Search This Blog

10 Filem Terbaik 2018

Kita berada di penghujung tahun 2018 dan tidak sah menyambut tahun baharu tanpa menghargai filem-filem yang telah direview kami sepanjang tahun 2018. Walaupun senarai ini tidaklah menyertakan semua filem yang diterbitkan pada tahun 2018, namun ia mewakili filem-filem terbaik yang direview kami sepanjang tahun ini. Tanpa melengahkan masa, berikut adalah senarai filem terbaik 2018 dari senarai filem yang telah kami review tahun ini.

10 Filem Terbaik 2018

10. Mission Impossible Fallout

Filem francais Mission Impossible ini adalah yang terbaik dalam sirinya. Selain dari babak aksi yang mendebarkan dan lawak jenaka bersahaja, filem ini mempunyai aspek kemanusiaannya. Ia menerangkan latar belakang Ethan Hunt dari segi kenapa beliau melakukan kerjanya. Selain itu, babak Kashmir di penghujung filem sangat indah dan memberi impak dalam filem tersebut.

9. Bumblebee 

Filem prekuel transformers ini mengisahkan perkara yang berlaku sebelum filem-filem transformers arahan Michael Bay diterbitkan. Filem ini mengambil tema berlainan dari filem-filem Michael Bay, dengan mengambil tema remaja berbanding filem berorientasikan aksi dan visual gempak yang dipopularkan Michael Bay. Malangnya aksi dan visual gempak merupakan sebahagian besar yang menjadikan filem Transformers terdahulu popular dan apabila filem Bumblebee mengeluarkan unsur-unsur tersebut dari filem prequel ini, tidak ramai peminat tegar minat kepada filem ini. Walaupun filem ini tidak mendapat penerimaan sebaik filem-filem Transformers terdahulu, ia tetap sebuah filem yang baik, dengan unsur-unsur nostalgia bagi mereka yang membesar dalam tahun 80/90an. Cuma dari segi kutipan, ia langsung tidak setanding dengan margin yang jauh.

8. Avenger Infinity War

Filem ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh ramai peminat MCU. Ia sememangnya dipenuhi segala yang diharapkan oleh peminat filem genre aksi. Tetapi ia menghidangkan satu kejutan. Kali ini protagonis-protagonis kita kalah teruk kepada Thanos. Ini memberikan filem ini satu kelainan dan membuatkan peminat tidak sabar-sabar untuk menonton siri yang berikutnya.

7. Black Panther

Bagi kami perkara paling menonjol mengenai Black Panther ialah pengenalan adiwira yang berasal dari Afrika. Bukan itu sahaja, malah satu bangsa di Afrika yang maju diperkenalkan dalam filem ini. Ini signifikan kerana selama ini kebanyakan adiwira Marvel berketurunan kulit putih. Ia juga menampilkan banyak babak aksi yang mendebarkan dan jalan cerita yang menghiburkan.

6. One Two Jaga

Filem One Two Jaga merevolusikan filem Malaysia dalam erti kata kebebasan bersuara. Ia jelas sekali sebuah filem yang membongkarkan realiti dalam industri penyeludupan warga asing secara haram dan dalang-dalang di sebaliknya. Filem ini tentunya membuat golongan-golongan tertentu dalam jentera kerajaan tidak senang duduk. Walaubagaimanapun, kami percaya filem ini tidaklah meletup di pawagam seperti mana filem-filem aksi terbaharu Malaysia, filem-filem realiti sebegini jarang menerima pulangan lumayan di pawagam.

5. Brother of the Year

Filem komedi Thai ini penuh dengan lawak jenaka bersahaja, tetapi lebih penting lagi menceritakan hubungan abang dan adik yang terkesan setelah si adik perempuan mula berpacaran. Filem ini jujur, lucu dan benar-benar menghiburkan.

4. Polis Evo 2

Polis Evo 2 boleh dikatakan filem kedua dalam revolusi filem aksi tempatan yang dilihat tahun ini. Ia mempunyai jalan cerita yang kukuh, aksi yang mantap, lakonan yang meyakinkan dan memang cukup serba-serbinya. Mungkin satu perkara yang kami kecewa ialah filem ini tidak memberi penghormatan kepada anggota pasukan khas yang terkorban dalam operasi menyelamatkan penduduk kampung. Mereka sememangnya telah berusaha sedaya upaya dan terkorban secara terhormat.

