Search This Blog

Resident Evil Vendetta [Review]

Sejujurnya jika dibandingkan antara siri filem Resident Evil “live action” dengan siri filem Resident Evil CGI, kami lebih gemarkan versi CGI terutamanya kerana ia lebih mencerminkan jalan cerita dan watak-watak sebenar permainan video Resident Evil serta tidak terlalu tercemar dengan pengaruh Holywood sepertimana yang berlaku pada Residen Evil “live action”. Resident Evil Vendetta merupakan filem CGI terbaharu yang hype di media sosial kerana babak Leon Kennedy melawan zombie ala John Wick.

Resident Evil Vendetta

Resident Evil Vendetta [Review]

Resident Evil Vendetta mengisahkan Chris Redfield, agen BSAA yang ditugaskan menangkap penjenayah senjata bio bernama Glenn Arias yang telah merekacipta A-virus yang bukan sahaja menukarkan orang menjadi zombie, malah zombie ini boleh membezakan antara rakan dan musuh. Ini menjadikannya lebih mudah dijual sebagai satu senjata bio di pasaran gelap.

Untuk menangkap Glenn, Chris telah mendapat bantuan bekas anggota STARS Rebecca Chambers dan tidak lain tidak bukan Leon Kennedy. Dengan pasukan baharu ditubuhkan itu, mampukah mereka menghentikan niat jahat Glenn Arias untuk menggunakan virus itu sebagai senjata bio? Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam GSC berhampiran (ia ditayangkan khas di GSC sahaja).

Jalan Cerita dan Lakonan Suara

Filem animasi CGI Resident Evil sememangnya sejak dahulu menghidangkan plot yang tidak terlalu teknikal dan memfokuskan kepada aksi dan animasi watak yang realistik. Filem Resident Evil Vendetta tidak terkecuali dari itu. Bezanya mungkin kali ini babak aksinya lebih mendebarkan dan menarik. Tidak dilupakan aksi Leon Kennedy melawan zombie gaya John Wick yang menjadikan filem ini viral di media sosial.

Walaubagaimanapun, bagi mereka yang tidak mengikuti jalan cerita filem animasi CGI Resident Evil, mereka mungkin kurang teruja dengan jalan cerita filem ini. Namun, bagi peminat tegar filem dan permainan video Resident Evil, filem ini sememangnya wajib ditonton. Apa yang pasti adalah filem ini tidak ada babak aksi yang terlalu tidak masuk akal seperti dalam filem “live action” Resident Evil. Ini menjadikannya lebih mudah diterima oleh mereka yang bukan peminat Resident Evil.

Lakonan suara dalam filem ini boleh dikatakan lebih baik dari filem-filem CGI sebelumnya. Ekspresi muka yang lebih natural dan dialog yang lebih mirip percakapan dunia nyata menambahkan lagi kepada realism filem ini. Walaubagaimanapun, terdapat juga babak-babak di mana percakapan watak-wataknya tidak selari dengan gerak mulut, atau gerak mulut watak tidak cukup mirip percakapan dunia sebenar. Tetapi itu hanyalah perkara kecil.

Positif vs Negatif

Positif

  • Animasi CGI yang baik sekali
  • Jalan cerita tidak terlalu berat
  • Aksi mendebarkan

Negatif

  • Bagi mereka yang bukan peminat Resident Evil, mungkin jalan ceritanya sedikit biasa sahaja.
  • Mungkin kerana CGI mengambil masa untuk dibikin, banyak babak kelihatan kosong (tiada “pelakon tambahan” di latarbelakang)

Kesimpulan

Resident Evil Vendetta merupakan antara filem CGI terbaik dalam siri animasi CGI Resident Evil. Bagi peminat siri filem animasi ini, ia semestinya sebuah filem wajib tonton bagi anda. Bagi mereka yang hanya menonton filem “live action” Resident Evil, mungkin tiba masanya anda berubah angin dan melihat perbezaan pemikiran Holywood dengan pemikiran Jepun dalam pembikinan filem Resident Evil. Ternyata filem ini lebih teratur dari segi poin-poin penting plotnya dan tidak terlalu berorentasikan aksi semata-mata. Kami merekomen anda menonton filem ini dan jika boleh, tontonlah filem-filem animas CGI Resident Evil sebelum ini untuk membuat penilaian lanjut mengenai perbandingan antara versi Holywood (live action) dan Jepun (CGI) bagi Resident Evil.

AMARAN: Jangan merakam sebarang gambar atau video di dalam pawagam. Penerbit filem Jepun sangat sensitif mengenai hal ini dan jika didapati berlaku, berkemungkinan Malaysia akan di”banned” dari tayangan filem akan datang.

Penilaian: 7.5/10

IMDB

The post Resident Evil Vendetta [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2r3L5cX