Search This Blog

Tombiruo Penunggu Rimba [Review]

Satu tarikan bagi kami untuk menonton Tombiru Penuggu Rimba selain trailernya yang menarik, adalah kerana ia dibawakan oleh Astro Shaw yang memang terkenal dengan filem yang gempak seperti Ola Bola dan Polis Evo. Kami sempat menonton filem ini di pawagam GSC Melawati Mall buat pertama kali di mana kami berpendapat admin dan admin no 2 berbeza pendapat mengenai pawagamnya. Admin 2 berpendapat tempat duduknya sedikit sempit dan terlalu tegak. Jadi untuk mereka yang “lebar” (admin 2 bukannya orang yang “lebar” pun) mungkin akan bermasalah sedikit untuk duduk dan tidak boleh bersandar. Admin yang memang biasa duduk tegak dan tidaklah terlalu “lebar” berasa tempat duduk ok sahaja. Cuma admin kurang minat tempat duduk yang diperbuat daripada kulit. Apa pun, ia tidaklah menggangu tontonan kami.

Tombiruo Penunggu Rimba

Tombiruo Penunggu Rimba [Review]

Tombiruo Penuggu Rimba mengisahkan seorang lelaki yang mempunyai kuasa ajaib mengawal hutan. Beliau dilahirkan hasil pencabulan ke atas seorang orang kampung di kawasan Keningau, Sabah. Tombiruo dilahirkan dengan wajah yang sangat hodoh, oleh sebab itu beliau dihanyutkan di sungai oleh nenek yang menyambut kelahirannya. Setelah beberapa lama dihanyutkan arus sungai, Tombiruo secara ajaibnya diselamatkan oleh kuasa hutan dan ditemui oleh Pondolou, seorang bekas tentera yang tinggal di hutan. Beliau menyedari keajibannya dan membesar dan melatihnya di dalam hutan untuk menjadi orang yang baik dan mampu mengawal kuasanya walaupun dia seorang yang panas baran akibat dicemuh orang kampung sepanjang hayatnya. Beliau diberi nama Ejim.

Konflik bermula apabila syarikat Anak Bumi bercadang untuk melaksanakan projek empangan di kawasan tersebut yang akan memusnahkan alam semulajadi. Namun, CEO Anak Bumi mengambil keputusan untuk menghentikan projek tersebut setelah menghadapi bantahan dan atas dasar kemanusiaan. Pada masa yang sama, Kampung Keningau telah diserang oleh penjahat yang tidak dikenali dan dalam perjalanan ke kampung berkenaan, CEO dan isteri kepada Amiruddin (Farid Kamil), seorang ranjer hutan Sabah dan juga menantu CEO Anak Bumi telah mengalami kemalangan teruk apabila mengelak dari bertembung dengan kereta penjahat yang melarikan diri dari kampung Keningau setelah Ejim datang menyelamatkan kampung berkenaan.

Namun kemalangan berlaku dalam situasi yang aneh yang menyebabkan Amiruddin menyangka Ejim yang membunuh isteri dan bapa mertuanya itu. Ini menyebabkannya berdendam dengan Ejim. Apakah kisah sebenar di sebalik kemalangan dan situasi huru-hara itu? Dan apa pula kaitannya dengan Ejim? Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam berhampiran.

Review

Seperti yang diharapkan daripada sebuah filem Astro Shaw, sinimatografi dan kesan khas filem ini sememangnya tidak menghampakan. Walaupun jika dibandingkan dengan mutu kesan khas Holywood, memang tidak dapat dibangkan, namun bagi sebuah filem Malaysia, mutu sinematografi dan kesan khasnya sememangnya terbaik di antara filem Malaysia. koreografi babak lawannya terbaik serta gerakan kamera yang dinamik menambahkan lagi debaran babak lawannya. Dari segi itu anda boleh dijamin berpuas hati (selagi tidak membandingkan dengan filem Holywood yang mempunyai bajet jutaan dollar).

 

Jalan ceritanya juga menarik, dengan beberapa putaran plot yang tidak dijangka. Jalan ceritanya juga tidak “straight forward” dan sesetengah fakta penting hanya akan didedahkan secara berperingkat, selari dengan jalan cerita dan siasatan watak wartawan bernama “Wan Suraya”. Dari segi ini, filem Tombiruo juga memaparkan satu kemajuan dalam pengolahan penceritaan filem Malaysia.

Tetapi elemen yang menjadi kelemahan filem ini sama dengan filem Polis Evo, namun dalam filem ini ia jauh lebih ketara. Apa yang kami maksudkan ialah pengolahan babak ke babak. susunan skrip didapati kurang berkesan dan lakonan beberapa watak terlalu ketara “berlakon”.  Dengan kata lain lakonan dan skrip yang kurang berkesan memberi kesan besar kepada realism watak-watak dipaparkan dalam filem ini.

Sebenarnya, kami juga menyedari dari menonton filem Ola Bola dan Polis Evo, bahawa modus operandi filem-filem Astro Shaw ialah mengadaptasikan strukur filem Holywood kepada pasaran filem tempatan, dan melakukannya dengan sebaik mungkin untuk menyesuaikannya kepada budaya tempatan. Sebagai contoh, struktur filem Polis Evo adalah struktur filem polis yang tipikal bagi Holywood seperti dilihat dalam filem seperti Leathal Weapon dan Rush Hour. Dua orang polis digandingkan, keduanya mempunyai personaliti berbeza, seorang mempunyai masa lampau yang gelap serta tidak suka ikut peraturan, manakala sorang lagi skema. Persamaan amat ketara.

Namun dalam filem Tombiruo, walaupun ia kisahnya berasal dari novel terkenal, Astro Shaw cuba mengadaptasi plot anti-hero hutan, seperti Tarzan, kepada pasaran filem tempatan. Kami tidak mengatakan cubaan in gagal, namun perlu banyak lagi penambahbaikan.

Komen pengamal media dan wartawan kepada watak Wan Suraya

Positif vs Negatif

Positif

  • Sinematografi, Koreografi dan kesan khas yang bermutu
  • Jalan cerita dengan putaran plot yang menarik

Negatif

  • Skrip dan lakonan yang kurang berkesan

Kesimpulan

Memandangkan filem ini merupakan filem tempatan, kami menilainya sebagai sebuah filem tempatan. Jika mahu dibandingkan dengan filem Holywood, memang tidak adil kerana bajet yang jauh berbeza. Bagi kami sebagai sebuah filem aksi/adventure tempatan, filem Tombiruo Penunggu Rimba merupakan sebuah usaha berani di pihak Astro Shaw untuk membuka industri filem tempatan yang cenderung kepada filem cinta, lawak dan seram, kepada genre filem yang lebih luas. Syabas kepada mereka atas usaha ini, namun seperti yang kami katakan, dari segi skrip dan lakonan perlu ditambahbaik bagi menampakkan lakonan yang lebih “natural” dan tidaklah nampak ketara sangat seperti satu lakonan.  Akhirnya, jika skrip dan jalan cerita sesebuah filem cukup bagus, ia tidak perlu bajet besar untuk kesan khas dan boleh bersaing dengan filem Holywood bila-bila masa.

Penilaian (Tempatan): 8/10

The post Tombiruo Penunggu Rimba [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2gEBgwg