Search This Blog

Darkest Hour – Filem Biografi Winston Churchill Sebagai PM UK

Filem biografi biasanya tidak mendapat sambutan sehangat filem  aksi seperti The Avengers atau Black Panther. Namun terdapat segelintir penonton yang gemar menonton filem niche sebegini. Filem sebegini mempunyai cara tersendiri untuk menilainya, tidak seperti filem biasa di mana penekanan yang banyak diberikan kepada mutu lakonan, malah mutu lakonanlah yang menentukan samada filem itu berjaya atau tidak. Filem Darkest Hour (jangan terkeliru dengan sebuah lagi filem bertajuk Churchil yang juga mengisahkan Winston Churchil) merupakan sebuah filem yang sebenarnya telah lama keluar di US tetapi baharu memasuki pawagam sejak beberapa minggu lalu.

Darkest Hour – Filem Biografi Winston Churchill Sebagai PM UK

Filem Darkest Hour mengisahkan kebangkitan Winston Churchill menjadi perdana menteri UK di kala perang dunia kedua hampir tiba ke perairan negara itu. Jika dalam filem bertajuk “Churchill” yang ditayangkan tidak lama dahulu mengisahkan dilema Winston Churchill dalam mengambil keputusan melancarkan operasi “Overlord” dengan menyerang pantai Normandy, Perancis, filem the Darkest Hour pula mengisahkan bagaimana Churchill dilantik menjadi perdana menteri hingga keputusannya untuk melancarkan operasi “Dynamo” bagi menyelamatkan hampir kesemua anggota tenteranya yang dikepung di pantai Dunkirk.

Filem drama politik ini menampilkan lakonan mantap Gary Oldman sebagai Churchill. Filem ini masih ditayangkan di pawagam sekiranya anda ingin mengalami sendiri drama filem ini.

Review

Seperti yang dikatakan sebelum ini, filem biografi seperti ini banyak bergantung kepada mutu lakonan pelakon-pelakonnya dan filem ini memang tidak menghampakan. Lakonan Gary Oldman sebagai Churchill sememangnya tiada tandingan. Dalam realiti, perwatakan Winston Churchill sememangnya menjelekkan dan perasaan yang sama dirasakan semasa pertama kali diperkenalkan kepada Churchill dalam filem ini. Perwatakannya yang mudah melenting, tidak pedulikan kata orang lain dan degil dipersembahkan dengan baik oleh Oldman.

Dalam buku sejarah sememangnya mengatakan bahawa Churchill telah membawa pihak British dari pihak yang telah berputus asa menjadi pemimpin pihak perikatan yang berjaya menumbangkan pihak Nazi. Namun, tidak ramai mengetahui cabaran yang dihadapinya. Churchill sebenarnya seorang yang tidak dipercayai oleh partinya sendiri. Dalam perang dunia pertama beliaulah yang mengetuai tentera laut pihak perikatan bersama tentera ANZEC semasa ia menyerang Turki, tetapi gagal teruk dengan kematian beratus-ribu anggota tentera. Oleh kerana itu pihak partinya sendiri melihatnya sebagai tiada kredibiliti.

Tetapi setelah perdana menteri sebelumnya meletakkan jawatan, parlimen memerlukan seorang yang boleh menyatukan pihak kerajaan dan pembangkang bagi menghadapi peperangan dunia kedua. Churchill satu-satunya calon yang disukai pihak pembangkang. Jadi, jalan cerita filem ini adalah satu filem underdog, di mana protagonis berusaha untuk meyakinkan pihak rakyat dan parlimen, terutamanya ahli partinya sendiri yang langsung tidak menyukainya menggunakan kebolehan luarbiasanya menyusun kata-kata bagi merangsang semangat patriotik warganya itu.

