Search This Blog

Bleeding Steel – Sebuah Filem Sci-Fi Aksi Asia Tipikal

Filem-filem Jackie Chan memang terkenal sejak dulu dengan aksi lagak ngeri buatan sendiri dan lawak jenaka praktikal. Oleh kerana itu filem-filemnya menjadi kegemaran segenap lapisan masyarakat. Namun filem Bleeding Steel yang mula ditauyangkan penghujung Disember menjadi tanda tanya, memandangkan tarikh hujung Disember hingga sekitar Februari biasanya menjadi lubuk filem-filem “reject” yang tidak mendapat sambutan di Holywood. Namun, adakah filem ini tergolong dalam kategori itu? Ini penilaian kami.

Bleeding Steel

Bleeding Steel – Sebuah Filem Sci-Fi Aksi Asia Tipikal

Filem Bleeding Steel mengisahkan Jackie Chan yang memainkan watak ketua pasukan agen khas polis yang melindungin Dr James, seorang saintis yang mencipta cara untuk membolehkan manusia mempunyai kadar penyembuhan seperti cicak yang boleh menumbuhkan semula anggota badan yang terputus.

Malangnya, semasa hendak memindahkan Dr James ke tempat selamat, pasukan polis khas telah diserang subjek ujian pertama Dr James yang menubuhkan organisasi gelap untuk mendapatkan formula tersebut. Rawatannya terdiri dari dua bahagian, pertama ialah satu cecair yang mengubah sel badan untuk membolehkan kadar penyembuhan luarbiasa dan kedua jantung mekanikal yang membolehkan darah dipam keseluruh badan dengan lebih pantas. subjek ujian itu mempunyai jantung mekanikal, namun tidak mendapat rawatan sel badan yang berkesan.

Jackie Chan dan Dr James berjaya melepaskan diri dengan nyawa-nyawa ikan.

Pada masa yang sama, anak Jackie Chan, Nancy yang sedang dirawat untuk kanser telah mati di hospital. Dr James yang ingin kerjanya diberi penghargaan pada masa depan, telah menjalankan rawatan tersebut kepada Nancy.

13 tahun berlalu, Nancy dimasukkan ke rumah anak yatim di Australia dan Jackie terpaksa menyamar sebagai orang luar demi melindungi anaknya dari organisasi gelap itu. Di sinilah bermula kisahnya.

Review

Filem ini jelas sekali merupakan filem kerjasama antara Australia dan China di mana sebahagian besar filem ini dirakam di Australia dan China. Kali ini Jackie Chan tidak mengarahkan filem ini, namun kesan-kesan atau inputnya jelas kelihatan dari segi koreografi babak lawannya. Bercakap mengenai babak lawan, filem ini didapati lebih ganas berbanding filem biasa Jackie Chan, walaupun tema aksi dan lawak jenaka tetapi dikekalkan. Namun, tiada babak ganas yang melampaui batas.

Lakonan para pelakon utama tiada masalah, tetapi jika anda mengikuti perkembangan filem Jackie Chan, pelakon tambahan yang biasanya digunakan dalam filemnya kebanyakannya amatur dan ia boleh dilihat dalam mutu lakonan mereka.

Props dan CGI juga tidak berada di tahap filem Holywood atau Korea, malah agak “cheezy“, namun ini biasa dilihat dalam filem sci-fi keluaran Asia. Jalan ceritanya pula, tidak akan memenangi sebarang Oscar dan lebih kepada santai berbanding sci-fi “hardcore“. Ia kurang menarik sedikit berbanding filem seperti Who am I atau The Myth.

Secara keseluruhan, ia sebuah filem yang lebih bertemakan keluarga, aksi santai dan bukan untuk peminat sci-fi hardcore yang mengharapkan jalan cerita yang saintifik dan kompleks.

Positif vs Negatif

Positif

  • Filem yang ringan dan santai
  • Aksi dan koreografi lawan yang agak baik.

