Search This Blog

Glass – Penutupan Sebuah Trilogi yang Tidak Dijangka

Umum mengetahui bahawa filem Glass adalah sequel kepada filem Unbreakable dan Split arahan M Night Shyamalan . Tetapi ketika filem pertamanya ditayangkan dalam tahun 2000, iaitu filem Unbreakable, tidak ramai yang menjangka ia adalah sebuah filem dalam sebuah trilogi filem arahan pengarah tersebut. Apa pun, kami sempat menonton filem ini dan di sini kami berkngsi pendapat kami mengenai filem ini.

Kredit: Foto dari Disney/Universal/Kobal/REX/Shutterstock (10057143a)

Glass – Penutupan Sebuah Trilogi yang Tidak Dijangka

Filem Glass menyambung kisah selepas berakhirnya filem Split, di mana The Beast atau nama sebenarnya Kevin Wendell Crumb terlepas setelah dikejar pihak berkuasa selepas seorang dari perempuan yang diculiknya, Casey Cooke terlepas dari menjadi mangsanya. Dalam penghujung filem tersebut, David Dunn, hero dalam filem Unbreakable dilihat menonton berita mengenai kejadian tersebut.

Dalam filem Glass, David Dunn dengan dibantu anaknya, menjadi seorang adiwira yang tidak didendang, di mana beliau berusaha melawan jenayah dengan caranya tersendiri. Sepertimana diketahui, beliau mempunyai kekuatan luarbiasa dan kebal. Mengetahui bahawa The Beast telah menculik sekumpulan pelajar sekolah menengah, David berusaha mencari mereka dan akhirnya menjumpai mereka, namun terpaksa berlawan dengan The Beast.

Tanpa dijangka seorang ahli psikologi bernama Dr. Ellie Staple bersama pihak berkuasa telah berjaya menangkap mereka dan membawa mereka ke sebuah hospital mental. Apakah tujuan beliau menangkap mereka? Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam.

Review

Pertama sekali, bagi mereka yang tidak menonton filem pertama dan kedua, janganlah tonton filem ini sehingga anda sudah menonton filem-filem tersebut. Jika tidak, anda tidak akan faham langsung filem ini. Bagi yang telah menonton, tontonlah video di bawah yang dibikin oleh IGN untuk mengingatkan kembali kisah-kisah dalam filem sebelum ini.

Berbalik semula kepada review filem ini. Perkara pertama yang anda mungkin perasan dalam babak-babak pertama filem ini ialah babak lawannya yang agak hambar. Secara spesifiknya, David Dunn dan The Beast berlawan tanpa sebarang skill seni mempertahankan diri. Dari situ kita boleh membuat kesimpulan untuk tidak menjangkakan sebarang koreografi berlawan yang menarik. Ia agak mengecewakan memandangkan filem ini berkisah mengenai adiwira.

Apa pun, kekuatan filem ini bukan pada babak lawannya. Jalan ceritanya penuh dengan putaran plot yang menarik dan anda perlu tahu mengenai latarbelakang semua watak-watak utama, jika tidak anda mungkin mudah untuk terlepas poin-poin penting dalam filem ini. Kami tidak mahu mendedahkan banyak mengenai jalan ceritanya, tetapi apa yang kami boleh katakan ia sangat tidak boleh dijangka. Kami biarkan anda menonton sendiri filem ini untuk mengetahui jalan ceritanya.

Dari segi lakonan pula, selain pelakon utama Bruce Willis, Samuel L Jackson dan James McAvoy, mutu lakonan pelakon tambahan lain agak kekurangan, terutamanya pelakon bagi watak Dr Staple yang agak kaku. Atau mungkin begitulah watak seorang ahli psikologi sebenar? Trivia: Pelakon untuk watak anak David Dunn adalah pelakon sama memainkan watak itu dalam filem Unbreakable 19 tahun dahulu.

Apa pun, filem ini sebuah filem dengan topik yang unik. Ia bukanlah sebuah filem adiwira sejati seperti filem-filem Marvel di mana ia memfokuskan kepada aksi dan adventure, sebaliknya sebuah filem yang secara falsafah, mendalami persoalan apakah makna menjadi seorang adiwira. Ia adalah gabungan filem thriller, sci-fi dan sedikit aksi dalam satu. Ada samada menyukainya atau membencinya, tidak di tengah-tengah.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang menarik dengan penutup yang memuaskan hati
  • Unik dan bukan sebarang filem adiwira biasa

Negatif

  • Babak lawan yang kurang menarik
  • Lakonan pelakon tambahan yang kurang berkesan

Kesimpulan

Jika anda mengikuti filem-filem Unbreakable dan Split, filem ini adalah filem wajib tonton. Ia menutup kemas kisah dalam trilogi filem M Night Shyamalan sepanjang 19 tahun ini. Pujian harus diberikan kerana pengarah berjaya mengekalkan kesinambungan jalan cerita antara ketiga-tiga filem ini. Penutup filem ini juga satu penutup yang baik dan hanya boleh dibentangkan dengan baik dalam zaman media sosial seperti sekarang. Tetapi jika anda belum menonton filem sebelumnya, atau tidak meminati trilogi ini, lebih baik anda tidak menontonnya. Ia sebuah filem khas untuk peminat trilogi ini.

