Search This Blog

The Predator : Francais Klasik diberi Nafas Baharu

Filem-filem The Predator sememangnya antara siri filem paling popular ketika admin membesar dalam tahun 90an. Ia menerima banyak sequel dalam era 2000an seperti filem Alien vs Predator 1 & 2 dan The Predators, namun tiada yang mampu menyaingi yang asli. Sequel kali ini diberi nama The Predator dan walaupun trailernya tidaklah begitu hype, namun kami teringin mengetahui adakah filem ini layak menjadi sebuah sequel yang baik.

The Predator : Francais Klasik diberi Nafas Baharu

The Predator mengisahkan Quinn McKenna, seorang anggota tentera khas bersama pasukannya yang bertugas di perbatasan di Mexico. Semasa mereka menjalankan misi, kebetulan satu kapal angkasa yang membawa seorang makhluk predator yang melarikan diri dari sekumpulan predator yang lain telah terhempas berhampiran tempat mereka menjalankan misi.

McKenna yang menyiasat tempat kejadian menemui kapal angkasa yang musnah itu dan juga beberapa peralatan milik predator. Beliau sempat mengambil topi keledar dan alat yang dipasang tangan predator sebelum diserang predator tersebut dan kehilangan seluruh anggota pasukannya. Selepas melarikan diri beliau sempat mengepos peralatan tersebut kepada rumahnya sebelum beliau ditangkap pasukan “Project Stargazing” iaitu badan rahsia yang menyiasat makhluk asing predator sejak 1980 an lagi.

Perkara menjadi lebih rumit apabila anaknya bermain dengan peralatan predator yang menyebabkan musuh predator yang menjadi pelarian itu berjaya mengesannya dan datang ke bumi. Apakah yang akan terjadi? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Jika anda peminat filem klasik Predator, perkara pertama yang anda akan sedari setelah menonton filem ini adalah ia mempunyai vibe yang lebih ceria. Jika filem Predator yang asal mempunyai tema aksi seram, filem kali ini mempunyai tema aksi komedi. Lebih kurang seperti tema filem Marvel, cuma filem The Predator ini mempunyai unsur seram dan keganasan.

Sebaik sahaja McKenna dimasukkan ke unit rawatan psikatri bersama sekumpulan bekas tentera yang mempunyai masalah psikologi, kami sudah tahu filem ini pasti lucu. Walaupun peminat tegar Predator mungkin akan berasa ini telah menghakis identiti filem Predator, namun kami berasa ia satu langkah yang perlu untuk menarik minat generasi baru peminat filem ini.

Jalan ceritanya tidaklah sempurna dan memandangkan ia filem yang lebih santai berbanding dahulu, ia tidak pergi secara mendalam ke dalam benda-benda teknikal. Namun, apa yang menarik, ia mendedahkan lebih banyak mengenai struktur sosial makhluk predator dan mengapa sebenarnya mereka memburu makhluk-makhluk di seluruh cakerawala. Sungguhpun demikian, kami berasa pendedahan ini merupakam satu cara untuk memicu hala tuju francais filem ini ke satu arah yang baharu berbanding sebelum ini. Satu arah yang mempunyai lebih banyak kemungkinan. Dengan kata lain, para pembikin filem ini mahu mewujudkan satu “predator universe” yang lebih menarik.

Dari segi mutu lakonan watak-wataknya, ianya bukanlah yang terbaik, tetapi cukuplah untuk menjadikan filem ini sebuah filem yang menghiburkan dan lucu.

Apa pun, babak terpenting adalah babak terakhir atau penutup dan ia akan membuatkan anda teruja untuk menonton sekuel seterusnya. Pastikan anda menumpukan perhatian kepada jalan cerita filem ini memahami konsep yang hendak disampaikan sebelum “move on” ke sequel seterusnya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Satu nafas baharu kepada siri filem klasik Predator
  • Penuh komedi yang menghiburkan
  • Membuka banyak kemungkinan untuk sequel seterusnya

Negatif

  • Mutu lakonan yang boleh dipertikaikan
  • Menyimpang dari mood dan feel francais Predator asal.

Predator

Kesimpulan

Jika anda pengikut setia siri filem Predator, filem ini sangat penting untuk ditonton kerana ia menentukan hala tuju jalan cerita francais berkenaan selepas ini. Bagi sesetengah peminat tegar, ia mungkin mengecewakan kerana menyimpang dari tema asal filem Predator, namun perubahan ini kami rasakan perlu untuk mengelakan francais ini menjadi “basi” dan tersekat di takuk yang sama. Tontonlah ia bersama rakan-rakan dan pendapat anda mengenai filem ini mungkin akan menentukan samada anda mahu terus mengikut siri filem ini atau tidak.

the predator

Penilaian: 7/10

IMDB

The post The Predator : Francais Klasik diberi Nafas Baharu appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2QvnXyB