Search This Blog

The New King of Comedy – Karya Stephen Chow yang Menghampakan

Rakan saya bertanya tempoh hari, “Bila Stephen Chow nak buat movie baru?”. Rupa-rupanya beliau telah pun membikin sebuah filem untuk tahun 2019 bertajuk The New King of Comedy. Oleh kerana ia dibikin oleh Stephen Chow, maka memanglah harapan terhadap filem ini tinggi. “Mesti lucu, filem ni”, kami fikir. Kami pun menonton filem ini di pawagam dan berikut adalah pendapat kami mengenai filem ini.

The New King of Comedy – Karya Stephen Chow yang Menghampakan

The New King of Comedy mengisahkan Dreamy, seorang yang mengimpikan menjadi pelakon terkenal. Beliau telah 10 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan dan bekerja membawa watak-watak sampingan yang pelbagai, namun sehingga kini belum mendapat peluang keemasan untuk menjadi pelakon utama dalam sesebuah filem.

Tiada siapa yang menyokongnya pada ketika itu kecuali teman lelakinya. Malah bapanya juga menghalaunya dari rumah kerana kedegilannya mengejar impiannya itu. Filem ini menceritakan realiti bidang lakonan dan keperitan yang dilalui Dreamy dalam usahanya mencapai impiannya.

Adakah beliau akan mencapai impiannya untuk menjadi pelakon terkenal? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Dukacita dimaklumkan bahawa filem The New King of Comedy bukanlah filem komedi Stephen Chow yang diharapkan. Bukan ia tidak kelakar, tetapi ia lebih mirip sebuah filem drama yang mempunyai unsur kelakar di dalamnya. Mesej yang dibawanya adalah serious, iaitu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita.

Bercakap mengenai lawak, walaupun filem ini bukanlah komedi sepenuhnya, babak lucunya memang sinonim dengan gaya lawak Stephan Chow. Peminat-peminatnya tentu dapat mengecam gaya lawak jenaka Stephen Chow dengan mudah dalam filem ini. Tetapi ada babak lawak yang terlalu “desperate” sehingga tidak lucu.

Dari segi drama pula, jalan ceritanya pada pendapat kami agak cliche. Dalam mengejar impian akan terdapat pelbagai cabaran dan orang yang menjatuhkan kita. Selagi kita tidak berputus asa, impian tentu dapat dicapai. Selebihnya anda boleh jangka. Adalah satu dua babak yang menyedihkan, tetapi secara asasnya, jalan ceritanya agak mudah dan lebih “tepung dari isi”. Tambahan pula kesudahannya sangat cliche, seolah-olah tiada kreativiti dalam membuat putaran plot yang lebih menarik. Mungkin skrip kesudahannya ditulis secara tergesa-gesa.

Secara asasnya itu sahaja yang kami boleh ulas mengenai filem ini. Ia tidaklah teruk, tapi ia tidak mempunyai banyak poin yang menarik. Kami 50/50 samada mahu merekomen filem ini atau tidak. Tapi jika anda mengambil keputusan menontonnya, jangan kata abang tak payung.

New King of Comedy

Positif vs Negatif

Positif

  • Lawak gaya Stephen Chow.
  • Ada lah satu dua babak yang emosi
  • Realiti bidang lakonan; Tak ada rupa, sukar mendapat tempat, tetapi tidak mustahil

Negatif

  • Sesetengah lawak tidak menjadi. Sebenarnya banyak juga lawak tak menjadi
  • Barisan pelakon yang agak amatur

New King of Comedy

Kesimpulan

Tontonlah filem The New King of Comedy mengikut pertimbangan sendiri. Filem ini lebih kepada sebuah telemovie berbanding filem pawagam. Lakonannya amatur, jalan ceritanya juga tidak berimpak tinggi, tetapi adalah satu dua babak yang memberi kesan yang diingini. Pada pendapat kami, Stephen Chow membikin filem ini sebagai percubaan atau latihan untuk barisan pelakon baru dan bukan prestasi sebenar pelakon/pengarah filem itu. Kami tidak akan menghakimi beliau dalam filem ini, sebaliknya akan menunggu sequel Kung-fu Hustle 2 yang diumumkan akan dibikin beliau.

Penilaian 5/10

IMDB

The post The New King of Comedy – Karya Stephen Chow yang Menghampakan appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://bit.ly/2N4D2WN