Search This Blog

Solo A Star Wars Story Tidak Sehebat Jangkaan

Solo A Star Wars Story merupakan filem terbaharu dalam francais filem Star Wars baharu yang dimulai dengan Star Wars Episode VII beberapa tahun lalu. Walaupun filem ini tidak begitu hype dalam minggu-minggu menuju tayangannya, kami tetapi menanti filem ini. Semalam kami sempat menonton filem ini dan kami ingin berkongsi pendapat kami mengenai filem ini. Menariknya, kami menonton filem ini di IMAX Sunway Velocity dan kami hanya perlu membayar RM17 untuk dua tiket dengan promosi bayaran dengan kad kredit Maybank (beli 1 percuma 1). Bermakna, kami hanya perlu membayar RM8.50 seorang untuk tayangan bertaraf IMAX 2D. Memang berbaloi.

Solo A Star Wars Story

Solo A Star Wars Story Tidak Sehebat Jangkaan

Solo A Star Wars Story merupakan filem “origin” bagi watak Han Solo dalam saga Star Wars. Ia menceritakan asal usul Han Solo, seorang anak gelandangan yang terperangkap dalam kancah jenayah. Beliau dan kekasihnya, Qi’ra bercita-cita melepaskan diri dari cengkaman kumpulan penjenayah planet Corellia di mana mereka dilahirkan. Han Solo bercita-cita menjadi juruterbang dan memiliki kapal angkasanya sendiri setelah berjaya melepaskan diri.

Malangnya dalam usaha melepaskan diri, Qi’ra berjaya ditangkap semula manakala Solo berjaya lepas. Apakah yang akan dilakukan Solo selepas itu? Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam berhampiran anda.

Review

Pertama sekali, secara umumnya, filem ini bukan sebuah filem yang tidak mempunyai kepentingan atau impak yang sama dengan filem-filem spin-off Star Wars lain seperti Rogue One. Malah hanya peminat tegar Star Wars seperti Admin No 2 sahaja akan menyedari kepentingan filem ini dan di mana letaknya di dalam timeline filem-filem saga Star Wars yang utama. Menurutnya, filem ini berlangsung sebelum Rogue One dan selepas Episode III. Ini kerana terdapat watak dalam filem ini yang muncul dalam filem Rogue One. Tambahan pula, kemunculan satu watak lama yang saya sendiri sangka sudah mati. Namun, bagi peminat tegar yang menonton siri animasi Star Wars Rebel akan mengetahui watak tersebut sememangnya masih hidup. Pendek kata, hanya peminat tegar Star Wars akan memahami sepenuhnya signifikannya jalan cerita filem ini.

Namun bagi peminat part time seperti saya, adakah ia berbaloi untuk ditonton? Satu kelebihan filem ini bagi peminat part time adalah filem ini meneroka satu segmen Star Wars berbeza, iaitu para penjenayah terancang. Oleh sebab itu, filem ini tidak banyak menampilkan tentera Galactic Empire, malah ia hampir tidak terasa seperti sebuah filem Star Wars, sebaliknya ia lebih seperti sebuah filem sci fi berasingan.

Jadi, jika dinilai sebagai sebuah filem sci fi berasingan, filem ini tidaklah begitu gempak sepertimana filem-filem yang lain. Jalan ceritanya tidak begitu sofistiketed dan walaupun terdapat sedikit putaran plot, ia tidaklah begitu mengejutkan. Babak-babak aksinya boleh tahan dan setaraf dengan mana-mana filem Star Wars, cuma dalam skala yang lebih kecil. Kelihatan filem ini bertanggungjawab hanya untuk memperkenalkan sejarah watak-watak utama Han Solo, Chewbacca dan Lando Calrissian.

Bukan kami nak kata filem ini tidak bagus, sebagai sebuah filem sci-fi-aksi-pengembaraan, ianya OK, cuma ia tidak menawarkan sesuatu yang baharu. Kami tidak jangka ia akan memecah mana-mana rekod box office.

Positif vs Negatif

Positif

  • Nilai pembikinan yang tinggi
  • Jalan cerita yang OK
  • Lakonan dan nilai hiburan yang OK juga.

Negatif

  • Tiada faktor “WOW
  • Jika dibandingkan dengan filem Star Wars yang lain, jelas ia mendapat bajet yang kurang sedikit.

Kesimpulan

Kesimpulannya filem Solo A Star Wars Story merupakan sebuah filem yang OK. Ia tidaklah teruk dan tidaklah begitu baik. Malah kami berpendapat jika anda tidak menonton filem ini pun, tidak rugi kerana ia tidak memberi kesan yang besar kepada jalan cerita filem Star Wars yang utama. Tetapi sekiranya mereka ingin membikin satu siri TV berdasarkan Han Solo, mungkin agak penting untuk anda menonton filem ini. Tetapi kami tidak merasakan sebuah siri TV akan dibikin setakat ini. Apa pun, selamat menonton!

