Search This Blog

Transformers Last Knight [Review]

Tidak dapat dinafikan dua atau tiga filem awal Transformers sememangnya menjadi kegemaran ramai, namun kebelakangan ini, filem-filem Transformer telah menjadi semakin teruk dan membosankan. Adakah filem Transformers Last Knight tergolong dalam golongan itu? Kami berpeluang menonton filem tersebut dan menilainya sendiri.

Transformers Last Knight

Transformers Last Knight [Review]

Pada zaman pertengahan, King Arthur dan satrianya hampir kalah dalam peperangan menentang puak gasar. Namun Merlin, ahli sihir King Arthur telah meminta bantuan pihak pihak Satria Cybertron yang melarikan diri ke bumi. Beliau telah diberi satu tongkat sakti yang mengawal kuasa satria cybertron dan membolehkan beliau memanggil naga Dragonstorm untuk berlawan di pihak King Arthur, seterusnya memenangi peperangan.

Transformers Last Knight berlangsung di masa hadapan di mana semua robot Transformer diburu TRF. Cade Yeager dan pihak Autobots mendapat tahu mengenai tongkat satria Cybertron itu yang disorokkan Merlin dan berusaha mencarinya. Malangnya pihak Decepticons diketuai Megatron juga ingin mendapat tongkat tersebut yang dieprcayai merupakan senjata berkuasa. Pada masa yang sama, Optimus Prime telah berjaya menjumpai pencipta Transformers, Quintessa (juga pencipta tongkat tersebut) di planet Cybertron yang telah musnah. Bagi membaiki semula planet Cybertron, planet bumi harus dikorbankan dan tongkat itu diperlukan untuk menjalankan proses asimilasi planet bumi ke planet Cybertron. Quintessa juga telah memukau Optimus Prime untuk bekerja di pihak beliau dan memusuhi Autobots.

Siapakah yang akan dapat mencari tongkat satria Cybertron itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita dan Lakonan

Terus terang kami katakan jalan cerita filem ini sangat bercelaru dan tidak fokus serta mengelirukan. Tambahan pula kelihatan seperti banyak babak-babak telah disunting keluar tanpa sebab. Mungkin itu masalah di pihak wayang, tetapi ia menambahkan lagi kekeliruan kepada jalan cerita yang sudah sememangnya keliru. Pengarah seolah-olah ingin memasukkan terlalu banyak maklumat atau isi ke dalam babak-babak yang pendek, menjadikannya babak-babaknya kelihatan seperti tergesa-gesa dan tidak terurus. Tambahan pula ia cuba memasukkan terlalu ramai watak dalam satu filem, walaupun watak tersebut tidak begitu perlu.

Tidak dapat dinafikan, babak-babak aksinya gah serta mendebarkan, dan lawak jenakanya boleh tahan, walaupun ada kalanya lawaknya tidak menjadi. Tetapi secara keseluruhannya jalan ceritanya terlalu kelam-kabut. Terdapat banyak ketika dalam filem ini di mana kami terlalu keliru sehingga kami tertidur seketika. Keserasian antara watak utamanya, Cade Yeager dan Vivian Wembley juga kurang berjaya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Aksi mendebarkan
  • Animasi CGI yang baik

Negatif

  • Jalan cerita bercelaru
  • Cuba memasukkan terlalu banyak watak yang tidak perlu
  • Filem ini seolah-olah telah menamatkan kemungkian untuk kami menonton filem berikutnya

Kesimpulan

Jelas sekali review pendek kami mengenai filem Transformers Last Knight sangat negatif dan percayalah ia sememangnya negatif. Sekiranya anda lebih berminat menonton babak aksi yang mendebarkan dan tidak kisah mengenai jalan cerita, maka tontonlah filem ini. Jika anda mengharapkan kesinambungan jalan cerita dari filem lepas atau akan datang, filem ini seolah-olah memperlihatkan bahawa pengarahnya sudah ketandusan idea untuk membikin filem. Jika boleh, elakkan menonton filem ini.

