Search This Blog

The Foreigner [Review]

Kami memang telah lama ingin menonton filem The Foreigner sejak ia diperkenalkan dalam trailer di Youtube dan di pawagam beberapa bulan lalu. Namun hanya kini kami berkesempatan untuk menonton filem penuh aksi lakonan Jackie Chan ini. Kami lega untuk mengetahui bahawa tidak seperti filem pengganas tipikal yang memaparkan pengganas Islam, filem ini memaparkan pula pengganas IRA (dari Ireland) sebagai organisasi pengganasnya.

The Foreigner [Review]

Untuk benar-benar memahami filem ini, anda perlu memahami konflik di antara pihak British dengan negara Ireland yang terbahagi kepada Ireland dan Ireland Utara. Ireland Utara merupakan wilayah jajahan British dan majoriti penduduk katoliknya masih ingin berada di bawah naungan Britain. Namun, IRA atau Ireland Republican Army yang merupakan kumpulan militan Ireland, ingin memperjuangkan kemerdekaan seluruh pulau Ireland dari pihak British dan sedia melakukan apa jua keganasan termasuk pengeboman tempat awam. Tontonlah video di bawah untuk mengetahui lebih banyak mengenai konflik tersebut:

Dalam filem The Foreigner,  Liam Hennessy lakonan Pierce Brosnan merupakan Timbalan Menteri Ireland Utara yang juga merupakan seorang bekas ketua IRA yang mengambil keputusan bekerjasama dengan pihak Britain untuk keamanan (dan juga kepentingan politiknya) di Ireland Utara.

Quan Ngoc Minh lakonan Jackie Chan pula merupakan seorang bapa tunggal yang memiliki restoran makanan China di London. Beliau mempunyai seorang anak perempuan bernama Fan manakala isteri dan dua lagi anak perempuan telah meninggal dunia. Beliau mempunyai kisah silam yang begitu sedih namun anda perlu menonton filem ini untuk mengetahui kisah silamnya yang akan didedahkan sedikit demi sedikit sepanjang filem ini. Oleh kerana kisah silam itu, beliau sangat menyayangi anak perempuannya. Namun, satu hari, beliau menghantar anaknya untuk mengambil baju majlis tari-menari sekolahnya di sebuah kedai di London. Tanpa disangka, seorang pengganas IRA telah meletupkan bom motosikal berhampiran kedai tersebut menyebabkan anak kesayangannya mati.

Kini Quan yang kehilangan segalanya bertekad untuk mencari pengebom yang membunuh anaknya sehingga ke lubang cacing. Beliau mempercayai Liam Hennessy mengetahui siapa yang bertanggungjawab memandangkan beliau bekas ketua IRA. Adakah Quan akan dapat mencari pembunuh anaknya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita dan Lakonan

Plot filem The Foreigner ini sememangnya unik dan jarang kita lihat. Tidak pernah kita dengar seorang imigran China terlibat dalam konflik antara Britain dan Ireland, apatah lagi menjadi watak utama dalam plot filem tersebut. Kadang-kala terasa janggal, seperti ada yang tak kena dengan plot ini. Namun ia satu kelainan yang unik jadi kami terima sahaja plot ini.

Plotnya terbahagi kepada dua, pertama plot di sebelahQuan Ngoc Minh, seorang bapa ingin membalas dendam ke atas kematian anak, dan kedua adalah plot di sebelah Liam Hennessy yang ditekan pihak British untuk mencari siapa dalam IRA yang telah melakukan pengeboman, dan akan melakukan banyak lagi pengeboman. Plot di sebelah Liam mungkin lebih mudah difahami jika anda memahami konflik IRA – Britan. Jika tidak, mungkin anda akan sedikit keliru dengan kerumitan situasi yang dipaparkan dalam filem ini.

Memandangkan filem ini bukanlah sebuah filem Hollywood, ia tidak mempunyai babak-babak aksi melampau-lampau yang tidak realistik seperti filem Fast and Furious, sebaliknya babak aksinya pendek-pendek, tetapi banyak, dan lebih realistik.

Secara keseluruhan, jalan ceritanya tidaklah terlalu rumit untuk difahami dan jika anda tidak tahu latarbelakang konflik IRA, anda masih boleh menikmati unsur penyiasatan dan pengintipan yang dipaparkan dalam filem ini tanpa pecah kepala memahaminya.

Apa pun, lakonan Jackie Chan dalam filem ini memang terbaik. Sudahlah beliau sememangnya tua dan dari latarbelakang yang sangat malang, raut wajah dan mekap yang diterapkan sangat baik dan menampakkan seorang bapa tua yang berada dalam keadaan yang sangat sedih akibat kehilangan anak tersayang. Jika anda lihat rupa Quan (Jackie Chan) dalam 30minit pertama filem ini, memang anda juga akan terasa kasihan kepadanya.

Tetapi dalam keadaan rupa yang begitu sedih dan uzur beliau masih mampu melakukan aksi lagak ngeri dan kungfu yang menakjubkan, yang tidak boleh dilakukan orang muda seperti kami.

Lakonan Pierce Brosnan pula tidaklah begitu memberangsangkan. Mungkin kerana loghat Irelandnya kurang menjadi atau mungkin juga kerana memang wataknya tidak diolah dengan begitu baik.

THE FOREIGNER

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang mendebarkan, penuh aksi dan skandal politik serta bukan jalan cerita tipikal.
  • Lakonan mantap Jackie Chan
  • Tidak menjaja pengganas Islam sebagai organisasi jahat dalam filem ini.

Negatif

  • Lakonan Pierce Brosnan yang kurang menyerlah
  • Sesetengah transisi antara babak yang agak janggal.

Kesimpulan

Filem The Foreigner merupakan sebuah filem yang mempunyai banyak elemen didalamnya termasuk elemen kasih sayang keluarga, penyiasatan, pengintipan, politik, keganasan dan banyak lagi. Ia bukan sebuah filem aksi semata-mata dan bukan juga sebuah filem yang memerlukan intelektual yang terlalu tinggi, sebaliknya ia seimbang antara keduanya. Ia juga bukan sebuah filem yang mempunyai plot yang tipikal dan membosankan kerana terlalu kerap dikitarsemula, tetapi memperkenalkan plot yang unik dalam kerangka yang boleh difahami ramai. Kami tidak pasti jika ramai yang akan menyukai filem sebegini, namun kami sangat berpuas hati dengan filem ini dan ia tidak menghampakan jika dibandingkan dengan trailernya.

Penilaian: 8/10

IMDB

The post The Foreigner [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2g3xrjQ