Negatif

  • Props dan CGI yang agak mengecewakan
  • Jalan cerita yang kurang memberangsangkan

Kesimpulan

Filem Bleeding Steel bukanlah pilihan pertama anda jika diberi pilihan antara Star Wars The Last Jedi dan semua filem lain yang mula ditayangkan baru-baru ini. Namun jika anda telah menonton semua filem penting, tidak salah anda cuba menonton filem ini, jika anda tidak mempunyai aktiviti santai yang lain di masa libur anda. Sekurang-kurangnya ia dapat mengisi masa terluang anda itu dan anda bolehlah menjemput rakan-rakan anda menonton sekali.

Penilaian 6.5/10

IMDB

 

The post Bleeding Steel – Sebuah Filem Sci-Fi Aksi Asia Tipikal appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2pTMC6I

Jibam [Review]

Beberapa minggu kebelakangan ini kedengaran isu mengenai filem Jibam yang dikurangkan tayangannya secara drastik kerana tidak laku di pawagam. Kemudian kedengaran pula sekumpulan penonton yang menempah terus satu panggung untuk menyokong dan menonton filem tersebut. Ini membawa kepada lanjutan penayangannya di pawagam. Ini membolehkan kami menontonnya dan menilai sendiri filem yang menimbulkan kontroversi ini. Lagipun, sekali sekala kami mahu menonton filem Melayu yang bukan filem cinta mahupun seram.

 

Jibam [Review]

Jibam atau nama sebenarnya Ashraf merupakan kanak-kanak istimewa yang mempunyai perangai pelik dan sering dibuli kanak-kanak lain serta sesetengah orang kampung tertentu. Bapanya Suman, merupakan orang peneroka tanah yang mula-mula membuka dan menubuhkan kampung di mana mereka tinggal. Namun beliau telah hilang secara misteri dan tinggallah Jibam, ibunya dan kedua abangnya, Fakir dan Kadir.

Jibam mewarisi kuasa istimewa dari bapanya yang boleh menyembuhkan penyakit atau kecederaan. Perkara ini dibuktikan apabila Tok Ngah Sudin yang membenci Jibam, yang suka mengacaunya, telah secara tidak sengaja menolaknya jatuh dari tebing sungai. Menyangka Jibam telah mati Tok Ngah Sudin menyorokkan mayatnya di semak samun. Tanpa disangka Jibam muncul semula tanpa kecederaan tidak lama selepas itu.

Sejak itu Tok Ngah Sudin dihantui bayangan Jibam akibat rasa bersalah sehinggakan hampir gila dibuatnya. Apa akan terjadi antara Jibam dan Tok Ngah Sudin? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Dalam industri perfileman tempatan yang kecil, memang sukar untuk membikin sebuah filem yang berlainan dari kebiasaan dan pembikinan filem Jibam ini seharusnya dipuji kerana menampilkan tema yang lain dari yang biasa dan “selamat”. Ia sebuah drama kemasyarakatan dicampur unsur komedi. Sememangnya kami menunggu filem seperti ini untuk diterbitkan pengarah Malaysia, namun oleh kerana ia berisiko tidak pulang modal, maka tidak ramai berani melakukannya.

Pada pandangan pertama, sinematografinya yang baik mengalu-alukan penonton dan plotnya nampak berpotensi, namun, semakin lama menonton, masalah terbesarnya menampakkan diri. Susun atur jalan ceritanya tidak begitu baik dan penonton termasuk kami mula menghadapi masalah mengenalpasti apakah plot sebenar filem ini. Kami boleh nampak beberapa plot dalam filem ini, namun kerana tidak ada aturan yang jelas menyebabkan penonton tertanya-tanya tentang banyak perkara.