Penilaian: 3/10

IMDB

The post Transformers Last Knight [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2t5co93

The Mummy 2017 [Review]

Semasa trailer The Mummy 2017 diterbitkan, kami tidak pasti bagaimana untuk memproses apa yang dipertontonkan kepada kami. Dari satu sudut ia kelihatan sebuah filem tipikal Tom Cruise seperti Mission Impossible. Tetapi pada masa yang sama kami terbayang-bayang siri filem The Mummy lakonan Brendon Frasier dahulu dan kami fikir filem ini merupakan nafas baharu kepada filem tersebut. Apa pun, akhirnya kami berpeluang menonton filem ini. Namun ia tidak seperti yang diharapkan.

The Mummy 2017

 The Mummy 2017 [Review]

The Mummy 2017 adalah pembikinan semula filem The Mummy yang diterbitkan pada tahun 1999 dahulu. Ia tidak lagi berlangsung pada awal 1900-an, sebaliknya berlangsung pada masa kini. Filem ini mengisahkan Nick Morten, seorang sarjan dalam tentera Amerika yang bertugas di Iraq. Walaupun beliau seorang tentera, beliau mempunyai “kerja sambilan” mencari dan merompak artifak lama atau harta karun untuk dijual di pasaran gelap.

Filem ini bermula dengan pencarian harta karun olehnya dan rakan seperjuangannya, Korporal Veil di suatu tapak Mesir purba di Iraq menggunakan satu peta yang dicurinya dari seorang arkeologis bernama Jenny Halsey. Setelah tapak tersebut ditawan, mereka dan Jenny (yang tiba di tempat tersebut) menjumpai sebuah tapak kubur seorang firaun wanita bernama Ahmanet di mana kerandanya ditenggelamkan dalam kolam berisi raksa, dipercayai untuk mengurangkan kuasa mistiknya.

Oleh kerana kesuntukan masa, mereka membawa keluar dan bersama-sama membawa keranda tersebut menaiki kapal terbang tentera untuk dibawa ke England. Kemudian perkara pelik mula berlaku. Ternyata Nick dan Veil telah disumpah menyebabkan kapal terbang mereka dijatuhkan oleh sekumpulan besar burung yang terbang melanggar kapal terbang mereka. Walaupun Jenny diselamatkan menggunakan payung terjun, Nick tidak sempat keluar dan mati. Anehnya beliau terjaga di bilik mayat tanpa sebarang kecederaan.

Apakah yang berlaku kepadanya? Mengapa beliau tidak cedera? Apa pula peranan Ahmenet dalam semua ini? Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam berhampiran anda.

Jalan Cerita dan Lakonan

Pertama sekali, sejak awal lagi para pembikin filem ini telah mendedahkan bahawa filem The Mummy ini adalah sebahagian dari Dark Universe di mana filem-filem seperti Frankenstein dan The Invisible Man bakal dimasukkan dalam Universe ini. Ini bermakna raksasa tersebut bakal berkait antara satu dengan lain. Malah watak Dr Jekyll and Hyde muncul dalam filem ini sebagai ketua pertubuhan yang melawan raksasa yang dipanggil Prodigium. Ini adalah usaha Universal Studios untuk mewujudkan satu francais filem yang terdiri dari beberapa watak raksasa yang berada dalam dunia yang sama di mana Prodigium merupakan pertubuhan melawan kejahatan dalam Universe tersebut. Dengan kata lain ia seperti SHIELD dalam Marvel Universe, tapi Universe ini dibikin oleh Universal Studios.

Walaubagaimanapun, pelancaran Universe ini nampaknya bermula dengan langkah kiri. Tema jalan ceritanya agak tipikal di mana seorang Firaun atau mumia purba yang disumpah telah dilepaskan oleh manusia di zaman ini, menyebabkan mereka disumpah. Firaun itu kemudian hidup semula untuk menguasai bumi. Telah berapa kali kita dihidangkan dengan tema tersebut. Malah inilah tema yang sama dengan filem The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor. Jadi, dari segi plot, anda tidak akan berasa suatu yang baru ditonjolkan.

