Search This Blog

Hacksaw Ridge [Review]

Sejak mendengar berita mengenai kehebatan filem Hacksaw Ridge penghujung tahun lalu, kami berminat untuk menonton sendiri filem ini untuk memberi penilaian seimbang mengenainya. Baru-baru ini kami mendapat peluang menonton filem ini.

Hacksaw Ridge [Review]

Hacksaw Ridge mengisahkan kisah benar Desmond Doss lakonan Andrew Garfield, seorang medik tentera yang menyertai peperangan di Okinawa ketika perang dunia kedua. Apa yang istimewa mengenai Desmond adalah beliau tidak mahu membunuh, sebaliknya ingin hanya menyelamatkan nyawa.

Filem ini memaparkan kesukaran yang terpaksa dilaluinya, termasuk dicemuh pasukannya dan dibicarakan di mahkamah tentera kerana membantah arahan untuk memegang senjata. Kemuncak filem ini adalah ketika beliau menjadi medik di medan perang di Okinawa yang dinamakan Hacksaw Ridge di mana keberaniannya akan dicabar.

Untuk mengetahui nasib beliau, tontonlah filem ini di pawagam di mana ia akan mula ditayangkan 16 Februari ini.

Hacksaw Ridge

Jalan Cerita dan Lakonan

Memandangkan filem ini adalah kisah sebenar perang, jalan ceritanya adalah “straight forward” dalam bahasa inggeris. Ia tiada putaran plot atau misteri yang perlu diselesaikan. Namun, pada separuh pertama filem ini, jalan ceritanya agak mudah dan kadang-kala sedikit simplistik.

Lakonan dalam separuh pertama filem ini juga agak kurang memberangsangkan di mana lakonannya jelas sekali berlakon dan kurang realistik. Tetapi separuh kedua filem ini, di mana mereka mula ke medan perang, sememangnya menampakkan kehebatan lakonan semua pelakonnya.

Tetapi, harus diingat bahawa babak perangnya sangat ganas, malah melebihi keganasan babak pertama filem Saving Private Ryan. Setakat babak kepala pecah dan kaki hancur terkena mortar perkara biasa. Tetapi dalam bahagian perang inilah kehebatan Desmond Doss terserlah dan kami berasa kagum dengan apa beliau lakukan untuk rakan seperjuangan. Bahagian inilah yang menyelamatkan reputasi filem ini kerana jika dinilai dari separuh pertama filem ini, ia sememangnya tidak kelihatan begitu memberangsangkan.

Jadi secara keseluruhan, jalan cerita bukanlah kekuatan filem ini, sebaliknya, kesan khas praktikal dan kisah sebenar kesungguhan Desmond Doss menyelamatkan rakan seperjuangannya adalah kekuatan filem ini. Bercakap mengenai kesan khas filem ini, ia tidak banyak menggunakan CGI, sebaliknya banyak menggunakan kesan khas sebenar dan ia berada di tahap sama atau lebih baik dari filem Saving Private Ryan. Hati-hati anda mungkin akan muntah dengan beberapa babak yang memaparkan mayat bergelimpangan yang tidak sempurna.

Positif vs Negatif

Positif

  • Kesan khas praktikal yang amat baik
  • Paparan kesungguhan Desmond Doss mengharukan.

Negatif

  • Lakonan pada separuh pertama filem ini tidak ubah seperti teater.
  • Vince Vaughn tidak sesuai menjadi Sarjan (mungkin kerana kami selalu melihatnya dalam filem komedi).
  • Jalan cerita yang mudah.

Kesimpulan

Khabarnya, filem ini menerima tepukan gemuruh para penonton semasa tayangan perdananya di Amerika, malah ada yang mencadangkan ia dicalonkan untuk anugerah Oscar. Namun, pada pendapat kami, walaupun filem ini sebuah filem yang dibikin dengan baik, terutamanya sinematografi perangnya, kami tidak rasakan ia di tahap yang boleh memenangi Oscar. Mungkin ia sesuai sebagai calon Oscar, namun kami rasakan pasti ada filem yang lebih baik dari yang ini.

Apa pun, kami merekomen anda menonton filem ini dengan amaran ia tidak sesuai ditonton remaja atau kanak-kanak di bawah 18 tahun, takut-takut mereka akan mengalami mimpi ngeri di malam hari setelah menonton kekejaman babak perangnya.

Penilaian: 7.5/10

IMDB

The post Hacksaw Ridge [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2kgH2Z6