Search This Blog

Avengers Infinity War – Sequel Melangkaui Jangkaan

Beberapa hari lalu pengarah James Cameron mengeluarkan kenyataan seperti di bawah.

Sumber: Laman FB IGN

Secara ringkasnya kenyataan ini menyindir francais filem Marvel/Avengers yang padanya menampilkan element-elemen yang boleh dijangka. Pada awalnya saya bersetuju dengan kenyataan ini, tetapi, itu sebelum menonton filem Avengers Infinity War. Setelah menontonnya, lain pula ceritanya. Ulasan atau review kali ini kami buat seringkas mungkin supaya tiada spoiler yang didedahkan.

Avengers Infinity War – Sequel Melangkaui Jangkaan

Avengers Infinity War adalah kesinambungan semua filem-filem Marvels sejak beberapa tahun lalu, terutamanya filem-filem selepas Avengers Age of Ultron. Seperti yang diketahui dari trailer-trailer yang ditebitkan, filem ini melibatkan hampir kesemua adiwira dalam dunia Marvel, kecuali Antman.

Dalam filem ini, Thanos, watak antagonis yang dilihat di penghujung filem Thor: Ragnarok, mengorak langkah untuk mengumpul kesemua Infinity Stone dan dengan Infinity Gautlet (sarung tangan dikuasakan batu-batu Infinity), beliau mahu melaksanakan rancangan buruknya ke atas planet-planet di cakerawala.

Adakah beliau akan berjaya ataupun akan dihalang adiwira-adiwira Avengers? Sama-samalah menonton di pawagam berhampiran.

Review

Kami akan cuba membuat review dengan seringkas mungkin kerana tidak mahu sebarang spoiler untuk mengganggu keriangan menonton filem ini. Secara ringkas, apa yang dikatakan James Cameron tadi ada kebenarannya. Memang filem ini menampilkan adiwira-adiwira sasa berlawan untuk menyelamatkan bumi dan memusnahkan bandar-bandar dalam prosesnya. Malah lawak jenaka bersahajanya juga sudah menjadi trademark filem-filem Marvel.

Namun filem ini harus dilihat dari sudut yang lebih luas (bigger picture) di mana, apa yang berlaku dalam filem ini sangat penting dalam menentukan hala tuju francais filem Marvel di masa hadapan. Berlainan dari filem-filem Avengers lain, filem ini bukan setakat “lawan, lawan, lawan, lepas itu, menang”. Sebaliknya, jalan ceritanya memang melangkaui jangkaan ramai termasuk saya, walaupun pada mula-mulanya saya bersetuju dengan kenyataan James Cameron.

Walaubagaimanapun, admin no 2 berpendapat filem ini biasa sahaja. Saya rasa pendapatnya tidak salah, jika ditonton oleh penonton yang tidak begitu mengikuti perkembangan filem Marvel, ia sememangnya nampak seperti mana-mana filem Avengers sebelum ini yang mengikuti konsep “lawan, lawan, lawan, lepas tu menang”. Tetapi jika anda mengikuti filem-filem Marvel, anda tentu akan menyedari filem ini sememangnya akan memberi impak mendalam pada francais Marvel dan di penghujung filem ini anda tidak boleh bayangkan apa yang akan berlaku seterusnya dalam dunia Marvel.

Kami tidak mahu mengulas banyak mengenai filem ini, cukuplah mengatakan bahawa filem ini tidak menghampakan peminat. Tontonlah sendiri filem ini untuk mendapat gambaran penuh apa yang kami maksudkan. Jangan lupa menonton babak tambahan di penghujung babak kredit.

Positif vs Negatif

Positif

  • Menghimpunkan watak-watak Marvel terpenting dan menjadi kegemaran ramai
  • Jalan cerita yang tidak dijangka dan tidak konvensional
  • Anda akan mempunyai pelbagai persoalan. Ini perkara baik dan menunjukkan helah Marvel menarik penontonnya untuk terus setia dengan filemnya telah berjaya.

Negatif

  • [Tidak boleh didedahkan kerana ia akan menjadi spoiler]

Kesimpulan

Kami yakin filem Avengers Infinity War akan menjadi salah satu filem pecah panggung di Malaysia, malah tidak mengejutkan jika ia melangkaui kehebatan kutipan filem Jumanji satu hari nanti. Nasihat kami, jika anda tidak mahu ketinggalan dalam francais filem Marvel, anda perlu menonton filem ini. Jika tidak, anda mungkin tidak akan faham filem Avengers yang seterusnya.

