Search This Blog

Brother of the Year – Kisah Adik Beradik Yang Menghiburkan

Filem Brother of the Year telah lebih seminggu ditayangkan, namun kami baru sahaja sempat menonton filem ini. Berikut merupakan pendapat kami mengenai filem ini.

Brother of the Year – Kisah Adik Beradik Yang Menghiburkan

Brother of the Year mengisahkan Chut (abang) dan Jane (asik perempuan) yang tinggal sebumbung di Bangkok. Dari kecil mereka sering bergaduh. Ada sahaja yang tidak kena antara mereka. Chut seorang lelaki yang licik dan malas dalam semua perkara termasuk mengemas dan makan. Semuanya dialihkan kepada Jane. Dalam filem ini, Jane baru sahaja pulang dari belajar di Jepun. Beliau kemudiannya menghadiri temuduga di sebuah syarikat Jepun di Bangkok lalu menemui cinta hatinya, Moji seorang jejaka campuran Jepun-Thai.

Setelah beberapa lama, Moji telah melamar Jane dan mereka bersetuju untuk berkahwin. Perkara ini menyebabkan Chut tidak senang duduk. Apakah yang akan dilakukan Chut untuk menghalang perkahwinan adiknya itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Kebelakangan ini, filem-filem Thai telah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dan filem ini juga merupakan satu usaha baik dari pihak pembikin filem Thai. Walaupun genre utamanya adalah sebuah filem komedi, namun ia lebih dari itu. Terdapat juga banyak elemen kekeluargaan, terutamanya hubungan adik beradik dan sedikit elemen percintaan. Tiada elemen yang dominan dalam filem ini, semuanya diberi fokus secara sama rata.

Jalan ceritanya tidak kompleks, malah agak ringkas, iaitu abang yang rapat dengan adik berasa tergugat kerana adik nak berkahwin. Tetapi kekuatan filem ini ada pada pengolahannya. Setiap perkara yang berlaku antara Chut dan Jane ada kisah di sebaliknya dan ia diceritakan dengan penuh kreatif dan teliti oleh pengarah filem. Ia menjadikan filem ini sangat menghiburkan dan langsung tidak terasa membosankan. Filem ini juga berjaya menyentuh emosi penonton samada gelak ketawa, sedih mahupun terharu.

Mutu lakonan juga antara terbaik dan para pelakon berjaya membawa watak masing-masing dengan begitu baik. Hubungan adik-beradik yang saling bergaduh berjaya diketengahkan oleh kedua pelakon utamanya. Malah, tidak keterlaluan mengatakan bahawa tanpa mutu lakonan para pelakonnya, filem ini tidak akan begitu berjaya.

Pendek kata, jika anda menonton filem ini, anda tidak akan merasa bosan.

Positif vs Negatif

Positif

  • Mutu lakonan terbaik
  • Pengolahan cerita yang kreatif dan menarik
  • Sinematografi yang berkualiti

Negatif

  • Jalan cerita ringkas dan tidak kompleks

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem Brother of the Year merupakan sebuah filem yang sangat menghiburkan. Jika anda inginkan sebuah filem yang boleh mengubah mood anda dari teruk kepada ceria, filem ini adalah filem yang wajib anda tonton. Admin yang dalam mood yang agak teruk selepas menonton filem ini berasa lebih positif. Namun, dari segi jalan cerita, ia seperti satu novel biasa sahaja. Sepertimana disebut sebelum ini, kekuatannya ada pada pengolahan jalan cerita dan babak-babak dalam filem ini. Selamat menonton.

