Search This Blog

The Mummy 2017 [Review]

Semasa trailer The Mummy 2017 diterbitkan, kami tidak pasti bagaimana untuk memproses apa yang dipertontonkan kepada kami. Dari satu sudut ia kelihatan sebuah filem tipikal Tom Cruise seperti Mission Impossible. Tetapi pada masa yang sama kami terbayang-bayang siri filem The Mummy lakonan Brendon Frasier dahulu dan kami fikir filem ini merupakan nafas baharu kepada filem tersebut. Apa pun, akhirnya kami berpeluang menonton filem ini. Namun ia tidak seperti yang diharapkan.

The Mummy 2017

 The Mummy 2017 [Review]

The Mummy 2017 adalah pembikinan semula filem The Mummy yang diterbitkan pada tahun 1999 dahulu. Ia tidak lagi berlangsung pada awal 1900-an, sebaliknya berlangsung pada masa kini. Filem ini mengisahkan Nick Morten, seorang sarjan dalam tentera Amerika yang bertugas di Iraq. Walaupun beliau seorang tentera, beliau mempunyai “kerja sambilan” mencari dan merompak artifak lama atau harta karun untuk dijual di pasaran gelap.

Filem ini bermula dengan pencarian harta karun olehnya dan rakan seperjuangannya, Korporal Veil di suatu tapak Mesir purba di Iraq menggunakan satu peta yang dicurinya dari seorang arkeologis bernama Jenny Halsey. Setelah tapak tersebut ditawan, mereka dan Jenny (yang tiba di tempat tersebut) menjumpai sebuah tapak kubur seorang firaun wanita bernama Ahmanet di mana kerandanya ditenggelamkan dalam kolam berisi raksa, dipercayai untuk mengurangkan kuasa mistiknya.

Oleh kerana kesuntukan masa, mereka membawa keluar dan bersama-sama membawa keranda tersebut menaiki kapal terbang tentera untuk dibawa ke England. Kemudian perkara pelik mula berlaku. Ternyata Nick dan Veil telah disumpah menyebabkan kapal terbang mereka dijatuhkan oleh sekumpulan besar burung yang terbang melanggar kapal terbang mereka. Walaupun Jenny diselamatkan menggunakan payung terjun, Nick tidak sempat keluar dan mati. Anehnya beliau terjaga di bilik mayat tanpa sebarang kecederaan.

Apakah yang berlaku kepadanya? Mengapa beliau tidak cedera? Apa pula peranan Ahmenet dalam semua ini? Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam berhampiran anda.

Jalan Cerita dan Lakonan

Pertama sekali, sejak awal lagi para pembikin filem ini telah mendedahkan bahawa filem The Mummy ini adalah sebahagian dari Dark Universe di mana filem-filem seperti Frankenstein dan The Invisible Man bakal dimasukkan dalam Universe ini. Ini bermakna raksasa tersebut bakal berkait antara satu dengan lain. Malah watak Dr Jekyll and Hyde muncul dalam filem ini sebagai ketua pertubuhan yang melawan raksasa yang dipanggil Prodigium. Ini adalah usaha Universal Studios untuk mewujudkan satu francais filem yang terdiri dari beberapa watak raksasa yang berada dalam dunia yang sama di mana Prodigium merupakan pertubuhan melawan kejahatan dalam Universe tersebut. Dengan kata lain ia seperti SHIELD dalam Marvel Universe, tapi Universe ini dibikin oleh Universal Studios.

Walaubagaimanapun, pelancaran Universe ini nampaknya bermula dengan langkah kiri. Tema jalan ceritanya agak tipikal di mana seorang Firaun atau mumia purba yang disumpah telah dilepaskan oleh manusia di zaman ini, menyebabkan mereka disumpah. Firaun itu kemudian hidup semula untuk menguasai bumi. Telah berapa kali kita dihidangkan dengan tema tersebut. Malah inilah tema yang sama dengan filem The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor. Jadi, dari segi plot, anda tidak akan berasa suatu yang baru ditonjolkan.

Apa yang menonjol adalah usaha untuk memperkenalkan pertubuhan melawan raksasa, Prodigium, yang mana akan meletakkan asas kepada filem-filem akan datang dalam Universe tersebut.

Dari segi aksi-aksi yang ditonjolkan dalam filem The Mummy 2017, ia umpama aksi Mission Impossible dikurangkan kehebatannya sebanyak 50%. Babak-babak aksinya pendek dan tidak begitu mendebarkan. Perkara yang sama dapat dikatakan untuk lawak jenakanya yang lucu, tetapi tidak banyak ditonjolkan. Ia juga kurang elemen “adventure” yang sama seperti yang dilihat dalam siri filem The Mummy lakonan Brendan Fraser. Namun, jangan salah faham, filem ini menghiburkan, cuma agak tipikal dari segi jalan ceritanya. Mungkin apa yang berbeza adalah apa yang dilakukan Nick pada bahagian kesudahannya agak tidak dijangka dan suatu yang berbeza. Namun begitulah perlu dilakukan para pembikin filem ini untuk memastikan sequel filem ini tidak tergantung.

Dari segi lakonan, tidak banyak teguran yang boleh kami keluarkan. Tom Cruise berlakon seperimana beliau biasanya berlakon dan watak Jenny pun tidak mempunyai banyak masalah. Cuma mungkin peranan watak Veil dalam filem ini tidak begitu jelas dan hampir tidak menyumbang kepada plot ceritanya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Pembentangan asas kepada Dark Universe
  • Potensi ada untuk mengembangkan Universe ini
  • Plot twist di bahagian akhir agak menarik

Negatif

  • Gabungan aksi, lawak jenaka dan drama yang kurang mantap
  • Jalan cerita boleh dijangka
  • Universal Studios terlalu fokus kepada membuka Dark Universe hingga mengabaikan pembangunan watak.

The Mummy 2017

Kesimpulan

The Mummy 2017 adalah sebuah filem yang menghiburkan, namun ia kekurangan elemen-elemen yang memberikan ia makna yang mendalam terutamanya jalan cerita yang kuat. Kami rasakan pihak Universal Studio terlalu ghairah untuk mengikuti jejak Marvel Comics sehingga melupakan asas-asas yang menjadikan satu francais filem sentiasa ditonton, iaitu jalan cerita, aksi dan lawak jenaka. Buat masa sekarang, kami belum teruja untuk menonton sebuah filem sequel atau filem berkaitan Dark Universe setelah menonton The Mummy. Sungguhpun demikian, kami masih merekomen anda menonton filem ini bersama rakan-rakan jika anda mempunyai masa lapang.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post The Mummy 2017 [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2rcAEk9