Tetapi apa yang baiknya adalah babak-babak secara individunya dibikin dengan baik, cuma susun aturnya agak bercelaru, menebabkan kesinambungan antara babak sukar dilihat.Malah Jibam dilihat kurang menyerlah berbanding watak-watak lain. Sebagai penonton, kami mengharapkan filem memfokuskan kepada watak Jibam supaya kami boleh lebih “emotionally invested” dalam watak tersebut, namun hampa. Tambahan pula kesudahan filem ini pelik dan tergantung dengan cara yang pelik.

Sungguhpun demikian kami nampak potensi dalam filem ini terutamanya kerana barisan pelakon yang hebat termasuk pelakon veteran seperti A. Galak, Kamarool Yusof, Kazar, Zaidi Omar dan lain-lain. Ia juga mengetengahkan realiti kehidupan di kampung di mana isu-isu seperti tanah pusaka, hubungan erat dengan jiran tetangga, isu membela hantu dan pelbagai isu yang banyak dihadapi masyarakat Melayu kampung. Cuma mungkin terlalu banyak isu yang ingin diketengahkan menyebabkan filem ini hilang fokus.

Positif vs Negatif

Positif

  1. Lakonan mantap barisan pelakon handalan.
  2. Babak-babaknya secara individu dibuat dengan baik (cuma susunan babak-babaknya secara keseluruhan agak bercelaru).
  3. Penggunaan muzik bertemakan Melayu dibuat dengan baik. Malah penggunaan muzik dalam babak-babak secara keseluruhan juga baik

Negatif

Secara keseluruhannya kami rasa masalah dengan filem ini adalah:

  1. Ia tidak menggambarkan dengan jelas apakah plot filem ini. Sehingga penghujung filem ini kami tidak pasti apakah yang hendak diceritakan pengarah melalui filem ini.
  2. Ia tidak memperkenalkan secara jelas setiap watak serta kaitannya dalam plot cerita. Sesetengah watak dilihat tidak mempunyai peranan yang signifikan dalam filem ini.
  3. Kesudahan yang tergantung. Sesetengah filem sengaja mempunyai kesudahan yang tergantung untuk memberi laluan kepada sekuel, tetapi filem ini seolah-olah tidak siap dan dipendekan secara tergesa-gesa.

Kesimpulan

Walaupun banyak komen negatif mengenai filem ini, kekuatan utama filem ini ialah lakonannya yang mantap dalam babak-babak individunya. Contohnya jika kita lihat filem Polis Evo, banyak dialognya ketara sangat seperti berlakon kerana kita tahu dalam realiti, orang Malaysia tidak bercakap seperti demikian. Namun dalam filem Jibam ini, dialognya lebih natural dan tidak nampak seperti dibuat-buat. Cuma kelemahan besar filem ini adalah pelaksanaan serta susunan jalan ceritanya mengelirukan penonton. Bukan niat kami nak menjatuhkan produksi filem ini, cuma realitinya kelemahan-kelemahan ini menjadi penyebab sambutan dingin terhadap filem ini dan diharap diperbaiki dalam filem-filem akan datang.

Akhir kata kami tinggalkan anda dengan satu filem pendek di mana kami rasakan jika filem Jibam dibikin/diolah seperti filem pendek ini, pasti ia akan mendapat sambutan yang lebih baik.

Penilaian: 6/10

IMDB

The post Jibam [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2kUowmH

Jumanji Welcome to the Jungle [Review]

Bagi mereka yang lahir selepas tahun 2000 dan tidak mengenali filem Jumanji, ia merupakan sebuah filem adventure yang diterbitkan pada tahun 1995 dibintangi mendiang Robin Williams, Kristen Dunst dan Bonnie Hunt. Ia mengisahkan sebuah permainan papan ajaib yang membawa pemainnya ke satu alam safari. Filem ini kini mendapat sequel yang dimodenkan berupa sebuah filem bertajuk Jumanji Welcome to the Jungle. Kami berpeluang menontonnya dan di sini kami memberi sedikit ulasan mengenainya.