Penilaian: 7.5/10

IMDB

The post Brother of the Year – Kisah Adik Beradik Yang Menghiburkan appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2tMNOYk

Jurassic World Fallen Kingdom – Kurang Umph

Hari Raya Aidilfitri hanya tinggal seminggu sahaja lagi dan memandangkan ini mungkin post terakhir sebelum raya, biarlah kami ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Kali ini kami berjaya menonton filem Jurassic World Fallen Kingdom dan seperti dijanjikan, berikut adalah ulasan kami mengenai filem ini

Jurassic World Fallen Kingdom – Kurang Umph

Jurassic World Fallen Kingdom menyambung kisah filem pertamanya di mana beberapa tahun selepas insiden dalam filem pertama, pulau Isla Nublar, iaitu pulau di mana taman tema Jurassic World ditempatkan kini diancam ledakan gunung berapi. Letusan gunung berapi ini dijangka akan menghapuskan semua dinosaur di pulau tersebut. Kongres Amerika berdebat samada dinosaur-dinosaur berkenaan mempunyai hak untuk diselamatkan yang sama seperti haiwan terancam lain. Akhirnya keputusan dibuat untuk membiarkan dinosaur mati dan pupus.

Namun Benjamin Lockwood, antara pelopor projek menghidupkan dinosaur dan juga rakan kongsi Dr John Hammond (pencipta Jurassic Park Asal) menjalankan misi untuk memindahkan dinosaur-dinosaur berkenaan ke sebuah pulau berhampiran. Rancangan ini dirahsiakan dari kerajaan Amerika dan dilakukan secara haram.

Claire Dearing (heroine dari filem pertama) yang kini menjadi aktivis hak dinosaur dijemput mengikut sama misi tersebut dan seperti dijangka, Owen Grady dijemput sekali oleh Claire. Namun, ada udang di sebalik batu dalam misi ini. Apakah perkara tersebut? Untuk mengetahui kesudahannya, tonton filem ini di pawagam.

Review

Jika filem pertama Jurassic World membawa tema “taman tema dinosaur”, filem Jurassic World Fallen Kingdom membawa tema hak asasi dinosaur / haiwan dan pengeksploitasiannya oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Secara umumnya, kami klasifikasikan filem ini sebagai filem peralihan kerana [spoiler] akan ada sekurang-kurangnya satu lagi filem Jurassic World selepas ini dan filem ini menjadi penghubung di antara keduanya. Memandangkan filem ini filem peralihan, ia terbahagi kepada dua bahagian, separuh pertama filem ini berlangsung di Isla Nublar dan separuh lagi berlangsung di Lockwood Mansion di Amerika. Ini memberikan filem ini dua mood berbeza.

Seperti filem pertama, Fallen Kingdom menghidangkan babak-babak aksi dinosaur yang mendebarkan. Namun kali ini ia debarannya lebih mirip filem Jurassic Park asal di mana banyak pertembungan antara dinosaur dan protagonis dalam jarak dekat menjadikannya lebih mendebarkan berbanding filem Jurassic World pertama. Banyak juga babak orang kena makan dinosaur, jadi jika membawa anak kecil, perlu mempertimbangkan itu juga, takut mereka mimpi ngeri nanti.

Seperti yang dijangka, dinosaur dijana menggunakan campuran CGI dan motion capture serta (kami rasa) model dinosaur berskala sebenar di sesetengah babak dan teknik yang digunakan sangat berkesan.

Filem in juga membawa masuk persoalan moral sama seperti persoalan moral berkenaan haiwan di dunia nyata seperti pengeksploitasian, pemerdangangan dan pengubahsuaian genetik haiwan tersebut.

Sungguhpun demikian, jika dibandingkan antara filem pertama, kedua-duanya mempunyai nilai hiburan yang sama. Sukar untuk mengatakan samada salah satu lebih hebat dari yang satu lagi. Mungkin kerana kebanyakan jalan ceritanya boleh dijangka dan tidaklah melibatkan idea yang baharu. Namun, asas yang dibentangkannya untuk filem seterusnya agak menarik memandangkan ia membuka luas pintu imaginasi mengenai apa yang akan berlaku di dalam filem yang akan datang itu.

