Search This Blog

Brightburn – Kisah Superman Versi Jahat

Salah satu tarikan utama kami untuk menonton Brightburn adalah produsernya, James Gunn yang juga bertanggungjawab untuk filem-filem Guardians of the Galaxy. Walaupun bukan beliau sendiri yang mengarah filem ini, kehadirannya sebagai produser diharap memberi kesan positif kepada jalan ceritanya. Kami sempat menonton filem tersebut baru-baru ini, terimakasih kepada Viddsee dan Sony Pictures Malaysia yang menaja tiket wayang kami.

Brightburn

Brightburn – Kisah Superman Versi Jahat

Brightburn mengisahkan Tori dan Kyle Breyer, pasangan suami isteri yang telah lama mengidamkan anak. Satu malam, mereka terdengan satu dentuman kuat yang menggegarkan rumah mereka. Rupanya satu pod angkasa telah mendarat di rumah mereka membawa seorang bayi lelaki di dalamnya. 10 tahun kemudian bayi tersebut yang dinamakan Brian telah membesar dengan baik dan belajar di sekolah seperti mana-mana kanak-kanak lain.

Namun, perkara-perkara aneh mula terjadi kepada Brian di mana beliau mula mendapat kuasa seperti Superman. Apakah yang dilakukannya dengan kuasa tersebut? Tontonlah filem ini di pawagam berhampiran.

Brightburn

Review

Sejujurnya, jalan cerita filem ini serupa dengan filem Superman dimana bayi makhluk asing membesar dengan keluarga yang penyayang dan beliau menghadapi konflik kerana perbezaan dengan manusia biasa. Namun, dalam Brightburn, Brian mengambil jalan jahat, berlainan dengan Clark Kent dalam Superman. Namun, pada pendapat kami konflik yang dipaparkan dalam filem ini yang dihadapi Brian Breyer tidak cukup hebat bagi menjustifikasikan pilihan beliau untuk menjadi jahat. Malah, jahatnya juga bukan main lagi. Seperti menjadi psikopat, dimana tiada langsung konflik dalaman dalam dirinya yang bertarung antara menjadi baik atau jahat. Ini menggambarkan beliau secara semulajadi adalah jahat.

Akibatnya dengan gabungan kuasanya yang hebat dengan kejahatannya yang tiada berpenghujung, watak Brian Breyer ini tidak ubah seperti hantu dalam filem-filem hantu seperti The Conjouring. Beliau terlalu kuat dan tidak dapat ditandingi. Ini menjadikan jalan ceritanya tidak unik dan tidak menarik kerana penonton sudah sedia maklum tiada siapa dapat mengalahkannya.

Brightburn

Dari segi pengolahan babak-babaknya, terutamanya babak seram, filem ini memang tidak menghampakan. Penonton yang gemarkan filem hantu seram pasti boleh melihat persamaan babak-babak seram dalam filem Brightburn dengan filem-filem hantu. Amaran harus diberi kerana babak seramnya agak mengerikan dari segi visualnya. Ia tidak sesuai ditonton penonton di bawah 18 tahun.

Secara keseluruhannya, filem ini pada awalnya ada potensi untuk menjadi sebuah filem yang unik dan menarik. Namun, disebabkan pilihan jalan cerita dan pengolahan babaknya, ia tidak ubah seperti sebuah filem hantu seram. Brian Breyer, sebagai seorang makhluk asing, tidak memperlihatkan tujuan hidup yang menarik selain “Take Earth” (Kuasai bumi). Tiada perancangan yang lebih mendalam yang boleh mencabar fikiran penonton yang gemarkan penerangan yang lebih teknikal dan putaran plot yang lebih kompleks.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang pada awalnya berpotensi

Negatif

  • Brian Breyer terlalu jahat tanpa sebab yang munasabah selain beliau dikawal oleh kuasa jahat atau memang semulajadi jahat.
  • Jalan cerita tidak ubah seperti filem hantu seram biasa

Kesimpulan

FIlem Brightburn pada awalnya nampak seperti berpotensi menjadi sebuah filem menarik, malangnya pengolahan filemnya yang kurang bermakna mengakibatkan ia tampak seperti sebuah filem seram biasa-biasa sahaja. Namun, jika anda memang seorang peminat filem seram dan mahu sedikit kelainan dari segi tema, anda bolehlah menonton filem ini. Tapi jika anda peminat filem Sci-fi yang mengharapkan satu genre filem yang unik, anda akan hampa.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Brightburn – Kisah Superman Versi Jahat appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://bit.ly/2HHPcmd