Search This Blog

Cold Pursuit – Filem Komedi Gelap Terbaik Akhir-Akhir Ini

Umum mengetahui terdapat beberapa pelakon filem aksi legenda Holywood yang tidak boleh disentuh dari segi reputasinya. Mereka telah mencapai satu status di mana meme-meme di internet selalu mengagong-agongkan kehebatan mereka. Antaranya adalah Chuck Norris, Liam Neeson dan mungkin juga Van Damme serta Keanu Reeves(John Wick). Jadi apabila dikhabarkan pelakon siri filem Taken, Liam Neesan akan tampil dengan filem baharu bertajuk Cold Pursuit, umum mengetahui apa yang boleh diharapkan dari filem tersebut (aksi yang tiada tandingan). Benarkah begitu? Kami sempat menonton filem Cold Pursuit dan di sini kami kongsikan pendapat kami mengenai filem tersebut.

Cold Pursuit – Filem Komedi Gelap Terbaik Akhir-Akhir Ini

Filem Cold Pursuit sebenarnya adalah adaptasi bahasa Inggeris bagi sebuah filem Norway bertajuk “In Order of Disappearance” yang diterbitkan pada tahun 2014. Ia mengisahkan Nels Coxman yang bekerja sebagai pemandu mesin pengalih salji di sebuah bandar resort ski bernama Kehoe. Satu hari, anaknya ditemui mati disebabkan terlebih dos dadah. Anehnya, anaknya itu, Kyle tidak menagih dadah.

Setelah mendapat tahu ini semua angkara sindiket dadah, beliau pantas pergi menyiasat. Apakah beliau akan menemui pembunuh anaknya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Pertama sekali yang perlu kami katakan mengenai filem ini ialah ia bukan seperti apa yang kami jangkakan. Kami jangkakan ia sebuah filem aksi menyeluruh seperti filem Taken, namun jangkaan kami sedikit meleset, tetapi meleset dengan cara yang menggembirakan kami secara peribadi. Tidak dinafikan filem ini mempunyai babak-babak aksiya, walaupun tidak berapa banyak, tetapi tidak dapat disangkal bahawa genre filem ini adalah filem komedi gelap (dark comedy).

Bagi mereka yang tidak biasa dengan genre ini, komedi gelap menghidangkan sejenis komedi yang unik di mana situasi yang lucu dalamnya adalah situasi yang sepatutnya penonton tidak gelak kerana ia kejam. Sebagai contoh, satu situasi di mana watak itu mati dalam keadaan yang ironi dan agak lucu, tapi pada masa yang sama, penonton tidak sepatutnya gelakkan kematian orang. Beginilah situasinya dalam filem Cold Pursuit.

Satu lagi ciri pada filem ini adalah jalan ceritanya berkembang dengan teramatlah perlahan. Sangat perlahan sehinggakan kedengaran dengkuran yang maha hebat di dalam panggung wayang. Serious! Tetapi filem diolah sebegitu rupa ada sebabnya. Pengarah mahukan penonton menghayati watak-watak dan situasi ironi yang ditampilkan dalam filem ini kerana di situlah letaknya kehebatan filem ini. Segala kesabaran dan tumpuan perhatian kepada jalan cerita serta watak-wataknya akan dibalas dalam babak epik terakhir filem ini. Ketika itu satu rasa puas hati akan hadir kepada penonton yang mengikuti jalan cerita dari awal, walaupun ia berkembang dengan amat perlahan.

Bercakap mengenai jalan ceritanya, filem ini bertemakan hubungan bapa-anak dalam tiga keluarga berbeza. Dipenuhi dengan ironi dan karakter yang unik. Cara penyampaiannya juga sangat unik dan memberikan filem ini satu karakter yang lain dari lain. Pengolahan sebegini jarang dilihat dalam filem Amerika. Tidak mengejutkan kerana filem ini dibikin oleh Studiocanal dari Eropah.

