Search This Blog

Bad Genius [Review]

Setelah menonton trailer filem Thai Bad Genius kami tertarik untuk menonton filem yang kelihatan funky dan bertenaga ini. Biasanya filem Thai yang kami tonton adalah filem seram yang mana menjadi kepakaran pembikin filem Thai. Kali ini kami mengambil risiko untuk menonton filem ini dan nampaknya memang berbaloi.

 Bad Genius [Review]

Bad Genius mengisahkan seorang genius bernama Lynn yang begitu bijak sehingga mendapat biasiswa untuk belajar di sebuah sekolah swasta terkenal. Pada hari pertama beliau masuk ke sekolah, beliau telah mendapat seorang kawan baik bernama Grace. Mengetahui Lynn seorang genius, Grace meminta Lynn menjadi tutornya untuk subjek matematik. Sungguhpun beliau telah mengajar, Grace masih tidak mampu menjawab soalan peperikasaan, memaksa Lynn mencari helah untuk memberi jawapan peperikasan kepada Grace. Mujurlah soalan peperikasaan semuanya objektif, memudahkan beliau memberikan jawapan.

Bad Genius

Eisaya Hosuwan melakonkan Grace mirip Nelydia Senrose

Walaupun Lynn bukan bermaksud membantu Grace meniru jawapannya dalam peperiksaan, khabar mengenai kebolehan “menipunya” dan bermulalah pelajar-pelajar kaya menawarkan bayaran untuk mendapat jawapan semasa peperiksaan. Cara bijak untuk memberitahu “pelanggannya” jawapan ialah dengan mengajuk bermain lagu piano berlainan untuk memberitahu samada jawapan adalah A, B, C atau D.

Namun datanglah pula seorang genius lain bernama Bank (lelaki) yang jujur lagi amanah menjadi pesaingnya. Bagaimanakah ini memberi kesan kepada Lynn? Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam berhampiran.

Jalan Cerita, Sinematografi dan Lakonan

Sepintas lalu menilai sinematografi filem ini dalam 5 minit pertama, jelas sekali filem ini mempunyai sinematografi yang berkualiti menjadikan filem ini sedap dipandang. Namun lebih penting adalah jalan ceritanya menarik, bijak dan mendebarkan. Babak-babak menipu dalam peperiksaan dibuat dengan begitu baik dan difikirkan dengan teliti supaya tidak bosan atau tidak logik. Ternyata pengarahnya tidak mengambil mudah pembikinan babak-babak ala misi rahsia Mission Impossible. Serious, babak mendebarkannya sememangnya mendebarkan.

Terdapat babak-babak lucu, namun ia tidaklah menonjolkan sangat babak-babak tersebut kerana pengarah tahu filem ini bukan filem lucu per se, tetapi sebuah drama/thriller yang mengetengahkan “sindiket” menipu peperikasaan yang diketuai oleh Lynn. Watak-watak juga dilakonkan dengan baik oleh barisan pelakon mudanya (walaupun jelas sekali mereka bukan semuda yang dipaparkan dalam filem ini).

Namun, filem Bad Genius ini bukan setakat menghiburkan, padat dengan kandungan (hampir tiada babak membazir) dan lucu, malah mempunyai pengajaran berguna buat semua, samada anda golongan pendidik, pelajar mahupun pembuat polisi pendidikan. Ia memaparkan bagaimana sistem pendidikan yang menekankan peperiksaan digunakan oleh sesetengah orang untuk keuntungan. Bukan sahaja oleh pihak seperti Lynn, malah institusi pendidikan. Ia juga menunjukkan bagaimana wang boleh mengubah seseorang. Ada banyak lagi pengajaran yang boleh dipelajari dalam filem ini, tetapi kami biarkan anda mengetahuinya sendiri dengan menonton filem ini.

Jika anda biasa menonton iklan Thai yang menarik dikongsi di media sosial, filem ini adalah manifestasi kebolehan pengarah filem Thai dalam membikin filem yang memberi impak kepada penontonnya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita, sinematografi, rentak dan lakonan yang menghiburkan.
  • Pengajaran cerita yang relevan

Negatif

  • Betulkah semua peperiksaan di Thailand mempunyai hanya soalan objektif?

Kesimpulan

Filem Bad Genius sememangnya sebuah filem yang wajib ditonton. OK, sejujurnya ia bukanlah filem terbaik 2017, namun ia menghiburkan, bijak, lucu dan tidak banyak perkara negatif yang boleh dikatakan mengenainya. Ia menghiburkan dan pada masa yang sama memberi pengajaran penting kepada golongan remaja dan juga pendidik. Kami berharap pengarah filem di Malaysia boleh membikin lebih banyak filem-filem sebegini yang tidaklah mempunyai bajet terlalu besar, tetapi mempunyai impak besar melalui jalan ceritanya. Filem ini mempunyai bajet 60juta baht iaitu lebih kurang RM 7.8juta, suatu jumlah yang boleh dianggap kecil sekiranya diambil kira potensi untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Penilaian: 8/10

IMDB

The post Bad Genius [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2vZ0tuE