Search This Blog

Midnight Diner 2 [Review]

Admin sedikit sibuk minggu ini dan hanya kini sempat menulis review filem Midnight Diner 2 ini. Terima kasih kepada pihak GSCinemas kerana menaja tayangan perdana filem ini. Sebenarnya kami tidak begitu mengetahui mengenai kehadiran filem ini, namun apabila mendapat tiket percuma ke tayangan perdana, kami tidak melepaskan peluang menonton filem Jepun ini.

Midnight Diner 2 [Review]

Midnight Diner 2 adalah filem kedua dalam siri filem drama yang dibikin berdasarkan manga bertajuk “Shinya Shokudo” Yaro Abe. Ia mengisahkan seorang pemilik kedai makan istimewa yang membuka kedainya dari tengah malam hingga 7 pagi. Dalam masa ia dibuka, pelbagai jenis pelanggan tetap yang hadir ke kedai makannya sambil bersosial. Istimewanya tentang kedai makan ini ialah, pesanlah apa sahaja dan chef yang digelar “Master” itu akan melakukan terbaik untuk memasaknya.

Namun, filem ini bukan hanya berkenaan kedai makan itu. Ia memberi tumpuan kepada kisah-kisah hidup para pelanggannya yang bermacam ragam, semuanya datang makan di kedai berkenaan. Terdapat beberapa kisah berlainan yang diceritakan, seitap satu unik dan menarik.

Untuk mengetahui apa kisah-kisah berkenaan, tontonlah filem ini di pawagam GSC berhampiran anda.

Jalan Cerita

Harus ditekankan, filem ini adalah sebuah filem drama, jadi jika anda menonton filem ini, anda perlu meletakkan jangkaan sewajarnya sebelum menonton. Ia tidak mempunyai babak aksi mendebarkan dan 100% bergantung kepada kehebatan jalan cerita dan lakonan pelakonnya. Dari segi itu, ia tidak menghampakan.

Jika anda gemarkan filem drama yang menyorot budaya dan ragam kehidupan orang Jepun, filem ini memang untuk anda. Lakonan para pelakonnya sangat baik dan berkarektor. Jalan ceritanya juga disusun dengan rapi sekali dan setiap kisah wataknya mempunyai pengajarannya tersendiri yang juga releven di dalam masyarikat Malaysia. Malah lawak jenakanya juga disusun dengan bijak dan tidak disangka-sangka.

Tetapi seperti dijelaskan di awal tadi, ia sebuah filem drama dan bukan untuk semua orang. Filemnya berkembang dengan agak perlahan dan tiada babak aksi untuk menghiburkan peminat aksi. Namun sebagai sebuah filem berkategori drama, ia sebuah filem yang berkualiti. Jika anda jenis penonton yang gemar menonton drama, anda akan terhibur dengan filem ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita dan lakonan yang mantap
  • Di penghujung filem ini, kami sebenarnya masih mengharap terdapat lagi kisah-kisah pelanggan yang akan diceritakan. Kami sedikit terbawa-bawa dengan kisah-kisah yang dipaparkan.

Negatif

  • Bukan untuk semua orang
  • Perlukah filem drama ditonton di pawagam?

Kesimpulan

Filem Midnight Diner 2 pada pandangan pertama trailernya mungkin bukan sebuah filem dalam senarai tontonan anda, namun setelah menontonnya, kami agak terhibur di luar jangkaan. Kami dapat rasakan, golongan wanita akan lebih tertarik menonton filem ini, walaupun kaum lelaki juga tidak terkecuali dari menonton filem ini.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Midnight Diner 2 [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2wNrYqI

The Hitmans Bodyguard [Review]

Sejak kali pertama menonton trailer The Hitmans Bodyguard yang lucu, kami tertunggu-tunggu untuk menonton filem sebenar. Apa tidaknya, gandingan mantap “Deadpool” dengan “Nick Fury” tentunya membawa kepada pelbagai kemungkinan yang lucu. Kami sempat menontonnya semalam dan inilah pendapat kami mengenainya.

