Search This Blog

Collossal [Review]

Setelah menonton trailer Collossal tempoh hari, filem ini kelihatan seperti sebuah filem lucu yang lain dari yang lain. Tidak dapat dinafikan bahawa kenyataan itu benar selepas menontonnya. Namun, itu bukan kisah sepenuhnya. Ia lebih dari yang dijangkakan. Inilah pendapat kami mengenainya.

 Collossal [Review]

Filem Collossal mengisahkan Gloria yang mempunyai masalah ketagihan alkohol telah dihalau keluar dari rumah teman lelakinya. Oleh kerana beliau tidak mempunyai wang, beliau terpaksa balik ke kampung halamannya dan tinggal di rumah keluarganya yang kosong. Di sana beliau bertemu semula dengan kawannya bernama Oscar. Beliau berpura-pura baik, namun sebenarnya beliau cemburu dengan Gloria yang berjaya keluar dari kampung dan bekerja di bandar besar sementara beliau terpaksa tinggal di kampung menjalani hidup yang tidak bermakna.

Oscar menjalankan sebuah bar dan suatu hari mereka minum sehingga lewat malam. Akibat mabuk, Gloria telah tertidur di bangku taman permainan di rumahnya. Apabila bangun pada sekitar pukul 8 pagi apabila kanak-kanak pergi ke sekolah, beliau berjalan melalui taman permainan itu pulang ker rumah di mana beliau tidur semula.

Apabila beliau bangun dan menonton TV, beliau mendapati satu kejadian kemunculan raksasa telah berlaku di Seoul, Korea Selatan. Setelah beberapa kali menonton video raksasa di Seoul, beliau mula menyedari bahawa beliaulah yang mengawal raksasa tersebut dan apabila memeriksa semua waktu ia berlaku, beliau mendapati ia berlaku apabila beliau berada di taman permainan tersebut. Rupa-rupanya pada masa tertentu, sebahagain dari taman permainan itu akan berhubung dengan satu kawasan dalam Seoul di mana jika beliau berada di taman permainan itu, raksasa akan turut muncul di Seoul.

Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku dan bagaimanakah beliau akan menyelesaikan perkara tersebut.

Collossal

Jalan Cerita dan Lakonan

Pada mulanya kami menyangka filem ini merupakan sebuah komedi aksi. Namun, setelah menonton dengan lebih dekat, ia lebih kepada komedi romantik bercampur dengan drama dan sedikit aksi. Bahagian aksinya tidaklah banyak malah hanya kira-kira 10% dari filem ini.

Filem ini juga terbahagi kepada berbilang bahagian di mana bahagian pertama lebih kepada komedi romantik, kemudian saling bertukar antara komedi, aksi dan drama. Dengan kata lain, filem ini tidak mempunyai satu genre yang tetap, sebaliknya mempunyai genre yang pelbagai. Bagi mereka yang pertama kali menonton filem sebegini, menontonnya mungkin akan terasa sedikit mengelirukan.

Malah di pertengahan filem ini, semua isu kelihatan telah selesai dan penonton mengharapkan satu penamat kerana tidak nampak bagaimana untuk meneruskan jalan cerita filem ini. Tiba-tiba satu sudut pandang lain jalan ceritanya terbuka dan satu isu baharu muncul bagi meneruskan jalan ceritanya. Struktur jalan ceritanya sememangnya suatu yang jarang dilihat.

Sungguhpun demikian, transisi antara setiap bahagian jalan cerita dengan yang lain dilaksanakan dengan baik dan tidak sukar untuk memahami jalan ceritanya walaupun ia seolah-olah bertukar-tukar genre.

Lakonan dalam filem ini pula kurang memberangsangkan, malah agak menjengkelkan dalam beberapa babak.

Positif vs Negatif

Positif

  • Satu struktur jalan cerita yang unik
  • Jalan cerita agak menarik

Negatif

  • Genre yang bertukar-tukar dan mengelirukan
  • Kesudahan yang agak simplistik.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, agak sukar bagi kami untuk mengatakan jika filem ini sebuah filem yang baik atau buruk. Namun, kami merasakan terdapat dua kemungkinan. Pertama, sesetengah dari anda akan mendapati filem ini sangat menarik dan unik. Kedua, sesetengah anda akan mengatakan filem ini filem yang gagal. Tiada pertengahan. Apa pun, jika ada filem lain yang ingin ditonton, tontolah filem tersebut dahulu dan jika anda ingin menonton sesuatu yang lain dari lain, bolehlah cuba menonton filem ini.

Penilain: 6/10

IMDB

 

The post Collossal [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2qzeoEi