Search This Blog

Zashchitniki / Guardians [Review]

Biasanya kita didedahkan dengan filem superhero Holywood yang gempak dan sekali-sekala kita juga didedahkan dengan klip-klip superhero Bollywood di Youtube dan Facebook. Tetapi jarang sekali kita mendengar mengenai filem superhero Russia. Namun itu berubah dengan kehadiran filem Guardians atau dalam bahasa Russia, Zashchitniki.

Contoh “pose” yang akan anda dapat lihat dengan banyaknya dalam filem ini.

Zashchitniki / Guardians [Review]

Guardians mengisahkan projek Patriot yang dijalankan pihak USSR selepas perang dunia kedua. Projek itu menghasilkan manusia-manusia super yang bukan sahaja mempunyai kuasa luarbiasa, malah turut tidak dimamah usia. Saintis yang mengetuai projek ini, August Kuratov, telah mengenakan formula manusia super kepada dirinya sebelum melarikan diri apabila mendengan projek itu akan ditutup.

40 tahun kemudian pada masa kini, August Kuratov kembali dengan kuasa mengawal sebarang jentera atau robot menggunakan kuasa luarbiasanya dan mewujudkan askar klon dalam usahanya memusnahkan dan menguasai Russia. Sehubungan itu pihak tentera Rusia di bawah seliaan Maj. Elena Larina mencari semula subjek-subjek eksperimen projek Patriot dalam usaha mereka mewujudkan kumpulan manusia super bagi menewaskan August Kuratov.

Mampukah mereka menewaskan Kuratov? Segalanya akan terjawab dengan menonton filem ini di pawagam.

Jalan Cerita dan Lakonan

Filem Guardians ini kami percaya merupakan filem superhero pertama yang menembusi pasaran antarabangsa (mungkin juga terdapat yang lain yang kami tidak ketahui) dan trailernya yang ditonton buat pertama kali beberapa bulan lalu memang menarik minat kami untuk menonton filem ini. Namun, walaupun usaha pihak Russia harus dipuji, sejak awal filem ini dilihat bahawa ia tidaklah setanding filem superhero Holywood.

Jalan ceritanya telalu tipikal bagi sesebuah filem superhero. Terlalu ringkas bagi penonton filem tegar seperti kami. Jika hendak dibandingkan, gaya dan struktur jalan ceritanya mempunyai persaman dengan filem-filem Spiderman lakonan Toby Maguire yang mana terlalu idealistik dan mengikut gaya komik. Itu sebabnya mengapa saya secara peribadi kurang gemar menonton filem superhero, sehingga muncul filem Batman arahan Christopher Nolan yang membawa satu perubahan besar-besaran kepada cara penceritaan filem-filem superhero.

Tetapi, dalam kes Guardians ini, mungkin ia boleh dimaafkan memandangkan ia filem superhero pertama Rusia yang sampai ke peringkat antarabangsa. Apa pun, potensinya tetap dapat dilihat dan sebuah sekuel dapat dijangkakan berdasarkan babak tersorok yang ditampilkan selepas babak kredit.

Memandangkan filem ini dialihbahasa ke dalam bahasa Inggeris, kita tidak dapat menilai sepenuhnya mutu lakonan pelakon-pelakon Rusia ini, tetapi satu yang pasti ialah mereka suka “pose” dalam posisi-posisi superhero, seolah-olah ada orang yang mahu mengambil foto mereka dan memuat naik ke Instagram. Terdapat banyak babak sebegini, mengingatkan kami kepada Power Rangers, tetapi versi lebih matang. Tontonlah filem ini dan anda akan faham maksud kami.

Kesan Khas

Harus diberi pujian adalah kualiti CGI yang digunapakai setanding dengan filem Holywood. Rekabentuk robot perang yang ditampilkan dalam filem ini juga sangat baik dan mengujakan. Dari segi kesan khas sememangnya anda tidak akan dihampakan walaupun dari pandangan seorang rakyat Malaysia, filem Russia tidak mempunyai sebarang track record menggunakan dengan CGI yang diketahui sebelum ini.

Positif dan Negatif

Positif

  • Kesan khas yang baik
  • Aksi mendebarkan
  • Jalan cerita yang OK dengan mengambil kira ia filem superhero Rusia pertama di peringkat antarabangsa

Negatif

  • Secara objektif, jalan ceritanya tidaklah begitu memberangsangkan berbanding filem superhero Holywood.
  • Lakonan yang ketara berlakon
  • Keperibadian karektor-karektor tidak begitu menonjol.

Kesimpulan

Filem Guardians adalah usaha yang baik di pihak pembikin filem Rusia. Walaupun ia belum setanding filem superhero Holywood, kami lihat ia mempunyai potensi. Watak-watak yang ditampilkan telah dibuat baik, namun keperibadian watak-watak belum begitu menyerlah. Apa yang baiknya adalah jalan ceritanya telahpun diatur untuk sebuah sequel. Jangan lupa menonton babak tersorok di akhir babak kredit. Kami menunggu filem kedua dibikin, tetapi jika penambahbaikan tidak dilihat dalam filem tersebut, bermakna potensinya tidak dimanfaatkan sepenuhnya dan kami tidak akan menonton lagi sequel selepasnya.

Kami tidak merekomen filem ini, namun jika anda mahu melihat potensi filem Russia, tontonlah filem ini dengan mendapatkan tiket early bird yang lebih murah, jika boleh.

Penilaian: 5.5/10

IMDB

The post Zashchitniki / Guardians [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2lG0rl9