Penilaian: 9/10

IMDB

The post Avengers Infinity War – Sequel Melangkaui Jangkaan appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2Fh6MtW

Rampage – Filem Makhluk Gergasi Yang Agak Tipikal

Setelah kejayaan dalam filem Jumanji: Welcome to the Jungle menjadi filem paling laris dalam sejarah Malaysia, Dwayne Johnson kembali dengan filem makhluk gergasi bertajuk Rampage. Ia sememangnya berada dalam radar filem kami dan berikut adalah pendapat kami mengenainya setelah berpeluang menonton filem tersebut.

Rampage – Filem Makhluk Gergasi Yang Agak Tipikal

Filem Rampage berkisah mengenai satu projek kajian pengubahsuaian genetik rahsia yang dijalankan sebuah syarikat genetik yang diberi nama “Project Rampage”. Kajian yang dijalankan secara rahsia di sebuah makmal angkasa berjaya menghasilkan patogen yang memutasikan makhluk yang menghidunya supaya membesar secara tidak terkawal. Akibat ujian patogen itu terhadap tikus, ia telah menjadi besar dan mengganas di makmal angkasa yang menjalankan projek kajian tersebut. Ini mengakibatkan makmal itu musnah, tetapi seorang penyelidik berjaya melarikan diri dengan 3 sample patogen tersebut. Malangnya, pod angkasanya meletup ketika memasuki atmosfera bumi dan 3 bekas mengandungi patogen itu jatuh ke 3 tempat berlainan.

Sementara itu, Davis Okoye, seorang pakar primat di sebuah pusat perlindungan dan kajian haiwan mempunyai hubungan begitu istimewa dengan seekor gorila Silverback bernama George sehingga mereka berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat. Pada malam kejadian stesen angkasa musnah, salah satu bekas mengandungi patogen Project Rampage telah jatuh ke sangkar George sekaligus mengubah fisiologi George selama-lamanya. Apakah yang akan terjadi kepada George dan binatang lain yang dijangkiti patogen tersebut? Tontonlah filem Rampage untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Filem Rampage bermula dengan penuh debaran dengan babak makmal angkasa di mana semua krew kecuali seorang penyelidik. Babak ini memberi satu gambaran baik mengenai filem sci-fi ini dan kami menontonnya dengan penuh minat. Namun, setelah bekas patogen tersebut jatuh ke bumi dan setiap satu menjangkiti hanya satu haiwan, filem ini mula menampakkan klisenya. Mengapa ia tidak menjangkiti lebih banyak haiwan memandangkan banyak haiwan di sekelilingnya? Soalan itu perlu ditujukan kepada pengarah. Lagipun haiwan biasanya takut kepada api dan secara naluri akan mengelak kawasan bekas tersebut yang sedang terbakar dan panas. Namun, begitulah Holywood. Kalau tidak klise, tiadalah dramanya.

Sejak babak itu, jalan ceritanya kelihatan boleh dijangka dan klise. Namun, jalan cerita yang kurang memberangsangkan dalam filem ini diimbangi dengan babak-babak aksi yang mendebarkan, hasil penyertaan Department of Homeland Security dan angkatan tentera US yang ditugaskan untuk memburu dan membunuh haiwan yang dijangkiti patogen itu. Selepas itu jalan cerita boleh digambarkan sebagai beberapa babak yang menerangkan jalan cerita diselangi babak-babak aksi perang yang panjang.

Untuk pengetahuan anda, dalam satu laporan berita beberapa tahun dahulu mengenai hubungan angkatan tentera Amerika dengan Holywood, dilaporkan bahawa, jika sesebuah filem itu mahu memaparkan angkatan tentera sebagai komponen utama filemnya, pihak tentera Amerika akan memberikan sokongan penuh kepada pembikin filem tersebut. Sebab itulah dalam filem ini dan filem-filem aksi lain seperti transformers 1 dan 2, anda boleh melihat penampilan angkatan tentera Amerika bukan dalam bilangan kecil, malah usaha penuh dilakukan untuk memaparkan kebolehan penuh angkatan tentera tersebut. Dikatakan ini adalah sebagai satu cara untuk menunjukkan kepada dunia betapa kuatnya angkatan tentera Amerika. Dengan kata lain, sebagai propaganda.