Jika filem seperti memang citarasa anda dan anda mengikuti perkembangan jalan ceritanya dari awal, filem ini sememangnya sebuah filem yang meningkatkan semangat. Segala pergolakkan naik dan turun sememangnya disusun dengan baik oleh pihak pengarah sutradara bagi memain dengan emosi penonton. Tetapi seperti dikatakan sebelum ini, jika anda bukan peminat filem yang banyak dialog dan tiada babak aksi, anda mungkin tidak akan meminati filem ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Lakonan mantap barisan pelakon-pelakonnya.
  • Olahan jalan cerita yang menyemarakkan semangat
  • Sinematografi terbaik.
  • Filem ini memenangi anugerah Academy untuk filem terbaik dan pelakon utama terbaik

Negatif

  • tidak semua mengemari filem sebegini.
  • tiada babak aksi

Kesimpulan

Kami rasa kemenangan anugerah Academy untuk filem terbaik dan pelakon utama terbaik secara tidak langsung merupakan satu kenyataan mengenai kehebatan filem ini. Jika anda seorang peminat filem biografi, drama politik, filem ini memang wajib ditonton. Jika anda bukan, mungkin anda akan kebosanan menonton filem ini. Tontonlah mengikut minat anda.

Penilaian: 8/10

IMDB

The post Darkest Hour – Filem Biografi Winston Churchill Sebagai PM UK appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2COmYS2

Retro Movie: A Taxi Driver [Korea Selatan]

Biasanya kami review filem-filem baharu di pawagam, namun kami ingin memperkenalkan segment baharu “Retro Movie” di mana kami review filem-filem yang terdahulu, tetapi mungkin terlepas dari pandangan orang awam kerana tidak dipromosikan dalam media arus perdana di Malaysia. Filem pertama yang ingin kami review adalah filem A Taxi Driver, sebuah filem Korea Selatan yang berasaskan kisah benar tentang kejadian “Gwang-ju Uprising” atau rusuhan Gwang-ju yang berlaku pada tahun 1980 di Gwang-ju, Korea Selatan.

Untuk mengetahui lebih banyak tentang kejadian ini, anda boleh membacanya di Wikipedia ataupun Googlekan sahaja. Secara ringkasnya dalam kejadian tersebut, para pelajar dan rakyat di Gwang-ju memberontak bagi menuntut hak demokrasi, namun telah dicantas oleh pihak tentera yang menembak rakyatnya sendiri. Dikatakan lebih 600 penduduk telah mati di tangan pihak tentera Korea Selatan dan menjadi titik hitam dalam sejarah Korea Selatan. Berikut merupakan laporan berita mengenai kejadian itu dari tahun 1980.

Retro Movie: A Taxi Driver [Korea Selatan]

Filem A Taxi Driver mengisahkan kisah benar mengenai seorang jurnalis German bernama Jürgen Hinzpeter yang ingin membuat liputan mengenai kejadian “Gwang-ju Uprising” di Korea Selatan. Namun pihak kerajaan telah melarang kemasukan sebarang jurnalis barat untuk meliputi kejadian itu. Malah jurnalis tempatan yang membuat liputan juga telah ditahan dan akhbar-akhbar telah disunting supaya sebarang maklumat sebenar mengenai kejadian itu tidak diketahui orang dari luar Gwang-ju.

Kim Man-seob atau Mr. Kim, merupakan seorang pemandu teksi Seoul. Beliau yang kehilangan isteri, hidup bersama anak perempuannya di sebuah apartmen di Seoul. Akibat berhutang sewa apartmen, beliau terdesak dan peluangnya hadir apabila Hinzpeter telah menawarkan syarikat teksi 100,000 won untuk membawanya ke Gwang-ju dan kembali. Demi merebut peluang, Mr. Kim telah hadir awal untuk menjemput Hinzpeter, sebelum pemandu teksi syarikat sempat menjemputnya.

Jadi, tanpa sebarang pengetahuan mengenai apa yang berlaku di Gwang-ju, Mr Kim membawa Hinzpeter ke sana. Walaupun dihalang pihak tentera, akhirnya mereka berjaya menjejakkan kaki ke bandari itu. Apa yang mereka temui amat mengejutkan. Untuk mengetahui selanjutnya mengenai filem ini, tontonlah ia di Astro on Demand dan Astro GO.

Review

Perkara pertama yang anda sedari apabila menonton filem ini adalah kehebatannya membina semula persekitaran Seoul pada zaman 80an. Kami yakin mereka menggunakan CGI, namun banyak juga perkara seperti kereta-kereta yang sememangnya diambil dari zaman 80an.