Apa yang menonjol adalah usaha untuk memperkenalkan pertubuhan melawan raksasa, Prodigium, yang mana akan meletakkan asas kepada filem-filem akan datang dalam Universe tersebut.

Dari segi aksi-aksi yang ditonjolkan dalam filem The Mummy 2017, ia umpama aksi Mission Impossible dikurangkan kehebatannya sebanyak 50%. Babak-babak aksinya pendek dan tidak begitu mendebarkan. Perkara yang sama dapat dikatakan untuk lawak jenakanya yang lucu, tetapi tidak banyak ditonjolkan. Ia juga kurang elemen “adventure” yang sama seperti yang dilihat dalam siri filem The Mummy lakonan Brendan Fraser. Namun, jangan salah faham, filem ini menghiburkan, cuma agak tipikal dari segi jalan ceritanya. Mungkin apa yang berbeza adalah apa yang dilakukan Nick pada bahagian kesudahannya agak tidak dijangka dan suatu yang berbeza. Namun begitulah perlu dilakukan para pembikin filem ini untuk memastikan sequel filem ini tidak tergantung.

Dari segi lakonan, tidak banyak teguran yang boleh kami keluarkan. Tom Cruise berlakon seperimana beliau biasanya berlakon dan watak Jenny pun tidak mempunyai banyak masalah. Cuma mungkin peranan watak Veil dalam filem ini tidak begitu jelas dan hampir tidak menyumbang kepada plot ceritanya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Pembentangan asas kepada Dark Universe
  • Potensi ada untuk mengembangkan Universe ini
  • Plot twist di bahagian akhir agak menarik

Negatif

  • Gabungan aksi, lawak jenaka dan drama yang kurang mantap
  • Jalan cerita boleh dijangka
  • Universal Studios terlalu fokus kepada membuka Dark Universe hingga mengabaikan pembangunan watak.

The Mummy 2017

Kesimpulan

The Mummy 2017 adalah sebuah filem yang menghiburkan, namun ia kekurangan elemen-elemen yang memberikan ia makna yang mendalam terutamanya jalan cerita yang kuat. Kami rasakan pihak Universal Studio terlalu ghairah untuk mengikuti jejak Marvel Comics sehingga melupakan asas-asas yang menjadikan satu francais filem sentiasa ditonton, iaitu jalan cerita, aksi dan lawak jenaka. Buat masa sekarang, kami belum teruja untuk menonton sebuah filem sequel atau filem berkaitan Dark Universe setelah menonton The Mummy. Sungguhpun demikian, kami masih merekomen anda menonton filem ini bersama rakan-rakan jika anda mempunyai masa lapang.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post The Mummy 2017 [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2rcAEk9

Wonder Woman [Review]

Filem Wonder Woman merupakan salah sebuah filem yang ditunggu-tunggu kami menjelang tayangan filem Justice League hujung tahun ini. Kami berpeluang menonton filem ini dan tidak sabar untuk berkongsi pandangan kami mengenai filem ini.

Wonder Women

Wonder Woman [Review]

Menurut kisah mitos Greek, suatu ketika dahulu dewa Zeus telah mencipta manusia. Tetapi dewa Aries iaitu dewa peperangan yang dengki dengan kewujudan manusia telah menghasut manusia untuk berperang sama sendiri. Setelah mendapat tahu perkara ini, dewa Zeus telah murka dan cuba menghapuskan Aries. Dalam peperangan antara Zeus dan Aries, Aries telah cedera parah dan menghilangkan diri.

Zeus pula telah mecipta kaum Amazon untuk menjadi penjaga dunia dan mengelakkan peperangan di kalangan manusia pada masa hadapan. Dia juga telah mencipta senjata pembunuh dewa dan menyorokkan pulau kaum Amazon dari dunia luar supaya kaum itu selamat dari dijumpai oleh Aries sekiranya dia masih hidup.

