Search This Blog

War for the Planet of the Apes [Review]

Setiap filem dalam siri Planet of the Apes mempunyai temanya yang tersendiri. Filem pertama, Rise of the Planet of the Apes menerangkan bagaimana lahirnya spesis mawas bijak. Filem kedua, Dawn of the planet of the Apes menunjukkan bagaimana manusia cuba hidup di samping spesis mawas bijak itu, namun gagal kerana terdapat unsur-unsur jahat yang tidak mahu manusia dan mawas berbaik-baik. Filem ketiga ini, jika dilihat dari tajuknya, seolah-olah satu peperangan besar antara manusia dan mawas akan terjadi dan semuanya akan ditentukan berdasarkan hasil peperangan tersebut. Itulah yang digambarkan, namun secara realiti, ia tidaklah seperti digambarkan. Kami diberi peluang menonton filem terbaharu itu, terima kasih kepada Yes 4G kerana menaja tiket tayangan perdana kami.

War for the Planet of the Apes

War for the Planet of the Apes [Review]

Dalam filem War for the Planet of the Apes, terdapat satu batalion pasukan tentera khas yang ingin menghapuskan komuniti mawas. Batalion ini diketuai The Colonel lakonan Woody Harrelson. Dalam peperangan awal, di mana batalion itu telah menyerang komuniti mawas, pihak mawas telah berjaya mematahkan serangan tersebut dan menawan beberapa orang tentera. Bagi mempamerkan sifat bertamadun dan tidak ingin berperang, Caesar, ketua mawas bijak dan juga protagonis, telah membebaskan mereka dengan syarat mereka membawa mesej  kepada The Colonel supaya hentikan serangan dan membiarkan mereka hidup bebas.

Pada masa yang sama, anak Caesar telah pulang dari misi mencari tempat tinggal baharu yang selamat. Mereka telah menemui satu tempat selamat di padang pasir di mana komuniti mawas boleh hidup dengan aman. Caesar merancang untuk memindahkan semua mawas ke lokasi tersebut tetapi menangguhkannya bagi merancang dengan lebih teliti supaya perpindahan mereka tidak dikesan oleh pihak tentera.

Malangnya pihak tentera diketuai The Colonel telah menyelinap masuk kem mawas dan membunuh anak sulung dan isteri Caesar, menyebabkan beliau berdendam kepada The Colonel. Kemudian, Caesar menyuruh komunitinya berpindah ke tempat yang dikatakan itu sementara beliau dan 3 rakan lagi mencari pangkalan tentera The Colonel.

Dalam perjalanan mencari pangkalan itu, mereka telah terserempak dengan satu rumah di mana mereka menemui seorang budak perempuan. Anehnya budak ini tidak boleh bercakap. Kemudian mereka mendapati pihak tentera membunuh beberapa orang manusia. Apakah yang sedang terjadi? Mengapa pihak tentera berbuat begitu dan siapakah budak perempuan (yang kemudiannya dinamakan Nova)? Mengapa beliau tidak boleh bercakap? Segalanya akan terjawab dengan menonton filem ini di pawagam berhampiran.

Jalan Cerita dan Lakonan

Harus dijelaskan dahulu bahawa tidak seperti digambarkan tajuk filem ini, sebahagian besar filem ini merupakan filem drama, survival dan adventure, dan bukan filem aksi. Peperangan hanya terjadi di awal dan akhir filem ini. Jika anda menonton filem ini dengan harapan untuk menonton aksi peperangan, mungkin anda akan sedikit hampa, walaupun terdapat babak peperangan di awal dan akhir filem. Babak peperangannya juga tidak dirancangkan dengan teliti dan kelihatan terlalu amateur kerana tidak menampilkan sebarang unsur taktikal yang biasa ada pada pihak tentera.

Namun jika anda minat dengan filem yang menyiasat sebab-sebab suatu perkara terjadi, filem ini tidak menghampakan. Ia merungkai kenapa bilangan manusia semakin turun, mengapa Nova tidak boleh bercakap dan segalanya mengenai mengapa dunia berada dalam keadaan tersebut. Anda cuma perlu beri tumpuan kepada perjalanan ceritanya dan pengarahnya telah membuatkan supaya penonton mudah memahami perjalanan cerita.

War for the Planet of the Apes

Lawak jenaka dalam filem ini pula sangat “subtle” atau halus dan tidak lah jelas seperti dalam filem-filem Marvel, namun, ia bukannya lawak slapstik dan anda tetap akan tersenyum sendiri menonton gelagat lucu watak-wataknya.

Tetapi apa yang mungkin sedikit menghampakan ialah kisahnya tamat dengan tidak begitu epik. Kami difahamkan ini merupakan filem terakhir dalam siri The Planet of the Apes (mungkin kami silap?), namun kami tidak berapa puas hati dengan kesudahannya. Tidak dapat dinafikan, ia mempunyai kesudahan “happy endding“, tetapi, sungguhpun demikian kami merasakan terdapat ruang yang luas untuk memperhebatkannya, malah terdapat ruang untuk membikin sebuah lagi sekuel.

Lakonan para pelakon utama dalam filem ini sememangnya harus diberi pujian. Watak-watak mawas dilakonkan menggunakan teknologi motion capture dan para pelakon yang melakonkan watak-watak tersebut sememangnya berjaya meniru gaya mawas dengan baik. Dalam keadaan ini, jika kita membandingkan dengan watak manusia, lakonan watak manusia pula dirasakan kurang hebat. Ini mungkin helah pengarah untuk memastikan penonton lebih bersimpati dengan watak-watak mawas. Tambahan pula animasi CGi mawas sangat baik sehinggakan ia kelihatan seperti mawas yang sebenar.

Positif vs Negatif

Positif

  • Lakonan dan CGI yang terbaik
  • Jalan cerita yang menarik, walaupun sedikit perlahan
  • Terbuka untuk sekuel

Negatif

  • Babak peperangan yang amateur
  • Akan menghampakan penonton yang mengharapkan aksi

Kesimpulan

Kesimpulannya filem War for the Planet of the Apes memerlukan penontonnya lebih menghayati watak Caesar dan perjalanan ceritanya berbanding aksi dan peperangan. Bagi anda yang sememangnya menggemari filem sebegini, anda akan menikmatinya dan jika anda jenis yang mengharapkan aksi seperti Fast and Furious, anda akan hampa. Kami mengesyorkan anda yang telah mengikuti filem-filem sebelumnya untuk menonton filem ini bagi mengetahui kesudahannya. Jika anda tidak mengikuti filem-filem sebelumnya, mungkin anda akan melihat filem ini sebagai sebuah filem yang menarik.

Penilaian: 8/10

IMDB

The post War for the Planet of the Apes [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2uU0exw