Filem ini tidak membuang masa untuk memulakan plot utamanya, Hinzpeter ke Korea > berjumpa Mr Kim > terus ke Gwang-ju. Semua babak-babak di bikin dengan jelas dan menerangkan plot cerita dengan jelas, jadi tiada kekeliruan di kalangan penonton. Perkara ini kami rasakan sangat diperlukan dalam filem Malaysia di mana banyak filem Malaysia yang mempunyai babak-babak yang kurang jelas mengenai apa yang hendak ia sampaikan dan akhirnya menyebabkan penonton keliru.

Dengan itu juga kita boleh lihat dengan jelas bagaimana Mr Kim berubah dari seorang yang tidak mengetahui apa-apa mengenai kejadian di Gwang-ju pada awal filem, kepada watak penting dalam perjuangan rakyat bandar tersebut. Setiap babak dalam filem itu memaparkan dengan jelas apa yang berlaku dan apa difikirkannya yang menyebabkan beliau mengambil keputusannya.

A Taxi Driver

Filem ini juga memaparkan peranan penting yang dimainkan para pemandu teksi Gwang-ju dalam perjuangan demokrasi tersebut. Banyak aksi heroik yang dilakukan mereka membuatkan kami terharu terutamanya dalam melawan pihak tentera dan pihak special branch polis. Seperti biasa jika menonton filem Korea, bersedialah dengan kotak tisu kerana banyak bawang akan dipotong dalam filem ini.

Kami ingin sedaya upaya tidak memberikan spoiler, tetapi kami jamin, filem ini berbaloi untuk ditonton. Ia mengajar kita bagaimana rakyat di Korea pada ketika itu sanggup berkorban untuk memperjuangkan demokrasi dan kebebasan sehingga ramai terkorban. Ia juga menunjukkan betapa tinggi penghormatan mereka letakkan pihak jurnalis, terutamanya jurnalis luar, kerana peranan mereka untuk menyebarkan berita sebenar yang berlaku di Gwang-ju kepada dunia.

Positif vs Negatif

Positif

  • Lakonan mantap pelakon utama dan pelakon sokongan
  • Jalan cerita dan pengolahan yang menarik
  • Menginspirasikan
  • Babak pukul memukul oleh pihak polis/tentera memang realistik betul hingga tengok pun rasa sakit

Negatif

  • Mungkin lakonan watak Hinzpeter boleh diperbaiki

Kesimpulan

Filem A Taxi Driver mengetengahkan satu topik yang berat, jadi ia mungkin tidak sesuai untuk semua penonton, namun jika anda gemarkan filem berunsurkan politik dan kemasyarakatan, filem ini sesuai untuk anda. Ia memberikan satu perspektif lain mengenai perjuangan demokrasi dan keadilan. Suntingan, lakonan dan pengolahan filem sememangnya antara yang terbaik dan pasti tidak menghampakan.

Penilaian: 9/10

IMDB

The post Retro Movie: A Taxi Driver [Korea Selatan] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2GFJSO5

Game Night – Filem Komedi Misteri Yang Santai

Filem komedi yang baik semakin sukar ditemui kebelakangan ini. Mujurlah 21 Februari lepas Yes 4G telah menaja kami untuk menonton tayangan perdana filem Game Night lakonan Jason Bateman dan Rachel McAdams. Ia merupakan sebuah filem komedi misteri yang menarik dan di sini kami ingin berkongsi pendapat mengenainya.

Terima kasih Yes 4G untuk tiket tayangan perdana

Game Night – Filem Komedi Penyiasatan Yang Santai

Game Night berkisah mengenai sepasang suami isteri, Max dan Annie yang sangat gemar bermain permainan seperti Pacman, Jenga, teka lukisan dan pelbagai lagi permainan rakyat. Mereka sememangnya sejak pertama kali berjumpa merupakan pasangan yang sangat serasi.

Max dan Annie gemar menjempun rakan-rakan mereka seminggu sekali untuk bersama-sama bermain permainan dalam “Game Night” atau “malam permainan“. Tetapi minggu ini terdapat satu keistimewaan kerana abang Max bernama Brooks telah pulang dan mengajak Max, Annie dan rakan-rakannya ke “Game Night” anjurannya. Sebenarnya Max dan Brooks sejak kecil lagi sentiasa berada dalam keadaan persaingan adik beradik yang sengit. Masing-masing mahu menunjukkan siapa yang lebih hebat.