Berbalik semula kepada filem ini, walaupun penampilan tentera yang gah hebat, animasi CGI yang kurang realistik terutamanya dari segi pergerakan haiwan yang mengganas serta objek-objek yang dilemparkan mereka sedikit sebanyak mencacatkan babak-babak aksi yang sememangnya mendebarkan. Strategi ketenteraan dan reaksi orang ramai terhadap makhluk gergasi yang masuk ke kawasan bandar juga sedikit pelik dan kadang kala tidak masuk akal. Ringkasnya, butiran-butiran kecil seperti yang disebut tadi menjadikan filem ini kurang realistik.

Mutu lakonan dan penghasilan watak-watak juga satu isu di mana selain watak-watak hero dan heroine, watak-watak sokongan lain seolah-olah tidak mempunyai bakat atau karakter yang mendalam atau menarik.

Paling teruk adalah kesudahannya yang kami anggap paling tidak masuk akal. Kami tidak mahu memberi spoiler, cukuplah setakat kami mendedahkan apa yang tidak masuk akal ialah “Everybody lived happy ever after”.

Positif vs Negatif

Positif

  • Babak-babak aksi yang mendebarkan
  • Jalan cerita yang mudah difahami
  • Sedikit lawak jenaka yang lucu

Negatif

  • CGI yang kurang memuaskan di babak perang
  • Jalan cerita yang terlalu ringkas bagi sebuah filem Sci-fi
  • Butiran-butiran kecil yang tidak masuk akal mencacatkan babak-babak dalam filem ini.

Kesimpulan

Sebagai sebuah filem sci-fi, Rampage sememangnya telah gagal. Jalan ceritanya terlalu ringkas dan kurang saintifik bagi memuaskan peminat tegar filem sci-fi. Namun, ia menghidangkan babak aksi yang mendebarkan dan sekali-sekala lawak jenaka lucu yang mampu menghiburkan penonton. Namun harus diingat, terdapat juga babak-babak ganas melibatkan orang dimakan makhluk gergasi yang mungkin mengganggu emosi dan tidak sesuai ditonton penonton yang lebih muda. Walaubagaimanapun kegagalan paling utamanya banyak terdapat pada butiran-butiran kecil yang tidak masuk akal dan menjadikan filem ini kurang realistik. Ia sememangnya bukan sebuah filem yang akan anda ingati setelah melangkah keluar pawagam, walaupun anda terhibur menontonnya.

Penilaian: 6.5/10

IMDB

The post Rampage – Filem Makhluk Gergasi Yang Agak Tipikal appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2GV3Fxy

A Quiet Place – Filem Survival Penuh Debaran

Filem A Quiet Place bukanlah sebuah filem dalam radar kami, tetapi kami mendapat tahu tentang review baik mengenainya dari media USA dan kami mengambil keputusan untuk menontonnya sendiri serta memberikan anda pendapat kami mengenainya.

A Quiet Place – Filem Survival Penuh Debaran

Kisah A Quiet Place berlangsung pada tahun 2020 di mana bumi (mungkin Amerika sahaja) dicerobohi makhluk ganas yang tiba di bumi (kami percayai) dari meteor yang jatuh ke bumi. Makhluk ini buta, tetapi memburu mangsanya menggunakan bunyi, sama seperti kelawar. Filem ini menceritakan kisah sebuah keluarga yang hidup dengan menyelongkar kedai-kedai yang ditinggalkan serta hidup di sebuah ladang di mana mereka menanam makanan mereka. Untuk mengurangkan bunyi, mereka menggunakan bahasa isyarat untuk sebahagian besar komunikasi.

Evelynn Abbot (ibu) dan Lee Abbot (bapa) mempunyai 3 orang anak, dua lelaki, seorang perempuan (sulung) di mana anak perempuan mereka pekak dan perlu mendengar menggunakan alat bantuan pendengaran buatan sendiri Lee, tetapi tidak berfungsi dengan baik serta tidak membolehkannya mendengar pun.

Bagaimanakah mereka akan meneruskan kehidupan mereka dan mengelak dari dikesan makhluk-makhluk tersebut? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Sebelum pergi lebih jauh, biarlah kami memberikan butiran-butiran yang kurang penting mengenai filem ini secara ringkas, sebelum beralih kepada bahagian review yang utama. Filem ini, lebih kepada filem drama/thriller makhluk asing. Sekali pandang anda boleh ketahui bahawa bajetnya tidaklah tinggi. Pelakonnya hanya 4 orang dengan 2 pelakon tambahan, lokasi penggambarannya sebahagian besarnya di ladang tempat mereka tinggal dan animasi CGI untuk makhluk asingnya yang tidak mempunyai kepintaran (hanya seperti binatang buas) hanya di tahap OK sahaja. Tetapi, kekuatan utama filem ini adalah jalan cerita dan pengolahannya yang pada satu tahap yang tinggi.