3. A Quiet Place

Filem yang menceritakan mengenai penjajahan makhluk asing yang membunuh tanpa belas kasihan dan mengesan mangsa menggunakan bunyi. Pengolahan tema filem ini begitu hebat sehinggakan ia memberi impak terus kepada penonton. Penonton seolah-olah tidak berani mengeluarkan suara semasa menonton. Debaran menonton filem ini di pawagam begitu tinggi dan tidak pernah kami alami dalam mana-mana filem sebelum ini.

2. Spiderman into the spider-verse

Filem animasi ini dijulang sebagai filem Spiderman terbaik setakat ini. Ia menampilkan satu sisi pandang francais Spiderman dari segi yang sangat unik iaitu dari segi spiderman dalam berbilang dimensi. Ia mempunyai jalan cerita yang menarik dan lucu dengan caranya tersendiri. Keunikan itulah yang membuatkan ia berada di tempat kedua.

1. Paskal The Movie

Filem Paskal The Movie bukanlah filem terhebat di dunia, tetapi ia menjadi filem terbaik 2018 kerana kami berasa filem inilah yang memulakan revolusi filem aksi Malaysia. Ia mengembalikan kepercayaan penuh rakyat Malaysia kepada filem-filem tempatan dan menetapkan penanda aras terhadap filem-filem aksi tempatan akan datang. Kami berasa, tanpa pembikinan filem berkualiti seperti ini, persaingan untuk membikin filem aksi yang lebih hebat tidak akan bermula. Itulah kepentingan dan sumbangan filem ini kepada industri filem aksi tempatan. Diharap syarikat produksi akan melaburkan semula keuntungan dari kutipan filem tersebut untuk membikin filem aksi tempatan yang lebih hebat lagi. Harapannya agar mereka tidak lupa harapan atau expectation rakyat Malaysia sudah meningkat setelah

filem terbaik 2018

 

Begitulah pendapat kami mengenai filem terbaik 2018 berdasarkan filem-filem yang telah kami review tahun ini. Anda mungkin mempunyai pendapat berbeza, sila kongaikan di ruangan komen atau di FB kami.

The post 10 Filem Terbaik 2018 appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://bit.ly/2Ssylb1

Backtrace – Filem Thriller Menumpang Glamor Stallone

Sejak akhir-akhir ini, kita dapat melihat semakin banyak filem bajat rendah yang dibintangi pelakon veteren terkenal seperti filem Escape Plan 2 dan Black Water yang kami review tidak lama dahulu. Kami gelarkan filem-filem ini sebagai filem cari makan; iaitu filem bajet rendah yang dibintangi pelakon veteren terkenal yang digunakan untuk melariskan filem tersebut, tetapi hakikatnya filem tersebut hanya menyasarkan untuk mencari kutipan cukup-cukup makan. Nampaknya trend itu tidak terhenti dan terbaharu, dilihat dalam filem Backtrace.

Backtrace – Filem Thriller Menumpang Glamor Stallone

Backtrace mengisahkan sekumpulan perompak diketuai Macdonald yang merompak bank dan kemudian membahagikan wang rompakan dengan sekumpulan kumpulan yang bersubahat dengan mereka. Malangnya kumpulan subahat tersebut tidak berpuas hati kerana Macdonald telah mengambil potongan kumpulannya tanpa persetujuan mereka. Apatah lagi Macdonald telah menyorokkan bahagiannya di tempat yang hanya kumpulannya sahaja tahu kedudukannya.

Kemudian satu insiden tembak-menembak antara mereka berlaku dan rakan-rakan Macdonald mati manakala beliau ditembak di kepala menyebabkan beliau hilang ingatan. Polis yang menangkapnya telah memenjarakannya.

7 tahun kemudian Macdonald mendapati ada sekumpulan orang yang berkomplot untuk melepaskannya dari penjara. Kenapa? Untuk mengetahui jawapannya, tontonlah filem ini di pawagam.

Review

Tidak dapat dinafikan filem ini sememangnya berunsurkan bajet dan dapat dilihat dari awal lagi. Sebagai contoh, dalam adegan tembak-menembak pada awal filem ini, kereta-kereta yang terkena tembakan tidak langsung mengalami kerosakkan dan hanya CGI tembakan yang digunakan. Trend ini juga dilhat sepanjang filem ini.

Kemudian, tidak banyak lokasi penggambaran dilihat dalam filem ini. Anda mungkin boleh mengira dengan jari sahaja.

