Search This Blog

The Great Wall [Review]

Belum ia ditayangkan, filem The Great Wall lakonan Matt Damon telah dilanda kontroversi kerana dituduh ingin “mematsalehkan” sebuah filem asia. Namun, pada pendapat kami tuduhan itu tidak berasas. Lagipun suka atau tidak, itulah strategi pembikin filem zaman ini dimana mereka ingin mandapat capaian penonton yang lebih tinggi di sesebuah negara, ia perlu menggunakan khidmat pelakon negara tersebut. Dalam kes ini, kami yakin bahawa filem ini adalah filem buatan China yang ingin menembusi pasaran Amerika, jadi ia membuat kerjasama dengan penerbit dan pelakon Amerika.

The Great Wall

The Great Wall [Review]

The Great Wall berkisar misteri tentang tujuan pembinaan tembok besar negeri China. Adalah ia dibina untuk menghalang orang gasar dari masuk atau suatu yang lebih dahsyat? Matt Damon memegang watak William Garin, seorang pakar pemanah bersama kumpulan pencurinya mengembara ke China dari Eropah untuk mencari “serbuk hitam” atau belerang yang ketika itu tidak terdapat di Eropah. Mereka ingin mencurinya dan menjualnya di Eropah untuk menjadi kaya.

Namun malangnya dalam perjalanan mereka diserang orang gasar dan juga makhluk aneh yang mereka tidak ketahui asal-usulnya, dan kini kumpulan mereka hanya tingga dua orang, William dan Pero Tovar. Mereka kemudian ditangkap oleh tentera China di tembok besar negeri China setelah sekali lagi melarikan diri dari orang gasar. Mereka berjaya membunuh seekor makhluk itu dan ini menakjubkan pihak tentera tanpa nama yang menjaga tembok besar itu.

Mereka akhirnya mengetahui bahawa makhluk yang mereka bunuh itu merupakan satu dari berjuta makhluk ganas yang sama yang akan menyerang tembok itu untuk memakan populasi manusia. Hanya batalion tentera tanpa nama dan William sahaja yang mampu menghalang gerombolan makhluk ganas itu dari menyerang ibu kota dan kemudian menakluk bumi. Apakah William akan membantu dalam menghalang makhluk tersebut atau melarikan diri dengan serbuk hitam yang bakal menjadikannya kaya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita dan Lakonan

Pertama sekali kami bersyukur ke atas dua kesilapan yang berjaya dielakkan pengarah filem ini yang jika tidak dielakkan, boleh memusnahkan kredibiliti filem ini. Pertama, William (Matt Damon) bercakap dalam loghat Ireland dan bukan loghat Amerika. Kedua General Lin (lakonan Tian Jing), yang merupakan General perempuan yang akhirnya mengetuai keseluruhan tentera tanpa nama, pada akhirnya tidak jatuh cinta dengan hero mat saleh. Syukurlah pengarah berjaya mengelakkan kesilapan ini dari berlaku kerana jika ia berlaku, filem ini akan kelihatan murahan dan tipikal.

Jalan ceritanya agak mudah difahami tetapi tidaklah terlalu simplistik, menjadikannya filem yang menghiburkan dan mampu menarik minat anda sehingga ke penghujung filem. Babak perangnya juga boleh dikatakan sama epiknya dengan Lord of The Rings (serious!), tambahan pula props yang berkualiti dan tidak kedekut dengan pelakon tambahannya, menjadikan filem ini berada di satu tahap yang tinggi. Cuma mungkin baju perisai tentera yang berwarna-warni sedikit pelik bagi mereka yang biasa melihat baju perisai yang berwarna logam.

Selain itu, watak-watak orang barat yang ditampilkan bukan hanya setakat sebagai alat untuk mempermosi filem itu ke Amerika, sebaliknya watak mereka mempunyai signifikan yang besar di mana mereka membawa seketu batu magnet yang menjadi kelemahan makhluk ganas itu di mana ia akan menjadi tidak aktif apabila berhampiran dengan magnet.

Jalan cerita filem ini banyak menekankan elemen kerjasama sepasukan dan kepercayaan kepada ahli pasukan yang lain dan mesej tersebut ditampilkan dengan baik terutamanya dalam babak peperangan terakhir. Bercakap dengan babak peperangan terakhir, ianya agak tipikal dan bukanlah suatu yang memberangsangkan atau suatu babak yang ingin anda ulang tonton sekali lagi. malah, kami rasakan babak peperangan awal lebih memberangsangkan dari yang terakhir.

Sinematografi

Seperti yang diterangkan sebelum ini, pembikin filem The Great Wall tidak mengambil jalan singkat dalam penggunaan prop. Semua prop yang digunakan kelihatan berkualiti dan penggunaan pelakon tambahan yang banyak jelas menunjukkan pembikin filem ini tidak lokek demi menjaga kualiti filem.

Kualiti CGInya juga baik, walaupun terdapat beberapa babak yang kelihatan agak kurang memuaskan. Namun pada keseluruhannya anda berkemungkin tidak akan cenderung untuk merungut mengenai kualti CGInya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Babak perang yang epik
  • Jalan cerita yang mudah difahami
  • prop dan CGI yang berkualiti

Negatif

  • Jalan cerita sedikit simplistik dan tidaklah sehebat Lord of The Rings
  • Kesudahan filem yang agak ringkas.

Kesimpulan

Filem The Great Wall sebenarnya merupakan sebuah filem yang agak menarik. Pada mulanya kami menjangkakan sebuah filem Holywood yang mempunyai pandangan orientalis mengenai China, namun olehkerana pengarahnya warga China, kebanyakan aspek filem ini sememangnya dibuat dengan teliti dan penuh kebanggaan. Walaupun tidak sehebat filem Lord of The Rings, ia tetap merupakan sebuah filem yang anda perlu tonton, tambahan pula di bulan Januari ini tidak banyak filem yang menarik ditayangkan (Januari merupakan bulan tayangan filem yang “reject” untuk ditayangkan pada bulan Disember di mana banyak filem menarik ditayangkan).

Penilaian: 7/10

IMDB

The post The Great Wall [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2hV4nyo