Jadi, awal-awal kami katakan, filem ini bukan untuk orang yang kurang tahap kesabarannya. Sebaliknya akan memberi kepuasan kepada mereka yang sabar dan menghayati jalan cerita filem. Penonton samada akan membencinya 100% atau menyukainya 100%, tiada ditengah-tengah.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita dan pengolahan yang unik serta bijak
  • Kesudahan filem yang epik dan memuaskan hati

Negatif

  • Jalan cerita teramatlah perlahan
  • Siapa yang tidak berjaya menghayati jalan cerita dari awal, tidak akan merasa puas hati di penghujungnya

Kesimpulan

Filem Cold Pursuit adalah sebuah filem yang ringkas tapi mendalam. Ia sebuah filem untuk orang yang berfikir. Banyak bahagian jalan ceritanya diterangkan cukup-cukup sahaja untuk memberi ruang kepada penonton membuat interpretasi sendiri mengenai babak-babak dan perasaan watak-watak dalam filem ini. Itu antara ciri-ciri yang membuatkan filem ini menghiburkan. Namun, kami tahu, ia bukan untuk semua orang. Jika anda seorang yang suka berimajinasi dan berfikir, filem ini akan memberi kepuasan kepada anda, tetapi jika anda mengharapkan filem ini menerangkan setiap inci jalan ceritanya, filem ini bukan untuk anda. Lagipun, kekuatan filem ini ada pada apa yang tidak diceritakannya. Walaupun kami beri rating rendah pada filem ini, kami tetap merekomen anda menontonnya, jika anda memenuhi ciri penonton yang kami terangkan di atas.

Penilaian: 6/10

IMDB

The post Cold Pursuit – Filem Komedi Gelap Terbaik Akhir-Akhir Ini appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2XkYpYk

The New King of Comedy – Karya Stephen Chow yang Menghampakan

Rakan saya bertanya tempoh hari, “Bila Stephen Chow nak buat movie baru?”. Rupa-rupanya beliau telah pun membikin sebuah filem untuk tahun 2019 bertajuk The New King of Comedy. Oleh kerana ia dibikin oleh Stephen Chow, maka memanglah harapan terhadap filem ini tinggi. “Mesti lucu, filem ni”, kami fikir. Kami pun menonton filem ini di pawagam dan berikut adalah pendapat kami mengenai filem ini.

The New King of Comedy – Karya Stephen Chow yang Menghampakan

The New King of Comedy mengisahkan Dreamy, seorang yang mengimpikan menjadi pelakon terkenal. Beliau telah 10 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan dan bekerja membawa watak-watak sampingan yang pelbagai, namun sehingga kini belum mendapat peluang keemasan untuk menjadi pelakon utama dalam sesebuah filem.

Tiada siapa yang menyokongnya pada ketika itu kecuali teman lelakinya. Malah bapanya juga menghalaunya dari rumah kerana kedegilannya mengejar impiannya itu. Filem ini menceritakan realiti bidang lakonan dan keperitan yang dilalui Dreamy dalam usahanya mencapai impiannya.

Adakah beliau akan mencapai impiannya untuk menjadi pelakon terkenal? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Dukacita dimaklumkan bahawa filem The New King of Comedy bukanlah filem komedi Stephen Chow yang diharapkan. Bukan ia tidak kelakar, tetapi ia lebih mirip sebuah filem drama yang mempunyai unsur kelakar di dalamnya. Mesej yang dibawanya adalah serious, iaitu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita.

Bercakap mengenai lawak, walaupun filem ini bukanlah komedi sepenuhnya, babak lucunya memang sinonim dengan gaya lawak Stephan Chow. Peminat-peminatnya tentu dapat mengecam gaya lawak jenaka Stephen Chow dengan mudah dalam filem ini. Tetapi ada babak lawak yang terlalu “desperate” sehingga tidak lucu.

Dari segi drama pula, jalan ceritanya pada pendapat kami agak cliche. Dalam mengejar impian akan terdapat pelbagai cabaran dan orang yang menjatuhkan kita. Selagi kita tidak berputus asa, impian tentu dapat dicapai. Selebihnya anda boleh jangka. Adalah satu dua babak yang menyedihkan, tetapi secara asasnya, jalan ceritanya agak mudah dan lebih “tepung dari isi”. Tambahan pula kesudahannya sangat cliche, seolah-olah tiada kreativiti dalam membuat putaran plot yang lebih menarik. Mungkin skrip kesudahannya ditulis secara tergesa-gesa.

Secara asasnya itu sahaja yang kami boleh ulas mengenai filem ini. Ia tidaklah teruk, tapi ia tidak mempunyai banyak poin yang menarik. Kami 50/50 samada mahu merekomen filem ini atau tidak. Tapi jika anda mengambil keputusan menontonnya, jangan kata abang tak payung.

