Search This Blog

Guardians of the Galaxy Vol 2 [Review]

Kami kira ramai antara anda tertunggu-tunggu filem sekuel Guardians of the Galaxy Vol 2 untuk ditayangkan dan kini ia telah mula ditayangkan tentu anda tidak sabar menontonnya. Kami sempat menontonnya hari ini dan kini bolehlah anda mendapat gambaran tentang filem ini sebelum menontonnya hujung minggu ini.

Guardians of the Galaxy Vol 2

Guardians of the Galaxy Vol 2 [Review]

Guardians of the Galaxy Vol 2 merupakan sequel kepada filem pertama Guardians of the Galaxy Vol 2 dan dalam filem ini, secara keseluruhannya ia akan lebih mendalami watak utamanya Peter Quill aka Star-Lord dan sejarah di sebalik beliau dan bapanya.

Filem ini bermula dengan kumpulan Guardians diupah oleh puak Sovereign untuk mempertahankan sumber tenaga di planet mereka yang dinamakan “Bateri” dari dicuri oleh raksasa ganas. Namun, tanpa pengetahuan semua, Rocket pula telah mencuri beberapa bateri dari planet tersebut menyebabkan Guardians dikejar dan sebelum ditembak jatuh ke sebuah planet neutral oleh dron milik puak Sovereign, mereka diselamatkan oleh sebuah kapal angkasa dipandu orang aneh yang memusnahkan semua dron tersebut. Orang itu rupa-rupanya bapa kepada Peter Quill bernama Ego.

Bapanya menerangkan latarbelakang beliau dan juga sejarahnya dengan ibu Peter. Sejak itu ego berjanji mengajarnya untuk mencapai potensi sebenarnya. Namun, apakah motif sebenarnya memunculkan diri hanya setelah sekian lama? Ketahui jawapannya dengan menonton filem ini.

Jalan Cerita dan Lakonan

Masalah dengan filem-filem adiwira bajet besar dan bersiri seperti Guardians of the Galaxy ialah, apabila filem pertama berjaya menambat hati peminat dengan aksi-aksi hebat dan gelagat yang lucu, penonton akan meletakkan satu jangkaan tertentu terhadap filem sekuelnya. Filem ini merupakan salah satu filem tersebut. Kami bukan mahu mengatakan filem ini tidak bagus, malah aksi dan lawak jenakanya bakal menghiburkan anda sepanjang filem ini. Namun itu jugalah masalahnya, ia merupakan apa yang kami jangkakan; aksi yang mendebarkan dan lawak jenaka bersahaja. Tetapi dari segi jalan cerita, plotnya dan tahap kehebatannya, ia tidak menampilkan sesuatu yang luar dari jangkaan.

Tidak dinafikan, ia menampilkan satu elemen kekeluargaan yang sedikit menyentuh perasaan, namun secara keseluruhannya, ia tidak menampilkan kelainan yang berada di luar jangkaan penonton. Ia sangat menghiburkan dan bakal membuatkan anda bergelak ketawa, namun hanya setakat itu sahaja.

Lakonan watak-wataknya kali ini berjaya memaparkan lebih jelas karakter setiap watak itu. Dengan kata lain, watak-watknya kali ini lebih berkarakter dan penonton akan terasa lebih dekat dengan watak-watak, terutamanya watak Drax yang lebih lucu dan ceria berbanding dahulu.

Positif vs Negatif

Positif

  • Sememangnya lucu, beraksi dan menghiburkan
  • Seperti tradisi dalam filem Guardians, soundtracknya sememangnya terbaik.
  • Secara keseluruhannya, filem ini lebih “berperasaan”

Negatif

  • Jalan cerita yang OK sahaja

Kesimpulan

Filem Guardians of the Galaxy Vol 2 merupakan sebuah filem yang penuh dengan aksi mendebarkan, lawak jenaka bersahaja dan sememangnya dapat menghiburkan sesiapa sahaja yang menontonnya. Namun, jika anda mengharapkan lebih dari itu, anda mungkin akan hampa. Walaupun ia menampilkan 5 babak tersembunyi semasa bahagian kredit dimainkan dan menunjukkan beberapa kemungkinan untuk filem-filem akan datang, ia belum memperlihatkan sebarang kemungkinan pertembungan dengan watak-watak lain dari Marvel Comics. Selamat terhibur.

