Search This Blog

Mara – Kisah di Sebalik Sleep Paralysis Atau Kena Hempap

Pernahkah anda mengalami pengalaman terkena hempap ketika tidur di mana anda tidak boleh bergerak atau bercakap. Istilah saintifiknya adalah Sleep Paralysis. Filem Mara merupakan sebuah filem seram yang dibina di atas konsep tersebut. Kami sempat menontonnya dan di sini kami ingin berkongsi pendapat kami mengenainya.

Mara – Kisah di Sebalik Sleep Paralysis Atau Kena Hempap

Mara mengisahkan seorang ahli psikologi benama Kate yang ditugaskan membantu polis untuk menyiasat kejadian pembunuhan misteri sepasang suami isteri di mana yang dituduh membunuh, si isteri, mengaku tidak membunuh suaminya, sebaliknya mengatakan suaminya dibunuh makhluk ghaib yang dinamakan Mara.

Semakin beliau menyiasat, semakin beliau mula terlibat secara mendalam dalam kes-kes pembunuhan tersebut sehingga beliau sendiri dikatakan dicop untuk dibunuh oleh Mara sendiri. Adakah ini benar, dan bagaimana beliau menyelamatkan diri? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Filem Mara bukanlah satu filem yang ditunggu ramai dan dari awal lagi kami boleh mengagak kenapa. Sejak bermulanya filem ini, ia menggunakan teknik terkejut sebagai elemen seram dalam filem ini. Tidak dapat dinafikan isu sleep paralysis juga seram, namun kebanyakan sumber keseramannya adalah element terkejut yang banyak digunapakai pembikinnya. Sungguhpun demikian, babak seramnya memang agak seram.

Dari segi watak, watak Kate agak menghampakan kerana beliau dilihat tidak mempunyai perwatakan seorang ahli psikologi sebenar. Tiada banyak bercakap menggunakan teori-teori psikologi dan tidak begitu profesional sebagai seorang psikologi. Namun itu boleh dimaafkan memandangkan dalam filem ini beliau ialah seorang yang baru bertugas dalam penyiasatan seperti itu.

Watak paling penting dalam filem seram adalah hantunya. Dari segi mekap dan props, hantu Mara yang dipaparkan dalam filem ini bolehlah diterima dan tidaklah nampak murahan atau cacat. Namun, jalan cerita di sebalik Mara agak mudah dan straight forward. Tidak begitu banyak misteri di sebaliknya. Ia seperti mana-mana filem seram tipikal di mana protagonisnya perlu mencari bagaimana mengelak kematian di tangan hantu. Plot filem sebegini mudah diagak.

Walaupun terdapat sedikit putaran plot di penghujungnya, ia tidak cukup untuk menyelamatkan keseluruhan filem ini yang kurang menakjubkan.

Positif vs Negatif

Positif

  • mekap untuk hantu yang dilakukan dengan baik
  • Agak seram juga

Negatif

  • Jalan cerita yang mudah dan boleh dijangka
  • Banyak menggunakan taktik terkejut

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami rasakan filem ini hanyalah salah satu filem untuk mengisi ruang kosong di antara tayangan filem sebelum terbitnya filem-filem gempak yang ditunggu ramai. Ia juga mungkin filem “periuk nasi” pelakon di mana pelakonnya mengambil kontrak berlakon sementara menunggu tawaran lakonan dalam filem-filem yang lebih besar. Apa pun, tidak rugi jika anda tidak menonton filem ini, namun jika anda sememangnya peminat tegar filem seram, filem ini masih boleh memenuhi kehendak filem seram anda.

Penilaian: 5.5/10

IMDB

The post Mara – Kisah di Sebalik Sleep Paralysis Atau Kena Hempap appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2MYI6ud