Search This Blog

Lion [Review]

Biasanya filem kisah benar kurang menarik dan terpaksa didramatisasikan bagi menjadikan filem itu lebih dramatik dan menarik minat penonton untuk terus menonton filem tersebut. Namun, filem Lion yang juga sebuah filem kisah benar agak berjaya dalam usaha mendramatisasikan kisahnya. Kami berpeluang menonton filem ini baru-baru ini dan berikut adalah pendapat kami mengenainya.

Lion

 Lion [Review]

Lion adalah kisah benar mengenai Saroo, seorang kanak-kanak yang hidup dalam keluarga miskin di India. Suatu hari beliau dengan degilnya telah mengikut abangnya, Guddu untuk mencari pekerjaan. Setelah seharian mencari kerja Saroo kepenatan dan abangnya meninggalkannya di stesen keretapi di pekan mereka dan menyuruh Saroo menunggunya di situ sementara dia mencari kerja.

Dalam keadaan mengantuk, Sarru tersedar di tengah malam dan mencari abangnya. Dia memasuki sebuah gerabak keretapi yang ditinggalkan di platform stesen berkenaan dan tanpa disedari beliau tertidur di situ. Setelah bangun, dia menyedari bahawa keretapi telah bergerak dan semua pintunya dikunci. Perjalanan mengambil masa 2 hari dan sejauh lebih 1200KM hingga sampai ke Calcutta. Dia kini keseorangan.

Setelah bergolak selama beberapa bulan seorang diri di bandar tersebut Saroo dimasukkan ke rumah anak-anak yatim yang tidak diurus dengan baik. Nasibnya baik kerana seorang pekerja sosial telah mendapatkan keluarga angkat dari Austaralia dan kemudian, pergilah beliau ke Australia untuk memulakan hidup baharu dengan keluarga angkatnya.

25 tahun kemudian beberapa peristiwa yang berlaku kepadanya telah mencetuskan keinginannya untuk mencari semula keluarganya. Oleh kerana semasa beliau hilang beliau masih kecil, tidak banyak maklumat yang beliau ketahui mengenai rumah asalnya. Mujurlah ketika itu Google melancarkan Google Earth. Dengan beberapa andaian dan pengiraan, beliau memulakan pencarian tersebut.

Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kesudahan filem ini.

Jalan Cerita dan Lakonan

Kisah Saroo ini pernah tular di laman sosial tidak lama dahulu, jadi, kisahnya bukanlah satu rahsia lagi. Ramai telah mengetahui kesudahan kisah ini, jadi kami rasakan tidak perlu mengulas jalan ceritanya. Walaubagaimanapun, perkara-perkara yang tidak diceritakan dalam media sosial menjadi kekuatan filem ini. Perkara-perkara seperti bagaimana keadaan Saroo semasa hidup keseorangan di jalanan Calcutta, sikap masyarakat terhadap kanak-kanak jalanan dan bagaimana Saroo yang telah dewasa mengingat kembali kampung halamannya dan memori ini membantunya mencarinya semula di Google Earth.

Perkara-perkara inilah yang telah mempamerkan kebolehan dan kehebatan pengarah dalam mengolah jalan ceritanya supaya menarik ditonton. Mengingatkan kami tentang filem Slumdog Millionaire yang turut dilakonkan Dev Patel. Separuh pertama filem ini menceritakan kisah Saroo semasa kecil dan kepayahan yang telah dilaluinya. Pengarah berjaya mengolahnya dengan baik untuk memberi kesan emosi kepada penonton. Begitu juga dengan bahagain penghujung filem ini di mana Saroo berjaya menemui semula keluarganya. Semuanya dibikin dengan baik. Cuma mungkin lakonan di bahagian kisahnya di India terdapat sedikit kekurangan. Tetapi tidaklah begitu ketara.

Positif vs Negatif

Positif

  • Olahan cerita yang baik
  • Lakonan pelakon utama yang berkesan
  • Jujur. Ia tidak menyorokkan kelemahan dalam masyarakat India dari segi penjagaan kanak-kanak terbiar.

Negatif

  • Sesetengah babak tidak mempunyai fungsi, ia seperti “babak membazir”.
  • Pelakon yang diupah tidak menyerupai langsung orang sebenar dari kisah tersebut.

Kesimpulan

Filem Lion merupakan antara filem kisah benar yang menarik pernah dibikin, walaupun jika dinilai dari segi komersial, ia tidaklah sehebat Slumdog Millionaire (bukan kisah benar). Ia tidaklah sempurna, namun ia berjaya menyampaikan kisah sedih Saroo dan kisah gembiranya bertemu semula keluarganya di India. Kami merekomen anda menonton filem ini walaupun anda telahpun mengetahui kisahnya di media sosial. Banyak perkara-perkara dan butiran kecil yang tidak disebut di media sosial yang memberi impak mendalam kepada penonton. Jangan lupa menonton klip pendek di penghujung filem ini yang menunjukkan Saroo yang sebenar bertemu ibu sebenarnya dan kemudian hadir bersama keluarga angkatnya juga melawat ibunya.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Lion [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2l7itye