Penilainan: 7.5/10

IMDB

The post Glass – Penutupan Sebuah Trilogi yang Tidak Dijangka appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://bit.ly/2QZo98h

Master Z Ip Man Legacy – Filem Kung Fu Klasik

Siri filem Ip Man sememangnya satu siri filem kung fu yang terkenal dan diminati ramai dan apabila diumumkan filem spin off Master Z Ip Man Legacy, kami tahu kami perlu menonton filem ini. Kami sempat menontonnya baru-baru ini dan inilah pendapat kami mengenai filem ini.

Master Z Ip Man Legacy

Master Z Ip Man Legacy – Filem Kung Fu Klasik

Cheong Tin Chi, guru Wing Chun yang pernah mencabar Ip Man dan kalah, kini menarik diri dari dunia kung fu dan hidup secara sederhana dengan membuka kedai runcit dan membesarkan anak lelakinya di Hong Kong.

Nana pula bakal adik ipar Julia yang ditahan tokan dadah kerana tidak mempu membayar wang dadahnya. Oleh sebab itu Julia terpaksa datang menyelamatkannya. Dalam proses itu, mereka terjebak dengan pergaduhan dengan gang tokan dadah menyebabkan Tin Chi dengan tidak sengaja terlibat dan pada masa yang sama menyelamatkan kedua wanita berkenaan. Sejak hari itu Tin Chi diganggu kumpulan kongsi gelap tersebut.

Pelbagai pancaroba dilalui Tin Chi dan anaknya dan untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam.

Review

Secara ringkas kami simpulkan filem ini adalah filem kungfu klasik yang dipopularkan Bruce Lee dan Donnie Yan dalam Ip Man. Ia mengikuti format tradisional filem-filem ini. Hero hidup merendah diri yang menyelamatkan orang, kemudian mendapat masalah dengan kongsi gelap dan akhirnya terpaksa mengalahkan kongsi gelap itu. Satu lagi tema filem kung fu klasik ini ialah melawan penjajah dan ia juga ditampilkan dalam filem ini. Jadi, jalan ceritanya memang tidak lari dari filem-filem seumpama dengannya. Simple dan straight to the point.

Filem ini menampilkan pelakon handalan seperti Jin Zhang, Michele Yeoh, Tony Jaa dan Dave Bautista, jadi anda boleh mengharapkan mutu lakonan yang baik. Namun kekuatan filem ini, sepertimana filem-filem Ip Man, ialah koreografi kungfunya yang sememangnya yang terbaik. Cuma mungkin sesetengah babak lawan jelas sekali menggunakan sistem tali untuk melakukan aksi lompat-melompat. Banyak aliran seni mempertahankan diri ditampilkan dalam filem ini antaranya Muay thai (Tony Jaa), Wing Chun (Tin Chi/ Michele Yeoh) dan gusti/tinju (Dave Bautista). Apa pun, babak lawannya sememangnya dirancang dengan baik di bawah seliaan pakar koreografi kungfu terhebat Hong Kong. Malah babak lawan Tin Chi dengan Dave Bautista di bahagian terakhir mirip perlawanan antara Ip Man dan Mike Tyson dalam filem Ip Man 3 di mana pihak lawan berbadan besar dan tidak terkesan dengan tendangan dan tumbukan hero kita.

Apa yang boleh disimpulkan mengenai filem ini ialah ia menyasarkan golongan yang minat kepada filem kungfu ala Bruce Lee. Bagi mereka yang membesar dalam tahun 90an filem-filem begini memang menjadi minat muda-mudi zaman tersebut di mana kami tidak berapa kisah mengenai jalan cerita, yang penting babak lawan perlu realistik dan menggunakan prinsip kungfu yang sebenar. Kami tidak pasti samada filem-filem sebegini akan menarik minat golongan muda zaman sekarang atau tidak. Jika seseorang itu minat kepada kungfu, kami yakin beliau kana suka filem ini.

Master Z Ip Man Legacy

Positif vs Negatif

Positif

  • Filem kung fu gaya klasik
  • Koreografi babak lawan yang terbaik

Negatif

  • Jalan cerita filem kungfu klasik mungkin tidak berapa diminati golongan muda zaman ini

Kesimpulan

Bagi kami, golongan yang membesar dalam tahun 90an, filem ini sememangnya kami minati, namun umpama peminat komik, tidak semua orang suka membaca komik. Jadi, filem ini mungkin tidak menarik semua golongan untuk menontonnya. Jalan ceritanya sememangnya boleh dijangka dan tiada putaran plot yang luar dari kebiasaan. Tetapi tema sebeginilah yang diminati golongan peminat filem kungfu. Dengan kata lain ia adalah filem niche.

Master Z Ip Man Legacy

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Master Z Ip Man Legacy – Filem Kung Fu Klasik appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://bit.ly/2FtuAP6