Search This Blog

24 Hours To Live [Review]

Satu lagi filem kurang ternama yang kami tonton adalah 24 Hours To Live lakonan pelakon agak vetren, Ethan Hawke. Daripada trailernya, ia kelihatan seperti sebuah filem yang boleh dijangka, namun setelah menontonnya, ia bukanlah sebuah filem stereotaip seperti yang disangkakan. Ini pendapat kami mengenai filem tersebut.

24 Hours To Live [Review]

24 Hours To Live mengisahkan Travis Conrad, seorang bekas askar upahan terhadal syarikat Red Mountain yang telah berhenti dari syarikat tersebut selepas anak dan isterinya dibunuh oleh pihak yang membalas dendam ke atas apa yang dilakukan askar upahan syarikat tersebut.

Setelah setahun meninggalkan pekerjaannya itu, beliau didatangi semula bekas rakan sekerjanya, Jim Morrow, mengajaknya melakukan satu tugasan membunuh untuk syarikat lamanya itu. Pada awalnya beliau menolak, tetapi setelah ditawarkan USD1 juta sebagai upah, beliau bersetuju untuk melakukannya, dengan syarat Morrow menggandakan bayaran kepada USD2 juta.

Untuk mendapat kedudukan sasaran, beliau perlu mencuri maklumat dari pegawai polis interpol yang bertugas menjaga sasaran Conrad sehingga beliau memberi keterangan jenayah ke atas syarikat Red Mountain kepada UN. Terkesan dengan penyesalannya yang tidak mahu membunuh orang yang tidak bersalah, beliau tidak membunuh pegawai tersebut selepas menggodam telefon bimbitnya untuk mendapatkan maklumat kedudukan sasarannya. Akibatnya perbuatan beliau diketahui pegawai interpol bernama Lin itu dan dipendekkan cerita, beliau ditembak mati dalam usaha melarikan diri.

Namun, syarikat Red Mountain mempunyai prosedur khas yang boleh membolehkan orang mati hidup semula, tetapi hanya untuk seketika. Conrad dihidupkan semula menggunakan prosedur ini demi mendapatkan maklumat yang dicurinya dari Lin. Tetapi setelah mendapat maklumat itu, Red Mountain pula mengarahkan beliau dibunuh. Dengan hebatnya, beliau berjaya melepaskan diri. Tetapi mendapat tahu beliau hanya mempunyai 24 jam untuk hidup. Apa yang beliau lakukan selepas itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

“Protagonis mempunyai 24 jam untuk hidup”, satu plot yang bukanlah baru bagi peminat filem aksi. Namun, filem ini mempunyai mesej yang lebih mendalam dari itu. Pertama sekali, pada awal filem ini, Conrad berada dalam keadaan penyesalan yang teramat sangat kerana disebabkan kerjanya sebagai askar upahan, beliau telah mengabaikan isteri dan anaknya sehingga mereka dibunuh oleh musuh syarikat Red Mountain. Sungguhpun demikian, beliau tidak benar-benar memahami tahap penyesalannya sehingga beliau telah dikhianati syarikat yang mengupahnya. Setelah mengambil keputusan melawan bekas majikannya itu sedikit demi sedikit beliau telah mengetahui mengetahui laterbelakang syarikat tersebut dan apa sebenarnya berlaku kepada anak dan isterinya. Jalan ceritanya ialah mengenai bagaimana Conrad memperbaiki segala perkara buruk yang telah beliau sesali sepanjang bekerja dengan syarikat Red Mountain. Dengan kata lain plotnya tidaklah seringkas yang disangkakan. Ia lebih mendalam dan emosional.

Produksinya juga bukan sembarangan. Aksi tembak-menembak dan kejar-mengejar dengan kereta berkualiti serta tidak kedekut dari segi bajet. Banyak kereta dan infrastruktur Afrika Selatan telah rosak dalam penggambaran filem ini. Cuma mungkin dari segi kesan khas kesan tembakan vs manusia, produksinya hanya menggunakan CGI yang tidak realistik. Namun, ia boleh difahami kerana filem ini bukanlah filem yang berada pada tahap sama dengan filem aksi ternama seperti Fast an Furious atau James Bond. Tengok sajalah barisan pelakonnya yang kurang ternama (selain Ethan Hawke) dan anda boleh mengagak tahap filem ini.

Secara keseluruhannya, filem ini, walaupun kurang ternama, masih mempunyai kualiti yang hampir kepada suatu filem Holywood dengan bajet tinggi. Tetapi tidak dapat dinafikan struktur jalan cerita yang agak ringkas dan putaran plot yang mudah menghindarkannya dari menjadi sebuah filem meletop di box office.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang berperasaan, dan bukan setakat filem aksi kosong semata-mata
  • Produksi babak aksi yang tidak kedekut dengan memusnahkan pelbagai kenderaan dan infrastruktur.
  • Durasi filem yang sedang elok. Tidak terlalu panjang atau terlalu pendek.

Negatif

  • Putaran plot dan struktur jalan cerita yang baik, tetapi tidaklah sebaik filem Holywood yang lebih tinggi bajetnya.
  • Betulkah syarikat keselamatan swasta boleh melakukan sebegitu banyak kerosakan dan pembunuhan?

24 Hours To Live

Kesimpulan

Kesimpulannya filem 24 Hours To Live boleh tahan juga. Jika diberi perbandingan, kami bolehlah mengatakan ia berada di tahap yang lebih kurang sama dengan filem Transporter Reloaded (filem reboot bagi Transporter). Kami rasa anda masih boleh terhibur dengan menonton filem ini jika anda tidak meletakkan harapan yang begitu tinggi ke atasnya. Akhirnya ia hanyalah sebuah filem aksi di antara beratus-ratus yang dibikin Holywood setiap tahun.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post 24 Hours To Live [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2zGkxEh