Penilaian: 8/10

IMDB

The post Guardians of the Galaxy Vol 2 [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2qaQLSL

Fabricated City [Review]

Baru-baru ini GSC mengadakan acara bertemu peminat untuk pelakon utama filem Fabricated City, Ji Chang Wook, sungguhpun admin tidak mengenali beliau, ramai peminat perempuan tergila-gilakannya membuatkan kami tertanya-tanya siapakah pelakon ini? Apa pun, filem ini mula ditayangkan di pawagam semalam dan kami sempat menontonnya untuk memberikan komen mengenai filem aksi Korea Selatan ini.

Fabricated City

Fabricated City [Review]

Fabricated City merupakan sebuah filem aksi/penyiasatan Korea Selatan mengisahkan seorang gamer bernama Kwon Yoo yang mempunyai pasukan permainan online bernama Resurrection di mana tidak seorang antara mereka pernah berjumpa secara dunia nyata, malah tidak mengetahui nama sebenar sesiapa dalam pasukan itu pun.

Namun sifat kepimpinan Kwon Yoo menyebabkan ahli-ahli pasukannya menghormati dan memandang tinggi kepadanya. Satu malam, beliau membantu seseorang perempuan dengan memulangkan telefon pintar yang tertinggal di kafe siber. Beliau kemudian pulang ke rumah. Apabila beliau bangun, beliau dikejutkan apabila ditangkap polis dan dituduh merogol dam membunuh perempuan bawah umur yang dibantunya malam tadi.

Berikutan bukiti kukuh yang secara “majik” berada di tempat kejadian, beliau didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Tidak cukup dengan itu, ibunya, satu-satunya orang yang percaya kepadanya, mati kerana “membunuh diri”. Berikutan itu, beliau berazam untuk mencari orang sebenar di sebalik konspirasi ini.

Untuk mengetahui apa yang berlaku seterusnya, tontonlah filem ini di pawagam.

Jalan Cerita dan Lakonan

Filem ini bermula dengan bergaya sekali dalam pengenalannya kepada Kwon Yoo dan pasukan permainan video online-nya. Kemudian ia tidak membuang masa untuk memulakan plotnya dengan begitu pantas. Walaupun penonton mengetahui bahawa beliau menjadi mangsa konspirasi, penonton akan tertanya-tanya apa yang berlaku dan siapa yang bertanggungjawab.

Jawapan kepada persoalan tersebut didedahkan secara perlahan-lahan dan apa yang didedahkan tidak mungkin dijangka oleh penonton. Dengan kata lain, walaupun idea pembunuhan berkonspirasi ini bukan idea yang baru, pelaksanaan ideanya murupakan satu idea unik dan jika difikirkan, jalan cerita sebegini hanya boleh dilakukan dalam filem Korea.

Walaupun secara keseluruhannya filem ini ialah filem aksi dan penyiasatan di mana anda perlu memberi perhatian kepada perkembangan jalan ceritanya untuk mengetahui konspirasi yang terjadi, ia juga diselitkan dengan lawak jenaka spontan yang memang tidak dijangka. Di samping itu, babak aksinya juga boleh dibandingkan dengan filem Fast and Furious 8.

Lakonan pelakon dalam filem ini juga harus diberi pujian dengan setiap watak mempunyai identiti unik (dan pelik) mereka sendiri. Babak aksi juga dilaksanakan pelakon dengan baik sekali.

Dengan kata lain, filem ini mempunyai adunan misteri, aksi dan lawak jenaka yang pasti menghiburkan penonton.

Positif vs Negatif

Positif

  • Idea plot yang agak unik.
  • Adunan aksi, misteri dan lawak jenaka yang menjadi.
  • Secara spesifik, lawak jenakanya memang tidak dijangka dan menjadikannya 2 kali lebih lucu dan menghiburkan.
  • Babak aksi bajet besar. Sejumlah besar kereta dihancurkan dalam babak aksi kejar-mengejar.

Negatif

  • Sesetengah babak-babak agak simplistik. Contoh, babak di mana hero melepaskan diri dari penjara.
  • Banyak mencarut dalam bahasa Korea dan tidak ditapis

Kesimpulan

Filem Fabricated City sebuah filem Korea yang sememangnya menghiburkan. Ia agak berat di bahagian penyiasatannya. Tetapi jika anda biasa menonton siri TV Korea Cheo Yeong Paranormal Detective di Astro KIX, tahap penyiasatannya lebih kurang di tahap itu. Ia bukanlah filem santai, tetapi tidaklah terlalu berat. Apa pun, peminat filem Korea dan juga peminat Ji Chang-wook pasti tidak akan hampa.