The Hitmans Bodyguard [Review]

Michael Bryce lakonan Ryan Reynolds adalah seorang pengawal peribadi bertaraf 3 bintang yang telah jatuh ke tahap terendah akibat gagal menjalankan tugas mempertahankan kliennya yang telah dibunuh penembak tepat. Kini beliau bekerja sebagai pengawal peribadi bagi klien-klien tahap rendah yang tidak mampu membayar bayaran tinggi. Dengan kata lain, beliau kini miskin.

Darius Kincaid lakonan Samuel L. Jackson pula merupakan seorang pembunuh upahan terhandal yang telah ditangkap dan membuat perjanjian dengan mahkamah jenayah perang di The Hague untuk memberi keterangan ke atas jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh persiden Belarus, Dukhovich. Beliau terpaksa melakukan keterangan itu untuk membebaskan isterinya yang telah ditangkap Interpol.

Namun, Dukhovich mengarahkan semua saksi jenayahnya dibunuh, termasuklah Kincaid. Mereka bercadang membunuhnya dalam perjalanannya dari Manchaster, England ke The Hague. Konvoi penghantarannya diketuai Amelia Roussel, bekas teman wantia Bryce. Apabila konvoi membawa Kincaid diserang, Amelia meminta bantuan Bryce untuk menghantar kincaid, yang cedera, ke The Hague. Di situ bermula kisah mereka. Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita Dan Lakonan

Sejujurnya, jalan cerita yang ditampilkan dalam filem ini bukanlah satu yang baharu. Filem diktator mahu membunuh saksi jenayah telah biasa kita lihat dalam filem Holywood. Namun tidak dalam sebuah filem komedi aksi. Kekuatan filem ini bukan pada jalan ceritanya, sebaliknya pada lakonan mantap dan bertenaga kedua pelakon utamanya Samuel L. Jackson dan Ryan Reynolds. Mereka memang serasi dan lucu tahap maksima. Tambah-tambah lagi, Kincaid dan Bryce memang bermusuh dan Kincaid telah beberapa kali hampir membunuh Bryce. KOmedi yang ditampilkan juga bukan slapstik, sebaliknya telah difikirkan dan disampaikan dengan bijak.

Aksi-aksi yang ditampilkan tiada henti dan di antaranya Kincaid dan Bryce bercerita tentang kisah cinta mereka dengan Kincaid memberi banyak nasihat cinta kepada Bryce, di mana beliau tidak ingin mendengarnya. Pertembungan dua personaliti yang berbeza ini yang membuatkan semuanya lucu. Sememangnya satu panggung wayang bergelak ketawa tanpa henti menonton filem tersebut.

Pendek kata, filem ini tidak akan memenangi anugerah Oscar, namun kami yakin ia akan menghiburkan sesiapa  yang menontonnya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Karektor Kincaid dan Bryce yang mempunyai personaliti bertentangan menjadikan filem ini sengat lucu.
  • Walaupun filem komedi, ia tidak kedekut dari segi babak aksi mendebarkannya.
  • Olahan cerita yang menarik di mana poin-poin serious dalam filem ini tidak dirosakkan oleh unsur lucu.

Negatif

  • Jalan cerita tipikal dan boleh dijangka

Kesimpulan

Jelas sekali filem komedi The Hitmans Bodyguard merupakan sebuah filem komedi aksi yang pada dasarnya mempunyai jalan cerita yang serious, namun disampaikan dalam medium komedi dan ia disasarkan kepada mereka yang ingin melepaskan tekanan di hujung minggu. Oleh itu ajaklah rakan-rakan anda sama-sama menonton filem ini kerana kami pasti anda akan melupakan segala masalah apabila menonton filem ini.

