Search This Blog

Maze Runner The Death Cure – Penutup Bagi Siri Filem Yang Sederhana

Siri filem Maze runner bukanlah sebuah kisah yang kami tunggu-tunggukan, maka tidak hairanlah kami tidaklah beriya-iya menonton bahagian terakhir siri filem tersebut, Maze Runner The Death Cure. Namun memandangkan kami telahpun menonton filem pertama dan kedua, maka tidak lengkaplah jika kami tidak menonton penutup kepada kisah sci-fi ini. Kami sempat menonton filem ini di IMAX TGV Velocity yang kebetulan mempunyai tawaran khas tiket IMAX 2D pada harga RM19 dan jika anda membayar menggunakan kad Maybank Visa Paywave, anda akan mendapat satu lagi tiket percuma beserta set pop corn + minuman ringan sekali (anda perlu beli tiket di kaunter, bukan online atau mesin tiket). Memang berbaloi . Tawaran sah sehingga 4hb Januari ini di semua pawagam TGV yang mempunyai pawagam IMAX. (Penafian: TGV Cinemas tidak menaja kami).

 Maze Runner The Death Cure – Penutup Bagi Siri Filem Yang Sederhana

Maze Runner The Death Cure menyambung kisah Maze Runner sebelumnya, di mana Minho telah ditawan pihak WCKD untuk dijadikan bahan ujikaji, dan Teresa telah berpaling tadah kepada pihak WCKD setelah mengetahui beliau sebenarnya sebahagian dari pasukan penyelidik mereka.

Setelah gagal menyelamatkan Minho, Thomas dan rakan-rakannya mendapat tahu, beliau dibawa ke satu bandar yang digelar “The Last City” di mana ujikaji dijalankan ke atas beliau untuk menghasilkan penawar kepada virus yang menyebabkan manusia bertukar menjadi zombi ganas.

Misi untuk menyelamatkan Minho mengalami cabarannya tersendiri dan akhirnya membongkarkan penyelesaian yang dicari-cari semua pihak. Apakah Thomas akan berjaya menemui penyelesaian tersebut? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

 

Maze Runner The Death Cure

Review

 

Filem Maze Runner The Death Cure bermula dengan penuh aksi dengan operasi menyelamat tawanan WCKD dari keretapi. Namun jika diperhatikan secara teliti, banyak perkara klise dalam babak ini seperti watak hero tidak kena satu pun tembakan dari pihak askar WCKD, sebaliknya askar WCKD pula yang terkena banyak tembakan meskipun pihak hero hanya menggunakan pistol, manakala anggota WCKD menggunakan rifel automatik. Kebanyakan babak aksi sepanjang filem ini mempunyai masalah klise ini. Malah penutupnya juga sangat klise dan and mungkin anda akan bersetuju dengan kami jika kami berkata kesudahan filem ini boleh diubah sekiranya pihak yang terlibat tidak melengahkan masa di babak epik terakhir. Kongsikan pendapat anda mengenai babak terakhir dan jika anda bersetuju dengan kami.

Sebahagian besar jalan cerita filem ini pula bertumpu kepada usaha menyelamatkan Minho dari makmal penyelidikan WCKD dan kurang bercerita mengenai perkara lain. Ternyata filem ini berlainan dari siri filem The Hunger Games yang mempunyai tema politik kebangkitan yang lebih kompleks. Dengan kata lain, jalan cerita filem ini lebih kepada sebuah filem aksi serta kurang mempunyai plot yang kompleks, bermakna ia sesuai ditonton oleh semua lapisan penonton dan anda tidak perlu memerah otak untuk memikirkan plotnya.

Malangnya pada pendapat kami kurangnya kompleksiti dalam jalan ceritanya juga merupakan penyebab filem ini bukanlah satu penutup yang epik kepada filem ini dan akan menjadikan siri filem Maze Runner satu siri filem yang akan dilupakan ditelan zaman. Ia hanyalah sebuah filem penutup yang baik.

Dari segi positifnya, babak-babak aksi, walaupun klise, mampu menghiburkan peminat filem aksi dan mempunyai kesan khas CGI yang dibikin dengan baik. kualiti produksi terutamanya lagak ngeri realiti juga dibikin dengan baik dan tidak kedekut dari segi memusnahkan props.

Positif vs Negatif

  • Babak aksi yang walaupun klise cukup menghiburkan
  • Kualiti set dan prop yang baik
  • Lagak ngeri realiti juga agak baik.