Penilaian: 7.5/10

IMDB

The post Fabricated City [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2ob0gRQ

Fast and Furious 8 [Review]

Filem yang ditunggu-tunggu ramai telahpun mula ditayangkan di pawagam dan bagi anda yang menjadi peminat setia francais filem Fast and Furious tentu tidak sabar menonton Fast and Furious 8 atau juga dikenali sebagai “Fate of the Furious”. Kami berkesempatan menonton filem ini dan berikut adalah pendapat kami mengenai filem tersebut.

Fast and Furious 8

Fast and Furious 8 [Review]

Bagi anda yang telah menonton trailer filem Fast And Furious 8, tentu boleh mengagak jalan ceritanya secara asas. Ia berkisah tentang Dominic Toretto telah dipaksa untuk bekerjasama dengan penjenayah siber bernama Cipher yang berupaya menggodam hampir apa saja yang menggunkan sistem komputer dan dihubungkan dengan internet.

Untuk menghentikan rancangan Cipher, Mr Nobody mengumpul semula pasukan Torreto untuk membantu menangkap Cipher. Pasukan itu juga disertai Cobb (lakonan The Rock) dan Deckard (watak jahat dalam filem Fast and Furious 7), walaupun kedua-dua mereka saling berbalah.

Semua ahli pasukan tertanya-tanya mengapa Toretto berpaling tadah dan bekerjasama dengan Cipher dan mengesyaki Sipher mengugutnya dengan sesuatu. Apakah sesuatu itu? Untuk mengetahui sesuatu itu, tontonlah filem ini di pawagam berhampiran anda!

Jalan Cerita dan Lakonan

Secara keseluruhannya, jalan cerita bagi Fast and Furious 8 adalah antara yang terbaik dalam francais filem ini, namun tidaklah ke tahap layak memenangi anugerah Oscar. Jalan ceritanya kali ini lebih sofistiketed dan tidaklah direct to the point. Penonton akan terasa terhibur dengan jalan cerita filem ini yang bukan aksi kosong semata-mata.

Bercakap mengenai babak aksi, filem ini menampilkan babak-babak aksi yang mendebarkan dan sudah semestinya tidak mematuhi undang-undang fizik (jangan tiru aksi-aksi tersebut di rumah). Babak-babak aksinya juga cukup panjang dan diselangi dengan lawak jenaka bersahaja membuatakan anda tentu berpuas hati menontonnya.

Jalan ceritanya juga melibatkan beberapa watak dari filem yang lalu, jadi ada juga baiknya anda menonton semula Fast and Furious 6 dan 7 untuk mengingat kembali jalan ceritanya. Walaubagaimanapun, jika anda tidak menonton semula, filem Furious 8 akan memberikan anda peringatan tentang watak-watak yang kembali dan kedudukan mereka dalam jalan cerita filem ini, jadi pastikan anda mendengar dialog mereka dengan teliti. Jika anda mengikuti siri filem yang terdahulu, anda akan terkejut dengan siapa yang akan membuat kemunculan dalam filem ini.

Penyertaan watak-watak baharu dan persaraan watak terkini juga akan disentuh dalam filem ini. Ini sekaligus membuka lebih banyak kemungkinan untuk filem-filem akan datang. Adakah pasukan baharu akan terbentuk? Adakah tanggungjawab pasukan diserahkan kepada generasi seterusnya? Inilah persoalan yang akan ditanya selepas menonton filem ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Aksi dan lawak jenaka yang memuaskan hati penonton.
  • Jalan cerita yang lebih sofistiketed dan berkesinambungan dari jalan cerita dari filem-filem terdahulu.
  • Kemunculan watak-watak baru dan lama yang mengejutkan

Negatif

  • Masih lagi menggunakan formula yang sama, namun bergerak ke arah tema kekeluargaan, memandangkan kebanyakan watak sudah mula berkeluarga.
  • Jalan cerita belum cukup sofistiketed untuk mereka yang gemarkan filem yang lebih sofistiketed

Kesimpulan

Filem Fast and Furious 8 merupakan antara filem francais itu yang paling menghiburkan. Kami sangat yakin anda tentu terhibur menonton filem ini. Kami tidak nampak banyak sangat kelemahan besar dalam filem ini selain aksi tidak mematuhi hukum fizik dan beberapa perkara kecil. Sememangnya dari segi nilai hiburan, ia mempunyai markah yang tinggi, cuma dari segi jalan cerita dan sofistikasi, mungkin tidak. Oleh kerana itu kami yakin ia akan mengaut keuntungan yang banyak di box office.