New King of Comedy

Positif vs Negatif

Positif

  • Lawak gaya Stephen Chow.
  • Ada lah satu dua babak yang emosi
  • Realiti bidang lakonan; Tak ada rupa, sukar mendapat tempat, tetapi tidak mustahil

Negatif

  • Sesetengah lawak tidak menjadi. Sebenarnya banyak juga lawak tak menjadi
  • Barisan pelakon yang agak amatur

New King of Comedy

Kesimpulan

Tontonlah filem The New King of Comedy mengikut pertimbangan sendiri. Filem ini lebih kepada sebuah telemovie berbanding filem pawagam. Lakonannya amatur, jalan ceritanya juga tidak berimpak tinggi, tetapi adalah satu dua babak yang memberi kesan yang diingini. Pada pendapat kami, Stephen Chow membikin filem ini sebagai percubaan atau latihan untuk barisan pelakon baru dan bukan prestasi sebenar pelakon/pengarah filem itu. Kami tidak akan menghakimi beliau dalam filem ini, sebaliknya akan menunggu sequel Kung-fu Hustle 2 yang diumumkan akan dibikin beliau.

Penilaian 5/10

IMDB

The post The New King of Comedy – Karya Stephen Chow yang Menghampakan appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://bit.ly/2N4D2WN

Lego Movie 2 The Second Part – Lucu dan Bermakna

The Lego Movie pertama sememangnya menjadi bualan ramai terutamanya lagunya “Everything is Awesome” yang sangat catchy menjadi siulan penonton selepas menonton filem tersebut. Kini sequelnya, Lego Movie 2 The Second Part kini mula ditayangkan tanpa hype yang sama seperti filem pertama. Mengapa agaknya? Kami sempat menonton filem animasi Lego ini dan di sini kami ulaskan filem tersebut. BTW, Tahukah anda anda boleh membeli tiket wayang menggunakan app Touch and Go? Anda boleh dapat diskaun RM5 untuk setiap pembelian tiket wayang GSC, TGV, MBO dan MMC sehingga hujung bulan ini. (Kami tidak dibayar untuk “iklan” ini, cuma kami hanya bayar RM4.50 untuk tiket wayang ini hasil dari diskaun).

Lego Movie 2 The Second Part

Lego Movie 2 The Second Part – Lucu dan Bermakna

Dalam Lego Movie 2 The Second Part, bandar Lego yang didiami Emmet, Lucy dan rakan-rakan dimusnahkan sekumpulan makhluk asing comel berupa Lego Duplo. 5 tahun kemudian bandar yang telah gersang telah dibina semula dengan diberi nama Apocalypseburg dengan wajah yang buruk dan para penduduknya sangat pesimistik, kecuali Emmet yang sentiasa gembira dan optimistik. Namun beliau sering bermimpi buruk mengenai satu kejadian “Our-Mom-Ageddon“, di mana semua rakan-rakannya ditelan lubang gelap.

Lego Movie 2 The Second Part

Suatu hari satu makhluk asing telah datang dan menculik Lucy, Batman dan beberapa lagi rakan mereka untuk dibawa ke Systar System, sebuah galaksi yang jauh, di mana ketua antara mereka akan berkahwin dengan pemaisuri makhluk asing iaitu Queen Watevra Wa’Nabi.

Emmet yang ditinggalkan kerana dianggap langsung tidak berguna sebagai seorang ketua, bertekad untuk menyelamatkan rakan-rakannya dengan menaiki kapal angkasa ke Systar System. Mampukah beliau menyelamatkan rakan-rakannya? Apakah pula Our-Mom-Ageddon? Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Filem ini memang tidak membuang masa sebaik saja ia bermula, ia terus masuk ke isi penting iaitu bagaimana bandar Lego telah jatuh dan bertukar menjadi Apocalypseburg. Bandar Apocalypseburg tidaklah menjadi fokus seperti bandar Lego dalam filem pertama, sebaliknya perjalanan Emmet menyelamatkan rakan-rakannya menjadi fokus utamanya.

