Search This Blog

Brawl in Cell Block 99 [Review]

Apabila menonton trailer filem Brawl in Cell Block 99, kami sedikit pun tidak terasa untuk menonton filem ini. Namun, kami berpeluang menonton filem “unik” ini dan pada jangkaan kami ia sebuah filem drama, tetapi jangkaan itu tidaklah 100% tepat.

 Brawl in Cell Block 99 [Review]

Brawl in Cell Block 99 mengisahkan seorang bekas peninju bernama Bradley yang terpaksa menjadi penghantar dadah akibat dibuang kerja. Untuk menambahkan lagi keparahan itu, isterinya pula curang. Namun sikapnya yang “istimewa” membawanya untuk tidak bercerai, sebaliknya berusaha untuk mengeratkan kembali hubungan dengan isteri dan cuba untuk mendapat anak. Tidak lama selepas itu, beliau berjaya menjadi penghantar dadah yang berjaya dengan rumah yang besar dan isteri yang sedang mengandung.

Satu hari, seorang tauke dadah ingin bekerjasama dengan Bradley dalam operasi penghantaran dadah yang berjumlah jutaan dolar. Uniknya, Bradley, walaupun seorang penghantar dadah, beliau mempunyai prinsip dan berpegang padanya dengan kuat. Setelah bejaya mendapatkan dadah yang diseludup dari luar, beliau dan anak buah tauke dadah tersebut telah bertembung dengan pasukan polis anti dadah.

Sejurus sebelum itu Bradley telah berselisih faham dengan anak buah tauke dadah dan mereka terpisah. Oleh sebeb itu, beliau tidak bersama mereka apabila bertembung dengan polis anti dadah. Satu kejadian tembak menembak telah berlaku dan ramai anggota polis telah ditembak. Uniknya tentang Bradley ini adalah beliau seorang patriot dan tidak suka apabila orang yang tidak bersalah dibuuh kerana aktivitinya. Beliau boleh sahaja melarikan diri tanpa menanggung akibat, tetapi beliau telah membantu pihak polis dengan menembak anak buah tauke dadah. Akibatnya, beliau sendiri telah tertangkap dan dimasukkan ke penjara sekuriti sederhana.

Namun kisahnya tidak berakhir di situ. Nampaknya tauke dadah tidak boleh melupakan kisah itu begitu sahaja. Apakah yang akan dilakukan tauke dadah kepada Bradley? Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam.

Brawl in Cell Block 99

Review

Pertama sekali, filem ini berkonsepkan filem “indie”, jadi permulaan filem ini berkembang sedikit perlahan, namun apa yang dipaparkan adalah yang perlu sahaja, semuanya “straight to the point” walaupun perlahan. Kedua, filem ini juga sebuah filem “badass” dimana ia memaparkan hero (dalam kes ini anti-hero) yang sangat hebat, mengalahkan penjahat. Ia seolah-olah filem John Wick, namun tanpa senjata api.

Kami tidak mahu mendedahkan banyak tentang jalan ceritanya, namun separuh kedua filem ini (bahagian selepas beliau dimasukkan ke penjara sekuriti sederhana) sangat badass! Untuk memendekkan ceritanya, beliau tepaksa melakukan perkara yang tidak diingini untuk menyelamatkan orang yang disayangi dan kemudian banyak perkara badass berlaku selepas itu.

Bagi kami personaliti Bradley merupakan fokus dan kekuatan filem ini. Sebagai seorang peninju yang tinggi lampai dan berbadan tegap, beliau boleh mengalahkan sesiapa sahaja yang berani melawannya. Ditambahkan pula dengan sikapnya yang berprinsip dan sentiasa melakukan apa yang beliau perlu lakukan tanpa ragu-ragu, menjadikannya seorang badass.

Tetapi seperti dijangka, dengan watak seperti ini, tentunya banyak kekejaman akan berlaku. Filem ini dipenuhi aksi sangat ganas melampau dan memang tidak sesuai untuk penonton bawah 18 tahun. Kami juga berasa golongan wanita juga tidak perlulah menonton filem ini kerana kekejamannya.

Apa pun, filem indie seperti ini bukan untuk semua orang. Tidak ramai yang mampu menonton filem seperti ini. Ia bukan filem aksi semata-mata dan bukan juga filem drama semata-mata. Tambahan pula ia juga tidak mengikut format atau struktur penceritaan filem komersial yang biasa. Tapi bagi mereka yang gemar ‘explore‘ dengan menonton filem-filem dengan tema yang lain dari yang lain, anda mungkin akan menyukai filem ini. Filem ini berkesudahan dengan kesudahan yang tidak diharapkan tetapi sepatutnya dijangka. Suatu yang berlainan dari filem tipikal Holywood.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita filem straight to the point walaupun sedikit perlahan di awalnya
  • Aksi berlawan yang lebih mirip kepada lawan jalanan berbanding aksi berlawan yang dikoreografikan
  • Lakonan kaku tetapi unik watak Bradley

Negatif

  • Sememangnya bukan filem arus perdana. Bukan untuk semua.
  • Keganasan yang agak melampau

Kesimpulan

Filem Brawl in Cell Block 99 bertentangan dari tanggapan kami pada awalnya iaitu sebuah filem drama yang membosankan. Sebaliknya ia sebuah filem drama-aksi yang lain macam. Ternyata filem ini memerlukan penonton sedikit terbuka kepada perkara baru kerana ia tidaklah mengikut format filem arus perdana biasa. Bagi kami, ia bukanlah satu filem revolusi, tetapi ia juga bukan filem yang membosankan. Kami hanya rekomen anda menonton filem ini jika anda sudah bosan dengan filem arus perdana dan ingin menonton sesuatu yang lain.

Penilaian: 6/10

IMDB

The post Brawl in Cell Block 99 [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2zfmyqy