Search This Blog

Kong Skull Island [Review]

Trailer filem Kong Skull Island yang diterbitkan tidak lama sebelum ini menggambarkan sebuah filem yang penuh aksi dan drama. Tetapi adakah trailer ini menepati realiti filem sebenar? Terima kasih kepada Yes 4G kerana menaja tiket premire kami untuk menonton filem Kong Skull Island membolehkan kami berkongsi pendapat mengenai filem ini.

Kong Skull Island [Review]

Filem Kong Skull Island mengisahkan pertubuhan Monarch yang mengkaji dan mendedahkan semua perkara mengenai raksasa besar. Seorang saintis yang berkaitan dengan pertubuhan itu tampil dengan teori bahawa perut bumi sebenarnya terdapat ruang kosong dan dalam ruang kosong itu terdapat ekosistem tertentu yang menempatkan makhluk-makhluk tertentu.

Dalam era 70an, Amerika (dan Russia) telah mula mengguna satelit untuk mengintip atau mengambil gambar kawasan tertentu di muka bumi. Monarch telah mendapat akses kepada satelit tersebut untuk mengambil gambar Skull Island, sebuah pulau misteri yang dipercayai mereka menjadi tempat tinggal makhluk-makhluk gergasi. Mereka ingin menguji teori mereka.

Untuk menjalakan kajian mereka, mereka memerlukan bantuan tentera berhelikopter. Memandangkan perang Vietnam baru sahaja tamat, banyak unit-unit tentera berhelikopter telah bebas tanpa sebarang misi. Satu unit berhelikopter di bawah Kolonel Preston Packard ditugaskan untuk mengiringi anggota Monarch dalam kajian mereka di Skull Island.

Setibanya mereka di sana dan memulakan kajian, mereka “diperkenalkan” kepada Kong. Apakah yang akan terjadi kepada mereka dan siapakah sebenarnya Kong? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

 

Jalan Cerita dan Lakonan

Sebaik sahaja filem ini bermula, ia tidak membazir masa untuk mempersembahkan isi pentingnya. Malah kami tidak menyangka akan diperkenalkan kepada Kong terlalu awal dalam filem. Dalam filem King Kong sebelum ini dan filem-filem raksasa lain, pengenalan kepada raksasa akan dimulai dengan satu babak misteri yang panjang di mana penonton akan diperkenalkan sedikit demi sedikit, tanda-tanda mengenai raksasa tersebut sebelum ia membuat kemunculan.

Dalam filem ini sebaliknya pula berlaku. Awal lagi Kong membuat kemunculan secara drastik dan tidak dijangka. Ini sememangnya suatu yang menarik, kerana penonton umumnya telah bosan dengan gaya pengenalan raksasa klasik dalam filem-filem seumpama ini. Perubahan ini sememangnya dialu-alukan.

Walaubagaimanapun, babak-babak yang mengikutinya menarik, namun susunan dan pengolahan jalan ceritanya kurang memberangsangkan dan agak tipikal untuk sebuah filem raksasa di bumi asing. Kadang-kala sesetengah watak mati dengan sia-sia tanpa makna. Kematian mereka hanya untuk menunjukkan Skull Island itu berbahaya.

Suatu perkara yang pasti format filem ini akan mengingatkan anda kepada filem Godzilla versi Holywood yang ditayangkan beberapa tahun lalu.

Mungkin yang paling mengecewakan ialah pengurusan karakter di mana tiada satu pun karakternya yang menonjol. Selain King Kong, sukar untuk mengesahkan dengan pasti siapakah hero sebenar dalam filem ini. Sebagai contoh, kami mengharapkan Tom Hiddleston menjadi hero yang menyelamatkan semua dalam keadaan genting. Namun dalam realitinya, semua watak utamanya seperti sama rata, tiada seorang pun yang mendominasi dalam sebarang situasi. Tetapi, jika anda menonton babak tersembunyi selepas babak kredit, beberapa teori akan timbul mengenai mengapa ia begitu. Kami tak mahu mendedahkannya di sini kerana ia akan menjadi spoiler, tetapi jika anda ingin tahu, tanyalah kami di laman FB kami. Sebenarnya, kami terlepas babak berkenaan, tetapi mendengar penerangannya di laman Youtube oleh mereka yang telah menontonnya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Tidak membuang masa memperkenalkan King Kong dan masuk ke babak aksi.
  • Tidak lari dari fakta bahawa Kong adalah raksasa yang baik
  • Rekaan ekosistem Skull Island yang menarik dan kreatif

Negatif

  • Tiada kekuatan pada watak-wataknya.
  • Format jalan cerita seakan Godzilla
  • Lakonan juga kurang memberangsangkan

Kesimpulan

Filem Kong Skull Island bagi kami tidak berjaya menepati hype yang dihasilkan trailernya. Sungguhpun demikian, kami masih merekomen anda menonton filem ini walaupun filem ini pada zahirnya kurang mendebarkan berbanding filem superhero Marvel ataupun DC Comics. Ini kerana filem ini mempunyai potensi untuk menjadi satu francais yang menarik.

[Spoiler] Setelah mengetahui mengenai babak tersembunyi di akhir babak kredit, kami faham mengapa filem ini dibikin sebegitu rupa. Filem ini adalah sebahagian dari satu “universe” filem baharu yang melibatkan raksasa, seakan Marvel Universe dan DC Universe. Samada universe ini akan berjaya, bergantung kepada siapa yang disertakan di dalamnya. Bercakap mengenai universe baharu ini, banyak persoalan timbul dan banyak kemungkinan boleh berlaku. Kami ada memikirkan beberapa kemungkinan dan seperti yang kami katakan, tanyalah mengenainya di laman FB kami. [Spoiler Tamat]

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Kong Skull Island [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2mDIzsE