Penilaian: 8/10

IMDB

The post The Hitmans Bodyguard [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2wfnqKc

Tayangan Percuma Sempena Perasmian GSC Melawati Mall

Bagi yang tinggal di sekitar Taman Melawati, Wangsa Maju atau Wangsa Melawati, tentu sudah tahu bahawa Melawati Mall telah dibuka kepada orang ramai. Namun panggung wayangnya yang diurus GSC hanya akan dirasmikan hujung minggu ini. Untuk itu, GSC Melawati Mall akan mengadakan tanyangan percuma beberapa filem terdahulu bagi membolehkan anda mencuba fasiliti tersebut buat pertama kali.

Tayangan Percuma Sempena Perasmian GSC Melawati Mall

Untuk mendapat tiket tersebut, cetak kupon di atas (klik kanan dan “save image as”, kemudian cetak) dan bawa ke GSC Melawati Mall dari 19 hingga 23 Ogos untuk menebus 2 tiket percuma menonton filem yang tersenarai. Seorang boleh menebus dua kupon, bermakna anda boleh menebus sejumlah 4 tiket. Walaubagaimanapun segalanya bergantung kepada tiket yang tersedia yang diedarkan secara “siapa cepat dia dapat”. Dengan kata lain, ia tertakluk kepada terma dan syarat. Jadual tayangan disertakan di bawah. Klik untuk membesarkan imej.

The post Tayangan Percuma Sempena Perasmian GSC Melawati Mall appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2v3VvYG

Revolt [Review]

Menjadi kebiasaan kami menonton filem-filem arus perdana yang disasarkan kepada penonton umum, namun, kadang-kala kami juga menonton filem rawak yang tidak terkenal dan kali ini kami menonton filem Revolt, sebuah filem sci-fi dibintangi Lee Pace sebagai watak utamanya, Bo.

 

Revolt [Review]

Kisah Revolt berlangsung di Kenya di mana dron-dron makhluk asing telah menguasai bumi dan membunuh atau menculik manusia yang berada di atas bumi. Bo seorang askar elit Amerika yang ditugaskan untuk melawan makhluk asing itu. namun beliau telah terkena letupan dan pengsan. Apabila sedar, beliau hilang ingatan dan berada dalam sebuah lokap balai polis kira-kira 500KM dari pangkalan tentara Amerika yang beliau ditempatkan.

Bersama seorang lagi tahanan polis, Nadia, beliau cuba pulang ke pangkalan tenteranya hidup-hidup sambil diburu oleh dron makhluk asing serta diganggu panglima tentera puak-puak bertelagah di Afrika. Dapatkah mereka sampai ke pangkalan tersebut hidup-hidup? Tonton filem ini untuk mengetahui lebih lanjut.

Revolt

Jalan Cerita dan Sinematografi

Awal-awal lagi filem ini telah menunjukkan ia sebuah filem sci-fi aksi bajet. Pertama sekali watak utamanya hanya dua orang dan yang lain merupakan pelakon tambahan. Namun positifnya lakonan pelakon-pelakon tambahan agak memberangsangkan, terutamanya yang melakonkan puak-puak Afrika.

Tetapi, dialog dan plotnya agak terlalu ringkas dan terlalu “straight to the point” tanpa sebarang putaran plot. Jalan ceritanya klise dan tiada apa yang baru mengenainya. Dua watak utamanya Bo dan Nadia juga terlalu mudah untuk mempercayai antara satu dengan lain. Biasanya dua watak filem aksi yang tidak mengenal antara satu dengan lain tidak akan hanya menjadi rapat setelah berlaku konflik dan mereka telah membuktikan antara satu dengan lain bahawa mereka boleh mempercayai antara satu dengan lain, bukan terus rapat sejak pertama kali berjumpa.