Permainan yang dianjurkan Brooks adalah satu permainan misteri jenayah masa nyata di mana peserta akan dihidangkan dengan satu situasi jenayah yang mereka perlu selesaikan dan siapa yang menyelesaikannya dahulu akan menang. Tanpa dijangka, sesuatu yang tidak dirancang telah berlaku. Apakah perkara itu dan dapatkah Max dan Annie menyelesaikannya? Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Dari awal kami mengetahui bahawa filem ini merupakan filem komedi yang santai, jadi kami mula menontonnya dengan jangkaan yang santai. Sememangnya filem ini tidak mengecewakan. Kami tidaklah mengatakan filem ini terhebat di pawagam, namun ia menghiburkan di tahap lebih dari biasa.

Olehkerana filem ini filem misteri, ia sentiasa membuatkan penonton berfikir apa akan berlaku seterusnya dan olehkerana ia juga sebuah filem komedi, ia tidak henti menghidangkan lawak jenaka yang menggelikan hati. Lawak jenakanya tidaklah sehebat filem seperti “The Hitmans Bodyguard” tetapi cukup kelakar untuk membuatkan satu panggung riuh dengan gelak-tawa penonton.

Jalan ceritanya juga menarik di mana ia menghidangkan putaran plot (plot twist) demi putaran plot yang langsung tidak dijangka penonton. Kami yakin anda tidak akan dapat menjangka bagaimana filem ini berakhir kerana terdapat terlalu banyak putaran plot. Maklumlah ia sebuah filem misteri.

Keserasian di antara kedua pelakon utama juga memain peranan penting dalam keseronokan menonton filem ini. Watak Jason Bateman dan Rachel McAdams memang bersahaja dan lucu serta serasi dalam apa jua situasi dalam filem ini. Pelakon-pelakon pembantu juga memain peranan mereka dengan baik bagi memeriahkan lagi filem ini dengan pelbagai kerenah watak-watak mereka.

Namun, seperti yang dikatakan sebelum ini, filem ini bukanlah yang terbaik antara terbaik. Terdapat beberapa kelemahan dari segi plot dan jalan ceritanya yang tidak cukup padat, namun itu tidak mengganggu keseronokan menonton filem ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Keserasian pelakon utama dan pelakon pembantu yang baik
  • Lawak jenaka yang menghiburkan
  • Plot twist yang banyak dan tidak dijangka

Negatif

  • Jalan cerita tidak cukup padat
  • Beberapa kelemahan dari segi plot

Kesimpulan

Filem Game Night bukanlah satu filem yang akan dinobatkan dengan sebarang anugerah perfileman. Namun, sebagai sebuah filem hiburan, ia berjaya menjalankan misinya dalam menghiburkan penontonnya. Ia sesuai ditonton bagi melepaskan tekanan bekerja sepanjang minggu bersama rakan atau keluarga.

Penilaian – 7/10

IMDB

The post Game Night – Filem Komedi Misteri Yang Santai appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2CEBZ96

Black Panther – Kemuncak Kegemilangan Filem Adiwira Orang Kulit Hitam

Sejak kemunculan watak Black Panther dalam filem Avengers: Civil War, ramai tertunggu-tunggu penerbitan filem mandiri Black Panther dan kini, penantian telah tamat. Kami sempat menonton filem Black Panther ini di pawagam dan kami ingin kongsikan pendapat mengenai filem ini.

Black Panther – Kemuncak Gemilang Filem Adiwira Orang Kulit Hitam

Setelah kematian raja negara Afrika bernama Wakanda dalam filem Avengers: Civil War, anaknya bernama T’Challa telah dinobatkan sebagai raja negara tersebut. Dari luarnya, Wakala nampak seperti sebuah negara pertanian yang miskin, tetapi ia sebenarnya sebuah negara paling maju dan kaya di dunia hasil kedatangan satu logam unik dari angkasa digelar vibranium. Logam itu membolehkan pelbagai teknologi maju dihasilkan daripadanya. Keseluruhan bandar-bandar dan teknologi maju ini dirahsiakan dari pengetahuan luar untuk tujuan keselamatan.

Namun, seorang musuh lama telah muncul untuk menuntut takhta Wakanda dan T’Challa kini perlu menyatukan puak-puak di Wakanda bagi membela nasib Wakanda supaya tidak jatuh ke tangan musuh yang menyasarkan untuk membalas dendam ke atas semua kerajaan yang memperhambakan kaum kulit hitam Afrika.

