Search This Blog

Blade Runner 2049 [Review]

Filem Blade runner asal diterbitkan pada tahun 1982 dan merupakan sebuah filem yang boleh dikatakan “cult classic” yang mempunyai peminat niche yang tersendiri. Filem ini meletup pada ketika itu kerana kesan khas yang jauh mendahului zamannya serta paparan sebuah dunia futuristik yang terperinci dan kreatif serta menjadi “benchmark” kepada filem futuristik selepas itu. Malah jika anda menonton filem asal pada zaman sekarang, anda mungkin tidak percaya ia diterbitkan pada tahun 1982 dan mungkin anda memikirkan ia dibuat pada pertengahan atau penghujung 90an (jika anda generasi millennial, mungkin anda tidak faham perumpaan ini). Mungkin benar, admin belum lahir lagi pada tahun 1982, namun admin hidup dalam seanjang tahun 90an, jadi admin biasa menonton filem pada zaman 80an – 90an. Kini setelah 30 tahun, sequel Blade runner bertajuk Blade Runner 2049 telah diterbitkan. Bagaimanakah penilaiannya berbanding filem asal, dan adakah penonton yang menonton filem asal 35 tahun dahulu, akan berpuashati dengan filem sequel ini?

Blade Runner 2049

Blade Runner 2049

[Terdapat sedikit spoiler di sini] Blade Runner 2049 merupakan sequal terus dari filem asalnya yang menceritakan pada tahun-tahun menjelang 2020, sejenis manusia yang dipanggil Replicants telah dicipta secara kejuruteraan genetik untuk dijadikan pekerja yang bekerja di koloni manusia di angkasa. Jika dalam filem asal, Tyrell Corporation menjadi pelopor teknologi kejurteraan genetik ini, kini Wallace corporation pula telah mengambil alih syarikat berkenaan yang telah bankrap dan menyambung pembangunan Replicants untuk menjadi produk yang lebih patuh arahan.

Jika dalam filem asal, konflik yang menjadi elemen utama plotnya ialah pihak replicant ini mula mempunyai kesedaran untuk berfikir untuk kepentingan diri, menyebabkan pihak Tyrell Corporation mengupah orang bernama Blade Runner untuk memburu dan membunuh replicant yang memilih untuk tidak patuh kepada tujuan asal penciptaan mereka. Dalam sequalnya, Blade Runner pula, agen Blade Runner ini juga terdiri dari golongan replicant dan memburu saki-baki replicant yang tidak berjaya ditangkap dan dibunuh. Sukar untuk mengesan replicant ini kerana mereka mempunyai rupa seperti manusia, namun mereka dapat dikesan jika disoalsiasat dan ditanyakan soalan-soalan tertentu yang membezakan emosi manusia dengan replicant yang kurang beremosi.

Konflik yang berlaku dalam Blade Runner 2049 pula adalah, replicant telah mencapai satu tahap evolusi yang lebih tinggi, ia boleh membiak. Seorang anak replicant telah lahir lebih kurang 30 tahun dahulu dan diserapkan kepada populasi manusia biasa melalui sistem rumah anak yatim. “K” lakonan Ryan Gosling merupakan seorang pegawai Polis LAPD, merangkap Blade Runner yang ditugaskan untuk mencari dan membunuh anak replicant itu bagi mengelakkan ia mencabar dominasi manusia asal, memandangkan replican mempunyai fizikal yang lebih kuat berbanding manusia biasa. Pada masa yang sama, Wallace Corporation ingin mencari anak tersebut dan membuat eksperimen ke atasnya bagi menentukan apa yang membuatkan replicant boleh membiak. Ini untuk membolehkan replicant yang dikeluarkan syarikat itu boleh bertambah dengan cepat dan mewujudkan lebih banyak tenaga kerja hamba untuk koloni angkasa manusia. Pada masa ini, syarikat Wallace Corporation tidak mempunyai kapasiti yang cukup untuk menghasilkan replicant untuk memenuhi permintaan. [Spoiler tamat]

Apakah K akan dapat mencari anak replicant tersebut? Apakah pula impaknya kepada dunia? Ketahui kesudahannya dengan menonton filem ini di pawagam.

Review

Sebelum pergi jauh lagi, bagi benar-benar menghayati filem Blade Runner 2049, anda wajib menonton filem asal dan jika anda telahpun menontonnya, tontonlah sekali lagi sebelum ke pawagam kerana banyak butiran dari filem pertama yang digunakan dalam filem sequel. Jika anda tidak menonton filem asal, anda akan kurang menghargai filem ini kerana anda tidak memahami konsep filem asal.

Kekuatan filem Blade Runner asal mempunyai satu visi mengenai masa depan dunia yang sangat unik dan terperinci sehinggakan menggambarkan bagaimana manusia akan hidup di zaman itu dan paling ketara, bagaimana produk akan diiklankan kepada pengguna serta penerapan budaya fusion barat dengan Jepun. Filem asal juga menghidangkan visual yang merupakan hasil seni yang menarik, oleh itu banyak syot-syot yang dipaparkan bertujuan memberi peluang kepada penonton menghayati visual berkenaan.

