Search This Blog

Polis Evo 2 – Gempak Tak Terkata

Kecoh baru-baru ini apabila tular pos FB yang mengajak semua untuk memboikot filem Polis Evo 2 kerana menampilkan pengganas beragama Islam yang dikhuatiri memburukkan imej Islam itu sendiri. Para mufti telah dijemput untuk tontonan tertutup filem tersebut untuk memberi pendapat mereka. Kesimpulan yang dikeluarkan mereka ialah filem ini tidak mempunyai unsur menghina Islam, tetapi berharap di masa hadapan pembikin filem-filem sebegini dinasihatkan merujuk konsultan syariah dahulu bagi mengelakkan kekeliruan dari segi agama.

Kami berpeluang menonton filem ini dan kami teruja untuk berkongsi pendapat kami mengenai filem ini.

Polis Evo 2 – Gempak Tak Terkata

Polis Evo 2 mengisahkan sekumpulan pengganas telah menawan sebuah pulau dan penduduk kampung di pulau tersebut dijadikan tebusan bagi memaksa kerajaan Malaysia membebaskan pemimpin mereka.

Inspektor Sani, Khai dan dua lagi anggota polis, Sgt. Mat Dan serta Sgt. Amin ditugaskan untuk  menyiasat pergerakan anggota pengganas dan tujuan mereka. Mana tahu, mereka terperangkap dalam huru hara serangan pengganas tersebut. Mampukah mereka menumpaskan kumpulan pengganas dan menyelamatkan tebusan? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Sebelum memulakan review, ingin kami mengatakan perbezaan antara Polis Evo 1 dan 2 umpama langit dan bumi. Jika Polis Evo 1 lebih kepada komedi dengan tema aksi, sequelnya ini 100% lebih serius dan komedi hanyalah perkara sampingan yang kecil sahaja. Kehebatannya telah dipertingkatkan berbanding filem pertama ke tahap di luar jangkaan. Lihat saja babak pembukaan anda sudah boleh melihat peningkatan dari segi sinematografi.

Sepertimana mana-mana filem, plot dan jalan cerita adalah penting bagi menghasilkan sebuah filem yang baik. Sejujurnya, plot filem Polis Evo 2 ini menggunakan template filem Holywood, namun, kehebatannya terletak pada pengolahan plot dan jalan cerita. Harus diakui bahawa jalan cerita berkaitan terrorism dan agama adalah sensitif dan jika pembikin filem tidak mahir mengolah jalan cerita, maka filem akan menjadi satu kontroversi. Sukacita dimaklumkan, penulis sutradara filem ini berjaya menampilkan naratif seorang pengganas Islam yang jelas sekali songsang dan tidak sesekali mengelirukan penonton dari segi kesesatannya. Tambahan pula, lakonan Hasnul Rahmat sebagai Saif (ketua pengganas) sangat meyakinkan dan beliau memang kelihatan seperti psiko dalam filem-filem Holywood.

Bercakap mengenai lakonan, filem kali ini menghidangkan satu jalan cerita yang lebih deep terutamanya dari segi emosi. Watak-watak, terutamanya Inspektor Sani mengalami tekanan teruk dalam filem ini akibat teknik psikologi Saif dengan kumpulan pengganas. Ini memerlukan Zizan Razak (Inspektor Sani) mempertingkatkan skil lakonannya bagi menampilkan seorang yang tidak stabil dari segi emosi akibat tekanan dan rasa bersalah yang dihadapi. Jika difikirkan jika kita berada di tempat Sani, mungkin kita akan mempunyai reaksi sama. Dari segi ini filem Polis Evo 2 menampilkan kepelbagaian emosi yang luas berbanding filem pertama yang sekadar komedi dan aksi.

Mengenai babak aksi pula, ia memang tidak menghampakan. Jika anda rasakan Paskal sudah cukup padat dengan aksi, Polis Evo 2 berkali ganda lebih mendebarkan. Babak aksinya seolah-olah tidak henti-henti dan dibikin dengan begitu baik, setanding atau melangkaui filem Paskal. Durasi babak aksinya juga panjang dan terasa puas hati menontonnya. Tetapi tidak semuanya sempurna, cuma bagi sebuah filem Malaysia, ia mengkaui jangkaan kami yang sebenarnya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi pada filem ini setelah menonton filem pertama.

Satu perkara yang negatif mengenai filem ini, yang juga dibangkitkan oleh tuan mufti, adalah kenyataan Saif mengenai takdir dan bagaimana “dia masih berdiri dan Sani melutut kalau bukan takdir Tuhan?”. Perkara ini tidak dijawab jelas oleh Sani ataupun Khai dalam filem ini. Kalau kami, kami akan menjawab seperti ini, “kerana tuhan mahu mempertontonkan kepada kamu (Saif) kejahatan yang kamu lakukan semuanya sia-sia”… Tetapi, siapalah kami untuk mengubah skrip filem.

Positif vs Negatif

Positif

  • Aksi yang sangat mendebarkan seolah tidak henti
  • Jalan cerita yang mendalam
  • Lakonan mantap para pelakonnya

Negatif

  • Soalan takdir itu tidak dijawab dengan baik

Polis Evo 2

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem ini adalah sebuah filem yang wajib tonton oleh semua lapisan masyarakat Malaysia, namun kami tidak pasti sejauh mana pemahaman rakan-rakan bukan Islam jika menonton filem ini. Tetapi, kami rasa jika menonton filem ini hanya kerana babak aksinya pun sudah rasa berbaloi, pada pendapat kami. Nampaknya formula pembikinan filem aksi Malaysia yang diperlihatkan dalam filem Paskal telah dipertingkatkan dalam filem Polis Evo 2. Diharap filem-filem aksi akan datang akan memperlihatkan kepelbagaian tema dan jalan cerita yang tidak meniru template filem aksi Holywood. Pembikin filem Malaysia sudah mampu membikin filem aksi yang baik. Tiba masanya untuk menambahkan kreativiti dalam tema dan jalan cerita. Syabas!

Penilaian: 9/10

IMDB

The post Polis Evo 2 – Gempak Tak Terkata appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2PLTJuG