Search This Blog

Spiderman Homecoming [Review]

Sepanjang hidup kami, kami telah memperlihatkan filem Spiderman di-reboot 3 kali. Pertama dengan pelakon Tobey Maguire, kedua dengan Andrew Garfield kini dengan pelakon muda Tom Holland. Namun kami dapat rasakan sesuatu yang lain dengan filem Spiderman kali ini yang diberi nama Spiderman Homecoming.

Spiderman Homecoming

Spiderman Homecoming [Review]

Spiderman Homecoming adalah reboot terbaharu filem Spiderman. Berbeza dari sebelumnya, filem ini tidak membazir masa dengan memaparkan bagaimana Peter Parker mendapat kuasa Spiderman, malah dalam filem ini beliau telahpun melalui pengalaman bersama Avengers dalam filem Captain America: Civil War. Ia juga jelas sekali memberitahu penonton bahawa baju Spiderman telah diberikan kepadanya oleh Tony Stark dan beliaulah yang menjemputnya menyertai aktiviti The Avengers dahulu.

Apa pun, dalam filem kali ini, Spiderman bermula dari bawah di bawah seliaan Tony Stark. Beliau bertanggungjawab melawan jenayah harian seperti rompakan, kecurian dan menyelamatkan orang dari kemalangan. Itu pun beliau masih mempelajari selok-beloknya. Ini tidak pelik kerana beliau baharu berusia 15 tahun dan tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada perkara yang besar.

Namun dalam beliau menjalankan tugas mencegah jenayah, beliau terserempak dengan penjenayah yang menggunakan senjata yang terlalu canggih untuk golongan itu kendalikan. Ini menyebabkan beliau ingin menyiasat jenayah ini dan membongkar kegiatan penjualan senjata berasaskan teknologi makhluk asing. Dapatkah beliau mencari orang yang bertanggung jawab? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita dan Lakonan

Perbezaan antara filem Spiderman Homecoming dengan filem-filem sebelumnya adalah, pertama, dari awal ia sememangnya mahu mengintegrasikan watak tersebut ke dalam pasukan Avengers, kedua Spiderman kini mempunyai “sidekick” bernama Ned (yang juga rakan karibnya) yang mengetahui identiti Peter Parker tetapi ingin membantunya dari segi teknikal dan beliau mendapat bimbingan dan bantuan Tony Stark yang boleh dilihat melalui bajunya yang jelas sekali mempunyai unsur-unsur Iron Man.

Dari awal lagi watak Peter Parker jelas sekali mentah dan tidak berpengalaman dalam melawan jenayah. Ini tidak pelik memandangkan umurnya hanya 15 tahun. Pelakon Tom Holland juga berjaya melakonkan watak tersebut bagi menyerlahkan ketidakmatangan watak Peter Parker yang kekok di hadapan perempuan dan sering dibuli Flash, rakan sekelas yang juga anak orang berada. Semua ini menjadikan watak Peter Parker lebih releven kepada golongan remaja kerana memaparkannya seorang remaja biasa dan tidak menjadikannya seorang anti sosial seperti dalam filem Spiderman lakonan Andrew Garfield.

Watak jahat Adrian Toomes atau Vulture lakonan Micheal Keaton juga satu watak yang dilakonkan dengan baik. Ironinya Micheal Keaton terkenal kerana melakonkan watak adiwira Batman dalam tahun 80-an dan kini beliau melakonkan watak jahat. Namun kami rasakan beliau lebih sesuai memainkan watak jahat dan lakonannya kali ini sangat berkesan.

Jalan cerita filem ini secara keseluruhan sangat menarik serta cukup mantap dari segi aksi dan lawak jenaka. Malah semua ramuan ini tidak melampaui batas sehingga memperlihatkan filem ini terdesak untuk menarik perhatian penonton. Ia juga sesuai untuk ditonton kanak-kanak memandangkan ia tidak mempunyai unsur lucah atau ganas yang keterlaluan. Pendek kata filem ini menghiburkan dan sukar untuk mencari keburukan filem ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang menarik dan lain dari filem Spiderman sebelum ini
  • Gabungan aksi, lawak jenaka dan drama yang seimbang
  • Gajet-gajet dalam baju Spiderman yang menarik ala Ironman.

Negatif

  • Babak perlawanan terakhir sedikit membosankan (tertidur sebentar dibuatnya)

Spiderman Homecoming

Kesimpulan

Filem Spiderman Homecoming telah diberi nafas baharu dan sebahagian besar tarikannya datang dari penyertaannya ke dalam Avengers yang merupakan idea Tony Stark. Ini membolehkan Spiderman yang dahulunya adiwira bersendirian, kini mempunyai rakan adiwira yang lebih ramai. Kami sangat merekomen anda menontonnya dan membawa anak-anak sekali menonton. Cuma pastikan mereka tidak terlalu teruja sehingga mengganggu penonton lain. Jangan lupa menonton babak tersembunyi selepas bahagian kredit.

Penilaian: 8/10

IMDB

The post Spiderman Homecoming [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2t3Fx4M