Search This Blog

Kanang Anak Langkau The Iban Warrior [Review]

Setelah menonton trailer bagi filem Kanang Anak Langkau tempoh hari, kami terasa teruja dengannya dan dengan rasa patriotik mengambil keputusan menonton filem tersebut. Malangnya filem ini tidak banyak ditayangkan di pawagam dan kami terpaksa memilih masa tayangan yang agak ganjil (pukul 4 petang), namun, tidak mengapa, yang penting kami dapat menontonnya.

Kanang Anak Langkau The Iban Warrior [Review]

Kanang Anak Langkau The Iban Warrior merupakan filem kisah benar tentang kehidupan mendiang Temenggong Datuk Kanang anak Langkau (1945 – 2013) yang merupakan seorang wira negara yang mengorbankan sebahagian besar kehidupannya melawan pihak komunis dalam era darurat 1970an. Beliau terkenal dengan kata-kata “agi idup agi ngelaban” yang bermaksud selagi nyawa dikandung badan, pasti akan melawan.

Filem ini menceritakan kisah hidupnya sejak beliau mula menyertai perkhidmatan Sarawak Rangers sebelum Sarawak menyertai Malaysia, sehingga beliau cedera parah ketika melawan komunis. Dibikin dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, filem ini menampilkan prop seperti senjata api sebenar yang sukar diperolehi dalam filem-filem aksi arus perdana.

Jalan Cerita dan Lakonan

Malangnya kami perlu mulakan dengan berita buruk dahulu. Bukan tujuan kami untuk mengutuk, kami faham kesukaran untuk membikin filem aksi yang sebahagian besarnya dirakam di dalam hutan, cuma kami perlu telus supaya industri filem tempatan dapat diperbaiki. Teguran kami juga bukan terhadap wira negara, sebaliknya terhadap pembikin filem.

Watak utama Kanang anak Langkau dimainkan oleh anaknya sendiri, Langgi anak Kanang dan oleh kerana beliau bukanlah pelakon professional, maka lakonannya mungkin kurang memberangsangkan. Kami faham, penampilannya adalah sebagai penghormatan kepada mendiang bapanya, jadi kami tidak mempunyai banyak komen di situ. Lagipun, pelakon sokongan seperti Ady Putra dan Johan As’ari sedikit sebanyak membantu dalam menghidupkan filem ini. Tetapi lakonan pelakon yang memainkan watak pegawai tentera British mungkin lebih teruk dan kurang memberangsangkan.

Susunan jalan ceritanya juga agak kelam-kabut dan kadang-kala sukar difahami. Mungkin ia boleh diperbaiki dengan penggunaan monolog atau voice over untuk menerangkan kisah yang hendak disampaikan dalam babak-babak tersebut. Dengan itu, mungkin penyampaian filem akan menjadi lebih berkesan dan golongan muda yang menonton filem ini dapat menghargai jasa-jasa yang ditaburkan pahlawan negara.

Terdapat juga babak-babak yang diulang-ulang, terutamanya dalam babak-babak tembak menembak. Mungkin hal ini adalah untuk memanjangkan lagi babak tersebut atau mungkin syot tersebut nampak sama tetapi sebenarnya berlainan, kami punkurang pasti.

Kesan Khas

Kelebihan filem ini terdapat pada props yang digunakan. Dengan sokongan pihak ATM, filem ini dibenarkan menggunapakai helikopter dan senjata api sebenar dan in memberi kesan yang besar dalam realism filem ini. Ia tidaklah menggunakan kesan khas dalam babak tembak-menembak seperti dalam filem aksi arus perdana Malaysia, sebaliknya menggunakan senjata sebenar bersama apa kami percayai peluru kosong (blanks). Ini memberikan kesan bunyi dan visual yang sebenar dalam babak-babak tembak menembak.

Kesan darah dan kecederaan juga patut diberi pujian. Para pekar make-up telah berjaya menampilkan kesan kecederaan seperti kaki putus dan pecah perut dengan berkesan sekali. Walaupun di pihak komunis kesan khasnya senjata dan kecederaannya agak kurang meyakinkan. Apa pun, usaha yang ditunjukkan boleh diberi pujian.

Positif vs Negatif

Positif

  • Kesan khas dan props yang baik hasil kerjasama dengan ATM

Negatif

  • Jalan cerita yang kurang teratur
  • Lakonan kurang memberangsangkan

Kesimpulan

Pembikinan filem Kanang anak Langkau sepatutnya menjadi peluang kepada pembikin filem tempatan untuk memperkenalkan wira-wira negara kepada anak mudah yang tidak mengenali mereka, tetapi kali ini penyampaian ceritanya kurang berkesan, walaupun ada potensi untuk dibikin dengan lebih baik. Kami sedar filem patriotik seperti ini sukar untuk dirakamkan dan pasaran untuknya sangat kecil dan kami pasti jika bukan sdr Bade Hj Azmi yang membikin, memang sukar untuk membayangkan  pembikin lain (yang lebih cenderung kepada keuntungan) untuk membikin filem ini.

Tidak dapat dinafikan terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan filem ini namun, tidak dapat dinafikan juga usaha yang banyak telah dijalankan dalam pembikinan filem ini. Dari segi nilai komersial, mungkin filem ini tidak kelihatan begitu menarik, tetapi jika anda ingin mengetahui latarbelakang seorang pahlawan negara, tontonlah filem ini sebelum ia hilang dari pawagam. Buat masa sekarang hanya segelintir sahaja pawagam yang menyiarkannya dan ia semakin berkurangan setiap hari.

Penilaian: 5/10

IMDB

The post Kanang Anak Langkau The Iban Warrior [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2nZzMSL