Siapakah yang akan menang dalam perebutan kuasa ini? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Sejak penubuhan Holywood dan juga Marvel Comics, tidak banyak filem adiwira yang dicipta berasaskan watak kaum kulit hitam dan salah satu watak Marvel itu adalah Black Panther. Jadi tidak hairanlah filem ini dijulang di Amerika sebagai sebuah filem yang membawa mesej yang unik berbanding filem adiwira lain, dan kami juga bersetuju dengan tanggapan itu.

Filem ini sememangnya mempunyai nuansa berbeza dari filem adiwira biasa di mana ia memaparkan bagaimana satu kaum di Afrika boleh maju tanpa bantuan orang barat. Ini sememangnya satu konsep yang revolusi dalam sebuah filem. Pada masa yang sama ia mengetengahkan masalah kaum kulit hitam di Amerika yang ditindas dan tidak maju. Secara tidak langsung Wakanda dan orang-orangnya dilihat boleh menjadi satu gambaran idealistik yang patut dicapai oleh kaum kulit hitam di seluruh dunia. Mungkin ramai yang memandang mudah perkara ini, namun dalam juga maksudnya dan kami rasakan sebab inilah filem itu menerima sambutan luarbiasa oleh penonton.

Malah, pada masa penulisan artikel ini, filem ini mendapat rating 98% daripada 168 review di laman web pengkritik filem rottentomatos.com. Pada satu ketika, rating tersebut berada di tahap 100%.

Satu lagi perkara unik mengenai watak-watak dalam filem ini ialah, tidak seperti adiwira lain Marvel, watak-watak orang Wakanda lebih tenang, rendah diri dan berdisiplin berbanding sifat koboi kebanyakan adiwira lain. Ini menyebabkan watak mereka lebih digemari oleh golongan rakyat marhaen.

Dari segi aksi dan efek CGI, ia sememangnya di tahap yang anda harapkan dari sebuah filem Marvel yang mempunyai bajet  yang besar. Malah kami sukakan bagaimana konsep dunia Wakanda telah direka serta bagaimana sifat-sifat vibranium menyumbang kepada kemajuan teknologi Wakanda.

Walaubagaimanapun, selain rekaan dunia wakanda dan konsep asas filem ini yang menarik, jalan cerita asasnya agak mudah dijangka kecuali bahagian penghujungnya. Jadi jika anda penonton setia filem Marvel, mungkin anda tidaklah tertakjub dengan jalan ceritanya yang boleh jangka jalan ceritanya cuma mungkin kesudahannya sedikit unik memandangkan ia membawa mesej ala aktivis sosial.

Positif vs Negatif

Positif

  • Konsep filem yang agak unik dengan tema sosial kaum kulit hitam
  • Aksi dan kesan khas di tahap yang tinggi.
  • Lakonan dan perwatakan watak-watak yang menarik.

Negatif

  • Bahagian tengah jalan ceritanya agak boleh dijangka
  • Jika anda tidak tonton Avengers: Civil War, beberapa perkara akan kurang jelas kepada anda

Black Panther

Kesimpulan

Kesimpulannya filem Black Panther adalah sebuah filem adiwira yang unik dan mesti ditonton peminat-peminat filem Marvel. Tambahan pula, filem ini penting kerana mempunyai kaitan dengan filem Avengers seterusnya iaitu Infinity War. Kami cadangkan anda menonton filem ini sebelum menonton filem Infinity War yang akan ditayangkan tidak lama lagi. Memang bijak Marvel Studios mewujudkan francais di mana anda perlu tonton semua filemnya untuk memahami kisah filem seterusnya. Memang tersangkutlah anda.

Tetapi untuk filem ini kami hanya boleh berikan markah 8/10 memandangkan bahagian tengah jalan ceritanya boleh dijangka.

Penilaian: 8/10

IMDB

The post Black Panther – Kemuncak Kegemilangan Filem Adiwira Orang Kulit Hitam appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2o8XgT9

Act of Violence – Filem Aksi Yang Lebih Sesuai Untuk TV

Kita masih berada di dalam awal tahun di mana kebanyakan filem Holywood ditayangkan merupakan filem buangan yang dikhuatiri tidak dapat bersaing dengan filem hebat bulan Disember. Act of Violence merupakan salah satu filem generik yang ditayangkan baru-baru ini di pawagam Malaysia dan kami sempat menontonnya bagi mengisi masa lapang kami.

