Search This Blog

Jurassic World Fallen Kingdom – Kurang Umph

Hari Raya Aidilfitri hanya tinggal seminggu sahaja lagi dan memandangkan ini mungkin post terakhir sebelum raya, biarlah kami ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Kali ini kami berjaya menonton filem Jurassic World Fallen Kingdom dan seperti dijanjikan, berikut adalah ulasan kami mengenai filem ini

Jurassic World Fallen Kingdom – Kurang Umph

Jurassic World Fallen Kingdom menyambung kisah filem pertamanya di mana beberapa tahun selepas insiden dalam filem pertama, pulau Isla Nublar, iaitu pulau di mana taman tema Jurassic World ditempatkan kini diancam ledakan gunung berapi. Letusan gunung berapi ini dijangka akan menghapuskan semua dinosaur di pulau tersebut. Kongres Amerika berdebat samada dinosaur-dinosaur berkenaan mempunyai hak untuk diselamatkan yang sama seperti haiwan terancam lain. Akhirnya keputusan dibuat untuk membiarkan dinosaur mati dan pupus.

Namun Benjamin Lockwood, antara pelopor projek menghidupkan dinosaur dan juga rakan kongsi Dr John Hammond (pencipta Jurassic Park Asal) menjalankan misi untuk memindahkan dinosaur-dinosaur berkenaan ke sebuah pulau berhampiran. Rancangan ini dirahsiakan dari kerajaan Amerika dan dilakukan secara haram.

Claire Dearing (heroine dari filem pertama) yang kini menjadi aktivis hak dinosaur dijemput mengikut sama misi tersebut dan seperti dijangka, Owen Grady dijemput sekali oleh Claire. Namun, ada udang di sebalik batu dalam misi ini. Apakah perkara tersebut? Untuk mengetahui kesudahannya, tonton filem ini di pawagam.

Review

Jika filem pertama Jurassic World membawa tema “taman tema dinosaur”, filem Jurassic World Fallen Kingdom membawa tema hak asasi dinosaur / haiwan dan pengeksploitasiannya oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Secara umumnya, kami klasifikasikan filem ini sebagai filem peralihan kerana [spoiler] akan ada sekurang-kurangnya satu lagi filem Jurassic World selepas ini dan filem ini menjadi penghubung di antara keduanya. Memandangkan filem ini filem peralihan, ia terbahagi kepada dua bahagian, separuh pertama filem ini berlangsung di Isla Nublar dan separuh lagi berlangsung di Lockwood Mansion di Amerika. Ini memberikan filem ini dua mood berbeza.

Seperti filem pertama, Fallen Kingdom menghidangkan babak-babak aksi dinosaur yang mendebarkan. Namun kali ini ia debarannya lebih mirip filem Jurassic Park asal di mana banyak pertembungan antara dinosaur dan protagonis dalam jarak dekat menjadikannya lebih mendebarkan berbanding filem Jurassic World pertama. Banyak juga babak orang kena makan dinosaur, jadi jika membawa anak kecil, perlu mempertimbangkan itu juga, takut mereka mimpi ngeri nanti.

Seperti yang dijangka, dinosaur dijana menggunakan campuran CGI dan motion capture serta (kami rasa) model dinosaur berskala sebenar di sesetengah babak dan teknik yang digunakan sangat berkesan.

Filem in juga membawa masuk persoalan moral sama seperti persoalan moral berkenaan haiwan di dunia nyata seperti pengeksploitasian, pemerdangangan dan pengubahsuaian genetik haiwan tersebut.

Sungguhpun demikian, jika dibandingkan antara filem pertama, kedua-duanya mempunyai nilai hiburan yang sama. Sukar untuk mengatakan samada salah satu lebih hebat dari yang satu lagi. Mungkin kerana kebanyakan jalan ceritanya boleh dijangka dan tidaklah melibatkan idea yang baharu. Namun, asas yang dibentangkannya untuk filem seterusnya agak menarik memandangkan ia membuka luas pintu imaginasi mengenai apa yang akan berlaku di dalam filem yang akan datang itu.

Positif vs Negatif

Positif

  • Struktur cerita yang menarik
  • CGI berkesan
  • Jalan cerita tidak terlalu berat

Negatif

  • Tiada “Wow factor”
  • Jalan cerita boleh dijangka

Kesimpulan

Filem Jurassic World  Fallen Kingdom bukanlah sebuah filem yang akan membuatkan anda takjub, malah ia lebih kurang hebat berbanding filem pertamanya. Jika anda bukan pengikut siri filem Jurrasic World, anda boleh memilih untuk tidak menonton filem ini dan anda tidak akan merasa rugi. Bagi pengikut filem pertama Jurassic World, anda perlu menonton filem ini dalam persediaan menonton filem seterusnya. Apa pun, filem ini sebuah filem sequel yang baik, cuma tiada “Wow Factor“.

Penilaian – 7/10

IMDB

The post Jurassic World Fallen Kingdom – Kurang Umph appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2Js2cMo