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Solo A Star Wars Story Tidak Sehebat Jangkaan appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2J5NMUZ

Deadpool 2 – Dipenuhi Lawak Jenaka Memecah Perut

Filem Deadpool pertama antara filem yang mempunyai margin keuntungan tertinggi dalam sejarah. Kos pembikinannya agak rendah, tetapi jumlah kutipannya sangat tinggi. Oleh sebab itulah, kami sangat tertunggu-tunggu untuk menonton Deadpool 2 dan kami berpeluang menontonnya semalam.

Deadpool 2 – Dipenuhi Lawak Jenaka Memecah Perutbu

Deadpool 2 merupakan sequel kepada filem Deadpool 2 di mana Deadpool masih dengan aktiviti membanteras jenayah dengan caranya yang kejam. Wade (Deadpool) dan Vanessa telah berkahwin (tidak pasti kerana budaya barat yang tinggal bersama sebelum berkahwin, mungkin juga mereka tidak berkahwin) dan telah mula berfikir untuk mendapatkan anak. Malangnya sebelum mereka boleh berfikir lebih jauh, rumah mereka diserang penjahat yang berdendam dengan Deadpool menyebabkan Vanessa terbunuh.

Sejak itu, beliau sentiasa bersedih mengenangkan nasibnya. Setelah satu percubaan membunuh diri, para X-Men Collossous dan Negasonic Teenage Warhead cuba memujuknya untuk menyertai X-Men. Dalam misi pertama Deadpool sebagai pelatih X-Men, beliau telah berkenalan dengan budak mutant bermasalah bernama Russel dan beliau akan menjadi tumpuan utama dalam jalan cerita filem ini.

Untuk mengetahui keseluruhan filem ini, tontonlah ia di pawagam berhampiran anda.

Deadpool 2

Review

Pertama sekali, memang jelas filem ini telah menerima suntukan bajet yang jauh lebih tinggi dari sebelumnya jika dinilai dari mutu pembikinan, lokasi penggambaran, prop dan juga bilangan pelakonnya yang lebih tinggi. Apa yang tidak berubah adalah personaliti dan lawak jenaka bersahaja yang unik kepada Deadpool.

Deadpool 2

Jalan ceritanya kali ini lebih menyentuh hati dan mempunyai tema “kekeluargaan” (menurut definisi Deadpool). Kami mengharapkan jalan cerita yang lebih kompleks, terutamanya kerana penyertaan Cabel di dalam filem ini, tetapi filem ini tidaklah mencapai kompleksiti filem Marvel yang lain. Ia lebih fokus kepada lawak jenaka dan hiburan penontonnya.

Bercakap mengenai lawak jenakanya, ia banyak mengulas mengenai perkara yang luar set penggambaran seperti bajet penggambaran, mengulas mengenai DC Universe dan juga filem-filem Ryan Reynolds yang lain. Inilah keistimewaan dan keunikan filem Deadpool yang dikekalkan dari filem asal yang juga mencegah daripada penonton membawang filem ini kerana Deadpool telahpun membawangnya sendiri.

Secara keseluruhannya filem ini adalah sebuah filem yang lucu gila tetapi pada masa yang sama mempunyai pengajaran mengenai kesetiaan dan kekeluargaan. Penambahan bajet juga telah mempertingkatkan mutu animasi CGI dan lagak ngeri filem ini secara drastik. Tetapi pada pendapat kami, kami mengharapkan lebih dari ini. Bukan nak kata filem ini tidak bagus, sebaliknya ia sepatutnya lebih baik dari ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Bajet lagi tinggi, kualiti visual jauh lebih baik
  • Lawak jenaka pecah perut
  • Jalan cerita yang ada nilai moral (walaupun diselubungi lawak 18 tahun ke atas)
  • Lebih banyak karektor menjadikan filem ini lebih meriah

Negatif

  • Tidak sesuai untuk penonton 18 tahun kebawah
  • Walaupun sebuah filem yang baik, kami sebenarnya mengharapkan yang lebih baik

Kesimpulan

Sebagai sebuah filem santai untuk melepaskan tekanan dari stress bersama rakan-rakan, filem Deadpool 2 sememangnya kami rekomen untuk anda yang berumur 18 tahun ke atas. Namun dari segi jalan cerita, ia tidak menghidangkan satu jalan cerita yang unik atau kompleks seperti filem Marvel yang lain. Mungkin suatu yang menarik mengenainya adalah pengenalan pasukan X-Force yang dengar kata akan membuat filemnya tersendiri tidak lama lagi.

Penilaian: 8.5/10

IMDB

The post Deadpool 2 – Dipenuhi Lawak Jenaka Memecah Perut appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2IvLfjJ