Search This Blog

American Assassin [Review]

Sekali lalu menonton trailer filem American Assassin, kami boleh menjangkakan keseluruhan jalan cerita filem tersebut kerana pada pengalaman kami sudah terdapat banyak filem sebegini yang telah ditayangkan sebelum ini. Namun betulkah sangkaan kami? Kami menonton filem ini di pawagam untuk mengetahui sejauh mana jangkaan kami benar.

American Assassin [Review]

America Assassin mengisahkan Mitch Rapp yang kehilangan tunangnya dalam satu serangan pengganas semasa bercuti di tepi pantai. Sejak hari itu, beliau obses untuk membalas dendam ke atas pengganas yang telah membunuh tunangnya itu. Dengan memiliki kemahiran seni mempertahankan diri yang tinggi dan kebolehan penyiasatan luarbiasa, beliau berjaya menemui pengganas tersebut dan mula menyelinap masuk ke sel pengganas yang diketuai oleh orang yang merancang serangan bersenjata yang membunuh tunangnya.

Tetapi perkara ini tidak dapat disembunyikan dari pihak CIA, mereka juga menjejak pengganas tersebut dan mengintip Mitch untuk mengetahui kedudukan pengganas tersebut. Semasa Mitch ingin menyelinap masuk ke sel pengganas itu, beliau ditangkap dan dibawa menemui ketua pengganas yang ingin beliau bunuh. Tanpa disangka, pihak CIA menyerang dan menyelamatkan beliau dari pengganas itu. Pada masa yang sama, serangan ini merampas peluang Mitch untuk membunuh ketua pengganas itu dengan tangannya sendiri. Selepas itu, pihak CIA mengambilnya sebagai anggota pasukan elit rahsia yang diketuai Stan Hurley.

Kemudian, muncul pula komplot yang mengatakan satu kumpulan di dalam pihak tentera dan kerajaan Iran yang mahu mendapatkan senjata nuklear di pasaran gelap. Mereka mengupah seorang pakar yang diberi nama jolokan Ghost. Siapakah Ghost ini? Mengapa beliau dapat mengagak langkah-langkah pihak CIA? Untuk mengetahui jawapannya, tontonlah filem in di pawagam berhampiran.

Jalan Cerita dan Lakonan

Setelah menonton separuh daripada filem ini, kami sudah dapat membuat kesimpulan bahawa filem ini lebih kurang seperti filem-filem aksi pengintipan yang banyak dihasilkan Holywood. Ia mempunyai putaran plotnya tersendiri, namun lazimnya ia mengenai seorang agent CIA yang mempunyai sikap yang tidak konvensional dan tidak gemar mengikut arahan. Sememangnya plot yang sering kita lihat dalam kebanyakan filem dalam genre ini dan walaupun dibikin berasaskan siri novel pengintipan dengan tajuk yang sama, karangan Vince Flynn, ia tidak berjaya membawa banyak kelainan dalam genre ini.

Walaubagaianapun, filem ini bukanlah sebuah filem yang teruk. Babak aksi dan berlawannya sememangnya mendebarkan, cuma jalan ceritanya boleh dijangka dan kurang sofistiketed untuk citarasa penonton genre ini pada masa kini. Ia tidak mempunyai impak yang akan menarik penonton untuk menonton filem akan datang dalam siri filem ini (siri novel American Assassin mempunyai lebih 10 buah novel).

Tiada banyak komen mengenai mutu lakonan yang rata-rata baik, tetapi mungkin lakonan Michael Keaton agak melebih-lebih pada pendapat kami. Selain itu, tidak banyak boleh dikatakan mengenai filem ini dari sudut lakonan.

Positif vs Negatif

Positif

  • Masih lagi menghiburkan sebagai sebuah filem aksi/pengintipan
  • Lokasi penggambaran yang menarik

Negatif

  • Jalan cerita dan plot yang boleh dijangka
  • Tiada apa yang baru

THE-LONG-WALK-C-BLACK-17118.CR2

Kesimpulan

Filem American Assassin merupakan sebuah filem aksi pengintipan yang biasa-biasa sahaja. Namun ia tidaklah teruk sehingga menyebabkan penonton tertidur, cuma ia juga tidak mempunyai “X factor” yang dapat membezakannya dengan filem dalam genre yang sama. Tontonlah filem ini dengan mindset yang santai dan jangan terlalu mengharap terlalu banyak. Dengan cara itu anda mungkin akan terhibur dengan filem ini.

Penilaian: 6.5/10

IMDBhttp://www.imdb.com/title/tt1961175/

The post American Assassin [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2fesUKS