Keseluruhan Lego Movie 2 The Second Part sebenarnya menggambarkan hubungan adik-beradik Finn dan Bianca dalam dunia realiti. Jadi segala perkara yang berlaku dalam alam Lego sebenarnya adalah apa yang berlaku di dunia nyata antara Finn dan Bianca. Filem akan berulang-alik memaparkan dunia realiti dan dunia Lego, yang kadang kala sangat lucu kerana dalam dunia Lego satu babak mungkin nampak gah, tetapi dalam dunia realiti babak itu sebenarnya perkara kecil sahaja. Kontra antara dua babak tersebut memang comel dan melucukan.

Jalan cerita filem ini juga penuh dengan putaran plot yang tidak dijangka dan pengenalan karakter baharu yang pelbagai. Mesej yang disampaikan dalam filem ini sedikit cenderung kepada naratif feminist, terutamanya tanggapan cliche mengenai seorang ketua lelaki dan toxic masculinity, namun tidaklah begitu jelas sehingga merosakkan jalan cerita filem.

Seperti biasa juga, lagu-lagunya sangat catchy, walaupun liriknya pesimistik sedikit, bersesuaian dengan suasana suram Apocalypseburg. Lirik lagu-lagunya juga menggambarkan babak yang sedang ditonton, seolah-olah ia sebenarnya dialog, bukan lagu. Dengan kata lain lirik lagunya seperti main hentam saja ikut suka pelakon suara yang menyuarakan watak-watak filem animasi ini dan babak yang ditayangkan ketika itu.

Apa pun, kebanyakan yang menarik mengenai filem ini ada pada pengolahan babak dan jalan ceritanya, dan itu sukar dijelaskan dengan perkataan melainkan anda menonton sendiri filem ini. Secara ringkasnya filem ini sebuah filem kanak-kanak, sesuai untuk golongan ibu bapa yang ingin membawa anak mereka ke pawagam. Ia menghiburkan, lucu dan visualnya sangat menari. Namun, bagi golongan dewasa seperti kami, pasti akan lupa filem ini saat melangkah keluar pawagam.

Positif vs Negatif

Positif

  • Animasi yang baik, lagu tema yang catchy
  • Jalan cerita dan pengolahan babak yang berkesan
  • Sangat menghiburkan

Negatif

  • Yang dah dewasa tu, tengoklah filem lain (kecuali yang bawa anak)
  • Filem yang mudah dilupakan

Kesimpulan

Lego Movie 2 The Second Part tidak syak lagi sebuah filem kanak-kanak, namun terdapat setengah-setengah babaknya yang kami tidak pasti samada kanak-kanak akan faham di mana lawaknya. Sungguhpun demikian, ia sangat menghiburkan untuk kanak-kanak atau mereka yang berjiwa kanak-kanak. Golongan yang dewasa boleh juga menikmati filem ini dan terhibur, namun seperti kami jangka anda akan melupakan filem ini sebaik saja meninggalkan pawagam.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Lego Movie 2 The Second Part – Lucu dan Bermakna appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://bit.ly/2SPoyPE

Alita Battle Angel – Adaptasi Manga ke Live Action Terbaik Setakat Ini

Sepertimana yang anda ketahui, untuk mengadaptasikan sesebuah manga ke filem Live Action sememangnya sukar dan biasanya ke laut. Lihat saja filem Ghost in the Shell dan Attack on Titan yang boleh kita isytiharkan sebagai filem adaptasi manga/anime yang gagal. Walaubagaimanapun, daripada beberapa trailer yang diterbitkan, filem Alita Battle Angel menarik minat kami, walaupun sebelum ini kami tidak pernah mendengar manga di mana filem tersebut diadaptasi. Kami sempat menonton filem ini dan kini kami berkongsi pendapat mengenai filem ini.

Alita Battle Angel – Adaptasi Manga ke Live Action Terbaik Setakat Ini

Filem Alita Battle Angel adalah adaptasi manga Jepun dengan tajuk yang sama. Ia berkisar mengenai dunia 300 tahun selepas “The Fall”, kesudahan dari sebuah peperangan besar yang berlaku 300 tahun lalu. Bumi berpecah kepada dua. Golongan elite tinggal di Zalem, sebuah bandar terapung yang merupakan bandar terapung terakhir yang bertahan selepas “The Fall”. Sementara itu golongan bawahan tinggal di bandar Iron City yang terletak di bawah Zalem.

