Search This Blog

Life [Review]

Teringat ketika kecil, ketika filem-filem seram sci-fi seperti Aliens dan Predator ditayangkan di kaca TV, dan ketika itu klasifikasi kandungan siaran TV masih belum dilaksanakan, jadi kami yang hanya berusia kurang 12 tahun turut menonton filem-filem tersebut bersama keluarga. Seramnya filem tersebut hingga terbawa ke dalam mimpi. Filem Life merupakan filem seram sci-fi terbaharu ditayangkan di pawagam dan ia mengimbau kembali zaman kecil kami, semasa menonton filem seram klasik yang disebut itu.

Life [Review]

Life mengisahkan sekumpulan ahli sains di stesen angkasa antarabangasa (ISS) yang bertugas untuk mendapatkan satu satelit yang membawa sampel tanah dari planet Marikh. Dalam sampel tanah itu mengandungi satu sel organisma bersel tunggal yang dikatakan hidup atau berhibernasi di planet Marikh.

Kumpulan sains tersebut cuba menghidupkan kembali sel tersebut dengan harapan mengkajinya. Namun semuanya tidak berjalan seperti dirancang dan kini mereka dalam masalah besar. Bagaimana mereka akan menyelesaikan masalah tersebut? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita dan Lakonan

Jika anda perasan, bahagian pengenalan filem ini agak pendek. Ini kerana sebahagian besar dari “keseronokan” menonton filem ini adalah merungkai apa yang sedang dan akan berlaku dalam jalan ceritanya. Oleh itu, demi untuk tidak merosakkan pengalaman menonton anda, kami tidak mendedahkan banyak mengenai filem ini dalam bahagian pengenalan.

Jika anda menonton filem Aliens yang pertama, pengalaman menonton filem ini adalah lebih kurang seperti filem tersebut. Ia bermula dengan satu penemuan baharu yang menakjubkan, kemudian bertukar menjadi mimpi buruk. Filem ini memaparkan permulaan yang berasaskan sains, aksi/keseraman tidak henti dan pengakhiran yang tidak dijangka (kami boleh jangka kesudahannya, mungkin kerana kami terlalu banyak menonton filem sci-fi. Tetapi penonton biasa mungkin akan menerima kejutan).

Pembikin filem ini bijak menggunakan sains untuk menjustifikasikan kewujudan makhluk asing tersebut, namun pada akhirnya teori-teori sains itu tidak memainkan banyak peranan dalam situasi yang bercelaru akibat kehadiran makhluk tersebut. Babak aksinya sememangnya mendebarkan dan akan membuatkan anda tidak senang duduk dan kebolehan membunuh makhluk tersebut agak menakutkan.

Tetapi, bagi saya secara peribadi, saya tidak sukakan makhluk asing yang dilihat terlalu kebal dan tidak boleh dibunuh seperti dipaparkan dalam filem ini. Walaubagaimanapun, makhluk asing itu kelihatan kebal bukan kerana ia tidak boleh dibunuh, sebaliknya pihak pasukan sains itu tidak mempunyai sebarang peralatan untuk melawan makhluk itu selain peralatan makmal.

Lakonan para pelakonnya amat berkesan dan personaliti setiap ahli pasukan sains yang mempunyai kepakaran berbeza terserlah. Jika anda peminat Jake Gyllenhaal, anda tentu perasan wataknya konsisten dengan watak-watak filem-filem yang pernah beliau lakonkan yang kebanyakannya watak seorang yang misteri dan menyerlah dalam situasi tertentu sahaja.

Positif vs Negatif

Positif

  • Menggunakan asas sains sebagai penambah keseraman
  • Babak aksi dan seram yang mendebarkan tanpa henti
  • Kesudahan yang tidak dijangka. Jika anda boleh jangka, senyuman tentu akan terukir di bibir anda.

Negatif

  • Makhluk asing yang terlampau kebal bukan citarasa saya.
  • Orang yang tidak anda jangka akan mati paling awal.

Kesimpulan

Jika anda mencari filem aksi sci-fi seram, filem Life sememangnya perlu berada di dalam senarai tontonan filem anda. Ia membawa perasaan yang sama seperti menonton filem Aliens 1 buat pertama kali. Cuma secara peribadi makhluk asing ini terlalu kebal dan sukar dibunuh menyebabkan elemen realism terjejas.

Walaubagaimanapun, dari segi jalan cerita dan aksi/keseraman, ia berjaya menarik perhatian penonton sehingga ke akhir filem ini. Kami rekomen anda menonton filem ini bersama rakan dengan membawa pop corn sekali. Ia pasti tidak menghampakan (kecuali jika anda bukan peminat filem seram).

Penilaian: 8/10

IMDB

The post Life [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2n88TqE