Search This Blog

Skyscraper – Satu Filem Panjat-Memanjat yang Mendebarkan

Akhir-akhir ini Dwayne Johnson seolah-olah menerima durian runtuh melihat berapa banyak filem lakonannya yang ditayangkan di panggung wayang setiap bulan. Kali ini filem yang dibintanginya adalah Skyscraper. Kami sempat menonton filem ini di pawagam dan berikut adalah pendapat kami mengenainya.

Skyscraper – Satu Filem Panjat-Memanjat yang Mendebarkan

Skyscraper mengisahkan Will Sawyer, seorang bekas pegawai FBI yang terpaksa bersara kerana satu peristiwa tebusan yang menyebabkan beliau kehilangan kakinya. Beliau kini menjadi perunding keselamatan swasta dan beliau diberi projek merunding di bangunan tertinggi di dunia bertempat di Hong Kong bernama Pearl milik usahawan terkenal Zhao Long Ji.

Sempena projek tersebut, Will dan keluarganya telah berpindah ke Pearl. Will yang menjadi ketua perunding menerima sebuah tablet yang digunakan untuk mengawal pelbagai sistem dalam bangunan tersebut seperti sistem hawa, keselamatan dan pencegah kebakaran. Situasi menjadi mencurigakan apabila bag milik Will yang dipercayai mengandungi tablet tersebut telah diragut oleh seorang perompak. Apakah yang sedang terjadi? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Filem Skyscraper ini bermula dengan agak tergesa-gesa di mana dalam, 5-10 minit pertama, semua sejarah 10 tahun terdahulu Will Sawyer, bagaimana beliau kehilangan kaki dan bagaimana beliau menemui isterinya didedahkan. Bagi kami, walaupun sejarah beliau ada berkaitan dengan jalan cerita, namun, cara ia diolah terlalu ringkas dan secara jujurnya hanya berkait sedikit sahaja dengan jalan cerita keseluruhan.

Selain itu, pengenalan watak-watak jahat juga dilihat terlalu tergesa-gesa dan tiada pengenalan kepada watak jahat secara berperingkat untuk menjadikan operasi yang mereka lakukan kelihatan realistik atau boleh dipercayai. Dengan kata lain, sedang kita baru hendak mula mengenali Will, tiba-tiba watak jahat memasuki jalan cerita. Semuanya terasa tergesa-gesa. Filem ini juga tidak menerangkan secara teknikal bagaimana penjahat boleh memasuk bangunan tersebut. Tahu-tahu, mereka sudah menebuk lubang untuk memasuki bangunan tersebut.

Sungguhpun demikian, babak-babak aksi dalam filem ini tidak boleh dinafikan sangat mendebarkan. Banyak babak dimana Will berada di tempat tinggi seperti di luar bangunan, di atas kren dan sebagainya. Semuanya demi menyelamatkan keluarganya. Dan oleh kerana segala tindak-tanduknya disiarkan berita, semua warga Hong Kong dapat mengikuti segala detik mendebarkannya serta menyokongnya. Ini secara tidak langsung membuatkan penonton sendiri berasa seronok.

Tetapi secara keseluruhan, plot filem ini agak lemah dan kurang jelas, walaupun babak aksi dan CGInya gah bergaya. Jadi jika anda mengharapkan satu plot yang teknikal dan merangsang minda, anda akan hampa. Kekuatan filem ini adalah babak aksi dan debaran yang ditonjolkannya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Babak aksi yang mendebarkan
  • lakonan mantap Dwayne Johnson

Negatif

  • Kenapa pihak sekuriti bangunan Pearl terlalu lemah sehingga tak masuk akal.
  • Plotnya agak lemah dan tergesa-gesa

Kesimpulan

Filem Skyscraper merupakan satu filem yang kami gelar “touch n go” iaitu hanya untuk hiburan pada masa dan ketika itu sahaja. Anda pasti akan melupakannya setelah melangkah keluar dari panggung. Sungguhpun demikian, ia sebuah filem mendebarkan dengan aksi-aksi menarik, cuma plotnya yang akan membuatkan filem ini bukan sebuah filem yang diingati. Tontonlah dengan rakan atau keluarga untuk hiburan hujung minggu.

Penilaian: 6/10

IMDB

The post Skyscraper – Satu Filem Panjat-Memanjat yang Mendebarkan appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2zD2MpV