Dr Dyson Ido merupakan seorang pakar cyborg yang berasal dari Zalem tetapi telah dihalau keluar ke Iron City. Di sana beliau membuka klinik cyborg dan merawat pelanggannya yang terdiri dari manusia spara cyborg secara amal. Satu hari, semasa mencari barang lusuh antara barangan buangan dari Zalem, beliau terjumpa teras cyborg yang mana otak manusianya masih utuh. Beliau membawanya pulang dan memasangkannya kepada badan cyborg milik anaknya yang telah mati dalam satu rompakan.

Maka hiduplah cyborg berkenaan dan diberi nama Alita, sempena anak Dr Dyson. Namun Alita tidak mempunyai ingatan dari kehidupan sebelumnya. Jadi, mulalah Alita mengenali dunia berkenaan. Dapatkah beliau menyesuaikan diri dengan dunia baharunya itu dan mampukah beliau mendapatkan kembali memori silamnya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Dari awal lagi filem ini tidak membuang masa dan terus kepada isi pentingnya, iaitu bagaimana Alita dihidupkan kembali oleh Dr Dyson. Ia tidak memerlukan apa-apa pengenalan latarbelakang, memandangkan sejarah Alita akan didedahkan sedikit demi sedikit sepanjang filem ini. Dunia persekitaran Alita yang dihasilkan pengarah Robert Rodriguez dan produser James Cameron bersama Jon Landau adalah sebuah dunia yang tidak sekompleks dunia Blade Runner dan tidak pula semudah dunia Hunger Games. Dunianya mempunyai keunikannya tersendiri, tetapi tidaklah terlalu serious atau berat sehinggakan penonton merasa terbeban untuk memahami selok belok dan peraturan dunia tersebut. Bersesuaian dengan sebuah filem adaptasi manga.

Kami tidak pernah membaca manga Alita Battle Angel, tetapi dari awal lagi kami tidak hairan kenapa filem ini mudah diadaptasikan menjadi sebuah filem Holywood, tidak seperti filem lain sebelumnya. Tema sci-fi dystopia sememangnya menjadi kekuatan Holywood, ditambahkan dengan kreativiti karyawan manga Jepun mengimejinasikan dunia fantasi, ia sememangnya sebuah filem yang menarik.

Tetapi jangan tersilap, filem ini masih mengekalkan elemen manga Jepun dalam jalan ceritanya. Dari idealism karakter Alita, babak-babak berlawannya, hingga ke jalan cerita keseluruhannya, semuanya tidak syak lagi mempunyai nuansa sebuah manga/anime. Oleh sebab demikian, babak lawan dalam filem ini mempunyai unsur ganas ala fatality yang dapat dilihat dalam permainan video Mortal Kombat terbaharu. Oleh itu, walaupun babak demikian tidak banyak, dan kebanyakan yang dibunuh adalah cyborg-manusia, ia agak ganas untuk ditonton oleh kanak-kanak. Namun, jika anda 18 tahun ke atas, babak lawannya sememangnya terbaik. Tambahan pula karakternya CGI, jadi, tiada yang mustahil dari segi koreografi babak lawannya.

Pendek kata, filem ini bukan sahaja adaptasi manga ke live action terbaik kami pernah tonton, malah satu adaptasi bahan seni timur ke layar perak barat.

[Spoiler – Berdasarkan kesudahan filem ini, kami simpulkan bahawa akan ada beberapa sequel Alita di masa akan datang. Tetapi semuanya bergantung kepada sambutan.]

Positif vs Negatif

Positif

  • Dunia Alita digambarkan dengan baik.
  • Babak lawan yang hebat.
  • Jalan cerita yang tidak terlalu berat dan memuaskan hati.

Negatif

  • Sesetengah babak atau jalan cerita tidak diceritakan secara mendalam.
  • Unsur anime/manga mengatasi unsur sci-fi, jadi ia mungkin kurang menarik bagi golongan peminat sci-fi generasi lebih lanjut (40 tahun ke atas).

Alita Battle Angel

Kesimpulan

Filem Alita Battle Angel sememangnya sebuah adaptasi manga yang baik dan walaupun anda tidak tahu bahawa ia sebuah adaptasi manga, anda mungkin akan menyangka sebuah filem sci-fi Holywood yang tulen. Namun, apa pun ia tetap sebuah adaptasi manga, jadi ia masih mensasarkan remaja dan golongan dewasa muda serta tidak berasaskan atau diilhamkan teori-teori sains sebenar sepertimana filem-filem sci-fi Holywood yang diminati golongan hardcore sci-fi.

