Search This Blog

xXx Return of Xander Cage

Siri filem xXx merupakan salah satu francais filem aksi Hollywood yang bermula pada tahun 2002. Francais ini bukanlah francais paling popular dengan hanya 2 buah filem sebelum ini, pada 2002 dan 2005. Dengan filem xXx Return of Xander Cage, dilihat bahawa para pembikin filem ini ingin menghidupkan semula francais yang hampir mati ini. Kami sempat menonton filem tersebut dan kami telah menyediakan review filem ini.

 xXx Return of Xander Cage

Pada tahun 2005, sebuah filem pendek diterbitkan yang menunjukkan kematian Xander Cage dalam satu serbuan tentera gelap. Video diperlihatkan di bawah (audionya dimatikan kerana isu hakcipta):

Dalam filem kali ini, dipaparkan Xander Cage sebenarnya tidak mati, sebaliknya menyorok di Amerika Latin. Setelah kematian ketua pertubuhan xXx, Augustus Gibbons, NSA mencarinya semula untuk mendapatkan semula “Pandoras Box”, satu alat yang membolehkan satelit angkasa dijatuhkan secara terkawal untuk mengenai sasaran yang dikehendaki, yang dicuri oleh sekumpulan penjenayah yang handal dan berani. Alat inilah yang membunuh Gibbons semasa temuduga Neymar Jr. dengannya di awal filem ini.

Dengan itu, Xander mula mengumpulkan pasukannya dan terus mencari kumpulan penjenayah itu. Dapatkah beliau mendapatkan semula alat Pandoras Box itu semula dan menyelamatkan Amerika? tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita dan Lakonan

Pertama sekali, filem ini dibintangi oleh ramai pelakon-pelakon handalan, termasuk Tony Jaa, Donnie Yen, Deepika Padukone (pelokon dari India) dan ramai lagi. Ia juga menampilkan kemunculan istimewa Neymar Jr. yang pada akhirnya turut menjadi ahli pasukan xXx. Jadi, tidak dapat disangkal tarikan utama filem aksi ini adalah barisan pelakonnya.

Dari segi jalan ceritanya pula, bagi kami atau sesiapa yang biasa menonton filem aksi sebegini, jalan ceritanya dari awal hingga akhir dapat dijangka, termasuk putaran plotnya. Seolah-olah ia menggunakan template rasmi filem aksi Hollywood. Apa yang membezakannya dengan filem lain adalah aksi, lagak ngeri dan lawak jenakanya yang bersahaja. Ia tidak cuba menampilkan babak aksi yang terlampau dan ia juga tidak mengambil usaha melampau dalam membuat lawak jenaka. Dengan kata lain ia sebuah filem yang seimbang dan itu satu yang baik.

Satu perkara lagi, akhir-akhir ini banyak filem gemar menonjolkan unsur feminisme dan sesetengahnya terlalu terdesak dalam menonjolkan feminisme ini sehingga merosakkan jalan cerita. Namun dalam filem ini kami berpendapat watak wanita dan watak lelaki diberi pendedahan sama rata untuk menonjolkan kehebatan mereka tanpa perlu menunjuk sangat. Ini mungkin boleh menjadi model kepada filem di masa hadapan dalam memberikan pendedahan sama rata kepada pelakon wanita dan lelaki.

 

Seperti yang diterangkan sebelum ini, filem ini tidak melampaui batas dalam babak aksi dan lawaknya menjadikan filem ini seronok ditonton tanpa perlu mencari-cari kelemahannya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Babak aksi dan lawak jenaka yang tidak melampau.
  • Menghiburkan.
  • Barisan pelakon terkenal menghangatkan suasana.

Negatif

  • Jalan cerita yang sangat mudah dijangka
  • Tiada apa yang baharu.
  • Gambaran salah mengenai Filipina (terdapat pagoda di sana?)

Kesimpulan

Kesumpulannya filem xXx Return of Xander Cage merupakan satu filem aksi Hollywood standard. Tiada apa yang baharu dan tiada apa yang istimewa, tetapi sangat menghiburkan untuk ditonton. Cuma kami pasti anda tidak akan mengenang filem ini untuk jangka masa lama. Apa yang kami rasakan ini adalah usaha pembikin francais filem ini untuk memulakan semula siri filem yang hampir mati ini memandangkan berdasarkan penghujung filem ini, semua ahli pertubuhan xXx telah berjaya dikumpulkan dan situasi ini sesuai untuk sekuel-sekual baharu.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post xXx Return of Xander Cage appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2kAUsLO