Dari segi jalan cerita, ia umpama sebuah filem teori konspirasi yang dibikin atau diolah oleh amateur. Bermakna, potensi untuk menjadi sebuah filem yang OK (tidak mungkin menjadi filem yang hebat) tetap ada, namun mungkin kerana pengarah dan krew produksi tidak berpengalaman, hasilnya tidak memberangsangkan.

Sungguhpun demikian, pelakon-pelakon filem ini cukup komited untuk menjayakan filem ini dan berlakon dengan baik, walaupun sebagai sebuah keluarga, pelakon-pelakon dalam filem ini kurang menunjukkan ikatan kasih sayang sebagai keluarga. Juga, jangan tertipu, walaupun Stallone merupakan watak utama dalam filem ini, beliau tidak memainkan peranan penting dalam filem tersebut dan hanya beraksi secara serious di penghujung filem.

Pendek kata filem ini lebih mirip sebuah filem yang patut ditayangkan di stesen TV berbayar seperti HBO atau Netflix berbanding di pawagam. Itu pun kami kurang yakin ia akan berjaya melepasi saringan kualiti Netflix yang tampil dengan filem-filem yang agak memberangsangkan akhir-akhir ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • OK untuk ditonton jika tiada filem lain untuk ditonton
  • Plot yang OK dan mampu membuatkan anda menonton ke penghujung.

Negatif

  • Tidak mencapai kualiti yang sepatutnya, dari segi jalan cerita, untuk ditonton di panggung.

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem ini hakikatnya adalah sebuah thriller TV yang tersesat ke panggung wayang. Mungkin pihak Holywood menganggap jika menampilkan pelakon veteran terkenal mampu menarik minat penonton yang secukupnya untuk mengutip kutipan cukup-cukup makan. Apa pun, tontonlah filem ini jika tiada filem lain yang ingin anda tonton. Jika anda jenis penonton yang boleh layan apa sahaja yang anda tonton, anda mungkin boleh enjoy filem ini.

Penilaian: 4/10

IMDB

The post Backtrace – Filem Thriller Menumpang Glamor Stallone appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://bit.ly/2BI2dJn

Bumblebee – Kembali Kepada Kisah Transformers Yang Klasik

Bumblebee merupakan filem yang kami tunggu-tunggu dan secara spesifiknya kami tertarik dengan tema Transformers klasik yang ditampilkan dalam trailernya. Sebagai seorang yang membesar di penghujung 80an dan awal 90an, Transformers sememangnya menjadi sebahagian besar dalam kehidupan kami. Tambahan pula siri filem Transformers arahan Michael Bay semakin mengarut dan sukar untuk ditonton bagi kami. Kami sempat menonton filem ini semalam dan ini pendapat kami mengenai filem ini.

Bumblebee – Kembali Kepada Kisah Transformers Yang Klasik

Bumblebee mengisahkan B-127 (diberi nama Bumblebee di awal filem), seorang askar pemberontak Autobots yang berjuang melawan Decepticons untuk penguasaan planet Cybertron. Pihak Autobots semakin kalah di Cybertron dan terpaksa melarikan diri. B-127 diarahkan untuk ke bumi dan mewujudkan sebuah pangkalan pihak pemberontak Autobots. Beliau juga ditugaskan untuk mempertahankan bumi sekiranya agen Decepticon mencarinya di bumi.

Tetapi dalam pertempuran di bumi beliau “cedera parah” dan terpaksa dimatikan untuk menjamin survivalnya. Pada saat terakhir beliau sempat bertukar menjadi sebuah VW Beetle.  Kemudian pada tahun 1987, Charlie Watson, seorang remaja perempuan telah menjumpainya di pusat barang lusuh yang beliau sering lawati. Pemilik pusat itu menghadiahkannya kereta tersebut untuk hari jadinya, tanpa beliau ketahui VW Beetle itu adalah B-127.

Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kisah seterusnya.

Review

Pertama sekali kami perlu katakan filem ini dibikin dengan mengambil kira filem Transformer asal yang diterbitkan dalam tahun 80an, jadi keseluruhan filem ini dibikin untuk menonjol kepada para penonton yang membesar sekitar 80/90an. Daripada muzik hinggakan konsep wataknya semuanya mengambil ilham filem asal dan persekitaran tahun 80an. Oleh sebab itu juga kami tidak pasti samada mereka yang membesar pada era berlainan akan dapat “menjiwai” filem ini atau tidak. Namun bagi kami yang memang membesar pada tahun 80/90an sememangnya dibawa “down memory lane” bak kata pepatah Inggeris.