Positif vs Negatif

Positif

  • Struktur cerita yang menarik
  • CGI berkesan
  • Jalan cerita tidak terlalu berat

Negatif

  • Tiada “Wow factor”
  • Jalan cerita boleh dijangka

Kesimpulan

Filem Jurassic World  Fallen Kingdom bukanlah sebuah filem yang akan membuatkan anda takjub, malah ia lebih kurang hebat berbanding filem pertamanya. Jika anda bukan pengikut siri filem Jurrasic World, anda boleh memilih untuk tidak menonton filem ini dan anda tidak akan merasa rugi. Bagi pengikut filem pertama Jurassic World, anda perlu menonton filem ini dalam persediaan menonton filem seterusnya. Apa pun, filem ini sebuah filem sequel yang baik, cuma tiada “Wow Factor“.

Penilaian – 7/10

IMDB

The post Jurassic World Fallen Kingdom – Kurang Umph appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2Js2cMo

Futureworld – Antara Filem Apokaliptik Paling Teruk Dalam Sejarah

Tiba masanya untuk menonton filem tidak terkenal sekali lagi. Kali ini filem yang ditonton ialah filem Futureworld lakonan James Franco, Mila Jovovich, Snoop Dog dan beberapa lagi pelakon tidak ternama. Trailernya tidak berapa memberi harapan, namun kami menonton sahaja filem ini demi anda pembaca kami.

Futureworld – Antara Filem Apokaliptik Paling Teruk Dalam Sejarah

Futureworld berlangsung dalam dunia apokaliptik di mana dunia telah musnah kerana peperangan nuklear di samping tularan virus maut. Apa yang tinggal ialah permukaan bumi yang gersang dan dikuasai kumpulan-kumpulan penjenayah. Prince merupakan putera kepada pemaisuri satu penempatan aman di tengah padang pasir. Pemaisuri tersebut telah jatuh sakit akibat virus dan anaknya, Prince tekad untuk ke Drug Land untuk mencari penawar untuk ibunya itu.

Dalam usahanya mencari Drug Land, beliau bertemu seorang robot manusia bernama Ash yang dimiliki Warlord, seorang ketua kumpulan penjenayah di kawasan itu. Kebetulan Ash telah terlepas dari cengkaman pemiliknya dan kini bebas. Beliau pergi bersama Prince untuk mencari Drug Land. Dapatkah mereka mencarinya dan mendapatkan penawar virus untuk pemaisuri? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahan.

Review

Review filem kali ini pendek sahaja kerana pendapat kami mengenai filem ini sangat jelas. Ia merupakan antara filem Apikaliptik paling teruk kami pernah tonton. Kalau filem Dark Water Minggu lepas, kami hanya rekomen menonton filem tersebut jika ia ditayangkan di TV, untuk filem ini pula, kami tidak rekomen sama sekali menonton filem ini dalam apa jua keadaan.

Pertama sekali jalan ceritanya sememangnya seperti ditulis oleh budak sekolah rendah dari segi kompleksiti dan susun aturnya. Banyak babak dan kisah dalam filem ini dilihat tidak mempunyai tujuan yang jelas. Tambahan pula babak aksi yang amatur serta skrip yang sangat lemah. Props dan lokasi yang digunapakai juga jimat kos dan langsung tidak menggambarkan krew produksi serious mengenai membikin filem ini. Pendek kata, ia hanya seperti hasil kerja pelajar sekolah filem.

Dengan itu kami tidak perlu jelas lebih lanjut kerana tentu anda suda mendapat gambaran betapa teruknya filem ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Tiada positif

Negatif

  • Semua perkara mengenainya

Kesimpulan

Kesimpulannya filem Futureworld tidak perlu ditonton oleh sesiapa. Walaupun jika ia ditayangkan secara percuma di TV, ia akan membazirkan masa anda menonton filem ini. Jadi, jadilah penonton bijak dan tontonlah filem lain.

Penilaian: 3/10

IMDB

The post Futureworld – Antara Filem Apokaliptik Paling Teruk Dalam Sejarah appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2M4bnV5