Act of Violence

Act of Violence – Filem Aksi Yang Lebih Sesuai Untuk TV

Act of Violence mengisahkan sekumpulan 3 adik beradik dan pasangan mereka, seorang telah berkahwin (Brandon), seorang telah bertunang (Roman) dan abang sulungnya (Deklen). Roman dan pasangannya Mia yang hendak berkahwin telah masing-masing pergi untuk berparti bujang terakhir secara berasingan. Malang tidak berbau, Mia telah diculik oleh sindiket pemerdagangan manusia dan pengedaran dadah.

Roman telah mengajak abang-abangnya yang kedua-duanya mempunyai latarbelakang tentera untuk menjejaki Mia. Sementara itu, detektif James Avery, pegawai polis yang bertanggungjawab membawa sindiket tersebut ke muka pengadilan telah menasihati kumpulan adik-beradik itu supaya tidak mengambil tindakan sendiri, namun mereka berdegil.

Adakah mereka akan dapat menjejaki Mia? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Dari awal lagi, berdasarkan skrip, jalan cerita dan sinematografi, kami boleh mengetahui bahawa filem ini bukanlah sebuah filem bertaraf blockbuster di panggung wayang, sungguhpun dibintangi pelakon handalan Bruce Willis dan beberapa lagi pelakon yang biasa kita lihat berlakon dalam filem Holywood. Kami bukan juga mengatakan filem ini begitu teruk, namun kami pasti ia bukan berada sebuah filem yang sesuai ditayangkan di panggung wayang. Sebaliknya kami berasa ia sesuai dijadikan telefilem di Netflix ataupun iFlix.

Walaubagaimanapun, jika dinilai sebagai sebuah telefilem, ia sebenarnya boleh tahan juga. Jalan ceritanya mempunyai putaran plot menarik dan babak aksi yang boleh tahan, walaupun babak aksi dan lagak ngerinya jelas sekali dalam mod bajet. Malah jika anda hanya melayankan sahaja filem ini tanpa menilainya terlalu ketat, anda akan terhibur. Ia mempunyai struktur filem aksi tipikal Holywood dengan sedikit putaran plot di pertengahan/hujungnya.

Sebenarnya filem berstatus telefilem seperti ini lebih sesuai dinikmati bersama rakan-rakan di kaca tinggi. Kami dapat bayangkan menonton filem ini bersama-sama rakan di ruang tamu sambil makan makanan ringan dan mengutuk segala yang klise tentang filem ini. Kami rasa ia pastinya menghiburkan dalam suasana begitu dan ini tidak dapat dilakukan dalam panggung wayang.

Jelas sekali filem ini dibikin hanya untuk mengisi ruangan kosong di antara tarikh tayangan filem-filem blockbuster. Apa yang menarik tentang filem sebegini adalah ia mempunyai bajet kecil, namun oleh kerana rakyat Amerika begitu ramai, walaupun hanya peratusan kecil penonton yang menonton filem ini, ia biasanya masih akan berupaya menguntungkan pembikinnya beberapa juta USD.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jika anda tidak meletakkan harapan tinggi, filem ini sebenarnya agak menghiburkan
  • Putaran plot menarik membezakannya dengan filem-filem aksi bajet lain
  • Pelakon handalan

Negatif

  • Filem aksi yang agak klise
  • Mudah menjangkakan jalan ceritanya
  • Tidak sesuai ditonton di wayang kerana kami rasa ia tidak berbaloi

Act of Violence

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem ini hanya untuk mengisi ruang kosong antara tarikh tayangan filem-filem blockbuster besar yang ditunggu-tunggu ramai. Sungguhpun demikian, ia masih lagi menghiburkan, jika anda tidak meletakkan harapan tinggi padanya. Tetapi, kami rasa ia patut menjadi filem pilihan terakhir jika anda ingin menonton wayang bersama rakan-rakan anda

Penilaian – 5/10

IMDB

 

The post Act of Violence – Filem Aksi Yang Lebih Sesuai Untuk TV appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2s8TXAy