Berbeza dengan filem-filem transformers arahan Michael Bay, filem Bumblebee lebih memfokuskan kepada aspek kemanusiaan iaitu hubungan persahabatan erat antara Charlie dengan Bumblebee dan kepayahan dilalui dalam perjalanan robot itu menyesuaikan diri dengan persekitaran di bumi. Terdapat babak sedih, lucu dan gembira, menjadikan penonton lebih asyik menonton filem ini berbanding filem Michael Bay yang lebih fokus kepada aksi dan penempatan produk.

Filem ini tidak tergesa-gesa dalam memperkembangkan jalan ceritanya, membolehkan penonton benar-benar menghayati watak Charlie dan persahabatannya dengan Bumblebee. Ia juga tidak menampilkan lawak jenaka yang tidak munasabah dalam filem ini seperti filem-filem terdahulu. Ia memperkenalkan asal-usul Sector 7 sebagai satu segmen tentera Amerika yang serious, tidak seperti dalam filem transformers sebelum ini yang menggambarkan Sector 7 seperti satu slapstik atau comic relief sahaja.

Babak aksinya juga menarik. Walaupun, jelas sekali Michael Bay campur tangan dalam babak aksinya, namun hanya sedikit sahaja kami fikir. Babak lawannya banyak menggunakan gaya MMA (Mixed Martial Arts) semasa perlawanan tanpa senjata dan menjadikannya lebih seronok ditonton. Ia tiada babak aksi yang keterlaluan sehingga penonton tidak faham apa yang sedang ditononnya. Pendek kata, babak aksinya padat dan tidak melampaui batas.

Akhir sekali, soundtracknya memang menyertakan lagu-lagu popular 80an dan kami jangka ia akan menjadi satu soundtrack yang popular apabila ia memasuki Spotify nanti.

Positif vs Negatif

Positif

  • Lebih mirip kepada Transformers sebenar
  • Soundtrack yang menarik
  • Jalan cerita yang lebih mengambil kira aspek kemanusiaan

Negatif

  •  Tidak banyak menampilkan Autobots yang lain
  • Terlalu berorientasikan budaya 80an, kami tidak pasti samada para pemuda-pemudi zaman sekarang dapat menjiwai filem ini

Bumblebee

Kesimpulan

Filem ini benar-benar sebuah filem yang wajib ditonton, terutamanya bagi peminat kartun Transformers tahun 80/90an. Bukan itu sahaja, filem ini boleh menjadi sebuah filem “detox” kepada filem-filem Transformers Michael Bay yang telah meracuni francais filem Transformers. Ia boleh memberi satu sudut pandang yang baru kepada penonton muda yang tidak mengenali Transformers tahun 80/90an. Selamat menonton, anda tentu akan menyukai filem ini.

P/S – Babak terakhir filem ini memberi pembayang kepada permulaan filem Transformers (2007).

Penilaian: 9/10

IMDB

The post Bumblebee – Kembali Kepada Kisah Transformers Yang Klasik appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2EpsxuH

Aquaman – Filem Adiwira atau Fantasi?

Tidak banyak yang kami tahu tentang latarbelakang Aquaman sebelum ini selain gambaran dari filem Justice League, memandangkan kami bukan pembaca komik DC Comics. Tetapi kami terpanggil untuk menonton filem ini sebagai kesinambungan dari filem Justice League. Kami berkesempatan menonton filem ini baru-baru ini dan berikut pendapat kami mengenai filem ini.

Aquaman – Filem Adiwira atau Fantasi?

Filem Aquaman mengisahkan latarbelakang di sebalik watak Aquaman yang diperkenalkan dalam filem Justice League. Beliau merupakan seorang berketurunan diraja dari Atlantis, iaitu sebuah kerajaan di bawah laut. Beliau adalah anak hasil perkahwinan ibunya, pemaisuri Atlantis dengan seorang manusia biasa, penjaga rumah api di tepi laut.