Dalam filem sequal, elemen visual dan pengalaman ini sangat berjaya diterapkan semula, tetapi produk yang diketengahkan dengan mendalam adalah “Joi” iaitu sebuah teman peribadi maya yang digunakan K di rumah sebagai temannya. Teknologi ini seiringan dengan dunia nyata di mana di Jepun telahpun ada teknologi teman maya yang menjaga rumah dan menjadi teman hidup pengguna. Digabungkan dengan teknologi machine learning yang sedang meningkat naik sekarang, tidak mustahil pada tahun 2049, produk seperti ini boleh wujud.

Jika anda pernah menonton filem arahan Denis Villeneuve seperti Arrival, anda tentu faham “pacing” untuk filem ini. Pacing-nya perlahan tetapi penuh dengan makna. Secara reletif, dialognya tidak banyak sebaliknya ceritanya banyak diceritakan melalui visual. Tidak hairanlah masa tayangannya lebih 2.5 jam. Jika anda jenis yang mengharapkan aksi segera, anda mungkin akan hampa. Namun pengarah ini memang pakar dalam gaya penceritaan sebegini dan walaupun lama, filem ini tidak membosankan. Akan sentiasa ada benda untuk dilihat, ditemui dan dihayati.

Muzik yang ditampilkan juga selari dengan filem asal, dimana ia menggunapakai muzik futuristik yang dengan bunyi-bunyian aneh. Dengan sendirinya muzik ini memang pelik, namun bersama visual filem ini, ia memberi perasaan yang futuristik – dramatik dan memang kena dengan visual.

Jalan ceritanya penuh suspens dan butiran mengenai situasi sebenar akan didedahkan selari dengan penyiasatan yang dilakukan K. Ia penuh dengan putaran plot yang memang tidak dijangka ataupun diharapkan. Babak aksinya juga tidak banyak dan pendek, tetapi berkualiti dan releven. Akhirnya, ia lebih kepada sebuah filem thriller penyiasatan berbanding filem aksi.

Positif vs Negatif

Positif

  • Satu sequel yang menjiwai filem asal
  • Visual dan kesan khas yang futuristik + artistik di satu tahap yang tinggi.
  • Plot yang berkesan dan merangsang sel otak

Negatif

  • Bagi bukan peminat Blade Runner asal, anda mungkin tertanya-tanya apa yang begitu baik mengenai filem ini
  • Sehubungan poin pertama, segala aspek mengenai filem ini mungkin akan dipersoal oleh anda jika anda tidak menonton dan menyukai filem asal.

Kesimpulan

Jelas sekali filem Blade Runner 2049 adalah sebuah filem khas bagi peminat Blade Runner asal. Oleh kerana keunikan elemen visual, penceritaan dan latarbelakang filem ini, jika anda tidak menyukai filem pertama, besar kemungkinan filem sequal ini tidak akan menarik minat anda. Namun dari padangan seorang peminat, filem ini sebuah “masterpiece” yang berjaya menerapkan unsur-unsur unik pada filem asal ke dalam filem sequel. Pendek kata, sesiapa yang menonton filem pertama pada tahun 1982 dan menunggu 35 tahun, tentu lebih dari berpuashati dengan sequel ini. Jika anda peminat teknologi seperti kami, gambaran teknologi pada zaman ini juga akan mengujakan anda.

Tidak dapat dinafikan akan ada perbezan pendapat yang ketara mengenai filem ini antara peminat Blade Runner dengan yang bukan peminat. Sebab itulah di peringkat antarabangsa, filem ini menerima pujian menggunung dari pengkritik filem, tetapi agak menghampakan dari segi kutipan di pawagam. Sebab-sebab yang mungkin adalah “generation gap” kerana dalam masa 35 tahun ini, tiada filem sekuel atau spin-off yang dibuat berdasarkan Blade Runner bagi memperkenalkan filem ini kepada generasi seterusnya. Apa yang kami ingat, terdapat satu permainan video diterbitkan sekitar tahun 90an/awal 2000an, itu sahaja. Berlainan dengan filem sci-fi klasik seperti Star Wars di mana, walaupun siri filem berkenaan diterbitkan penghujung 70 an dan awal 80an, terdapat siri filem prekuel diterbitkan penghujung 90an hingga awal 2000an. Ini membolehkan generasi selepas zaman pelancaran siri filem Star Wars asal mengenali francais tersebut dan meneruskan legasinya.

Apa pun terdapat dua penilaian filem ini:

Penilaian: 9/10 (bagi peminat), 7/10 (bukan peminat)

IMDB

The post Blade Runner 2049 [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2xF2ZaH