Jumanji

 Jumanji Welcome to the Jungle [Review]

Jumanji Welcome to the Jungle merupakan sequel kepada filem asal Jumanji yang diterbitkan pada tahun 1995. Pada ketika itu, watak utamanya telah mencampakkan permainan papan tersebut ke dalam sungai dengan harapan tiada sesiapa menjumpainya. Tetapi dalam filem sequel ini permainan papan Jumanji ditemui oleh seorang remaja pada tahun 1996 yang kemudiannya membawanya pulang. Mungkin kerana keajaiban papan tersebut, ia telah bertukar mengikut citarasa remaja pada tahun 1996 yang lebih gemar bermain permainan video berbanding permainan papan.

Remaja yang bernama Alex itu telah menemui konsol permainan Jumanji itu dan mencubanya. Tanpa disangka, beliau disedut masuk ke dalam permainan tersebut.

Kemudian, pada tahun 2017 sekumpulan 4 remaja yang dikenakan kelas tahanan disuruh mengenaskan sebuah bilik di sekolah yang akan dijadikan bilik komputer. Semasa mengemas, mereka telah menjumpai konsol permainan Jumanji di antara barangan lusuh yang ada di dalam bilik tersebut. Kerana sifat ingin tahu mereka menyambungkannya kepada TV dan cuba bermain. Tanpa disangka, mereka berempat disedut masuk ke dalam permainan itu. Bermulalah pengembaraan mereka dalam misi menyelamatkan dunia Jumanji.

Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Seingat admin filem asal Jumanji lakonan Robin Williams merupakan salah satu filem adventure  yang terhebat pada ketika itu. Ia penuh dengan aksi yang mendebarkan dan admin masih ingat berasa cemas memikirkan bagaimana watak Robin Williams bernama Alan Parrish hidup berseorangan di dunia Jumanji yang kejam.

Trivia: dalam filem sequel ini terdapat “easter egg” yang merujuk kepada watak Alan Parrish.

Dalam filem terbaharu ini, komedi diberi lebih keutamaan dalam jalan ceritanya. Lawak jenaka sememangnya dialu-alukan, namun terdapat lawak jenaka dalam filem ini yang sedikit kotor dan tidak sesuai untuk golongan bawah 16 tahun. Namun ia tidaklah keterlaluan. Babak-babak aksi pengembaraannya mantap dan menghiburkan.

Ini ditambah pula dengan watak-watak yang sungguh bertenaga yang dilakonkan barisan pelakon yang berbakat. Namun, bagi kami, banyak perkara yang boleh ditambahbaik seperti pengarah boleh menerapkan lebih banyak elemen-elemen RPG (Role Playing Game) ke dalam filem ini bagi menjadikannya lebih menarik serta menambahkan lagi kerumitan teka-teki yang perlu diselesaikan kumpulan pemain itu.

Tetapi secara keseluruhan, filem ini sangat menghiburkan dan sememangnya mampu menceriakan hari anda, rakan dan keluarga jika menontonnya, selagi anda tidak mengharapkan satu jalan cerita yang kompleks. Jalan ceritanya santai, watak-wataknya bertenaga dan lucu serta aksi-aksinya menghiburkan.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang santai dan menghiburkan
  • Watak-watak yang bertenaga dan lucu
  • Aksi yang mendebarkan

Negatif

  • Terdapat aspek-aspek yang boleh ditanbahbaik untuk lebih impak

Kesimpulan

Filem Jumanji Welcome to the Jungle merupakan sebuah filem santai, tidak lebih dari itu. Ia mempunyai adunan tepat antara komedi, aksi dan drama remaja. Sesuai untuk anda yang melepaskan tekanan di hujung minggu atau membawa keluarga bersantai. Namun kami tidak rasa anda akan memperkatakan mengenai filem ini selepas keluar dari panggung. Apa pun, kami tidak boleh menafikan filem ini sebuah filem yang menghiburkan dan kami yakin ia akan mendapat sambutan baik dalam minggu-minggu akan datang, dibukitkan oleh kepadatan penonton di panggung kami hari ini.

