam berhampiran.

Jalan Cerita dan Lakonan

Jalan cerita Rogue One berlangsung sejurus sebelum Star Wars episode IV: A New Hope, malah babak terakhir filem ini bersambung terus dengan permulaan episode IV. Walaubagaimanapun, jika anda tidak mengikuti filem-filem Star Wars, anda masih boleh menikmati filem ini sebagai filem standalone tanpa sebarang masalah. Namun jika anda bukan peminat Star Wars, anda mungkin akan kurang teruja dengan kapal-kapal angkasa baru, jenis stormtrooper baru, dan watak-watak dari filem asal yang “dihidupkan  kembali” dalam filem ini.

Watak seperti Governor Tarkin merupakan watak filem asal yang telah meninggal dunia dan “dihidupkan kembali” menggunakan kuasa CGI. Malah CGI yang digunakan cukup bagus sehingga sukar untuk melihat bahawa mukanya sebenarnya CGI. Begitu juga dengan watak Princess Leia di akhir filem ini. Para pembikin filem ini telah berjaya menampakkan rupanya seperti masih muda lagi. Kami tidak pasti samada menggunakan CGI ataupun make-up.

Secara subjektif, jalan cerita filem ini tidaklah sehebat mana, jika anda tidak mengikuti franchais Star Wars. Namun jika anda peminat Star Wars, jalan ceritanya adalah penting bagi mengisi persoalan bagaimana pihak pemberontak boleh mendapat pelan untuk Death Star, seterusnya memusnahkannya dalam episode IV. Oleh sebab ini, terdapat perbezaan pengalaman menonton berdasarkan samada anda peminat Star Wars atau tidak.

Rogue One

Kesan Khas Dan Muzik

Selain menghidupkan semula watak lama yang telah meninggal dunia dengan baik, para pembikin filem ini berjaya mengekalkan rekabentuk antaramuka teknologi dari filem asal ke dalam filem Rogue One ini. Agak menarik melihat rekabentuk grafik zaman 70an dibikin menggunakan teknologi abad ke 21. Begitu juga dengan Imperial Walkers yang kini dibikin menggunakan CGI berbanding “stop motion” dalam filem asal, menjadikan babak peperangan jauh lebih menarik berbanding dahulu.

Muzik dalam filem ini juga tidak lagi dibikin oleh John Williams seperti dalam filem-filem asal sebaliknya oleh Michael Giacchino dan perbezaannya dapat didengari samada anda sedar atau tidak. Ia tidak memberikan perasaan sebuah filem Star Wars yang tipikal.

Positif Vs Negatif

Positif

  • Pengenalan watak yang baik.
  • Jalan cerita dan babak peperangan yang mengujakan bagi peminat Star Wars
  • CGI yang terbaik, terutamanya dengan kebolehan “menghidupkan orang yang mati”.

Negatif

  • Pengalaman penonton bukan peminat Star Wars jauh berbeza berbanding peminat.
  • Sebagai bukan peminat, jalan ceritanya pada tahap biasa sahaja.

Kesimpulan

Kami bukanlah peminat tegar Star Wars, namun kami telah pun menonton kesemua episode Star Wars yang dibikin setakat ini. Tidak dinafikan jika anda tidak mengikuti filem-filem sebelumnya, anda mungkin tidak terkesan sangat dengan filem ini. Namun, oleh kerana kami telah menonton filem sebelumnya, memang jelas kebijaksanaan pembikin filem Rogue One A Star Wars Story dalam mengaitkan filem ini dengan filem sebelumnya, secara spesifiknya episode IV. Dengan kata lain ia harus ditonton dalam pakej untuk mendapat pengalaman menonton yang terbaik.

Penilaian: 8/10

IMDB

The post Rogue One A Star Wars Story [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2i7os32