Diana pula merupakan puteri kepada pemaisuri Amazon Hyppolyta yang dilatih sejak kecil untuk menjadi pahlawan yang terhebat, walaupun pada mulanya dihalang oleh ibunya. Suatu hari seorang perisik pihak bersekutu dalam perang dunia pertama yang melarikan diri dari pihak Jerman menggunakan kapal terbang, telah secara tidak sengaja mendarat cemas di pulau kaum Amazon, membawa sekali tentera Jerman yang mengejarnya.

Setelah pertempuran antara tentera Jerman dengan kaum Amazon berlaku, general kesayangan Diana telah terbunuh dan ini menyebabkan beliau berazam menghentikan perang dunia pertama yang beliau percayai disebabkan pengaruh dewa Aries.

Mampukah Diana atau lebih dikenali sebagai Wonder Women mencapai matlamatnya? Tontonlah filem ini di pawagam berhampiran.

Jalan Cerita dan Lakonan

Terdapat banyak perkara positif boleh kami katakan mengenai filem Wonder Woman baharu ini. Pertama sekali, jelas sekali filem ini antara filem-filem pemerkasaan wanita yang semakin banyak dikeluarkan Holywood. Namun, kali ini berbeza. Mungkin kerana di kalangan kaum Amazon, tidak ramai yang pernah berjumpa dengan manusia lelaki, mereka tidak ada stereotaip mengenai lelaki. Ini memberikan satu naratif pemerkasaan wanita yang berbeza daripada filem-filem yang lain yang biasanya menjatuhkan lelaki demi menaikkan wanita. Dengan kata lain ia tidak cuba melebih-lebih dalam memperjuangkan ideologi pemerkasaan wanitanya.

Pemaparan budaya zaman perang dunia pertama juga dibuat dengan baik di mana kita boleh melihat betapa teruknya golongan wanita dilayan sehinggakan mereka hanya layak menjadi setiausaha dan tidak boleh bercampur dengan VIP yang terdiri dari pemimpin negara.

Kedua, lawak jenaka yang ditampilkan sangat “ikhlas” terutamanya kerana Diana tidak pernah melihat dunia luar dan bersikap naif dan idealistik. Ini bertentangan dengan lumrah dunia sebenar yang kejam dan pesimistik. Babak aksinya juga hebat dan mendebarkan, namun CGI yang ditampilkan semasa babak aksi kadang-kala agak kurang memuaskan dan pergerakannya kelihatan tidak realistik.

Seterusnya, watak-watak yang ditampilkan juga menghiburkan dan lucu. Lakonan watak baik dan jahat juga tidak terlalu klise atau dilakonkan secara melebih-lebih. Cuma mungkin babak perlawanan terakhir antara Wonder Woman dan Aries agak klise perlawanan komik, maklumlah ia perlawanan antawa dewa-dewa.

Positif Vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang baik dan sesuai dengan masa tayangan 2.5 jam.
  • Tema pemerkasaan wanita yang tidak offensif kepada kaum lelaki.
  • Lawak jenaka yang menghiburkan dan babak aksi yang mendebarkan.

Negatif

  • Pelakon utama Gal Gadot rakyat Israel

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, filem Wonder Woman merupakan filem DC Comics terbaik dalam filem-filem DC Comics selepas francais Dark Knight arahan Chris Nolan. Ia juga salah satu filem yang mempunyai jalan cerita yang masuk akal berbanding filem Batman vs Superman dan Suicide Squad.

Namun untuk pengetahuan anda, filem ini diharamkan din Lubnan kerana watak utamanya yang dilakonkan Gal Gadot merupakan seorang rakyat Israel dan pernah menyertai tentera Israel. Tambahan pula, oleh kerana hubungan Lubnan dan Israel agak tegang sekarang, mereka mengambil keputusan untuk mengharamkan tayangannya di  negara itu. Bagi anda yang juga merasa ingin memboikot filem ini, kami tidak menghalang anda.

Penilaian: 8.5/10

IMDB

The post Wonder Woman [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2slhwCc