Penilaian: 7.5/10

IMDB

The post Jumanji Welcome to the Jungle [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2Cr36Vj

Star Wars VIII The Last Jedi [Review]

Star Wars VIII The Last Jedi bolehlah dikatakan filem paling ditunggu-tunggu untuk tahun 2017 dan kami di Wayangkini.com juga tidak terkecuali dari menanti penayangannya. Kami telah melapangkan jadual kami untuk menonton filem epic ini di pawagam dan kami akan berkongsi pendapat mengenai filem ini.

Star Wars VIII The Last Jedi [Review]

Dalam Star Wars VIII The Last Jedi kedudukan pangkalan pihak pemberontak telah diketahui pihak empayar dan mereka menghantar angkatan kapal angkasa mereka untuk memusnahkan keseluruhan tentera pemberontak.

Mengetahui serangan yang akan hadir, pihak pemberontak terus mengarahkan keseluruhan tenteranya di pangkalan tersebut untuk berpindah keluar dan mencari pangkalan baharu.

Malangnya pihak empayar mempunyai teknologi untuk mengesan kapal-kapal induk pemberontak walaupun mereka bergerak pada kelajuan cahaya. oleh sebeb itu pihak pemberontak hanya boleh mengekalkan pergerakan mereka pada satu jarak yang cukup jauh di mana tembakan pihak empayar tidak mempunyai kesan pada perisai kapal induk.

Sementara itu Rey berjumpa Luke Skywalker untuk berguru dengannya dalam ilmu Jedi.

Dapatkah pihak pemberontak melarikan diri dari empayar dan adakah Rey akan berjaya meyakinkan Luke Skywalker untuk melatihnya? Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Pertama sekali harus diketahui bahawa kami menonton filem ini di pawagam IMAX 3D di TGV Sunway Velocity, berhampiran IKEA Cheras. Kami dapati tiketnya tidak begitu mahal iaitu RM22 seorang (Penafian: Kami tidak ditaja oleh TGV Cinema). Lagipun filem aksi sebegini memang sesuai ditonton dalam 3D. Admin secara peribadi sebelum ini tidak percayakan filem 3D kerana beberapa filem yang admin tonton sebelum ini tidak memuaskan, namun setelah menonton filem Star Wars VIII ini, admin sudah termakan umpan 3D ini.

Bagi admin, perkara yang menjadikan filem ini berbaloi untuk ditonton dalam 3D adalah babak-babak peperangan kapal angkasa yang sememangnya terbaik! segala aksi dapat dilihat seolah berada di angkasa bersama pejuang galaksi itu. Walaupun ia mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri, setelah biasa, segalanya akan kelihatan terbaik.

Berbalik kepada ulasan filem ini, pengarahnya, Rian Johnson sememangnya membawa satu kelainan yang ketara pada francais Star Wars ini. Paling ketara, filem ini lebih terbuka dalam erti kata bukan sahaja geek-geek Star Wars yang akan dapat menikmati filem ini, malah jika anda bukan peminat Star Wars, anda akan turut terhibur dan berpuashati dengan filem ini. Jalan ceritanya lebih “mainstream”, lawak jenakanya lebih bersahaja dan gaya sinematografinya tidak pernah dilihat pada filem Star Wars sebelum ini. Ada beberapa babak yang sangat epik yang akan membuatkan anda ternganga ketakjuban. Putaran plot (plot twist) yang diketengahkan dalam filem ini juga tidak dapat dijangka dan bertentangan dengan norma idealistik yang biasa dilihat pada filem Star Wars sebelum ini. Namun, kami dapat rasakan bagi peminat tegar filem Star Wars akan kurang berpuas hati memandangkan filem ini sudah kurang menyerupai sebuah filem Star Wars.