AMARAN: Jangan bawa kanak-kanak di bawah 18 tahun, filem ini berklasifikasi 18SG. Kanak-kanak akan dihalang dari masuk pawagam (kawan admin dah terkena, anak tak boleh masuk, jadi isteri jaga anak, suami tengok berseorangan)

Penilaian: 7.5/10

IMDB

The post Fast and Furious 8 [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2o5MsDa

Ghost In The Shell [Review]

Kami bukanlah pengikut anime Ghost In The Shell, tetapi kami sememangnya mengetahui bahawa ia sebuah siri anime yang popular. Kini ia telah difilemkan sebagai sebuah filem live action walaupun menerima kritikan kerana memilih Scarlett Johansson (pelakon kulit putih) sebagai watak utamanya, Major. Apa pun, kami sempat menonton filem ini dan berikut adalah pendapat kami mengenainya.

Ghost In The Shell [Review]

Kisah Ghost In The Shell berlangsung di masa hadapan di mana teknologi sibernetik telah mencapai tahap yang maju sehinggakan sesiapa boleh mendapatkan mata, tangan, kaki atau sebarang anggota badan yang telah ditambahbaik secara sibernetik.

Matalamat terakhirnya adalah untuk memindahkan otak manusia ke dalam badan sibernetik sekaligus mengehilangkan segala kelemahan fizikal yang dikaitkan dengan badan manusia tetapi mengekalkan kelebihan mausia dari segi kebijaksanaan otak. Inilah tujuan Major diwujudkan; sebagai eksperimen untuk tujuan tersebut.

Kisahnya bermula dengan kemunculan seorang penggodam yang menggodam dan membunuh saintis dan pihak pengurusan yang berkaitan dengan Hanka Robotics, syarikat yang bertanggungjawab membangunkan teknologi sibernetik yang digunakan oleh konsumer di seluruh dunia. Major dan pasukannya dipertanggungjawabkan untuk mencari dan menangkap orang yang bertanggungjawab. Adakah beliau akan berjaya? Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita dan Lakonan

Memandangkan kami tidak menonton siri anime Ghost in the Shell sebelum ini, maka kami tidak mempunyai sebarang persepsi mengenai filem ini. Jadi kami bebas dari sebarang perbandingan antara siri anime dengan filem ini.

Dari segi jalan ceritanya, secara keseluruhannya, jalan ceritanya mudah difahami, tidak terlalu berat dan pada masa yang sama tidak terlalu ringkas. Malah, kami yang tidak pernah menonton siri anime mudah memahami plot dan jalan ceritanya tanpa sebarang masalah.

Masalahnya mungkin kerana jalan ceritanya boleh dijangka, walaupun anda tidak pernah menonton anime tersebut. Dengan kata lain, jalan ceritanya kurang sofistiketed bagi sesetengah orang. Namun ia masih menghiburkan dan tidak bosan.

Babak-babak aksinya, walaupun pendek, cukup menarik untuk menghiburkan anda namun, penekanan lebih diberikan kepada jalan ceritanya.

Walaupun menerima kritikan kerana “me-matsaleh-kan” sebuah anime Jepun,  kami merasakan tindakan ini wajar memandangkan kami telah menonton banyak filem live action adaptasi anime seperti Attack on the Titans yang menjadi filem gagal kerana diarahkan pengarah Jepun. Elemen dan kepakaran Holywood sememangnya diperlukan untuk menjadikannya menarik dan tidak mengarut seperti filem adaptasi anime yang lain.

Dari segi lakonan, filem kami tiada komen serious, kecuali hampa Takeshi Kitano tidak diberi tanggungjawab yang lebih besar dalam filem ini dan kurang menonjolkan karektor sebenarnya. Selain dari itu lakonan bukan satu isu dalam filem ini.

Kesan Khas dan Produksi

Seperti filem-filem futuristik yang lain, filem ini banyak menggunapakai CGI dalam babak-babaknya. Tiada masalah besar dapat dilihat dengan kualiti CGI dan babak-babak tembak menembaknya dibikin dengan baik hasil kerjasama Holywood.

Positif dan Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang menghiburkan dan mudah difahami.
  • Aksi yang mendebarkan
  • Penampilan dunia masa hadapan yang menarik dengan pencampuran unsur retro dan modern.

Negatif

  • Jalan cerita boleh dijangka
  • Kesudahan yang kurang memberangsangkan

Kesimpulan

Filem Ghost in the Shell hanyalah adaptasi yang sederhana menarik, pada pandangan kami. Secara keseluruhan ia menghiburkan, tetapi ia bukanlah sebuah filem yang akan anda perkatakan setelah melangkah keluar dari panggung. Tontonlah dengan rakan-rakan anda sebagai filem santai dan tidak diambil serious.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Ghost In The Shell [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2npHlxl