Memandangkan Aquaman, atau nama manusianya Arthur Curry, tidak mahu menuntut takhta Atlantis, adik tirinya, Orm, menuntutnya sendiri. Namun Orm pula terlibat dengan konspirasi untuk memulakan peperangan antara pihak Atlantis dengan manusia di darat. Mampukah Aquaman menghentikan peperangan ini? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Sebagai peringatan, filem Aquaman ini berlangsung selepas filem Justice League, jadi segala yang berlaku dalam filem tersebut diambil kira. Apa yang disedari sejak awal lagi adalah identiti Aquaman bukanlah begitu rahsia. Semua rakan sekampungnya mengetahui bahawa Arthur Curry adalah Aquaman, cuma secara umum kebanyakan orang tidak mengenalinya. Kisah sejarah beliau diterangkan secara ringkas dalam filem ini mungkin kerana ingin menumpukan kepada kisah utama filem ini. Lagipun, beliau telahpun diperkenalkan dalam Justice League. Jadi tiadalah kisah sejarah berjela-jela dalam filem ini.

Terdapat dua kisah dalam jalan cerita Aquaman ini. Pertama permusuhannya dengan Black Manta dan pertikaiannya dengan King Orm, adik tirinya. Sejujurnya, penulis filem ini seolah memasukkan banyak ‘drama’ dengan memasukkan dua elemen ini. Pertikaiannya dengan King Orm sudahpun merupakan satu kisah yang besar dan cukup untuk memenuhi keseluruhan jalan cerita filem ini, tetapi penulis memilih untuk memasukkan kisah kedua-dua lawan Aquaman dalam satu filem. Namun, di penghujung filem, barulah kami memahami kenapa kisah watak Black Manta disertakan dalam filem ini. Beliau akan memainkan peranan penting dalam filem Aquaman seterusnya. Pendek kata, jalan cerita filem ini sedikit semak, namun kami memahami sebab kenapa ia demikian.

Bercakap mengenai jalan cerita filem ini, ia lebih mirip sebuah filem fantasi/adventure berbanding sebuah filem adiwira. Ini kerana kebanyakan misi-misi dan situasi yang dialami watak protagonis lebih menyerupai sebuah filem seperti Lord of the Rings atau The Mummy di mana watak-wataknya perlu menjalani misi atau cabaran untuk mencapai sesuatu, sebelum menyelamatkan dunia. Tema perebutan takhta Atlantis juga satu tema yang sinonim dengan filem fantasi. Tetapi, sungguhpun demikian jalan ceritanya OK jika anda menonton tanpa sebarang prasangka.

Seperti filem Justice League, penulis sutradara cuba menceriakan suasana dengan membikin lawak jenaka dalam filem ini untuk membuang imej gelap yang sering dikaitkan dengan filem DC Comics. Namun, lawak jenakanya tidak begitu konsisten sepanjang filem. Seolah hanya babak-babak tertentu sahaja Aquaman mempunyai personaliti lucu dan dalam babak-babak lainnya lawaknya tidak menjadi.

Babak-babak aksi yang dihidangkan banyak dan pelbagai. Kebanyakannya mendebarkan, namun menjelang ke penghujung filem, babak aksinya semakin berjela-jela dan sedikit monotonous, sehingga admin sendiri hampir tertidur semasa babak peperangan terakhir. Tetapi secara keseluruhan, unsur-unsur aksi dalam filem ini cukup untuk menghiburkan peminat filem aksi tegar.

Aquaman

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita secara keseluruhan memuaskan
  • Babak aksi yang memuaskan

Negatif

  • Lebih mirip filem fantasi/adventure berbanding filem adiwira.
  • Tidak begitu unik dalam jalan ceritanya

Kesimpulan

Daripada pengamatan kami di atas talian, ramai juga yang memberi penilaian tinggi terhadap filem ini. Malah Oh! Media juga memberi pujian tinggi terhadap filem ini. Namaun, pada pendapat kami, walaupun filem ini tidak seteruk filem-filem DC Comics baru-baru ini, ia taklah sehebat yang digambarkan, cuma ia jauh lebih baik berbanding filem-filem Batman Ben Affleck, Justice League dan Suicide Squad. Ia sebuah filem yang menyeronokkan dan menghiburkan. Mungkin ini adalah jasa pengarahnya James Wan yang memberi sudut pandang berbeza kepada filem DC Comics. Beliau cuba menerapkan elemen seperti yang dilihat dalam filem Marvel Studios. Lawak jenaka filem DC sudah bertambah baik, walaupun tidak begitu konsisten sepanjang filem. Tetapi pada akhirnya, ia juga sebuah filem yang jalan ceritanya boleh dijangka dan tidak banyak yang unik mengenainya pada pendapat kami. Kami masih boleh merekomen ini kepada anda jika anda peminat filem DC Comics.