Jalan ceritanya pula tidak begitu berat dan tiada satu pun antara watak utamanya yang menjadi watak utama dalam filem ini. Masa di skrin dibahagi sama rata antara semua watak utamanya (walaupun sesetengah watak jahat hanya membuat kemunculan lebih singkat dari jangkaan). Jadi kita tidak boleh katakan secara muktamad bahawa filem ini adalah berkisar secara eksklusif tentang Rey, Finn, Poe atau mana-mana satu watak terbabit.

Bercakap tentang watak-watak, filem ini menampilkan watak dari pelbagai kaum, samada wtak berkulit putih, asia, africa dan juga menampilkan banyak watak wanita tidak mengira ia juru terbang mahupun tentera biasa. Jadi, para pejuang keadilan sosial tidak dapat komplen mengenai ketidakseimbangan perwakilan kaum dalam filem ini.

Namun satu perkara yang kurang mengenai filem ini adalah muziknya kurang menonjol. Anda tidak akan perasan muzik latarnya seperti yang dialami dalam filem-filem sebelumnya. Mungkin muzik tidak begitu penting dalam filem ini, memandangkan segala yang lain sememangnya gempak.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang menarik, tidak berat, tidak terburu-buru dan tidak hanya dibikin khas untuk para geek Star Wars sahaja.
  • Putaran plot yang tidak dijangka
  • Animasi dan produksi IMAX 3D yang terbaik
  • Babak aksi yang cukup banyak untuk menghiburkan anda

Negatif

  • Muzik tidak menonjol.
  • Bagi peminat tegar atau geek-geek Star Wars, filem ini mungkin terasa bukan seperti sebuah filem Star Wars.

Kesimpulan

Filem Star Wars VIII The Last Jedi merupakan sebuah filem mesti tonton untuk tahun ini samada anda peminat atau bukan peminat francais ini. Mungkin kerana muziknya yang tidak begitu menonjol menyebabkan filem ini tidak terasa seperti sebuah filem tegar Star Wars dan lebih kepada sebuah filem sci-fi arus perdana. Jika anda mahu menonton filem ini, kami merekomen anda supaya tonton dalam IMAX 3D. Namun bagi peminat tegar Star Wars, anda mungkin akan sedikit kecewa kerana filem ini kurang menyerupai sebuah filem Star Wars. Namun apa pun, ia sebuah filem yang gempak dan menghiburkan.

Penilaian – 9/10

IMDB

The post Star Wars VIII The Last Jedi [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2C5ca1S

Murder on the Orient Express [Review]

Murder on the Orient Express sebenarnya adalah sebuah filem pembikinan semula filem dengan tajuk sama dari tahun 70an. Filem kali ini dilakonkan pelbagai pelakon handalan seperti Johnny Depp, Daisy Ridley, Willem Dafoe dan Michelle Pfeiffer. Filem misteri penyiasatan ala Sherlock Holmes ini menarik minat kami untuk menontonnya di pawagam.

Murder on the Orient Express [Review]

Murder on the Orient Express mengisahkan seorang detektif berbakat luarbiasa bernama Hercule Poirot. Setelah menyelesaikan satu kes kecurian artifak agama berharga di Baitulmaqdis, beliau diarahkan menyiasat satu kes di London. Untuk itu beliau terpaksa berlayar ke Istanbul dan kemudian menaiki keretapi Orient Express.

Penumpang keretapi itu terdiri daripada penumpang yang mempunyai latarbelakang yang berbeza-beza. Watak yang diperhatikan ialah Edward Ratchett lakonan Johnny Depp, seorang penjenayah dan penipu yang diburu oleh mafia Itali.