Sinematografinya selari dengan sebuah filem bajet, tetapi tidaklah seteruk yang disangkakan. Rekabentuk dron makhluk asing memang lain dari yang lain tetapi kelihatan agak pelik di mana pada pandangan pertama ia kelihatan seperti seekor ayam tidak berkepala kerana dron tersebut mempunyai kaki panjang, tetapi badannya kecil. CGI yang digunakan pula tidak sehebat filem Holywood lain, namun tidaklah teruk dengan mengambil kira ie mempunyai bajet kecil.

Positif vs Negatif

Positif

  • penampilan filem ini agak baik bagi sebuah filem sci-fi bajet.
  • Babak aksi yang “boleh tahan”

Negatif

  • Jalan cerita kurang menarik dan tiada apa yang baharu

Kesimpulan

Sejujurnya filem Revolt ini kelihatan seperti sebuah projek seorang pengarah yang baharu melangkah kaki keluar dari Kolej perfileman. Dari segi visualnya, ia kelihatan OK, namun jalan plot filem ini pula yang menghampakannya. Akhirnya apa yang tinggal adalah sebuah filem yang mempunyai cita-cita tinggi dan berpotensi menjadi sebuah filem epik, tetapi mempunyai pelaksanaan yang kurang menawan. Kami tidaklah merekomen filem ini, namun jika ia ditayangkan di Astro atau HypTV, bolehlah anda tontonnya secara santai di rumah.

Penilaian: 6/10

IMDB

The post Revolt [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2wFNknk

Bad Genius [Review]

Setelah menonton trailer filem Thai Bad Genius kami tertarik untuk menonton filem yang kelihatan funky dan bertenaga ini. Biasanya filem Thai yang kami tonton adalah filem seram yang mana menjadi kepakaran pembikin filem Thai. Kali ini kami mengambil risiko untuk menonton filem ini dan nampaknya memang berbaloi.

 Bad Genius [Review]

Bad Genius mengisahkan seorang genius bernama Lynn yang begitu bijak sehingga mendapat biasiswa untuk belajar di sebuah sekolah swasta terkenal. Pada hari pertama beliau masuk ke sekolah, beliau telah mendapat seorang kawan baik bernama Grace. Mengetahui Lynn seorang genius, Grace meminta Lynn menjadi tutornya untuk subjek matematik. Sungguhpun beliau telah mengajar, Grace masih tidak mampu menjawab soalan peperikasaan, memaksa Lynn mencari helah untuk memberi jawapan peperikasan kepada Grace. Mujurlah soalan peperikasaan semuanya objektif, memudahkan beliau memberikan jawapan.

Bad Genius

Eisaya Hosuwan melakonkan Grace mirip Nelydia Senrose

Walaupun Lynn bukan bermaksud membantu Grace meniru jawapannya dalam peperiksaan, khabar mengenai kebolehan “menipunya” dan bermulalah pelajar-pelajar kaya menawarkan bayaran untuk mendapat jawapan semasa peperiksaan. Cara bijak untuk memberitahu “pelanggannya” jawapan ialah dengan mengajuk bermain lagu piano berlainan untuk memberitahu samada jawapan adalah A, B, C atau D.

Namun datanglah pula seorang genius lain bernama Bank (lelaki) yang jujur lagi amanah menjadi pesaingnya. Bagaimanakah ini memberi kesan kepada Lynn? Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam berhampiran.

Jalan Cerita, Sinematografi dan Lakonan

Sepintas lalu menilai sinematografi filem ini dalam 5 minit pertama, jelas sekali filem ini mempunyai sinematografi yang berkualiti menjadikan filem ini sedap dipandang. Namun lebih penting adalah jalan ceritanya menarik, bijak dan mendebarkan. Babak-babak menipu dalam peperiksaan dibuat dengan begitu baik dan difikirkan dengan teliti supaya tidak bosan atau tidak logik. Ternyata pengarahnya tidak mengambil mudah pembikinan babak-babak ala misi rahsia Mission Impossible. Serious, babak mendebarkannya sememangnya mendebarkan.

