Search This Blog

Equalizer 2 : Filem Aksi yang Matang

Equalizer adalah pembikinan semula filem tahun 70an dengan tajuk yang sama dan Equalizer 2 merupakan sekuel filem bikinan semula itu. Selepas menonton filem pertama dan melihat kehebatannya, kami agak teruja untuk menonton filem kedua ini.

Equalizer 2 : Filem Aksi yang Matang

Equalizer 2 menyambung kisah Robert McCall yang kini bekerja sebagai pemandu Lyft (salah satu pesaing Uber di USA) yang sekali-sekala menyelamatkan mereka dalam kesusahan dengan caranya tersendiri. Kali ini cabarannya lebih hebat kerana mangsa yang memerlukan bantuannya adalah rakan rapatnya yang telah mati dalam keadaan yang mencurigakan. Bolehkah beliau menyiasat kematian rakannya dan membawa keadilan kepada pembunuhnya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Jika anda menonton filem ini, awal-awal lagi anda akan menyedari kelainan tema filem ini berbanding filem pertama. Walaupun filem ini masih mempunyai babak-babak aksi yang mendebarkan, ia jauh lebih “chill” berbanding filem pertama. Ia mengambil masa untuk membentangkan senario kehidupan sehari-harian Robert pada ketika itu. Sejujurnya kami sukakan “pacing” sebegini yang lebih santai dan membolehkan penonton menghayati kehidupan serta perhubungan Robert dengan jiran dan pelanggannya. Perumpamaannya ialah Equalizer 1 umpama semangkuk Shin Ramyun yang pedas manakala Equalizer 2 umpama “3 course meal” atau set makan yang lengkap. Penonton lebih terasa puas menonton filem ini berbanding sebuah filem aksi yang pantas, tetapi tiada banyak isi yang boleh dihayati.

Dengan sebab ini, kami berasa mereka yang mengharapkan filem aksi pantas seperti Mile 22 akan berasa tidak senang duduk dengan pacing cerita yang sedikit santai. Babak aksinya juga tidak begitu banyak, tetapi babak-babak aksi yang ada sememangnya memuaskan hati.

Dari segi jalan ceritanya, ia banyak menyingkap kembali sejarah Robert yang pernah menjadi ketua sebuah pasukan khas rahsia tentera US yang ditugaskan untuk membunuh musuh. Agak sama dengan pasukan dalam filem Mile 22. Jalan ceritanya bukanlah sesuatu yang baharu, namun pengolahannya agak baik dan putaran plotnya juga OK, walaupun boleh dijangka.

Tetapi seperti disebut sebelum ini, babak aksinya tidak sebanyak filem pertama memandangkan filem ini lebih menyerupai sebuah filem drama berbanding filem aksi, dan itu sesuatu yang baik, sebenarnya. Sekurang-kurangnya ia memberi nafas segar kepada filem genre aksi lewat ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita, pengolahan dan pacing filem aksi yang matang
  • Babak aksi yang walaupun tidak sebanyak filem pertama, sangat mengujakan

Negatif

  • Lebih mirip sebuah filem drama berbanding aksi

Kesimpulan

Kesimpulannya filem Equalizer 2 ini adalah sebuah filem yang kami rasakan lebih menonjol kepada golongan peminat yang lebih matang. “Pacing“nya yang slow and steady, mungkin tidak akan mengujakan penonton yang lebih muda, namun ia memberikan rasa kepuasan menonton di mana satu sudut luas kehidupan Robert dipertontonkan kepada penonton. Sungguhpun pacingnya sedikit perlahan, babak aksinya tetapi pantas dan mendebarkan, dan Robert masih menggunakan jam tangan untuk mengukur masa yang digunakan untuk menumpaskan musuh. Tontonlah filem ini jika anda inginkan filem yang santai dan memberikan kepuasan dalam mengenal watak-wataknya.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Equalizer 2 : Filem Aksi yang Matang appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2PyiHsF