Perjalanan keretapi tersebut mengambil masa 3 hari, tetapi pada malam kedua, satu runtuhan salji telah berlaku menyebabkan keretapi tergelincir dari landasan. Semua penumpang terselamat, namun didapati En. Ratchett telah dibunuh di biliknya, ditikam berkali-kali.

Poirot yang asalnya mahu bersara setelah menyiasat kes terakhirnya, mengambil keputusan untuk menyiasat dan menyelesaikan kes pembunuhan tersebut. Tetapi siapakah di kalangan penumpang-penumpang yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat telah membunuh En Ratchett? Itulah jawapan yang dicari-cari Poirot dalam filem ini dan tontonlah ia untuk mengetahui jawapannya.

Review

Perkara pertama yang anda sedari semasa menonton filem ini ialah kualiti sinematografinya yang menggambarkan dunia Palestin, Istanbul dan Eropah yang kami anggarkan pada sekitar tahun 1930an memandangkan Palestin dilihat di bawah penguasaan British dan model kereta-kereta yang dipaparkan dalam filem ini. Penyediaan set dan tema 30an dalam filem ini sangat berkesan dalam memberikan kepada penonton mood 1930an ketika menontonnya.

Dengan barisan pelakon handalan, penonton memang boleh mengharapkan lakonan mantap, terutamanya dengan watak-watak filem yang mempunyai pelbagai perwatakkan berbeza. Skrip dan dialog juga ditulis dengan begitu baik, berpadanan dengan perwatakan setiap watak dalam filem ini.

Tetapi plot merupakan perkara teras dalam filem misteri penyiasatan seperti ini dan nampaknya ia tidaklah mencapai harapan yang kami letakkan. Sebagai peminat siri TV Sherlock, putaran plot dan kompleksitinya penting dalam memberikan rasa kepuasan dalam menonton dan bersama-sama menyelesaikan kes. Siri TV tersebut sememangnya pakar dalam membuat putaran plot yang sememangnya tidak boleh dijangka. Tetapi, mungkin kerana terlalu biasa menonton Sherlock, plot filem Murder on the Orient Express secara reletifnya kelihatan agak mudah dan boleh dijangka. Malah, pada awal filem, ketika terjumpanya mayat En. Ratchett, kami sudah boleh mengagak siapa yang membunuhnya. Tetapi itu kami, tidak semua orang mempunyai otak ala pembunuh seperti kami. Jika anda minat filem penyiasatan sebegini dan suka berfikir dan meneka siapakah identiti pembunuh, anda mungkin akan terhibur mengikuti plot filem ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Sinematografi yang baik
  • Plot yang berputar belit.
  • Lakonan mantap pelakon handalan

Negatif

  • Bagi peminat Sherlock, mungkin plotnya agak mudah dan mendatar.
  • Durasi filem yang agak pendek.
  • Filem ini khas untuk peminat filem misteri penyiasatan. Jika anda bukan peminat, berkemungkinan besar anda akan tidur dalam pawagam.

Kesimpulan

Filem Murder on the Orient Express sememangnya sebuah filem niche khas buat peminat filem misteri penyiasatan. Ia penuh dengan dialog, penceritaan, teka-teki, putaran plot dan kurang atau hampir tiada babak aksi. Ia memerlukan fokus kepada dialog dan plot yang tidak berbelah bahagi. Jadi, jika anda bukan peminat filem sebegini rasanya tiada keperluan anda menonton filem ini. Anda mungkin akan tertidur di dalam pawagam. Jika anda peminat filem sebegini, anda akan terhibur. Tetapi bagi kami yang telah terbiasa dengan genre penyiasatan seperti ini, kepuasan kami tidak terasa kerana kami telah mengagak siapa pembunuhnya di awal filem dan ternyata benar di penghujungnya.

Fakta: Sequel filem ini telahpun diumumkan. Apakah temanya? Ia disebut di penghujung filem pertama ini. Untuk mengetahuinya, tontonlah filem ini di pawagam.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Murder on the Orient Express [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2ALj7Iy