Sebenarnya dalam 30 hingga 45 minit pertama filem ini dihabiskan untuk membentangkan perincian mengenai dunia yang keluarga Abbot kini hidup seperti modus operandi mereka bagi mereka menjalankan kehidupan harian, mencari makanan, berjalan-jalan, berkomunikasi dan sebagainya. Ia juga menerangkan sifat-sifat makhluk ganas itu dan bagaimana mereka memburu. Bahagian ini sangat perlahan, tetapi sangat penting bagi penonton memahami sejauh mana tertekannya hidup dalam keadaan mereka. Banyak juga maklumat yang dipersembahkan dalam bentuk keratan akhbar, jadi jangan lupa untuk memberi perhatian kepada keratan akhbar yang banyak.

Sejujurnya, kami tidak boleh bayangkan apa kesudahan filem ini pada ketika itu kerana bahagian awal filem ini tidak memberikan sebarang hala tuju untuk filem ini. “Takkan filem ini memaparkan kehidupan seharian mereka semata-mata?”, tanya kami. Tetapi, kesabaran kami telah membuahkan hasil pada separuh kedua filem ini.

Beralih kepada separuh kedua filem ini di mana poin utama di bahagian ini adalah Evelyn Abbot sedang sarat mengandung. Di sini terdapat persoalan kontroversi yang timbul dan dapat dilihat di media sosial. Ramai penonton (dan juga saya dan mungkin juga anda nanti) yang bertanya, kenapa beliau nak mengandung dalam keadaan dunia seperti itu? Untuk menjawab soalan itu cuba anda bertanya, kenapa terdapat kanak-kanak dilahirkan di tengah perang seperti di Syira? Bagi kami kehidupan mesti diteruskan dalam apa jua keadaan dan melahirkan anak menjamin kelangsungan manusia di muka bumi. Bagaimana mereka menjamin bayi tidak menangis dan tidak didengari makhluk ganas itu? Jawapannya terdapat dalam filem berkenaan.

Apa pun, Pn. Abbot sudah mengandung, begitulah jalan ceritanya. Bahagian inilah yang dinanti-nantikan di mana makhluk-makluk ganas itu mula muncul di rumah keluarga Abbot. Bahagian filem ini tidaklah mempunyai aksi-aksi lincah atau apa, namun suspens dan debaran menontonnya paling tinggi dalam sebuah filem thriller. Dan apabila anda merasakan keadaan sudah selamat, jalan cerita ini beralih ke satu lagi babak yang sangat mendebarkan. Kemudian apabila keadaan sudah selamat, satu lagi babak mendebarkan bermula. Anda memang tidak diberi masa untuk bertenang dari babak mendebarkan yang sebelumnya. Inilah satu kelebihan filem ini.

Satu lagi kelebihan filem ini ialah kesudahannya yang unik. Bukan sahaja hala tuju dan objektif keseluruhan filem ini diketahui pada penghujung filem, malah ia dijumpai secara tidak sengaja. Barulah penonton faham filem ini bukannya filem membazir, malah sebuah filem yang mana penulisnya sebenarnya bijak dalam pengolahan jalan cerita. Ia berakhir dengan satu babak yang tergantung, tetapi oleh kerana penonton sudah mengetahui hala tuju filem ini, ia tidak perlu dipanjangkan lagi. Ia lebih bergaya untuk ditamatkan di situ.

Positif Vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang lain dari lain
  • Suspens di tahap gaban
  • Kesudahan yang memberi kepuasan

Negatif

  • Bahagian awal filem ini perlahan dan tiada hala tuju jelas, mungkin membosankan untuk sesetengah penonton

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem A Quiet Place sebenarnya adalah sebuah filem mengenai keibubapaan dan kerisauan membesarkan anak dalam kawasan atau situasi konflik. Ia mengetengahkan nilai kekeluargaan dan tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak. Kami tidak yakin filem ini akan mendapat kutipan tertinggi atau pecah panggung, tetapi kami berpendapat ia sebuah filem yang sangat unik dan bijak, sekiranya anda cukup sabar untuk menempuhi separuh pertama filem ini yang perlahan. Kami merekomenkan anda menonton filem ini terutamanya jika anda seorang ibu atau bapa yang mempunyai anak kerana anda mungkin akan memahami filem ini lebih dari yang lain.

Penilaian: 9/10

IMDB

The post A Quiet Place – Filem Survival Penuh Debaran appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2GI6C0a