Negatif

  • Jalan cerita yang mudah dijangka
  • Terlalu banyak babak yang klise
  • Secara keseluruhan banyak menumpu kepada aksi berbanding jalan cerita yang kreatif

Kesimpulan

Ternyata siri filem Maze Runner tidak akan menjadi siri filem yang dikenang-kenangkan hasil dari pembikinan filem penutup Maze Runner The Death Cure yang mempunyai plot yang mudah dijangka dan penuh dengan klise. Sunggupun demikian, jika anda hanya menonton sebagai hiburan semata-mata, babak aksi yang banyak dalam filem ini adalah cukup untuk menghiburkan hari anda di hujung minggu. Tontonlah bersama kawan-kawan dan keluarga, kerana filem ini bukan filem yang berat dan tidak perlu dihayati seorang diri kononnya untuk mengelak gangguan.

Penilaian: 7/10

The post Maze Runner The Death Cure – Penutup Bagi Siri Filem Yang Sederhana appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2Fgyt6G

Along With The Gods – Filem Kekeluargaan Korea Dalam Pakej Unik

Filem Along With The Gods telah menarik kami baru-baru ini memandangkan filem ini menerima pujian daripada penonton-penonton. Oleh itu, kami pun menonton sendiri filem tersebut dan di sini kami berkongsi pendapat mengenainya.

Along With The Gods

Along With The Gods – Filem Kekeluargaan Korea Dalam Pakej Unik

Along With The Gods mengisahkan seorang anggota bomba bernama Kim Ja-hong yang mati ketika menyelamatkan seorang kanak-kanak dari bangunan yang terbakar. Setelah mati roh beliau ditemani tiga “malaikat maut” diketuai Gang-Lim yang menganggap beliau adalah seorang yang mulia kerana pengorbanannya. Malaikat-malaikat maut ini ditugaskan membawa Ja-hong melalui alam baqa dan menjalani 7 jenis penghakiman di 7 peringkat neraka dalam masa 49 hari di mana mereka menjadi “peguam” yang mempertahankan Ja-hong dalam 7 perbicaraan itu.

Sepanjang 7 perbicaraan tersebut, sedikit demi sedikit, kisah lalunya digali sekaligus mempersoalkan statusnya sebagai seorang yang mulia. Apakah yang akan terjadi dengan Ja-hong? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Admin sememangnya bukan seorang yang jiwang, jadi admin tidak berapa layan filem jiwang Korea. Namun, filem Along With The Gods, walaupun bertemakan fantasi, nilai yang diketengahkan dalam kisahnya adalah kasih sayang sesama keluarga, khususnya kasih sayang Ja-hong kepada ibu tunggalnya yang bisu serta adiknya.

Apa yang menarik mengenai filem-filem Korea seperti ini adalah ia menggunakan kaedah menarik (filem fantasi) untuk menyampaikan jalan cerita yang bertemakan kasih sayang keluarga. Berlainan dari filem Malaysia yang biasanya menyampaikan mesej secara “direct” yang sangat klise, menjadikannya kurang menarik bagi penonton.

Sejujurnya, pada permulaan filem ini, anda tidak akan menyangka jalan ceritanya akan berakhir sebagaimana ia berakhir. Anda akan menyangkan ia filem seperti Journey To The West versi alam Baqa. Tetapi ia sebenarnya sebuah filem kekeluargaan. Dan seperti mana-mana filem Korea, jalan ceritanya sangat sedih, malah silalah membawa kotak tisu kerana berkemungkinan anda akan berlinangan air mata.


Walaupun filem fantasi ini menggambarkan alam Baqa yang sememangnya tidak seperti yang kita (orang Islam) ketahui, namun babak-babak perbicaraan dosa-dosa lalu sedikit sebanyak menginsafkan. Adakah kita telah lakukan terbaik dalam kehidupan kita? Adakah kita telah menjaga ibu kita dengan baik? Memang insaf seketika.

Secara keseluruhan, jalan ceritanya bermula dengan perlahan, tetapi sedikit demi sedikit ia menjadi lebih menarik, sedikit lucu tetapi kebanyakannya sedih dan menginsafkan di penghujungnya.

