Search This Blog

Brother of the Year – Kisah Adik Beradik Yang Menghiburkan

Filem Brother of the Year telah lebih seminggu ditayangkan, namun kami baru sahaja sempat menonton filem ini. Berikut merupakan pendapat kami mengenai filem ini.

Brother of the Year – Kisah Adik Beradik Yang Menghiburkan

Brother of the Year mengisahkan Chut (abang) dan Jane (asik perempuan) yang tinggal sebumbung di Bangkok. Dari kecil mereka sering bergaduh. Ada sahaja yang tidak kena antara mereka. Chut seorang lelaki yang licik dan malas dalam semua perkara termasuk mengemas dan makan. Semuanya dialihkan kepada Jane. Dalam filem ini, Jane baru sahaja pulang dari belajar di Jepun. Beliau kemudiannya menghadiri temuduga di sebuah syarikat Jepun di Bangkok lalu menemui cinta hatinya, Moji seorang jejaka campuran Jepun-Thai.

Setelah beberapa lama, Moji telah melamar Jane dan mereka bersetuju untuk berkahwin. Perkara ini menyebabkan Chut tidak senang duduk. Apakah yang akan dilakukan Chut untuk menghalang perkahwinan adiknya itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Kebelakangan ini, filem-filem Thai telah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dan filem ini juga merupakan satu usaha baik dari pihak pembikin filem Thai. Walaupun genre utamanya adalah sebuah filem komedi, namun ia lebih dari itu. Terdapat juga banyak elemen kekeluargaan, terutamanya hubungan adik beradik dan sedikit elemen percintaan. Tiada elemen yang dominan dalam filem ini, semuanya diberi fokus secara sama rata.

Jalan ceritanya tidak kompleks, malah agak ringkas, iaitu abang yang rapat dengan adik berasa tergugat kerana adik nak berkahwin. Tetapi kekuatan filem ini ada pada pengolahannya. Setiap perkara yang berlaku antara Chut dan Jane ada kisah di sebaliknya dan ia diceritakan dengan penuh kreatif dan teliti oleh pengarah filem. Ia menjadikan filem ini sangat menghiburkan dan langsung tidak terasa membosankan. Filem ini juga berjaya menyentuh emosi penonton samada gelak ketawa, sedih mahupun terharu.

Mutu lakonan juga antara terbaik dan para pelakon berjaya membawa watak masing-masing dengan begitu baik. Hubungan adik-beradik yang saling bergaduh berjaya diketengahkan oleh kedua pelakon utamanya. Malah, tidak keterlaluan mengatakan bahawa tanpa mutu lakonan para pelakonnya, filem ini tidak akan begitu berjaya.

Pendek kata, jika anda menonton filem ini, anda tidak akan merasa bosan.

Positif vs Negatif

Positif

  • Mutu lakonan terbaik
  • Pengolahan cerita yang kreatif dan menarik
  • Sinematografi yang berkualiti

Negatif

  • Jalan cerita ringkas dan tidak kompleks

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem Brother of the Year merupakan sebuah filem yang sangat menghiburkan. Jika anda inginkan sebuah filem yang boleh mengubah mood anda dari teruk kepada ceria, filem ini adalah filem yang wajib anda tonton. Admin yang dalam mood yang agak teruk selepas menonton filem ini berasa lebih positif. Namun, dari segi jalan cerita, ia seperti satu novel biasa sahaja. Sepertimana disebut sebelum ini, kekuatannya ada pada pengolahan jalan cerita dan babak-babak dalam filem ini. Selamat menonton.

Penilaian: 7.5/10

IMDB

The post Brother of the Year – Kisah Adik Beradik Yang Menghiburkan appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2tMNOYk