Search This Blog

Act of Violence – Filem Aksi Yang Lebih Sesuai Untuk TV

Kita masih berada di dalam awal tahun di mana kebanyakan filem Holywood ditayangkan merupakan filem buangan yang dikhuatiri tidak dapat bersaing dengan filem hebat bulan Disember. Act of Violence merupakan salah satu filem generik yang ditayangkan baru-baru ini di pawagam Malaysia dan kami sempat menontonnya bagi mengisi masa lapang kami.

Act of Violence

Act of Violence – Filem Aksi Yang Lebih Sesuai Untuk TV

Act of Violence mengisahkan sekumpulan 3 adik beradik dan pasangan mereka, seorang telah berkahwin (Brandon), seorang telah bertunang (Roman) dan abang sulungnya (Deklen). Roman dan pasangannya Mia yang hendak berkahwin telah masing-masing pergi untuk berparti bujang terakhir secara berasingan. Malang tidak berbau, Mia telah diculik oleh sindiket pemerdagangan manusia dan pengedaran dadah.

Roman telah mengajak abang-abangnya yang kedua-duanya mempunyai latarbelakang tentera untuk menjejaki Mia. Sementara itu, detektif James Avery, pegawai polis yang bertanggungjawab membawa sindiket tersebut ke muka pengadilan telah menasihati kumpulan adik-beradik itu supaya tidak mengambil tindakan sendiri, namun mereka berdegil.

Adakah mereka akan dapat menjejaki Mia? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Dari awal lagi, berdasarkan skrip, jalan cerita dan sinematografi, kami boleh mengetahui bahawa filem ini bukanlah sebuah filem bertaraf blockbuster di panggung wayang, sungguhpun dibintangi pelakon handalan Bruce Willis dan beberapa lagi pelakon yang biasa kita lihat berlakon dalam filem Holywood. Kami bukan juga mengatakan filem ini begitu teruk, namun kami pasti ia bukan berada sebuah filem yang sesuai ditayangkan di panggung wayang. Sebaliknya kami berasa ia sesuai dijadikan telefilem di Netflix ataupun iFlix.

Walaubagaimanapun, jika dinilai sebagai sebuah telefilem, ia sebenarnya boleh tahan juga. Jalan ceritanya mempunyai putaran plot menarik dan babak aksi yang boleh tahan, walaupun babak aksi dan lagak ngerinya jelas sekali dalam mod bajet. Malah jika anda hanya melayankan sahaja filem ini tanpa menilainya terlalu ketat, anda akan terhibur. Ia mempunyai struktur filem aksi tipikal Holywood dengan sedikit putaran plot di pertengahan/hujungnya.

Sebenarnya filem berstatus telefilem seperti ini lebih sesuai dinikmati bersama rakan-rakan di kaca tinggi. Kami dapat bayangkan menonton filem ini bersama-sama rakan di ruang tamu sambil makan makanan ringan dan mengutuk segala yang klise tentang filem ini. Kami rasa ia pastinya menghiburkan dalam suasana begitu dan ini tidak dapat dilakukan dalam panggung wayang.

Jelas sekali filem ini dibikin hanya untuk mengisi ruangan kosong di antara tarikh tayangan filem-filem blockbuster. Apa yang menarik tentang filem sebegini adalah ia mempunyai bajet kecil, namun oleh kerana rakyat Amerika begitu ramai, walaupun hanya peratusan kecil penonton yang menonton filem ini, ia biasanya masih akan berupaya menguntungkan pembikinnya beberapa juta USD.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jika anda tidak meletakkan harapan tinggi, filem ini sebenarnya agak menghiburkan
  • Putaran plot menarik membezakannya dengan filem-filem aksi bajet lain
  • Pelakon handalan

Negatif

  • Filem aksi yang agak klise
  • Mudah menjangkakan jalan ceritanya
  • Tidak sesuai ditonton di wayang kerana kami rasa ia tidak berbaloi

Act of Violence

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem ini hanya untuk mengisi ruang kosong antara tarikh tayangan filem-filem blockbuster besar yang ditunggu-tunggu ramai. Sungguhpun demikian, ia masih lagi menghiburkan, jika anda tidak meletakkan harapan tinggi padanya. Tetapi, kami rasa ia patut menjadi filem pilihan terakhir jika anda ingin menonton wayang bersama rakan-rakan anda

Penilaian – 5/10

IMDB

 

The post Act of Violence – Filem Aksi Yang Lebih Sesuai Untuk TV appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2s8TXAy