Kesan khas atau CGI digunakan secara meluas dalam filem ini dan hampir setiap babak terdapat kesan khasnya. Kualiti CGInya bukanlah yang terbaik, namun ia antara terbaik untuk sebuah filem Asia.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang menarik dan tidak dijangka
  • Lakonan mantap

Negatif

  • Permulaan yang perlahan dan mungkin akan membosankan sesetengah penonton
  • Kualiti CGI yang boleh tahan sahaja

Kesimpulan

Filem Along With The Gods mempunyai dua sisi, iaitu sisi fantasinya yang mengisahkan malaikat maut membawa Ja-hong merentasi alam Baqa dan satu sisi lagi adalah kisah realiti mengenai Ja-hong semasa beliau hidup, kematiannya dan impak kematiannya kepada ibunya. Bagi admin, admin lebih tertarik dengan aspek realitinya yang lebih terkesan di jiwa dan sanubari. Kami sangat merekomen anda menonton filem ini dan jangan lupa bawa tisu kerana banyak bawang akan dipotong dalam filem tersebut.

Penilaian: 8/10

The post Along With The Gods – Filem Kekeluargaan Korea Dalam Pakej Unik appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2GbD37j

12 Strong – Kisah Tentera US di Afghanistan

Holywood memang terkenal dengan filem yang mengangkat tentera Amerika, walaupun pada hakikatnya mereka telah kalah dalam sesuatu konflik tertentu. Contohnya filem Black Hawk Down dan Rambo masing-masing mensensasikan kisah berdasarkan konflik yang tentera Amerika tidak menemui kejayaan. Itulah pandangan kami sebelum menonton filem 12 Strong lakonan Chris Hemsworth, tetapi adakah pandangan ini kekal setelah kami menonton filem ini?

12 Strong

12 Strong – Kisah Tentera US di Afghanistan

Pada 11 September 2001, pusat dagangan dunia New York telah dimusnahkan pengganas yang melanggar kedua buah menara pusat dagangan tersebut dengan dua buah kapal terbang penumpang. Sebagai tindakbalas, tentera Amerika mengisytiharkan perang ke atas Afghanistan di mana pihak Taliban telah memberi perlindungan kepada Osama bin Laden, ketua Al Qaeda yang dituduh bertanggungjawab ke atas serangan di New York itu.

12 Strong

Sepasukan tentera khas diketuai Captain Mitch Nelson lakonan Chris Hemsworth telah dihantar untuk menawan kedudukan utama tentera Taliban di Mazar-i-Sharif. Untuk itu, mereka diarahkan bekerja sama dengan seorang jeneral tentera perikatan utara Afghanistan bernama Jeneral Dostum yang melawan Taliban. Operasi ini merupakan operasi ketenteraan utama yang pertama dilaksanakan tentera Amerika di Afghanistan dan pasukan Captain Nelson ini merupakan pasukan pertama yang bertindak. Filem ini merupakan kisah mereka dalam menjalankan operasi ini yang telah dirahsiakan sehingga kini.

Review

Seperti kebiasaan filem-filem ketenteraan US, ia akan memaparkan anggota tentera US dengan konflik dengan keluarga masing-masing apabila mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga semasa menjalankan tugas. Ini biasanya untuk meningkatkan sentimen empati di kalangan penonton terhadap sifat kemanusiaan watak-wataknya. Sebaliknya perkara sama tidak ditunjukkan dengan begitu baik bagi pihak orang Afghanistan seolah-olah hanya orang Amerika sahaja mempunyai keluarga dan menyayangi keluarga mereka. Tapi apakan daya, ini adalah filem Amerika.

Walaubagaimanapun, kualiti produksi filem ini agak baik dengan penggunaan kuda, bahan letupan, kereta perisai dan roket dengan baik serta mutu sinematografi pada tahap yang umum harapkan daripada sebuah filem Holywood.

Disamping peperangan di Afghanistan, filem ini memfokuskan kepada hubungan di antara Kapten Nelson dan Jeneral Dostum, di mana mereka berdua merupakan ketua tentera masing-masing, namun mempunyai budaya pimpinan yang berbeza. Filem ini boleh dikatakan berjaya membawa penonton mengenali pandangan kedua-dua watak ini dan bagaimana hubungan dan rasa hormat antara mereka mula berkembang.

Tetapi jika dilihat secara keseluruhannya, filem ini tidaklah mengetengahkan apa-apa yang baharu dari segi cara penceritaan jalan cerita mahupun sinematografi. Ia umpama dibuat dari “template”  yang sama dengan filem-filem perang Holywood yang berdasarkan kisah benar.

