Search This Blog

Robin Hood – Putaran Plot Klasik Menjadi Sebuah Kisah Baharu

Akhir-akhir ini para pembikin filem Holywood yang ketandusan idea menggunakan kisah-kisah lama dan cuba membentuk naratif alternatif atau kisah alternatif berdasarkan kisah tersebut. Filem Robin Hood terbaharu merupakan salah satu filem sebegitu. Kami berpeluang menonton filem ini dan menilai samada ia sebuah filem yang berbaloi ditonton ataupun tidak.

Robin Hood

Robin Hood – Putaran Plot Klasik Menjadi Sebuah Kisah Baharu

Berbeza dengan filem-filem Robin Hood sebelum ini, filem ini memulakan kisahnya dengan Robin Loxley (Robin Hood) yang merupakan seorang bangsawan yang mengahwini Marion. Tidak lama selepas berkahwin, beliau telah dikerah untuk menyertai tentera Salib untuk berperang di Timur Tengah. Namun, dalam tahun ke 4 beliau berperang, beliau telah dihantar balik kerana mempertahankan seorang tawanan perang Muslim, Yahya Ibn Umar di mana anaknya telah dibunuh tentera Salib.

Malangnya, di Nottingham, tanahairnya, pihak Sheriff of Nottingham telah menyebarkan bahawa beliau telahpun mati dua tahun lalu, bermakna segala harta miliknya dirampas, dan Marion telah berkahwin lain. Lebih teruk ialah kezaliman yang dilakukan Sheriff of Nottingham terhadap rakyat sememangnya merisaukannya. Dengan bantuan Yahya yang telah menyeludup masuk ke kapal yang menuju ke Nottingham, beliau cuba berbuat sesuatu. Apakah beliau akan berjaya membantu rakyat? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Saya suka membandingkan filem Robin Hood ini dengan Robin Hood: Prince of Thieves lakonan Kevin Costner yang diterbitkan awal tahun 90an. Dalam filem terdahulu terdapat juga seorang watak sokongan beragama Islam bernama Azeem, namun dalam filem baharu watak Islamnya bernama Yahya Ibn Umar dan digelar John di England. Jelas sekali watak-watak dalam filem ini telah ditukar-ganti berbanding filem asal.

Satu perkara penting juga adalah dalam filem terdahulu, watak Azeem merupakan seorang pejuang yang gagah dan mempunyai tamadun tinggi, selari dengan fakta sejarah di mana kaum Moor sememangnya mempunyai ilmu dan teknologi sains yang tinggi jika dibandingkan dengan orang barat pada ketika era perang Salib. Dalam filem baharu ini pula Yahya telah kudung sebelah tangan dan seorang yang telah kehilangan segalanya. Beliau juga hanyalah watak sampingan yang tidak begitu menonjol, selain mengajar Robin Hood memanah. Ternyata pengarah tidak mahu menampakkan orang Islam mempunyai kelebihan berbanding barat ketika itu. Dengan kata lain, propaganda.

Berbalik kepada review, secara keseluruhannya, jalan ceritanya bukanlah perkara baharu. Struktur dan plotnya boleh dijangka dan selari dengan filem-filem kebangkitan rakyat lain seperti Hunger Games dan sebagainya. Babak aksinya, boleh tahan. Ia sesuatu yang lain sedikit kerana senjata yang digunakan adalah panah dan jarang ada filem yang memaparkan heronya bersenjatakan busur dan panah secara eksklusif. Namun ia tidaklah terlalu mengagumkan.

Dapat disimpulkan bahawa filem Robin Hood ini bukanlah sebuah filem yang bermutu tinggi jika dinilai dari segi jalan cerita mahupun potensi untuk diperkembangkan. Babak kesudahannya ada menggambarkan akan ada sequel, namun kami tidak yakin filem ini cukup baik untuk mewartakan sebuah sekuel.

Positif vs Negatif

Positif

  • Babak aksi yang agak mendebarkan.
  • Plot yang mudah difahami dan santai.

Negatif

  • Plot yang tidak sofistiketed.
  • Karakter yang tunggang-langgang jika dibandingkan kisah dongeng yang sebenar.

Kesimpulan

Mungkin jika anda seorang yang lahir awal 2000an dan tidak pernah menonton filem Robin Hood: Prince of Thieves, anda boleh menonton filem ini sebagai sebuah filem baharu, tanpa sebarang prejudis. Penonton muda di sebelah kami kelihatan teruja dengan adegan-adegan lincah Robin Hood. Tetapi jika anda seorang yang lebih berumur dan matang, mungkin filem ini terlalu mudah untuk citarasa anda.

Penilaian: 6.5/10

IMDB

The post Robin Hood – Putaran Plot Klasik Menjadi Sebuah Kisah Baharu appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2AuHkR4