Search This Blog

Resident Evil The Final Chapter [Review]

Setelah lebih sedekad siri filem Resident Evil diterbitkan, akhirnya ia tiba ke penghujungnya dengan filem Resident Evil The Final Chapter. Kami berpeluang menonton filem ini baru-baru ini dan kami telah menyediakan sebuah review filem tersebut untuk anda.

Resident Evil The FInal Chapter

Resident Evil The Final Chapter [Review]

Resident Evil The Final Chapter merupakan penutup kepada siri filem Resident Evil yang telah bermula 15 tahun lalu pada 2002. Filem kali ini menyambung filem lepas di mana umat manusia diambang kepupusan hasil jangkitan virus-T yang dicipta oleh Umbrella Corporation di mana Alice diminta pulang semula ke “The Hive”, iaitu fasiliti Umbrella Corporation dari filem Resident Evil pertama, untuk mendapatkan penawar kepada virus-T itu.

Anehnya, yang meminta Alice ke sana adalah “The Red Queen” iaitu kepintaran buatan yang mengawal sistem keselamatan di The Hive. Filem ini menjawab persoalan kenapa Umbrella Corporation melepaskan virus tersebut ke Racoon City dan juga membuka rahsia siapakah sebenarnya Alice.

Mampukah Alice mendapatkan penawar itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita dan Lakonan

Bagi mereka yang tidak menonton filem Resident Evil Retribution, mungkin mengalami kesukaran untuk memahami permulaan filem ini, walaupun terdapat penerangan ringkas mengenai perjalanan filem setakat ini di awal filem. Mujurlah salah sebuah stesen TV tempatan menayangkan filem Retribution beberapa hari sebelum tayangan filem terbaharu ini.

Sejujurnya tempo dan jalan cerita filem ini tidak ubah seperti beberapa filem sebelumnya. Jalan ceritanya mudah dan lebih menumpukan kepada aksi berbanding jalan cerita yang menarik. Namun, putaran plot dalam filem ini agak menarik dan tidak disangka, walaupun pengarah gagak mengambil peluang putaran plot itu untuk menjadikan filem ini lebih menarik dan dramatik.

Aksinya pula agak bercelaru dan gaya kamera yang kelam-kabut menyebabkan babak-babak aksi sukar difahami. Mungkin mereka mahu memperlihatkan babak aksi atau berlawan yang lebih dramatik memandangkan pelakon utamanya Milla Jovovich agak berumur dan kurang berkemampuan dari segi tenaga kerana baru lepas bersalin.

Watak-watak tambahan dalam filem ini juga mati satu per satu dengan cara yang langsung tidak bermakna. Seolah-olah nyawa mereka tidak berharga. Tidak satu pun watak sampingan kekal hidup di penghujung filem ini (oops, spoiler).

Namun, sekurang-kurangnya pengakhiran filem ini benar-benar menjadi kesudahan dan menutup filem ini dengan cara yang munasabah. Ia juga membuka ruang untuk membikin siri TV Resident Evil, jika mereka mahu.

Seperti dikatakan tadi, prestasi Milla Jovovich sedikit menyusut kali ini kerana beliau baru lepas melahirkan anak ketika penggambaran, namun aksinya cukup mantap untuk menjadikan filem ini menarik ditonton. Pelakon-pelakon tambahan dalam filem ini tidak banyak menonjol dan anda mungkin tidak akan mengingati name mereka pun.

Positif vs Negatif

Positif

  • Penamat yang memuaskan walaupun tidak muktamad
  • Putaran plot yang menarik dan menerangkan banyak tentang Alice

Negatif

  • Struktur jalan cerita, dan babak aksi yang boleh dijangka dan kadang-kala teruk.
  • Pembangunan watak yang agak lemah.

Kesimpulan

Walaupun jalan cerita filem Resident Evil The Last Chapter tidaklah sehebat mana, namun jika dibandingkan dengan beberapa filem sebelum ini ia lebih baik. Tambahan pula ia menjawab banyak persoalan mengenai latar belakang kisah di sebalik Alice dan Umbrella Corporation. Bagi mereka yang telah mengikuti siri filem ini sejak mula, ini adalah penting bagi akhirnya menutup buku Resident Evil dengan muktamad.

Namun, jika anda bukan pengikut filem Resident Evil, anda mungkin tidak merasa sebarang keistimewaan dengan filem ini. Anda mungkin tidak faham filem ini dan menonton filem ini semata-mata untuk babak aksinya tidak berbaloi kerana ia tidaklah sehebat mana.

Jadi, kesimpulannya, filem ini adalah khas untuk peminat Resident Evil menutup buku dan beralih kepada siri filem lain dan kami tidak mengesyorkannya kepada mereka yang tidak mengikuti siri filem Resident Evil.

The post Resident Evil The Final Chapter [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2k9G7Iq