Positif vs Negatif

Positif

  • Kualiti produksi yang tinggi
  • Babak aksi/perang yang menarik

Negatif

  • Tiada sebarang “Wow Factor”

Kesimpulan

Filem 12 Strong, tidak dinafikan mempunyai kualiti produksi yang tinggi, namun ia tidak banyak berbeza dengan filem-filem perang Holywood yang berdasarkan kisah benar. Jika anda seorang peminat filem perang yang ingin mengalami efek bunyi yang lebih realistik, bolehlah anda menontonnya di pawagam kerana memang berbaloi. Tetapi jika anda mengharapkan jalan cerita atau olahan fakta (memandangkan ia kisah benar) yang menarik, mungkin ini bukan filemnya. Malah tidak banyak fakta mendalam yang diketengahkan dalam filem ini mengenai situasi di Afghanistan pada ketika itu.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post 12 Strong – Kisah Tentera US di Afghanistan appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2rkY7Fe

The Commuter – Thriller Kurang Memberangsangkan

Kehambaran dunia perfileman di awal tahun berterusan dengan tayangan filem The Commuter lakonan pelakon Ireland veteran, Liam Neeson. Kami sebenarnya meletakkan harapan yang agak tinggi ke atas filem ini. Apa pun, kami berpeluang menonton filem ini baru-baru ini dan kini kami berkongsi pendapat kami mengenainya.

The Commuter – Thriller Kurang Memberangsangkan

The Commuter mengisahkan seorang agen insuran bernama Michael MacCauley yang menggunakan keretapi komuter untuk berulang alik dari rumah ke pejabatnya untuk lebih 10 tahun. Satu hari, tanpa amaran beliau diberhentikan kerja. Hampa, beliau pulang menggunakan keretapi yang beliau biasa naik. Dalam keretapi, beliau ditemui seorang wanita misteri bernama Joanna yang menawarkan wang yang banyak untuk kononnya melakukan satu “eksperimen sosial”. Tanpa amaran, beliau telah terjerumus ke dalam satu konspirasi yang meragut nyawa orang tidak bersalah. Bagaimanakah beliau akan membongkar konspirasi ini? Untuk kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam.

Review

Umum sedia maklum bahawa Liam Neeson sudah berumur dan tidak begitu mampu melakonkan watak hero penuh aksi, malah dalam filem ini umur beliau yang lanjut juga telah ditekankan dalam jalan ceritanya. Sungguhpun demikian, filem ini masih menampilkan babak berlawan dan babak lagak ngeri yang agak mencabar bagi seorang yang berumur. Respek kepada Liam Neeson kerana mampu melakukan babak aksi yang serba mencabar itu.

Dari segi plotnya pula, ia bermula dengan agak baik, namun pelaksanaan babak-babaknya tidak begitu baik dan terdapat banyak lubang plot (plot holes) yang menjadikan konspirasinya mudah dijangka. Mungkin plotnya tidak cukup berbelit dan terlalu mudah untuk kami jangkakan. Namun, kami tidaklah katakan plotnya tidak bagus, cuma kurang sofistiketed. Malah kesudahannya juga agak tergantung, samada kerana mereka mahu membikin sequel ataupun siri TV.

Apa pun, secara keseluruhannya, filem ini adalah di tahap “boleh diterima” tiada apa-apa yang memberangsangkan mengenai jalan ceritanya mahupun babak-babak aksinya.

Positif vs Negatif

Positif

  • aturan jalan cerita yang baik
  • lakonan mantap Liam Neeson

Negatif

  • Beberapa “lubang plot” dalam plotnya
  • Ia tidaklah teruk, namun ia juga tidaklah sehebat mana
  • Kesudahan yang tergantung.

Kesimpulan

Liam Neeson sudah berumur dan filem ini mengetengahkannya sebagai watak yang bertepatan dengan umurnya. Namun jalan cerita yang tidak mempunyai banyak perkara yang memberangsangkan mengenainya, menyebabkan sukar untuk kami merekomen anda untuk menontonnya. Pada pendapat kami ia lebih sesuai menjadi sebuah filem TV berbanding filem pawagam.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post The Commuter – Thriller Kurang Memberangsangkan appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2mrqNXo

The Mountain Between Us – Filem Cinta Survival

Kami jarang menonton filem cinta, namun memandangkan kami masih menunggu filem-filem besar untuk membuat kemunculan di pawagam, kami berpeluang menonton filem The Mountain Between Us lakonan Idris Elba dan Kate Winslet.

