Search This Blog

Final Score – Sebuah Filem Aksi Piawai

Walaupun terdapat banyak filem berprofil tinggi mula ditayangkan kebelakangan ini, sekali-sekala tidak salah untuk menonton  filem-filem tidak ternama serta tidak banyak dihebohkan. Filem Final Score lakonan Dave Bautista merupakan salah satu filem sebegitu. Ia akan ditayangkan di pawagam mulai minggu hadapan, namun kami berkesempatan menontonnya.

Final Score – Sebuah Filem Aksi Piawai

Final Score mengisahkan seorang pegawai tentera Amerika, Michael Knox yang kehilangan anggota pasukan paling rapat dengannya. Disebabkan beliau juga rapat dengan keluarganya, beliau akan melawat mereka sekali sekala. Kali ini beliau melawat keluarganya dengan niat untuk membawa anak rakannya itu yang bernama Danni untuk menonton perlawanan bolasepak antara West Ham United dengan Dynamo Moscow.

Pada masa yang sama sekumpulan pengganas para tentera menawan stadium tersebut dengan niat untuk mencari ketua politik mereka untuk memulakan semula revolusi di negara asal mereka. Semasa mencari Danni yang telah menghilangkan diri, Knox telah terserempak dengan salah seorang pengganas itu. Bermulalah usaha untuk menyelamatkan kesemua penonton di stadium itu. Dapatkan Knox menyelamatkan semua orang awam itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Dari awal lagi kami telah mengetahui filem ini adalah salah satu dari banyak filem yang dibikin hanya untuk mengisi ruang kosong di antara filem-filem berprofil tinggi. Namun kami hanya mahu mengetahui adakah berbaloi menonton filem ini di pawagam.

Pandangan pertama filem ini OK, tidak banyak perkara yang menjengkelkan. Namun, ternyata pembinaan watak memerlukan lebih usaha lagi kerana kebanyakan wataknya tidak mempunyai karakter mendalam. Sebagai contoh watak ketua politik pengganas, Dimitri lakonan Pierce Brosnan, tidak diperkenalkan secara mendalam, sebaliknya hanya muncul di pertengahan hingga ke penghujung filem. Watak Faisal, iaitu watak “comic relief” atau watak badut dalam filem ini juga nampak terlalu beriya-iya untuk menjadi kelakar, tetapi tidak berapa menjadi. Tetapi fikir-fikir balik, ini hanyalah filem “action flick“, jadi ia tidak perlu mempunyai karakter yang kuat. Ia hanya memerlukan aksi-aksi mendebarkan.

Bercakap mengenai aksi-aksi, filem ini menampilkan aksi lagak ngeri dan berlawan yang baik, terutamanya babak lawannya yang mendebarkan, agak realistik, ganas serta durasinya tidak terlalu panjang atau terlalu pendek. Maklumlah, beliau bekas ahli gusti WWE, mana mungkin babak berlawannya tidak mendebarkan. Props dan produksi filem ini juga tidaklah nampak begitu “bajet” walaupun andaiannya, ia sebuah filem aksi bajet rendah.

Secara keseluruhannya, jalan ceritanya ringkas dan tidak terlalu berat. Anda boleh menontonnya tanpa perlu stres pada jalan ceritanya kerana filem ini lebih mengenai aksi berbanding jalan cerita.

 

Positif vs Negatif

Positif

  • Sebuah filem aksi yang chill
  • untuk sebuah filem aksi tidak berbajet besar, ia masih nampak classy
  • aksi lagak ngeri dan berlawan yang mendebarkan

Negatif

  • Jalan cerita yang ringkas
  • lakonan bukanlah yang terbaik
  • karakter-karater yang agak lemah

Final Score

Kesimpulan

Secara umumnya filem Final Score ini adalah salah satu filem yang anda akan tonton sekiranya anda telahpun tonton semua filem lain di jadual pawagam yang anda langgani. Bukan kami kata ia tidak bagus, tetapi filem ini bagus sekiranya ditonton sekadar untuk melepaskan stres atau memenuhi masa terluang di mana anda tidak meletakkan jangkaan yang tinggi kepada filem yang ditonton. Ia bolehlah dikatakan sebuah filem aksi di tahap piawai. Seolah ia dibikin menggunakan template piawai filem aksi Holywood.

Penilaian: 6.5/10

IMDB

The post Final Score – Sebuah Filem Aksi Piawai appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2p8bAMC