Search This Blog

Alien Covenant [Review]

Filem Prometheus menerima review yang tidak menentu, namun bagi kami filem itu OK dari segi peranannya dalam jalan cerita keseluruhan francais Aliens. Dengan bermulanya tayangan sequelnya, Alien Covenant , kita kini dapat mengetahui apakah yang sebenarnya terjadi selepas itu.

Alien Covenant

Alien Covenant [Review]

Alien Covenant berlangsung 10 tahun selepas kehilangan krew Prometheus (tahun 2104) di mana filem Alien Covenant  berkisah tentang satu koloni manusia yang mempunyai misi untuk menawan dan memulakan koloni manusia di sebuah planet yang telah ditetapkan. Namun kapal Covenant yang mereka naiki telah terkena suar solar dan mengalami kerosakan. Kapten asal kapal tersebut juga telah mati akibat insiden tersebut, jadi kapten baru telah dilantik, iaitu Oram. Beliau sedikit gementar dan tidak begitu yakin sebagai seorang kapten.

Alien Covenant

Semasa proses pembaikpulihan, mereka telah menerima satu mesej aneh berupa sebuah lagu klasik. Isyaratnya berasal dari sebuah planet yang mereka dapati pada zahirnya sangat sesuai untuk kehidupan manusia. Disebabkan itu, kapten Oram telah mengambil keputusan untuk mendarat di planet tersebut dan memerikasa samada ia sesuai untuk dijadikan koloni atau tidak.

Dalam ekspedisi tersebut, dua ahli pasukan mereka dijangkiti satu parasit yang tidak dikenali. Di situlah mimpi ngeri mereka bermula. Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita dan Lakonan

Satu perkara yang jelas dalam filem ini adalah cara penceritaanya lebih baik berbanding filem Prometheus. Segala kisah mengenai apa yang berlaku kepada Dr. Elizabeth Shaw selepas kejadian dalam filem Prometheus diterangkan dengan jelas dan tanpa kekeliruan. Dari segi kami berpuas hati dengan filem ini.

Namun secara keseluruhannya, filem ini boleh dijangka, seolah-olah ia menggunakan template yang sama dengan semua filem Alien sebelum ini. Malah putaran plot (plot twist) di bahagian akhir filem ini juga boleh dijangka oleh penonton. Jadi, walaupun jalan ceritanya baik, ia boleh dijangka penonton, sekaligus menghilangkan sebarang wow factor filem ini dan satu kepuasan tidak dicapai selepas menonton filem ini.

Elok juga disebut bahawa filem Alien Covenant mempunyai babak-babak yang sangat kejam (seperti mana-mana filem dalam francais Alien), jadi ia tidak boleh ditonton oleh penonton di bawah 18 tahun. Pertama kali juga kami lihat watak wanita dibunuh kejam dalam sebuah filem Alien (biasanya watak lelaki sahaja dibunuh kejam). Namun banyak juga babak disunting keluar kerana teralalu kejam.

Produksi

Pujian juga harus diberi kepada pelakon Michael Fassbender yang memainkan dua watak pada masa yang sama iaitu sintetik bernama Walter dan juga David, watak sintetik dari Prometheus. Krew produksi juga harus diberi pujian dengan pembikinan babak yang memperlihatkan Walter dan David (kedua-duanya pelakon sama) dalam satu babak. Memaparkan dua watak yang dilakonkan pelakon sama bukanlah satu perkara yang sukar, namun terdapat satu babak dalam filem ini yang pergi lebih jauh. Ia memaparkan kedua-dua watak tersebut dilihat berinteraksi antara satu sama lain di mana David mengajar Walter bermain seruling. Ia memperlihatkan Walter meniup seruling dan pada masa yang sama David memainkan nota-nota lagu. Babak sebegini agak sukar dibikin dan dalam filem ini, ia dilakukan dengan baik dan menakjubkan.

Hala tuju jalan cerita francais filem Aliens juga diperlihatkan dengan lebih jelas dalam filem ini. Jelas sekali francais ini ingin membangkitkan soal hubungan “creator dan creation”. Pada mulanya Pemilik Weyland Industries ingin mencari pencipta manusia dan dalam filem Prometheus mendapati The Engineers adalah pencipta manusia, namun the engineers telah membunuh Weyland seolah-olah ciptaannya itu tidak bermakna langsung baginya.

Perasaan yang sama menyelubungi David di mana beliau merasakan manusia sebagai penciptanya tidak menghargainya dan beliau sendiri ingin menjadi pencipta. Itulah tema francais filem-filem Alien yang akan datang. Terdapat dua lagi sequel Alien akan dibikin dalam tahun-tahun akan datang.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita dan penceritaan yang menarik
  • Menyambung kisah Prometheus dengan baik sekali

Negatif

  • Jalan cerita dan plot twist boleh dijangka
  • Blood and gore yang banyak

Kesimpulan

Filem Alien Covenant mempunyai jalan cerita yang menarik, tetapi kebolehjangkaannya telah mengurangkan kepuasan menonton dengan banyak. Kami juga mendapati filem ini tidaklah seram seperti yang diwar-warkan. Mungkin kami telah lali dengan taktik filem-filem seperti ini menakutkan penontonnya. Namun, jika anda ingin mengikuti jalan cerita francais Alien akan datang, filem ini penting bagi melengkapkan jalan cerita itu. Dengan kata lain, jalan ceritanya bagus, namun pengolahannya yang boleh dijangka menyebabkan filem ini kurang memberi kepuasan. Kami merekomen anda menonton filem ini jika anda bercadang untuk menonton kesemua siri dalam francais Alien ini, jika anda tidak bercadang berbuat demikian, Fast and Furious 8 merupakan pilihan yang lebih baik.

Penilaian: 7.5/10

IMDB

 

The post Alien Covenant [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2pzjEnf