The Mountain Between Us

The Mountain Between Us – Filem Drama Cinta Survival

Filem Mountain Between Us mengisahkan Ben Bass, seorang pakar bedah neurology dan Alex Martin, seorang jurnalis wanita yang terperangkap di lapangan terbang kerana cuaca salji yang terlalu teruk menyebabkan penerbangan mereka dibatalkan. Mereka tidak saling mengenali, namun memandangkan mereka berdua perlu berada di destinasi mereka segera dan kebetulan mereka menuju ke tempat yang sama, mereka mengambil keputusan untuk mengupah juruterbang persendirian untuk menerbangkan merek ke destinasi mereka menggunakan kapal terbang kecil yang tidak terlibat dengan penangguhan penerbangan.

Namun, apabila terbang merentasi kawasan pergunungan, juruterbang mereka mengalami strok lalu hilang kawalan kapal terbang menyebabkan mereka terhempas. Kedua-dua penumpang serta anjing milik juruterbang terselamat, namun juruterbang telah terkorban. Malangnya Alex telah patah kaki dan tidak boleh bergerak. Mujur Ben seorang doktor yang berjaya merawatnya, tetapi beliau masih tidak boleh berjalan tanpa tongkat.

Setelah beberapa hari terperangkap dan menyedari tiada siapa akan datang menyelamatkan mereka, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk berjalan menuruni kawasan pergunungan untuk mencari jalan keluar. Di sinilah bermula kisah mereka.

The Mountain Between Us

Review

Pertama sekali, filem The Mountain Between Us ini merupakan sebuah filem drama cinta bertemakan survival, bermakna ia bukan untuk semua orang. Walaupun admin lelaki, namun admin boleh katakan, tidak ramai lelaki akan minat filem sebegini. Namun, jika seseorang itu (tidak kira lelaki atau perempuan) minat menonton filem cinta atau drama survival, filem ini agak menarik.

Jika filem-filem bertemakan survival banyak memfokuskan kepada bagaimana watak-watak tersebut menyelamatkan diri, filem ini lebih menceritakan mengenai hal-hal peribadi watak-watak dan mengapa mereka berada dalam situasi mereka sekarang. Watak-watak mereka yang mempunyai personaliti yang berbeza terserlah dalam perbualan dan perkongsian mereka. Seorang dengan personaliti tidak suka mengambil risiko dan seorang lagi terlalu banyak mengambil risiko. Sebahagian besar filem ini memfokuskan perkongsian pengalaman antara mereka berdua.

Tetapi suatu yang menarik mengenai filem ini adalah, tidak seperti filem survival lain, filem ini tidak tamat setelah mereka terselamat, sebaliknya terdapat satu babak atau fasa yang lebih penting ditonjolkan selepas mereka selamat dan fasa ini lebih kurang merumuskan pengalaman mereka serta menceritakan apa yang berlaku dan apa mereka rasa selepas mereka diselamatkan. Tidak banyak filem yang mempunyai fasa ini dan satu-satu filem lain yang kami fikirkan mempunyai fasa yang sama adalah filem Castaway lakonan Tom Hanks.

Secara keseluruhannya menonton filem ini berasa seperti membaca sebuah novel. Ini tidak mengejutkan memandangkan filem ini sememangnya dibikin berdasarkan novel dengan tajuk yang sama. Jadi, siapa yang suka membaca novel tentu sukakan filem ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Menonton filem ini berasa seperti membaca novel.
  • Lakonan watak-watak yang mantap.

Negatif

  • Tiada babak aksi atau lagak ngeri untuk peminat filem aksi
  • Jalan cerita yang ringkas, kerana ia lebih memfokuskan kepada perkongsian antara kedua watak

Kesimpulan

Filem The Mountain Between Us adalah sebuah filem yang bukan sahaja mengisahkan “gunung antara kita” secara hakiki, namun turut membawa maksud secara metafora, iaitu perbezaan atau penghadang antara kedua watak tersebut dalam mereka mengenali antara satu sama lain. Kami berpendapat mereka yang kaki novel tentu akan sukakan filem ini, tetapi jika anda bukan peminat novel, ia mungkin tidak mempunyai impak yang sama kepada anda.

Penilaian: 6.5/10

IMDB

The post The Mountain Between Us – Filem Cinta Survival appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2D1Fw2X