Terdapat babak-babak lucu, namun ia tidaklah menonjolkan sangat babak-babak tersebut kerana pengarah tahu filem ini bukan filem lucu per se, tetapi sebuah drama/thriller yang mengetengahkan “sindiket” menipu peperikasaan yang diketuai oleh Lynn. Watak-watak juga dilakonkan dengan baik oleh barisan pelakon mudanya (walaupun jelas sekali mereka bukan semuda yang dipaparkan dalam filem ini).

Namun, filem Bad Genius ini bukan setakat menghiburkan, padat dengan kandungan (hampir tiada babak membazir) dan lucu, malah mempunyai pengajaran berguna buat semua, samada anda golongan pendidik, pelajar mahupun pembuat polisi pendidikan. Ia memaparkan bagaimana sistem pendidikan yang menekankan peperiksaan digunakan oleh sesetengah orang untuk keuntungan. Bukan sahaja oleh pihak seperti Lynn, malah institusi pendidikan. Ia juga menunjukkan bagaimana wang boleh mengubah seseorang. Ada banyak lagi pengajaran yang boleh dipelajari dalam filem ini, tetapi kami biarkan anda mengetahuinya sendiri dengan menonton filem ini.

Jika anda biasa menonton iklan Thai yang menarik dikongsi di media sosial, filem ini adalah manifestasi kebolehan pengarah filem Thai dalam membikin filem yang memberi impak kepada penontonnya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita, sinematografi, rentak dan lakonan yang menghiburkan.
  • Pengajaran cerita yang relevan

Negatif

  • Betulkah semua peperiksaan di Thailand mempunyai hanya soalan objektif?

Kesimpulan

Filem Bad Genius sememangnya sebuah filem yang wajib ditonton. OK, sejujurnya ia bukanlah filem terbaik 2017, namun ia menghiburkan, bijak, lucu dan tidak banyak perkara negatif yang boleh dikatakan mengenainya. Ia menghiburkan dan pada masa yang sama memberi pengajaran penting kepada golongan remaja dan juga pendidik. Kami berharap pengarah filem di Malaysia boleh membikin lebih banyak filem-filem sebegini yang tidaklah mempunyai bajet terlalu besar, tetapi mempunyai impak besar melalui jalan ceritanya. Filem ini mempunyai bajet 60juta baht iaitu lebih kurang RM 7.8juta, suatu jumlah yang boleh dianggap kecil sekiranya diambil kira potensi untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Penilaian: 8/10

IMDB

The post Bad Genius [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2vZ0tuE

The Dark Tower [Review]

Filem The Dark Tower telah di”hype“kan memandangkan ia dibikin berdasarkan siri novel penulis terkenal Stephan King,  The Dark Tower yang mempunyai ramai peminatnya. Namun, adakah filem sebenarnya menyamai hype yang diuar-uarkan mengenainya? Kami berpeluang menonton filem ini untuk menilai sendiri. Kami tidak pernah membaca novel berkenaan, jadi kami menilai dari sudut “orang awam” yang pertama kali mendengar mengenai kisah The Dark Tower.

The Dark Tower

The Dark Tower [Review]

Dalam kisah The Dark Tower, the Dark Tower merupakan satu menara gelap yang mengeluarkan kuasa ajaib, membentuk perisai yang mempertahankan cakerawala, yang terdiri dari ratusan atau ribuan dunia, dari kuasa-kuasa kejahatan yang terletak di luar lingkungan perisai berkenaan. Seorang ahli sihir bernama Walter, juga digelar The Man in Black merancang untuk meruntuhkan menara tersebut bagi membolehkan segala makhluk jahat memasuki dan menguasai dunia-dunia yang berada dalam lingkungan perisai menara gelap itu.