Alita Battle Angel

Akhir kata, filem ini sememangnya sebuah filem mesti tonton. Anda tentu terhibur menontonnya.

[Spoiler: Cat merah kat bawah mata Alita sebenarnya adalah darah anjing. Tontonlah filem ini untuk mengetahui mengenainya.]

Penilaian: 7.5/10

IMDB

The post Alita Battle Angel – Adaptasi Manga ke Live Action Terbaik Setakat Ini appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://bit.ly/2Gvy2sJ

Escape Room: Filem Thriller Menduga Minda

Bulan Januari merupakan bulan yang tandus dari filem-filem baharu yang dinanti. Namun, terdapat satu atau dua filem yang mampu menghiburkan penonton. Kami menonton trailer filem Escape Room tempoh hari dan kami mengambil keputusan untuk menonton sendiri filem yang dilihat berpotensi merupakan filem yang menarik.

Escape Room: Filem Thriller Menduga Minda

Escape Room mengisahkan 6 orang yang tidak mengenali antara satu sama lain telah menerima jemputan ke satu acara permainan menduga minda “Escape Room” yang menawarkan hadian USD10,000 kepada sesiapa yang menang. Tanpa mereka ketahui, permainan ini bukan sebarang permainan menduga minda biasa dan ia mempertaruhkan lebih dari nasib pemainnya.

Apakah peserta dapat mengalahkan semua teka-teki yang mereka hadapi? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Filem Escape Bermula sepertimana kebanyakan filem-filem permainan yang membawa maut. Sekumpulan orang menerima jemputan ke satu acara permainan, terpengaruh dengan sebab-sebab mereka tertentu. Namun (spoiler) pemilihan orang-orang ini sebenarnya bukan satu kebetulan, tetapi mempunyai sebab-sebab tertentu.

Dalam filem-filem ini biasanya yang menjadi ukuran adalah kepayahan atau kreativiti teka-teki yang perlu diselsaikan oleh pemain serta risiko sekiranya tidak berjaya menyelesaikannya. Pemain diletakkan ke dalam satu bilik dan perlu menyelesaikan teka-teki tertentu untuk membawa mereka ke bilik berikutnya. Terdapat 6 bilik teka-teki semuanya dan pemenang yang berjaya melepasi semua bilik akan memenangi acara tersebut. Bagi kami teka-teki dan hukuman yang dikenakan keatas pemain agak mencabar dan berisiko tinggi, namun bukanlah suatu yang baharu.

Namun, pemain melalui pengalaman yang sangat mendebarkan dalam setiap bilik dan penonton akan berada dalam keadaan suspen setiap kali pemain dalam proses menyelesaikan teka-teki. Memang penonton tidak akan senang duduk menonton filem ini.

Tetapi bukan sahaja teka-teki “Escape Room” yang menjadi debaran dalam filem ini. Putaran plotnya juga tidak kurang hebat dan kesudahan filem ini menunding kepada kebarangkalian tinggi untuk pembikinan filem sequel. Walaubagaimanapun, meskipun teka-teki dan jalan cerita filem ini mendebarkan dan menarik, ia tetap bukan suatu yang baharu, dengan kata lain benda sama, pakej lain. Jadi, kami rasa, sequel hanya akan dibikit bergantung kepada sambutan penonton.

Positif vs Negatif

Positif

  • Teka-teki Escape Room yang mendebarkan
  • Putaran plot yang menarik

Negatif

  • Bukanlah formula thriller yang baharu
  • Bagi yang biasa menonton filem sebegini, plotnya mungkin mudah dijangka

Kesimpulan

Filem Escape Room memang sebuah filem yang mendebarkan dan menarik. Kami merekomen anda menonton filem ini dan kami pasti anda terhibur. Namun, ia bukanlah formula baharu dalam filem thriler seumpamanya. Kami pasti anda tidak akan mengenangnya kembali atau menanti-nantikan sequalnya. Dengan kata lain, ia hiburan pada ketika itu sahaja. Sesuai untuk melepaskan tekanan kerja.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Escape Room: Filem Thriller Menduga Minda appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://bit.ly/2TtZ9rW