Search This Blog

John Wick Chapter 2 [Review]

Kami gemari filem pertama John Wick lakonan Keanu Reeves kerana jalan ceritanya yang ringkas dan aksinya yang hebat. Dalam cerita itu, anjing kesayangannya telah dibunuh dan kereta kegemarannya dicuri. Oleh sebab itu beliau mengganas demi membalas dendam. Agak keterlaluan punca keganasannya, tetapi oleh sebab itulah filem tersebut digemari.

John Wick Chapter 2 [Review]

John Wick Chapter 2 sebenarnya menyambung terus kisah John Wick pertama. 15 minit pertama filem ini menunjukkan John Wick menyelesaikan hal-hal yang belum diselesaikan dalam filem pertama. Setelah itu, barulah kisah baharu bermula. Filem ini dari awal ini membuka rahsia di sebalik sejarah John Wick yang dahulunya sebahagian dari sebuah rangkaian pembunuh upahan yang bernaung dibawah naungan Continental.

Selepas menyelesaikan perkara yang belum diselesaikan dari filem pertama, John Wick didatangi Santino D’Antonio, seorang rakan ketika beliau masih bergiat menjadi pembunuh upahan. Rupa-rupanya John terhutang budi dengan Santino yang telah membantunya keluar dari pekerjaan pembunuh upahannya itu. Kini Santino ingin menuntut kembali hutang budinya.

Dalam peraturan di kalangan pembunuh upahan, jika terhutang budi seseorang itu wajib membayarnya. Pada mulanya John enggan, lalu Santino membakar rumahnya. Akhirnya beliau terpaksa akur kepada perminataan Santino di mana beliau mahu John membunuh kakaknya. Kakaknya, Gianna D’Antonio merupakan pewaris kepada kumpulan kongsi gelapnya dan Santino ingin mengambil alih takhta tersebut, seterusnya menjadi wakil kumpulannya ke The Table, iaitu seperti United Nations untuk semua pertubuhan kongsi gelap di New York.

Tanpa disangka, beliau pula menjadi mangsa Santino, di mana beliau menawarkan USD7 juta kepada pembunuh-pembunuh upahan sedunia untuk membunuh John Wick. Apakah yang akan terjadi kepada John Wick? Dapatkah beliau selamat dari dibunuh? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita Dan Lakonan

Pertama, mengenai jalan ceritanya. Jalan cerita John Wick Chapter 2 lebih kompleks berbanding filem pertama, namun masih lagi dalam kategori ringkas. Tiada putaran plot yang kompleks dan ia sangat mudah difahami. Menariknya, dalam filem ini, lebih banyak mengenai dunia kongsi gelap dan pembunuh upahan didedahkan menjadikan francais filem ini lebih menarik dari filem sebelumnya dan berpotensi menjadi jauh lebih menarik dalam filem berikutnya. Ya, dari kesudahan filem ini jelas sekali akan ada chapter 3.

Kedua, babak aksi. Satu perkataan sahaja dapat menggambarkan babak-babak aksinya, AWESOME! Mungkin tidak lama sebelum ini anda pernah menonton video yang tular di internet yang menunjukkan Keanu Reeves menjalani latihan menembak yang serious. Latihan ini digunakan sepenuhnya dalam filem Chapter 2 ini sekaligus membawanya ke satu tahap realism yang lebih tinggi.

Babak aksinya lebih mendebarkan berbanding filem pertama dan juga lebih ganas. Skil yang dipelajarinya dalam latihan menembak jelas sekali digunapakai sepenuhnya dalam filem ini sehingga menjadikan babak-babak menembaknya kelihatan seperti satu seni mempertahankan diri menggunakan senjata api. Anda tentu tidak akan kecewa (dan mungkin juga tidak puas-puas) menonton babak-babak menembak dalam filem ini.

Tetapi seperti biasa, lakonan Keanu Reeves dalam babak selain babak menembak dan berlawan sedikit kaku. Namun semua itu tidak penting kerana sebahagian besar filem ini terdiri daripada babak aksi. Mungkin 80%. Apatah lagi CGI kurang digunakan dalam filem ini, sebaliknya banyak kesan khas sebenar digunakan bagi mempertingkatkan realismnya.

Mungkin rungutan kami dalam filem ini adalah tiada langsung kelibat polis dalam filem (kecuali semasa rumah John Wick dibakar) ini walaupun jumlah orang yang dibunuh John Wick mungkin telah mencapai 100 orang. Babak tembak menembaknya mengingatkan kami kepada permainan arked “Time Crisis”. Sekali-sekala babak aksinya terhenti dengan mendadak kerana berada di kawasan larangan keganasan dan ia kelihatan agak lucu.

Positif vs Negatif

Positif

  • Babak tembak menembak/berlawan yang realistik, berseni dan mendebarkan.
  • Perkembangan jalan cerita pada kadar yang selesa dan mudah difahami.
  • Lagak ngeri yang kelihatan realistik dan menyakitkan.

Negatif

  • Kami tertanya-tanya, di mana pihak polis semasa semua pembunuhan ini berlaku?
  • Ganas.

Kesimpulan

Kekuatan filem John Wick Chapter 2 adalah babak menembak/berlawannya yang sememangnya lain dari yang lain. Ia lebih berseni dan realistik dari filem-filem lain. Anda tentu tidak berasa jemu menonton babak-babak menembaknya. Tidak sia-sia Keanu Reeves berlatih dengan gigih demi filem ini. Namun, pada satu tahap, kami ada juga terasa jumlah orang yang dibunuhnya sangat ramai dan betapa murahnya nilai nyawa manusia dalam filem ini. Kalau setiap orang yang dibunuh ada keluaraga, maka beratus keluarga hilang tempat bergantung kerana John Wick.

Apa pun, kami sangat rekomen anda menonton filem ini, kecuali jika anda tidak gemar melihat filem ganas yang dipenuhi aksi tembak-menembak dan berlawan.

Penilaian: 8/10

IMDB

The post John Wick Chapter 2 [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2ltcLp8