Untuk meruntuhkan menara tersebut, Walter perlu menggunakan kuasa minda kanak-kanak istimewa bagi mewujudkan satu aliran tenaga yang ditembak ke arah menara tersebut bagi meruntuhkannya. Di sini lah peranan Jake Chambers, seorang kanak-kanak di New York yang mempunyai minda yang istimewa yang disalah anggap sebagai masalah mental oleh orang lain. Beliau sering bermimpi mengenai menara gelap, The Man In Black dan watak Gunslinger yang ditugaskan mempertahankan menara gelap itu.

Prejudis terhadap kuasa mindanya memuncak apabila ibu dan bapa tirinya mengambil keputusan menghantarnya ke pusat sakit mental. Tidak mahu mengalah, Jake telah melarikan diri dan mula menyiasat segala apa yang beliau mimpikan. Apakah yang akan beliau temui? Tonton kesudahannya di pawagam berhampiran.

Jalan Cerita

Pada bahagian awal filem ini, ia menunjukan potensi yang tinggi untuk menjadi sebuah filem yang menarik dengan portal-potal ke dunia lain serta makhluk-makhluk ganjil dari perbatasan perisai menara gelap. Namun, semakin lama menonton filem ini, didapati ia tidak menterjemahkan potensi tersebut kepada satu interpertasi dunia yang menarik dan terperinci sepertimana dilakukan dengan siri Harry Potter, Lord of the Rings dan Fantastic Creatures. Dengan kata lain pengarah gagal mengekspresikan dunia Dark Tower secara immersive, yang akan membuatkan penonton berasa terpaut pada dunia tersebut.

Bercakap mengenai dunia yang menjadi latarbelakang filem The Dark Tower, selain berlangsung di dunia kita (bumi), ia juga berlangsung di dunia yang dinamakan mid-earth yang digambarkan sebagai sebuah dunia umpama zaman koboi. Apa yang aneh ialah teknologi yang digunakan Walter dan konco-konconya jelas sekali berteknologi tinggi dengan portal dan HQ yang melampaui teknologi bumi. Malah Gunslinger juga menggunakan pistol dari zaman koboi. Dari segi itu, ia agak mengelirukan penonton.

Bukan itu sahaja, jalan cerita ini juga agak simplistik dan mudah dijangka. Ia juga tidak dibantu oleh watak jahat (Walter) yang terlampau berkuasa. Kami rasa dia mampu menghapuskan semua manusia di dunia tanpa masalah besar. Mujurkah kuasa sihirnya tidak berkesan kepada Gunslinger dan Jake, jika tidak filem ini boleh berakhir sejurus ia bermula.

Walaubagaimanapun, tidak semuanya teruk. Babak aksinya mendebarkan dengan Gunslinger menembak dan mengisi peluru secara sangat bergaya. Itu sahaja yang menarik mengenai filem ini. Malah setelah tamat menonton filem ini, anda tidak akan terasa untuk menonton sebuah sequel filem ini, walaupun babak terakhir menunding kepada sebuah sekuel. Itu pun jika sebuah sequel dibikin.

Positif vs Negatif

Positif

  • Babak aksi yang mendebarkan

Negatif

  • Jalan cerita yang lemah dan mudah dijangka
  • Interpertasi dunia yang kurang memberangsangkan
  • Pengenalan watak-watak yang agak lemah, terutama watak sokongan.

Kesimpulan

Filem The Dark Tower sememangnya tidak sehebat hype mengenainya. Mungkin pengarah menganggap penonton yang akan menontonnya adalah terdiri dari golongan yang telah membaca novelnya, dan mungkin sebab itu beliau kurang menekankan perincian mengenai latarbelakang dunia di Dark Tower. Namun, jalan cerita yang lemah dan tidak immersive menyebabkan kami tidak tertarik atau terpaut kepada watak-watak mahupun jalan cerita filem ini. Dengan kata lain ia tidak menyebabkan pautan emosi antara penonton dan watak-watak filem. Kami tidak merekomen filem ini dan mungkin lebih baik anda menanti ia ditayangkan di Astro atau HyppTV.

Penilaian: 6/10

IMDB

The post The Dark Tower [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2v4Ewcg