Penilaian: 7/10

The post Aquaman – Filem Adiwira atau Fantasi? appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2RYFK1w

Fantastic Beasts The Crimes of Grindelwald

Sejujurnya, admin tidak menggemari filem-filem Harry Potter, namun aneh sekali kerana filem-filem Fantastic Beasts menarik minat admin untuk menontonnya. Mungkin tema yang lebih matang menjadikannya lebih sesuai ditonton penonton seumur dengan admin. Fantastic Beasts The Crimes of Grindelwald merupakan siri kedua dalam siri filem Fantastic Beasts yang dibikin berdasarkan buku-buku tulisan JK Rowling. Kami baru sahaja sempat menonton filem ini walaupun ia telah lama ditayangkan di pawagam, dan inilah pendapat kami mengenai filem ini.

Fantastic Beasts The Crimes of Grindelwald

Filem Fantastic Beasts The Crimes of Grindelwald mengisahkan Grindelwald, yang merupakan ahli sihir licik yang dipenjarakan kementerian magik kerana jenayah yang dilakukannya. Selama ini dunia ahli sihir dan dunia manusia adalah dipisahkan dan menjadi rahsia. Tetapi Grindelwald ingin mengingkari norma ini dan ingin menguasai dunia manusia dengan mengajak ahli-ahli sihir untuk menjadi pengikutnya.

Sebelum itu, Grindelwald perlu mencari Credence Barebone yang merupakan pureblood terakhir dan paling berkuasa. Beliau disangka mati dalam filem pertama tetapi sebenarnya hidup dan berada di Paris.  Dumbledore, secara rahsia telah mempengaruhi Newt Scamander  untuk ke Paris untuk mencari Credence dan mengalahkan Grindelwald kerana beliau sendiri tidak boleh berlawan dengannya disebabkan satu perjanjian darah dengannya.

Apakah Newt Scamander berjaya mengalahkan Grindelwald? Tonton filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Seperti filem  pertama, filem Fantastic Beast The Crimes of Grindelwald memaparkan Newt Scamander yang obses mengumpul haiwan-haiwan sakti dalam beg ajaibnya dan mengkaji serta memelihara haiwan-haiwan tersebut. Jika anda seorang yang gemarkan filem bertemakan cerita-cerita dongeng, filem ini tentu anda suka. Siapa lagi yang pakar dalam cerita dongeng kalau tidak JK Rowling.

Jalan cerita filem ini semakin kompleks berbanding filem pertama dimana penonton perlu menumpukan perhatian supaya faham kaitan setiap watak dengan watak yang lain serta kedudukan mereka dalam jalan cerita keseluruhan. Dari segi itu filem ini berjaya menghidangkan satu jalan cerita yang menarik. Namun, memandangkan filem ini adalah filem yang kedua, penonton perlu menunggu hingga ke filem seterusnya untuk mengetahui kesudahan filem ini.

Dari segi aksi, filem ini tidaklah menghidangkan begitu banyak aksi, namun cukuplah bagi menghiburkan penonton sepanjang tontonan. Tetapi banyak babak-babaknya meleret dan sedikit panjang. Dengan kata lain dari segi jalan cerita dan pengolahannya, filem ini tidaklah mempunyai “X factor”, malah kami tidak rasakan ia lebih baik dari filem-filem Harry Potter (walaupun kami tidak menonton semua filemnya).

Positif vs Negatif

Positif

  • Tema cerita dongeng yang kreatif dan ceria
  • Jalan cerita yang berisi

Negatif

  • Jalan cerita yang sedikit perlahan dan tiada apa yang begitu memberangsangkan

Fantastic Beasts The Crimes of Grindelwald

Kesimpulan

Sebenarnya jalan cerita filem ini banyak mengingatkan kami mengenai kisah bagaimana dajjal menguasai dunia. Dia akan menjanjikan pelbagai perkara dan menunjukkan sihirnya untuk menunjukkan kekuasaannya dan mempengaruhi mereka yang tiada pendirian yang kuat, namun semuanya penipuan semata-mata. Malah, dikatakan filem-filem sihir ini adalah salah satu taktik golongan tertentu untuk menormalisasikan bidang sihir untuk menyediakan pemikiran manusia untuk menerima dajjal.

Apa pun, itu hanya pendapat kami. Jika anda sekadar menonton tanpa mengambil serious perkara di dalamnya, tentunya tidak mengapa.

Fantastic Beasts The Crimes of Grindelwald

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Fantastic Beasts The Crimes of Grindelwald appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2QbbqUC